May 16, 2014

BMJM_bab 8_edited version

BMJM 8

“Siti, awak tidur rumah saya ajelah malam ni. Pagi-pagi esok saya boleh hantar awak.” pujuk Suzila sebaik tiba di vila. Abangnya pula sedang menanti apabila lelaki itu menyuarakan ingin menghantar sahabatnya itu pulang. Dia pula tidak dibenarkan ikut sama dengan alasan lelaki itu tidak akan singgah di vila.

“Tak bolehlah Suzy. Saya dah janji dengan adik sepupu saya. Makcik saya pun dah tahu saya balik sana malam ni.” jawab Siti Shafura lemah. Sebenarnya ada sedikit perasaan gerun untuk berdua-duaan dengan Eshaq Hakimi namun dia tidak punya pilihan.

“Tapi abang saya tu..” Suzila sempat menghadiahkan jelingan kepada Eshaq Hakimi yang sedia menanti.

Siti Shafura tersenyum pahit. “Tak apalah Suzy. Awak doakan saya okey? Insya-Allah tak ada apa-apa.” tenang dia membalas. Selebihnya untuk menyedapkan hati sendiri.

“Apa yang lambat sangat tu? Cepatlah!” Eshaq Hakimi mula bersuara.

“Kejaplah!” Balas Suzila geram.

Siti Shafura menyentuh tangan sahabatnya itu. Tidak mahu pula ada pertelingkahan di situ hingga mengganggu penghuni vila yang lain. Dia yakin jika sudah melibatkan kedua-dua ibu bapa angkatnya nanti, lain pula yang berlaku. Cukup dengan apa yang baru sahaja berlaku tadi.

“Saya balik dulu. Awak jangan risau okey. Nanti sampai, saya call awak.” ucapnya menenangkan.

Suzila mengeluh perlahan sebelum membuang pandang ke arah abangnya. “Suzy tahu, Siti sampai rumah makcik dia bang. Tak sampai, Suzy bocor semua rahsia!” ugutnya berani.

Eshaq Hakimi senyum sinis. “Kau ingat abang terdesak sangat ke nak buat benda tak senonoh  pada adik kesayangan abang ni.” balasnya sambil mengerling ke arah Siti Shafura. Dia dapat meneka apa yang sedang bersarang dalam kepala kedua-dua gadis itu. Dan selebihnya dia mahu, kedua-duanya tahu yang dia tidak melakukan kerja terkutuk tersebut.

Suzila menghadiahkan jelingan.

“Jeling-jeling. Abang korek mata tu, tahulah.” getus Eshaq Hakimi perlahan namun masih didengari oleh dua gadis itu. “Dah cepat! Tak payah nak borak-borak lagi. Aku nak balik ni. Penat tahu tak?” Desaknya sengaja.

Suzila merengus halus. Geram benar dia melihat abangnya itu.

“Suzy, saya balik dulu. Assalamualaikum.” ucap Siti Shafura serba tidak kena lantas mendakap tubuh sahabatnya itu sekilas sebelum masuk ke dalam kereta.

Suzila menjawab perlahan bersama wajah yang keruh sebelum Eshaq Hakimi terus sahaja memecut kereta meninggalkan kawasan vila.

…………………

Dalam perjalanan masing-masing hanya mendiamkan diri. Sepi memenuhi ruang. Kereta mewah yang begitu megah berada di jalanraya mungkin berjaya menarik perhatian mata yang memandang. Namun, bukan pada Siti Shafura. Dia tahu kemewahan yang dimiliki lelaki itu tidak sepenuhnya daripada pendapatan kerjaya yang sebenar. Sebaliknya ‘kerjaya’ lain yang meletakkan Eshaq Hakimi berada pada tahap itu.

Wajah dihalakan ke hadapan apabila terasa lenguh kerana sejak tadi dia memandang ke luar tingkap. Untuk menoleh ke sisi, keberaniannya tidak begitu cukup walaupun zikrullah tidak kering membasahi bibir. Dan berkat zikrullah itulah dia mampu setenang itu. Cukup tenteram walaupun langsung tidak menegur insan yang tenang memandu di sisi. Tambahan pula dengan aroma yang memenuhi segenap ruang. Entah kenapa aroma itu begitu serasi dengan deria baunya sejak bertandang di rumah lelaki itu lagi. Amat menyenangkan hingga terlupa sebentar apa yang telah berlaku tadi. Dan tanpa sedar bibir membentuk senyum.

Sementara, Eshaq Hakimi yang sengaja mendiamkan diri sejak tadi pula, semakin tidak senang duduk. Ada aura yang tidak mampu digambarkan menyebabkan beberapa kali dia mencuri pandang walaupun dia tidak dapat melihat dengan jelas dalam samar cahaya itu. Teringat apa yang berlaku di rumahnya tadi, hati lelakinya terusik. Aurat yang begitu dijaga, tanpa sengaja menjadi tatapannya.

‘Ahh.. Kenapa pulak kau ni Shaq.’ Rungutnya sendiri apabila hatinya semakin berdebar tidak kena rentak apabila setiap kali mata singgah ke wajah jernih tanpa secalit solekan itu dengan lebih dekat. Amarah yang sebelum ini memenuhi ruang dada seperti hilang dibawa angin apabila berada dekat dengan gadis itu. Malah hatinya kini mula sibuk berperang dengan perasaannya sendiri.

“Ehem…” Dia berdeham beberapa kali cuba meredakan debar yang terasa seraya membetulkan duduk sekali gus sengaja ingin memancing perhatian gadis di sisinya itu. Dan seperti yang dijangka, perhatian gadis itu terusik.

“Err.., abang..” Siti Shafura memberanikan diri bersuara. Hilang terus senyumnya tadi. Keresahannya kembali. Sedar masih ada perkara yang perlu diselesaikan di antara mereka.

“Ada mulut.., aku ingat dah tak ada tadi.” selamba Eshaq Hakimi menyindir. Apa yang ada di dalam hati tidak seiring dengan yang berada di akalnya. Entah kenapa ayat itu yang meluncur sedangkan hatinya sejuk mendengar nama panggilan yang digunakan meniti bibir merah gadis itu buat kali pertama di pendengarannya.

Siti Shafura telan liur. Terus tidak jadi untuk dia menoleh.

“Erm.., kata Suzy, kau duduk area rumah Nadia.” Eshaq Hakimi tercari-cari topik yang sesuai agar mereka terus berbual. Dia tidak mahu suasanya sunyi yang memenuhi ruang walaupun dia sendiri sebenarnya masih tidak selesa berbual dengan gadis itu.

“Ha’ah…” jawab Siti Shafura pendek. Perasaan kekok sentiasa menyelubungi apabila berdua-duaan dengan seoarang lelaki yang bukan mahramnya. Jika dengan Izzat Fakhri pun dia sudah tidak senang duduk, apatah lagi dengan Eshaq Hakimi yang masih tidak dikenali hati budinya.

“Rumah nombor berapa?”

“Tujuh belas.” Siti Shafura hanya menundukkan wajah memandang jemarinya yang meramas antara satu sama lain. Terasa aroma indah dari tubuh Eshaq Hakimi sentiasa cuba membuai hatinya menyebabkan jantung semakin berdegup laju. Zikrullah dipanjatkan lagi agar dia tidak mudah terleka melayan perasaan sendiri. Berlindung dari gangguan ‘orang ketiga’ yang sentiasa cuba menyesatkan hati anak cucu Adam.

“Err.., abang…” Dalam debar dia bersuara. Memberanikan diri menoleh. Wajah lelaki itu tidak lagi setegang tadi. Dalam sinar lampu jalan, dia perasan wajah itu bersih tanpa sebutir jerawat pun. Roma kasar dipotong nipis dan kemas terhias di bawah dagu itu.

Dia teringat kata-kata Qayyum. Lelaki itu juga memiliki roma kasar yang sama. Jika ditanya kenapa menyimpan roma kasar itu, katanya ‘janggut cari makan’. Wajah seseorang lelaki akan lebih kacak dengan adanya roma kasar itu. Namun, dia sendiri tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan ‘cari makan’. Apa yang dia tahu, memiliki janggut adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah. Arwah walidnya sendiri menyimpan roma kasar itu.

Eshaq Hakimi turut menoleh menyebabkan mata mereka bertemu sesaat dua sebelum masing-masing cepat memandang ke arah lain. Eshaq Hakimi kembali memberi tumpuan dalam pemanduan semula. Dia menarik nafas panjang kerana mujur tidak terleka. Dalam debar dia menanti butiran seterusnya dari gadis di sisinya itu.

“Abang, er.., Siti mintak maaf pasal…” ucap Siti Shafura lambat-lambat.

“Tahu pun buat salah!” celah Eshaq Hakimi selamba. Sedaya upaya dia cuba mengawal debar di hatinya agar tidak terlalu ketara.

“Err.., Siti tak tahu abang balik awal tadi. Kalau Siti tahu…”

“Kau hutang baju kemeja aku yang kotor hari tu.” potong Eshaq Hakimi lagi menyebabkan gadis itu kembali menoleh.

Peristiwa lalu yang mendahului dari insiden yang baru berlaku sebentar tadi. Dia sebenarnya terasa bersalah kerana telah meninggi suara terhadap adik dan gadis itu disebabkan terlalu mengikutkan perasaan marah terhadap Jasmeen. Dia sendiri yang terlupa Suzila ada memaklumkan kedatangan mereka ke rumahnya malam itu. Hal baju itu pula sengaja diungkitkan semata-mata ingin menutup perasaan bersalah yang terkepung. Selain, ia sebagai alasan untuk memanjangkan lagi hubungan mereka. Walaupun Siti Shafura sudah menjadi sebahagian daripada ahli keluarganya, namun belum pasti dia sendiri dapat mengenali gadis itu dengan lebih dekat memandangkan dia jarang pulang ke vila.

Siti Shafura menghela nafas. Memang hal itu ingin dibincangkan selepas memohon maaf apa yang berlaku tadi memandangkan mereka tidak punya kesempatan untuk berbincang. Dia menunduk. Memandang jemarinya yang sudah bertaut antara satu sama lain.

“Kau tak ingat yang kau langgar aku sampai kau jatuh terduduk bulan lepas? Habis baju putih aku tu kotor. Kesan air tumpah tu pun tak hilang sampai sekarang kau tahu? Sampai aku dah tak boleh pakai langsung baju tu lagi.” sambung Eshaq Hakimi dengan mata tetap terhala ke hadapan. Sengaja ingin ‘menyeksa’ gadis di sisinya itu walaupun tahu kemeja yang rosak itu tiada lagi galang ganti.

“Siti tahu..” Siti Shafura menjawab lemah. “Siti mintak maaf bang. Memang Siti salah hari tu. Er, tapi kenapa baru hari ni abang bagi tahu? Kan abang boleh call number pada yang Ikmal bagi.” Dia memberanikan diri menyoal.

“Kad tu dah hilang.” Bohong Eshaq Hakimi selamba. Sengaja. Padahal dia masih menyimpan kad nama yang dimaksudkan. Jika benar dia ingin menuntut ganti rugi, pasti dari awal lagi sudah dilakukan. Hanya kerana ada aura yang tidak mampu diterjemahkan menyebabkan dia tidak mahu gadis itu jauh dari jangkauan. Dan kini, dia mahu mahu mengikat gadis itu dengan insiden lalu.

“Erm.., abang bagi tahu apa jenama baju abang tu, nanti Siti ganti.” balas Siti Shafura bersungguh seraya menoleh.

“Ada aku cakap, kau kena ganti dengan baju yang sama?”

“Err.., habis tu?”

“Nantilah aku fikir dengan apa yang kau kena ganti. Sebab kalau kau ganti dengan baju yang sama, nilainya tetap takkan sama.” Eshaq Hakimi sembunyi senyum. Dalam kepalanya sudah merencana berbagai-bagai perkara agar gadis itu tidak dapat lari jauh daripadanya. ‘Kau ni dah gila ke apa Shaq?’ kutuk satu suara dalam hati membuatkan bibirnya hampir mengukir senyum.

“Err.., abang nak Siti ganti dengan apa?” Siti Shafura serba tidak kena. Mula kurang senang apa yang meniti bibir lelaki itu. Cepat sahaja akalnya memikirkan perkara yang bukan-bukan namun segera ditolak kerana tidak mahu berprasangka buruk. Matanya yang tadi memaku ke wajah lelaki itu segera dilarikan ke hadapan.

“Nantilah aku bagi tahu. Kau tunggu aje..” balas Eshaq Hakimi dengan senyuman sinis. “Ha! Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan pulak!” tebaknya kemudian apabila perasan riak wajah Siti Shafura yang berubah. Dia tahu, sesiapa pun yang mengetahui kegiatannya selama ini, tidak lari dari beranggapan buruk.

Siti Shafura terpukul. Tidak berani lagi menoleh. Beristighfar dia beberapa kali kerana sudah memikirkan perkara yang tidak-tidak. “Err.., abang…” Dia memberanikan dia bersuara kembali.

“Hmm..”

“Erm.., Siti mintak maaf pasal dekat rumah tadi. Siti…” Siti Shafura tidak jadi untuk meneruskan kata. Tidak tahu apa yang harus diucapkan.

Eshaq Hakimi menoleh sekilas. Keluhan dilepaskan. “Bukan salah kau pun.” jawabnya lambat. Dalam diam mengakui kesilapan diri. Tangan melurut rambut lurusnya yang panjang hingga menutupi sebahagian telinga.

“Er.., mesti girlfriend abang tadi dah salah faham dengan Siti. Er.., Siti…”

“Kau tak payah risau pasal dia.” celah Eshaq Hakimi terus. Berbakul makian dilemparkan di dalam hati apabila teringat tuduhan Jasmeen tadi. Dalam hal lain, dirasakan ada baiknya kehadiran Siti Shafura ke rumahnya itu. Biar wanita itu tahu yang dia sudah pun mempunyai pengganti jauh lebih baik walaupun bukanlah secara rasmi. Dia mahu Jasmeen berterusan menganggapnya begitu jika itu membawa kebaikan kepada dirinya kerana tidak perlu lagi dia melayan kerenah wanita yang suka mendesak dan memaksa.

“Err.., tapi kalau abang nak Siti mintak maaf pada dia pun, Siti boleh buat bang…” tingkah Siti Shafura dengan perasaan bersalah. Kehadirannya mungkin sahaja sudah memusnahkan hubungan Eshaq Hakimi dengan wanita yang memarahinya tadi.

“Kau tak payah nak susah-susahkan diri! Hal tu takda kena mengena dengan kau pun!” Balas Eshaq Hakimi sedikit tegas. Tidak mahu Siti Shafura terlibat kerana risau pula hal itu menjadi semakin kecoh dan sampai ke pengetahuan ibu bapanya pula.

“Erm.., tapi Siti…”

“Takda tapi-tapi lagi!” Pintas Eshaq Hakimi berserta jelingan tajam. ‘Banyak hal betul budak ni!’ Hati mula merungut. Geram pula dengan kedegilan Siti Shafura yang terlalu baik hati ingin menawarkan diri meminta maaf kepada wanita yang mula dibenci. Risau seandainya Jasmeen akan mengapa-apakan Siti Shafura kerana dia cukup faham dengan perangai wanita itu yang akan melakukan apa sahaja demi memuaskan hati. Dia masih ingat lagi ugutan Jasmeen sebelum meninggalkan rumahnya tadi.

Siti Shafura terdiam. Wajahnya menunduk. Tidak mahu menambah ketegangan yang ada sungguhpun ungkap maafnya masih tertangguh. Dia tidak tenang selagi ia tidak diucapkan. “Er.., abang..” Dia memberanikan diri bersuara namun lelaki itu sedikit pun tidak berpaling. Terus tekun memandu.

Sorry…” ucapnya perlahan. Ikhlas kerana perasaan bersalahnya yang menggunung tinggi bertapak dalam hati.

Eshaq Hakimi menoleh sekilas tetapi tidak membalas. Rasa simpati mengusik pula ke tangkai hati apabila melihat wajah keruh Siti Shafura. Gadis di sisinya itu terlalu suci untuk dilukai. Bukan dia tidak tahu latar belakang gadis itu. Hidup Siti Shafura tidak sesempurna mana berbanding dirinya yang masih mempunyai keluarga yang lengkap. Tidak kepada gadis itu yang sudah pun kehilangan tunggak dalam keluarga. Dan kini, ibu tercinta pula terlantar sakit dan semakin uzur. Namun menurut adiknya, Siti Shafura merupakan seorang yang cukup tabah dan sukar untuk menitiskan air mata. Ketika diherdik Jasmeen tadi pun, dia perasan gadis itu langsung tidak menangis. Tetapi, dengan melihat wajah keruh itu sahaja sudah cukup menunjukkan perasaan sedih yang terkepung di dalam dada.

Siti Shafura akhirnya terus mendiamkan diri. Pandangan mata dibuang ke luar tingkap.

“Erm.., kau dah jumpa cincin yang kau cari tu?” Tanya Eshaq Hakimi berbasa-basi. Resah hatinya apabila mereka sepi begitu.

Siti Shafura menoleh sekilas sebelum menjawab. Bibir mengukir senyum tawar walaupun dia tahu Eshaq Hakimi tidak terlihat senyumannya itu. “Erm.., belum..” akuinya jujur.

“Kau cari dekat mana?” Soal Eshaq Hakimi lagi sengaja mahu mereka terus berbual.

“Er..., ruang tamu.” Siti Shafura terpaksa menyembunyikan keinginan untuk mencari di dalam bilik lelaki itu tadi.

“Macam mana cincin dekat jari sendiri boleh hilang kau ni?” Eshaq Hakimi menarik senyum tepi. Terasa sedikit pelik. Cincin di jari tidak akan tertanggal melainkan tuan punya diri yang menanggalkannya.

Siti Shafura tersenyum pahit.

“Mana satu rumah kau ni?” Tanya Eshaq Hakimi lagi sebaik kereta yang dipandu masuk ke kawasan perumahan elit.

“Lepas simpang depan tu.” jawab Siti Shafura perlahan.

Eshaq Hakimi memandang sekilas ke wajah yang masih beriak sama seperti tadi sambil matanya tercari-cari rumah yang dimaksudkan. Sebaik sahaja dia memberhentikan keretanya di sebuah rumah bercat putih, pintu pagar automatik terus terbuka. Terjegul wajah seorang gadis yang lengkap berpakaian tidur dengan senyuman manis sedang menanti di situ. “Siapa tu?” Soalnya sekadar berbasa-basi. Ingin juga diketahui dengan siapa gadis itu tinggal.

“Nana. Adik sepupu..” jawab Siti Shafura dengan senyuman nipis. “Er.., abang. Terima kasih sebab hantar Siti.” lanjutnya sebelum membuka pintu kereta.

“Erm.., tu makcik kau yang garang tu ya?” Sekali lagi Eshaq Hakimi bertanya apabila perasan kelibat seorang wanita yang hampir sebaya dengan mamanya berdiri di muka pintu utama. Cuma wajah wanita itu tidak jelas di matanya.

“Er.., maksu saya. Er.., abang, Siti masuk dulu. Terima kasih sekali lagi.” ucap Siti Shafura dengan mata turut terhala pada orang yang dimaksudkan oleh Eshaq Hakimi. Melihat sahaja wajah Datin Salina, Siti Shafura cepat-cepat keluar dari kereta.

“Hm..”

“Terima kasih abang. Assalamualaikum.” ucap Siti Shafura lagi sebelum menutup semula pintu kereta. Dia tidak mahu berlamaan di situ kerana faham benar dengan maksud pandangan tajam ibu saudaranya. Terus sahaja dia melangkah masuk ke perkarangan rumah setelah kereta Eshaq Hakimi mula meninggalkan kawasan rumah.

“Akak!” Izza Farhana terus menerpa. Tubuh Siti Shafura didakap erat.

“Nana, cepat masuk. Nanti mama Nana marah.” Balas Siti Shafura sambil meleraikan pelukan. Tidak selesa apabila Datin Salina memandangnya seperti pemangsa menanti untuk menerkam mangsanya. Tangan Izza Farhana terus ditarik agar masuk ke dalam rumah. Ibu saudaranya itu pula sudah pun mendahului mereka dan menanti di ruang tamu.

“Sejak bila kau pandai balik dengan jantan ni?” Datin Salina menyoal dingin. Dia cepat menarik tangannya apabila ingin dikucup oleh Siti Shafura.

“Er.., tu abang Suzy.” Jelas Siti Shafura yang tidak mahu ibu saudaranya itu tersalah faham dengan apa yang dilihat.

“Kau jangan nak pandai-pandai bawak mana-mana jantan balik ke rumah ni sesuka hati kau. Aku tak suka!” Datin Salina memberi amaran.

Izza Farhana yang berdiri di sisi Siti Shafura pula tidak berani bersuara kerana faham dengan prinsip mamanya yang cukup tidak suka seandainya dia ikut campur. Dia sedih kerana tidak mampu untuk berbuat apa ketika Siti Shafura dimarahi. Hanya Izzat Fakhri sahaja yang mampu untuk berbuat begitu. Tapi kini abangnya itu tiada di sini untuk membela nasib Siti Shafura. Rasa bersalah mula bermukim di hati kerana memaksa Siti Shafura pulang ke rumah pada cuti hujung minggu itu.

“Er.., Pureen mintak maaf Datin.” ucap Siti Shafura perlahan.

“Kau dengar sini baik-baik. Kalau aku nampak lagi ada mana-mana jantan yang hantar kau balik rumah, kau jangan lagi balik sini. Kau kahwin aje terus dengan jantan tu. Tak payah lagi balik sini! Faham!” balas Datin Salina kasar memberi amaran keras.

“Apa mama cakap ni? Kak Pureen tak..” celah Izza Farhana namun cepat dihalang Siti Shafura agar Izza Farhana berhenti.

“Pureen janji, Pureen tak buat lagi Datin.” ucap Siti Shafura yang hanya menunduk. Tidak berani mengangkat wajah untuk menentang wajah Datin Salina kerana khuatir dikatakan biadab pula.

“Dah, pergi naik sana!” Arah Datin Salina tegas. Dia merengus kasar. Sejak dari awal anak saudaranya itu melangkah masuk ke rumahnya, dia sudah menunjukkan tanda-tanda penolakan. Lebih-lebih lagi apabila seluruh ahli keluarganya kini sudah mula berpihak kepada gadis itu. Satu-satunya waris arwah abangnya yang lebih mementingkan ilmu agama itu kurang menyenangkan hati. Ada sahaja yang tidak kena.

Semua kerana sejarah lalu. Seraut wajah ayu anak saudaranya itu mengingatkannya kepada seseorang yang begitu dibenci. Matanya sempat dihalakan ke arah dua gadis yang sedang memanjat tangga.

Sementara Izza Farhana terus menarik tangan kakak sepupunya itu masuk ke dalam biliknya sebaik mereka tiba di tingkat atas.“Akak, siapa yang hantar tadi?” Soalnya tidak sabar sebaik mereka melabuhkan duduk di atas katil.

“Eh, kan akak dah cakap tadi? Abang kawan akak. Suzila.” jawab Siti Shafura jujur dengan senyuman manis. Lupa terus akan kemarahan ibu saudaranya tadi apabila bersama adik sepupunya itu.

“Betul ni? Bukan boyfriend akak ke?” Tanya Izza Farhana lagi yang selebihnya hanya ingin mengusik. Dia tahu kakak sepupunya itu tidak mempunyai ramai kawan lelaki. Jumlah kawan lelakinya boleh dibilang dengan jari.

Boyfriend? Memanglah boyfriend akak tadi.” jawab Siti Shafura selamba sambil membuka tudung kepala.

“Hah! Nana dah agak dah…” Izza melemparkan senyuman lebar. Teruja dengan pengakuan kakak sepupunya itu.

“Ialah… Betul la tu ‘boyfriend’ akak.” Siti Shafura sengaja menekan perkataan ‘boyfriend’.

Handsome tak dia kak? Kereta dia sangat handsome Nana tengok.” puji Izza Farhaan dengan sengihan kagum.

Siti Shafura hanya tersenyum bersama gelengan sebelum dia bingkas. Malas melayan usikan Izza Farhana yang semakin menjadi-jadi. Lain benar arah tujunya.

“Nantilah kak. Nana tak habis lagi tanya pasal my future brother in-law Nana tu. Kalau Abang Izzat tahu ni, mahu dia balik sini malam ni jugak.” tambah Izza Farhana lagi apabila teringat akan abangnya yang baru sahaja berada di perantauan beberapa hari lalu.

“Siapa bakal abang ipar Nana?” Sengaja Siti Shafura memulangkan soalan.

“Abang handsome tadi la.” jawab Izza Farhana cukup yakin.

“Bila akak cakap tu bakal abang ipar Nana?”

“Tadi akak cakap dia boyfriend akak.”

“Memanglah boyfriend. Tapi setakat ‘boyfriend’ ajelah. Tak lebih dari boyfriend.” Siti Shafura yang sudah pun berdiri berhampiran dengan pintu diiringi senyuman mengusik.

Wait! Nana pening dah ni. Kalau dah jadi boyfriend, maknanya jadi calon abang iparlah kak.” Izza Farhana tidak berpuas hati.

“Siapa kata? Kan akak cakap dia kawan lelaki akak. Bila masa nak jadi abang ipar ni?” Siti Shafura melepaskan tawa kecil sehingga terserlah lekuk di kedua-dua belah pipinya. Sengaja juga dia menekan perkataan ‘kawan lelaki’ agar Izza Farhana tidak tersalah faham.

“Ee.., akak ni. Semangat dah Nana nak dapat abang ipar handsome tu.” Izza Farhana mula memuncungkan bibir.

“Siapa yang suruh Nana bersemangat. Akak tak suruh pun.” usik Siti Shafura seraya memulas tombol pintu dan terus keluar. Ada lagi tanggungjawab yang belum tertunai dan dia mahu menunaikannya segera.

Usai sahaja bersolat, dia terus membaringkan tubuh dengan mata setia memandang kipas siling yang berputar perlahan. Lebih tenang hatinya saat itu dengan keadaan bilik yang hanya diterangai lampu tidur di sisi katil. Mata mula ditutup rapat dengan mulut terkumat-kamit membaca doa tidur, ayat Kursi, ayat seribu dinar dan berakhir dengan tiga Qul’ agar lenanya nanti lebih tenang tanpa sebarang gangguan selain berserah kepada Maha Pencipta. Dari mana kita datang, dari situ jugalah kita kembali.

Mata yang terpejam terbuka semula apabila tiba-tiba wajah Eshaq Hakimi muncul di benaknya. Berisitghfar dia beberapa kali untuk menenangkan hati apabila seperti terbau-bau aroma tubuh lelaki itu di rongga hidung. Belum pernah dia mengalami perasaan sedemikian rupa dengan mana-mana lelaki pun. Termasuklah Izzat Fakhri yang lebih rapat dengannya. Suatu perasaan halus yang hadir di dalam hati tidak dapat dikenal pasti. Tetapi ia cukup menenteramkan hati wanitanya.

Lama dia berkeadaan begitu dan akhirnya dia bangkit ke bilik air untuk berwuduk semula. Dia mahu melakukan solat istikharah, memohon ketenangan hati dan diberi petunjuk akan perkara yang dialami. Kemudian diteruskan pula dengan solat hajat agar diberi lagi kekuatan untuk melalui segala ujian. Tidak mahu apa yang mengusik hati kala itu akan memberi kealpaan kepada yang Maha Esa. Sesungguhnya, mainan perasaan itu cukup berbahaya untuk pembangunan jiwa.



6 comments:

Sue Anieki said...

kak arsha.. rindu puren n kimi...
rind nk baca blik BMJM.. :D
btw AWRA best..bnyk kali baca..

Ehem said...

Thanks sue! :)

Unknown said...

suka3...hari2 akak bukak blog nak intai kot2 ada n3 baru....Alhamdullilah ada rezki ari ni..

MaY_LiN said...

achaaaa
nk lg

Unknown said...

Arsha....cepat2 sambung next n3

Anonymous said...

Cepat cepat lah sambung. Peminat dari Zurich Switzerland