May 10, 2014

BMJM_bab 6_edited version


“Meen, you tak faham ke apa yang I kata? I tak sedialah nak kahwin. Banyak lagi yang I belum buat. Berapa kali I nak cakap? Kenapa you tak nak faham Meen?” Marah Eshaq Hakimi. Wajahnya merah padam. Wanita tinggi lampai itu sentiasa mendesak agar mereka berkahwin segera memandangkan hampir tiga tahun mereka berkasih.

“Itulah jawapan you tiap kali I ajak kahwin. Mummy I dah bising Shaq. Sampai bila kita nak macam ni? Sampai bila nak I tunggu? Semua pinangan anak kawan daddy and mummy I, terpaksa I tolak because of you. You know that?” Balas Jasmeen dalam nada sama tinggi.

I tak sedia okey! You jangan nak paksa I!” Tengking Eshaq yang semakin hilang sabar.

“Habis tu? Sampai bila? Sampai I tua? Kita bukan muda lagi. I ni dah dua puluh lapan tahun Shaq. Lainlah you tu lelaki. Umur banyak pun, still laku. Ramai perempuan yang rebutkan you! I ni? I nak jadi apa Shaq?” Tingkah Jasmeen tidak mengalah. Sudah lama dia bersabar dengan kerenah Eshaq Hakimi yang sering sahaja beralasan jika dia menimbulkan soal kahwin.

You boleh tak relax dulu? I dah janji nak kahwin dengan you kan? So, Apa yang you nak risau?” Balas Eshaq Hakimi cuba meyakinkan wanita yang setia bersamanya walaupun tahu akan kegiatannya selama ini. Dia sendiri tidak pasti sama ada ungkapan cinta yang sering dimomokkan kepada wanita itu tulus ikhlas dari hatinya atau sekadar ingin menyedapkan hati sahaja.

I dah tak boleh sabar dah Shaq. I dah tak tahan mummy I membebel dengan I hari-hari. Apa lagi yang you tunggu sebenarnya? Semua yang you suruh, I dah buat. You suruh I berhenti dari modelling pun, I dah buat. I berhenti sebab you. Apa lagi Shaq? Apa lagi yang nak you tunggu?” Asak Jasmeen lagi.

Stop it Meen! I penatlah. Pening kepala I ni. Boleh tak kita hentikan soal kahwin ni. Jangan nak kusut-kusut. Kita banyak lagi masa nak fikir hal tu nanti. Boleh tak kita stop dari cakap hal tu lagi? Keputusan I tetap sama. Kalau you nak kita kahwin dalam masa terdekat ni, sorry. I memang tak sedia and I memang tak boleh.” Balas Eshaq Hakimi yang sudah malas ingin bertekak akan hal yang sama. Dia masih tidak yakin pada wanita. Sejarah lalu sudah cukup mengajarnya agar lebih berhati-hati membuat keputusan yang melibatkan perasaan dan masa depan. Cukup sekali cintanya dikhianati. Dia tidak mahu ia berulang kembali. Dan gaya hidupnya kini, bertitik tolak dari sejarah lalu juga. Wanita sanggup membayarnya dengan harga yang tinggi hanya kerana inginkan khidmatnya. Dan yang pasti, ke semua wanita tersebut merupakan wanita yang curang dengan pasangan masing-masing.

“Senang aje you cakap. You memang tak sayangkan I kan? You lebih sayangkan mak datin-mak datin yang you escort tu kan? Tu yang you nak sebenarnya kan? Duit yang they all bayar pada you tu yang lagi penting dari I kan? Duit yang lebih you cinta dari I kan Shaq?”

You jangan nak sindir I Meen. Itu hal I. You tak payah nak sindir-sindir I. I tahu apa yang I buat!” Tingkah Eshaq Hakimi dengan nada yang kian meninggi. Dia merengus. Rambut dilurut kasar. Mujur juga kerusi rehat yang dipilih di tepi pantai itu jauh dari pengunjung lain.

Jasmeen ketap bibir. “Kalau you nak sangat duit, you cakap aje dengan I Shaq! I boleh bagi berapa yang you nak. You tak payah nak buat kerja terkutuk you tu lagi!”

Stop it Meen! Enough!” Herdik Eshaq Hakimi hilang sabar. Ringan sahaja dirasakan tangannya ingin dilayangkan ke pipi wanita itu. Darah panasnya sudah mencanak ke kepala. Tubuh yang terasa letih kerana baru pulang dari Sabah menemani Julia, kini ditambah pula dengan masalah yang tidak masuk akal itu.

You cakap, berapa banyak duit yang you nak. I boleh suruh assistant I bank in dalam akaun you sekarang jugak!” kata Jasmeen selamba seraya mengeluarkan telefon bimbitnya.

I said stop it!” Jerit Eshaq Hakimi dengan tangannya sudah menghampiri wajah wanita itu. Hanya beberapa inci sahaja akan mengenai wajah. Bibir diketap rapat hingga menampakkan garisan rahang.

“Kenapa you berhenti? Tamparlah. Tampar muka I ni, biar puas hati you tu!” Cabar Jasmeen berani.

Eshaq Hakimi merengus kasar seraya menarik semula tangannya dan digenggam kuat. Dia berpaling. Rasa tercabar. Tetapi, melukai tubuh wanita bukanlah caranya. Dia bukan lelaki dayus yang akan melukai insan lemah seperti Jasmeen.

I tak kira, I nak kita kahwin dalam waktu terdekat ni. Muktamad!” Jasmeen bertegas. Langsung tidak memperdulikan perasaan Eshaq Hakimi yang sedang marah saat itu.

“Kita break! Full stop!” Balas Eshaq Hakimi pula pendek dan padat sebelum kembali berpaling. Wajah wanita itu direnung tajam. Kesabaran yang ada selama ini sudah melebihi had. Dia benci wanita yang suka memaksa dan mendesak. Padanya wanita itu tiada hak langsung untuk menentukan haluan hidupnya.

What? Semudah itu you nak kita break? Mana janji you nak kahwin dengan I Shaq?” Ada getar dalam nada suara Jasmeen.

I dah tak nak ada apa-apa lagi hubungan dengan you. I rasa, ada baiknya you cari aje lelaki lain yang sudi kahwin dengan perempuan yang suka mendesak macam you ni!” tingkah Eshaq Hakimi pedas. Cukup selama ini dia bersabar melayan segala kerenah Jasmeen yang tidak tentu hala rengeknya itu. Dia penat!

“Shaq, you jangan nak main-mainkan I! I dah ikut semua kata you. Macam ni ke you balas pada I?” Jasmeen mula rasa gentar. Takut lelaki yang dicintai itu meninggalkannya.

You nampak muka I ni macam main-main ke? Sudahlah Meen. I fed up. I dah penat. I rasa ada baiknya kita putus aje. Itu lebih baik dari I pening-peningkan kepala I melayan perangai you yang tak pernah nak faham I. I rimas! Rimas you tahu tak!” Hambur Eshaq Hakimi yang benar-benar tawar hati. Itu tekadnya.

Sungguhpun dia ingin berkahwin, tidak akan sesekali dia memilih wanita seperti Jasmeen. Wanita yang terlalu mementingkan keterampilan, pangkat dan darjat selain sikapnya yang suka mendesak, sesuatu yang sangat tidak dia gemari. Tambahan pula ada suatu perkara yang telah dilakukan oleh wanita itu menyebabkan Jasmeen tidak pernah dalam senarai calon suri hatinya. Cuma entah kenapa selama ini dia boleh bersabar tetapi tidak pada ketika itu.

No! I tak peduli! You kena kahwin dengan I jugak!” tingkah Jasmeen separuh menjerit.

“Lantaklah you! I peduli apa. Itu masalah you! Yang I tahu, lepas ni kita takda apa-apa.” Putus Eshaq Hakimi sebelum terus berlalu.

“Shaq! Shaq! You tak boleh buat I macam ni Shaq!” Jasmeen cuba memaut lengan sasa itu dari terus berlalu walaupun Eshaq Hakimi menepis. Dia mula terasa dunianya hampir gelap melihat lelaki itu langsung tidak mempedulikan hati dan perasaannya.

Eshaq Hakimi semakin melajukan langkah meninggalkan kawasan pantai itu. Mujur juga mereka datang berasingan tadi. Terasa lapang dadanya selepas mengucap kata putus kepada wanita itu tadi. Panggilan Jasmeen langsung tidak dihiraukan.

You tak boleh lari dari I Shaq! You tetap akan kahwin dengan I!” Terdengar jeritan Jasmeen di belakang tetapi sedikit pun tidak mengganggu gugat hatinya. Padanya, selepas ini dia akan meneruskan hidup tanpa sebarang gangguan daripada wanita bernama Aina Jasmeen. Puas hatinya. Jika dia terpaksa untuk berkahwin, dia lebih rela memilih wanita miskin yang tidak punya apa berbanding Jasmeen yang mempunyai raut wajah cantik dan pakej fizikal yang menjadi kegilaan ramai lelaki. Namun kecantikan fizikal yang dimiliki bukanlah tiket untuk dia menjadikan wanita itu sebagai suri hidupnya. Tidak akan sesekali!

***********
“Kau buat apa dekat rumah aku ni?”

Bisikan di tepi telinga yang tiba-tiba menyebabkan Siti Shafura hampir sahaja terhiris jari. Buah mangga dari tangannya terlepas sebelum dia menoleh.

Eshaq Hakimi menahan tawa. Tidak menyangka kepulangannya lewat petang itu akan menemukan dia dengan Siti Shafura. Gadis yang masih ‘berhutang’ dengannya. “Kau buat apa dekat sini? Mana Suzy?” Dia melabuhkan duduk di salah satu kerusi bulat di kaunter top berbentuk pulau yang terbina di ruang tengah dapur kering itu. Tidak lepas dia memandang gadis bertudung litup yang pegun berdiri di tepi singki.

“Er.. saya..”

“Bang! Bila sampai?” Suzila muncul di ruangan itu tiba-tiba menyebabkan Siti Shafura segera berpaling. Dia menarik nafas lega. Ketibaan sahabatnya itu tepat pada masanya.

“Baru aje. Papa dengan mama mana? Mak Lijah?” Balas Eshaq Hakimi yang sesekali mencuri pandang ke arah Siti Shafura. Sejak tiba tadi, dia perasan kereta papanya tidak berada di tempatnya.

“Papa belum balik. Mama dengan Mak Lijah ada dekat atas. Mama mintak tolong Mak Lijah picitkan kaki dia.” jawab Suzila bersama kerutan. Dia perasan akan pergerakan mata abangnya sejak tadi. “Abang pandang apa?” Soalnya sambil menoleh ke arah Siti Shafura yang membelakangkan mereka.

“Tu..” Eshaq Hakimi menarik sengih sengihan sambil mata terhala ke arah Siti Shafura.

“Abang jangan nak macam-macam. Suzy report pada mama nanti..” Suzila menepuk bahu abangnya yang masih galak tersengih-sengih. “Siti.” Dia menggamit Siti Shafura agar mendekati. “Sini, saya kenalkan awak dengan abang kita. Hari tu, tak sempat nak berkenalan.”

Siti Shafura telan liur yang terasa kesat. Lambat-lambat dia berpaling sebaik mencuci tangannya. Sepinggan mangga yang siap dipotong dibawa bersama. Serba tidak kena melabuhkan duduk di sisi Suzila bersama senyum yang cuba dimaniskan.

“Abang pun tak sempat kenal dengan Siti hari tu. Dialah yang selalu Suzy cerita tu. Anak baru kesayangan mama. Siti Shafura Mohd Zaini.” Beritahu Suzila memperkenalkan Siti Shafura kepada abangnya. “Siti, inilah abang saya yang selalu saya ceritakan tu. Eshaq Hakimi. Atau nama manja dia Abang. Hari tu masa kita datang, tak sempat nak borak lama. Now, dia dah ada depan mata. Boleh cerita panjang lepas ni.” ramah mulutnya memperkenalkan abangnya pula.

Siti Shafura hanya tersenyum nipis. Sikit pun dia tidak berani menegakkan wajah. Manakala Eshaq Hakimi pula mempamerkan riak pelik.

“Erm… Disebabkan tadi mama dah isytihar awak anak baru dia dan secara automatik juga, awak diberi kelayakan untuk panggil abang saya ni, abang.” sambung Suzila lagi tanpa mengesyaki langsung masalah yang pernah tercipta secara tidak sengaja antara Siti Shafura dan Eshaq Hakimi.

“Eh, bila mama rasmikan?” Tanya Eshaq Hakimi bersama kerutan.

“Tadi..” Suzila meleretkan senyum sambil memegang tangan sahabatnya yang sedikit dingin.

Dia cukup senang apabila mama dan papanya mahu menjadikan Siti Shafura sebagai ahli baru keluarga mereka. Dia tidak lokek untuk berkongsi kasih kerana tahu sahabatnya itu tidak akan sesekali mengambil kesempatan. Tambahan pula dia tahu Siti Shafura terlalu menyayangi umminya yang sedang sakit.

“Kawan Suzy ni memang takda suara ke?” Tanya Eshaq Hakimi tiba-tiba membuatkan Siti Shafura sedikit tersentak. “Mulut tu Allah kurnia untuk bercakap.” Sindirnya pula dengan sengaja kerana mahu menarik perhatian gadis yang sukar benar untuk mengangkat wajah itu.

“Abang ni kan..” Suzila menghadiahkan jelingan. “Siti, awak jangan layan sangat kepala gila abang ni. Mulut dia memang takda lesen sikit.”

Siti Shafura hanya tersenyum kelat.

Korang buat apa dekat sini, dekat-dekat maghrib macam ni? Korang tak ada kelas ke esok?” Tanya Eshaq Hakimi lagi belum berpuas hati selagi Siti Shafura tidak memandang ke arahnya. Ada sesuatu di wajah itu yang menyebabkan dia tertarik untuk merenung lama.

“Esok kita orang takda kelas pagi. Esok ada kelas petang aje. Itu pun pukul lima.” jawab Suzila sebelum menyuap mangga kuning yang siap dipotong oleh Siti Shafura ke dalam mulutnya. “Yang abang tiba-tiba muncul petang-petang ni apa mimpi? Dari dua minggu lepas Suzy suruh balik, hari ni baru abang nak balik?” Dia pula mengajukan soalan.

“Sibuklah. Time takda audit baru free sikit. Minggu depan pun abang dah sibuk balik.” keluh Eshaq Hakimi sambil melurut rambut yang sedia kusut. Kusut disebabkan halnya bersama Jasmeen tadi. “Adik sayang, tolong ambilkan air sejuk kejap.” arahnya kepada Siti Shafura tiba-tiba. Sengaja! Bibir sembunyi senyum.

Siti Shafura mengangkat wajah. Dipandang sekilas wajah Eshaq Hakimi.

“Eh, abang ni.., sejak bila dah tak boleh bangun sendiri? Jangan nak buli ahli keluarga baru kita ni eyh..” Suzila memberi amaran. Tingkah laku abangnya itu memang sukar dijangka.

“Bukan bulilah. Suzy jugak cakap secara automatik dia jadi adik abang nombor dua kan? Maknanya dia kenalah ikut cakap abang macam mana Suzy ikut cakap abang.” balas Eshaq Hakimi selamba. Sengaja dia menekankan perkataan adik agar Siti Shafura mengerti.

Siti Shafura mengukir senyum paksa. Tidak terpandang akan wajah Eshaq Hakimi yang sedang merenungnya. Pada perkiraannya, lelaki itu tidak akan melepaskan peluang untuk mengenakannya kembali kerana hal di restoren beberapa minggu lalu. “Err… Takpalah Suzy. Saya boleh buat.” celahnya mengalah. Dia terus bangun menuju ke peti sejuk dua pintu berhampiran. Sebotol air mineral berserta gelas diletakkan di hadapan Eshaq Hakimi sebelum dia kembali duduk.

“Macam ni lah nak jadi adik abang.” Eshaq Hakimi menarik senyum penuh makna. ‘Siaplah kau budak. Hutang kau belum lagi settle.’ Bisik nakal hatinya. Dalam kepala sudah merencana pelbagai cara untuk mengusik memandangkan payah benar dia mendengar suara gadis itu. Wajah pula sering dipalingkan.

“Jangan layan sangat abang ni Siti. Dia memang macam ni. Kurang kasih sayang.” usik Suzila dengan sengihan.

Eshaq Hakimi ketap bibir. Wajah adiknya itu dipandang geram. Manakala Siti Shafura hanya tersenyum kecil.

“Err… Suzy, dekat masuk waktu maghrib ni. Saya naik dulu ya?” ujar Siti Shafura yang kurang selesa apabila perasan mata Eshaq Hakimi sering kali menikam ke wajahnya. Dia ingin segera berlalu ke bilik tetamu yang secara rasminya sudah menjadi miliknya sebentar tadi. Dengan status yang disandang kini, bukanlah lesen untuk dia menggunakan sewenang-wenangnya segala harta benda yang terdapat di vila itu. Segala-galanya masih ada batasan.

“Siti, hari ni kita solat jemaahlah. Biar abang jadi imam. Lagi pun, dah lama kita tak solat sama kan bang?” Balas Suzila menyebabkan Eshaq Hakimi yang sedang meneguk air terus tersedak.

“Err.., kalau macam tu saya naik dulu.” jawab Siti Shafura yang sembunyi senyum melihat Eshaq Hakimi tersedak dengan tiba-tiba. Dia terus berlalu apabila melihat mata lelaki itu menjeling tajam ke arahnya.

“Suzy saja nak kenakan abang kan?” gumam Eshaq Hakimi dengan suara yang tertahan selepas kelibat Siti Shafura menjauh.

“Padan muka abang!” Jawab Suzila diiringi tawa besar sebelum bingkas kerana tahu abangnya itu tidak akan duduk diam di situ. Cepat sahaja dia melarikan diri.

Setahunya Eshaq Hakimi belum pernah menjadi imam. Pada kebiasaan, papanya yang akan mengimamkan solat. Abangnya itu juga jarang menyertai mereka. Lelaki itu lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik jika bermalam di vila. Dia sendiri tidak pasti sama ada abangnya itu bersolat ataupun tidak.

“Takpa-takpa… Takda kayu sugi, kari cap Babas ada. Tunggulah…” gerutu Eshaq Hakimi geram. Mahu saja dia mengetuk kepala adiknya itu kerana memalukannya di hadapan Siti Shafura.

……………
“Suzy, mana abang?” Tanya Tan Sri Kamil ketika mereka duduk di ruang tamu sementara menunggu makan malam siap.

“Entah. Dekat bilik dialah kut.” balas Suzila yang leka menonton sebuah telemovie melayu.

“Pergi panggil abang ajak makan sekali. Dah lama kita tak makan sama.”

“Haa… Tu dah turun.” Suzila melihat wajah segar abangnya yang sedang menuruni tangga. Lelaki itu santai menggunakan kain pelekat bersama baju-t putih berkolar tersalut di tubuh.

“Kimi, lama kamu tak balik. Banyak sangat kerja?” Tan Sri Kamil memulakan kata ketika anak terunanya itu melabuhkan punggung di sisi.

“Ha’ah pa. Busy sikit.” Balas Eshaq Hakimi pendek. Faham benar dengan perangai papanya apabila setiap kali dia pulang ke villa. Seperti biasa hal mengambil alih syarikat akan menjadi topik perbualan mereka. Bukan dia tidak tahu papanya itu terlalu mengharap bantuannya dan meletak sepenuh kepercayaan kepadanya agar dapat menerajui perniagaan keluarga itu kelak.

“Err.., papa, mama panggil makan. Semua dah siap.” celah Siti Shafura yang tiba-tiba datang. Dia masih lagi tidak selesa dengan panggilan baru itu.

“Okey jom makan!” laju Suzila bingkas.

“Makan, nombor satu. Tadi Siti yang susah-susah tolong mama dekat dapur.” tegur Tan Sri Kamil sambil menggeleng. Kalau bab masuk dapur, memang agak liat. Tidak seperti Siti Shafura yang begitu suka melakukan kerja-kerja dapur. Dilihat tadi tangan gadis itu lincah membantu isterinya memasak. Tidak salah dia mengambil Siti Shafura menjadi anak angkatnya. Paling yang dia sukai jika ikatan itu dapat dikekalkan sekiranya Siti Shafura menjadi sebahagian daripada ahli keluarganya dalam erti kata yang sebenar. Malah isterinya ada menyuarakan hasrat untuk menjadikan Siti Shafura sebagai calon menantu.

“Suzy ni memang papa.. Malas! Macam manalah nak jadi bini orang. Rugi betul Ikmal..” tambah Eshaq Hakimi pula ingin membalas dendam akan hal petang tadi.

“Eleh.. Sibuklah abang ni. Biarlah! Ikmal tak bising pun.” Suzila tidak mahu kalah. Dia pernah berjanji dengan tunangannya itu akan belajar masak sebelum dia bergelar isteri.

“Betul cakap abang tu. Esok-esok nak jadi isteri orang, nak juga kena tahu semua hal dapur.” sokong Kamil pula.

“Ialah-ialah. Nanti Suzy belajarlah masak. Siti pun boleh ajar Suzy. Kan Siti?” Balas Suzila sambil memeluk erat bahu Siti yang berjalan beriringan dengannya ke ruang makan.

“Eh, adik abang sorang ni pandai ke masak? Entah-entah dua kali lima aje.” kata Eshaq Hakimi sinis dituju khas kepada Siti Shafura yang lengkap bertudung sebelum mengambil tempat berhampiran tempat duduk papanya di kepala meja.

Don’t judge a book by its cover.” sahut Suzila sambil menggoyangkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan. Tidak setuju dengan kata-kata abangnya yang masih lagi belum mengenali Siti Shafura secara dekat.

Kamil yang melihat telatah anak-anaknya hanya tersenyum. Rumah yang sentiasa sunyi itu akan meriah apabila Eshaq Hakimi pulang. Anak bongsunya pasti akan menjadi bahan usikan.

“Betul apa abang cakap? Tak ramai perempuan sekarang pandai masak. Termasuklah Suzy.” Eshaq Hakimi tidak mahu mengalah. Contoh ada di depan mata. Adiknya itu memang liat masuk ke dapur. Termasuklah Jasmeen. Wanita yang baru sahaja menjadi ‘bekas’ teman wanitanya.

“Sudah tu.., kita makan dulu. Lepas ni boleh sambung.” Sampuk Puan Sri Amna yang datang dengan semangkuk nasi. Siti Shafura terpaksa mengambil tempat di sisi Eshaq Hakimi memandangkan Suzila telah pun mengambil tempat duduk di sisi ibu angkatnya itu.

Fulamak... Tak rugilah abang balik hari ni. Favorite abang..” Eshaq Hakimi teruja melihat hidangan yang terhidang. Daging masak kicap memang kegemarannya sejak dulu lagi.

“Itulah... Siapa suruh jarang balik. Kalau tak, hari-hari mama boleh masakkan.” sahut Puan Sri Amna sengaja mengusik anak terunanya itu. Eshaq Hakimi memang liat benar untuk pulang ke vila sejak mempunyai rumah sendiri.

Eshaq Hakimi hanya tersengih. Sindiran mamanya langsung tidak berbekas.

“Sudah tu, kita makan dulu. Kimi baca doa.” arah Tan Sri Kamil selepas isterinya menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Hanya pinggan lelakinya sahaja yang sudah terisi sejak dari awal lagi di atas meja itu.

Eshaq Hakimi patuh. Selepas mengaminkan doa, masing-masing mula menyuap nasi. Dan dialah yang paling teruja kerana sudah lama tidak merasai masakan mamanya itu. “Ma, kenapa rasa lain macam aje masak kicap mama ni?” soalnya sebaik daging masak kicap itu mencecah lidah.

“Apa yang lain?” Puan Sri Amna memulangkan soalan sambil matanya menjeling ke arah Siti Shafura yang hanya diam dari tadi. Dilihat gadis itu begitu menjaga tatatertib ketika makan. Malah, gadis itu dilihat tetap kekal dengan adat kemelayuannya. Jika mereka anak-beranak biasa menggunakan sudu dan garfu, gadis itu lebih selesa menggunakan tangan.

“Entah abang ni. Makan ajelah. Macam tak biasa.” celah Suzila yang turut sama merasai masakan tersebut. Dia tahu daging masak kicap itu bukan masakan mamanya. Dia sendiri dapat merasai kelainan. Matanya turut sama terhala ke wajah sahabatnya yang leka mengasingkan biji cili di tepi pinggan dari sambal tumis udang.  

‘Ya Allah.. Dia ni tak dengar ke, buat-buat tak dengar?’ Bisik hatinya apabila Siti Shafura seperti leka dengan dunianya sendiri. Papanya pula dilihat hanya diam membisu. Sedikit pun tidak mencelah. Pandangan matanya terarah semula kepada Eshaq Hakimi. ‘Dah kenalah tu bang... Yang sorang cerewet bab makan, yang sorang pulak terlebih teliti. Baguslah bang. Dah jumpa calon yang sesuai untuk abang.’ Omel hatinya lagi. Dia tersenyum sendiri. Dialah orang yang paling gembira kalau Siti Shafura dapat menjadi kakak iparnya. Gadis itu lengkap serba-serbi. Mungkin hanya Siti Shafura sahaja yang dapat membimbing abangnya kembali ke landasan yang betul. Dia tahu abangnya itu sudah jauh terpesong hanya kerana bertuankan duit.

“Tak macam biasalah. Ni lain sikit rasanya. Hmm… terbaiklah ma! Mama makin hebat sekarang masak. Rugi betul Kimi dah lama tak balik sini.” puji Eshaq Hakimi sambil menyudu masuk nasi ke dalam mulut.

Amna dan Suzila sudah tersenyum penuh makna.

“Hah Suzy, belajar masak dengan mama ni. Jangan Ikmal esok lari.” usiknya kemudian pada adik kesayangannya itu pula.

“Ee… Teruklah Abang ni.” Suzila mencebik.


“Sudah tu. Makan ajelah Kimi. Jangan banyak cakap.” celah Kamil tiba-tiba. Dia juga tahu siapa yang memasak makanan kegemaran anak terunanya itu. Sekilas dia memandang wajah lembut Siti Shafura yang hanya mendiamkan diri.

6 comments:

Unknown said...

akak baru nak stat maraton citer ni...bessst gakkkkkkk

Anonymous said...

Hd : Baca lagi walau dah baca yg dahulu .....

Unknown said...

miss my bmjm..bila nk felukss ni..

kak edah said...

Yes mmg terbaik tak sabo nak lihat hakimi reaction bila tau siti yg mask.next entry pls....

MaY_LiN said...

nk lg nk lg
& lg

Che Sue said...

mmg ikut citer BMJM nie dr mula lg...

BEST! nk sambungannya... :)