“Mmm… Sedapnya
bau..” Tegur Izzat Fakhri rapat di telinga Siti Shafura membuatkan senduk di
tangan hampir terlepas. Laju dia menoleh.
“Astaghfirullahal aazim Abang Izzat…” Siti Shafura terus menjarakkan
sedikit tubuh. “Elok-elok Pureen sihat, tiba-tiba dapat sakit jantung tau.” sambungnya
apabila melihat lelaki di sisinya itu hanya tersengih.
“Sorry-sorry…” Izzat
Fakhri tersenyum. Lucu melihat gadis itu terkejut tadi. “Pureen balik bila?” Soalnya
pula seraya duduk di kerusi berhampiran memerhatikan adik sepupunya yang comel
memakai apron yang dijahit oleh gadis itu sendiri.
“Semalam. Abang balik dari mana ni? Semalam Pureen sampai, abang
takda.” balas Siti Shafura pula. Kuah laksam yang dikacau tadi telah masak dan
dimatikan apinya. Kali kedua dia memasak menu tersebut atas permintaan lelaki
itu.
“Abang pergi Port Dickson. Meeting
dekat sana semalam.” Izzat Fakhri sudah bangun membuka peti sejuk dan mencapai
botol air mineral.
“Oh… Pureen ingat abang pergi dating
sampai tak tau nak balik.” Usik Siti Shafura bersama senyuman.
“Excuse me. Takdanya abang
nak pergi dating okey. Laksam Pureen
lagi best dari dating tau.” Balas Izzat Fakhri menolak usikan Siti Shafura. Dia
sudah berdiri semula di sisi Siti Shafura sambil memerhati jari-jemari runcing
itu menyediakan bahan utama untuk menu tersebut. Bancuhan tepung beras yang
akan dikukus.
“Ialah tu. Boleh percaya ke abang ni?” Siti Shafura menjongketkan
keningnya.
“Wait. Mana cincin
Pureen?” Tegur Izzat Fakhri yang spontan memegang tangan gadis itu.
Siti Shafura tersenyum tawar sambil menarik tangannya semula.
“Sorry…” Ucap Izzat Fakhri
perlahan. Tidak sedar dengan tindakannya sendiri. Bukan dia tidak tahu adik
sepupuya itu terlalu menjaga batas-batas auratnya. Sepanjang berada di rumah pun
Siti Shafura akan bertudung. “Biasanya Pureen kan tak tanggalkan cincin tu masa
masak?” Sambungnya sedikit pelik melihat jemari halus itu kosong tanpa
perhiasan.
“Cincin Kak Pureen hilang bang.” Celah Izza Farhana yang muncul di
muka pintu dapur.
“Hilang?”
“Dah bukan rezeki Pureen agaknya abang.” Sahut Siti Shafura dengan
senyuman tidak berperisa. Sebaik pulang dari rumah Eshaq Hakimi Khamis lepas
dia baru perasan akan kehilangan itu. Itu pun selepas puas dia cari di hostel. Hanya
Dia sahaja yang tahu betapa dia menyayangi cincin pemberian umminya itu. Tidak
mungkin cincin itu dapat ditukar ganti lagi walaupun harganya berlipat kali
ganda.
“Hmm.., takpalah Pureen. Nanti abang ganti eyh? Abang rasa, lagi
manis tangan Pureen ada cincin.” Ujar Izzat Fakhri simpati. Dia tahu Siti
Shafura cuba menyembunyikan perasaannya yang sebenar. Bukan dia tidak tahu
asal-usul cincin yang hilang itu. Apa sahaja kerana Siti Shafura dia sanggup
lakukan.
“Kayanya abang nak belikan cincin untuk Pureen. Baik abang simpan
duit abang beli cincin untuk bakal isteri abang nanti. Lagi baik bang.” Balas
Siti Shafura yang faham benar akan abang sepupunya itu suka bergurau. Berharap
benar Izzat Fakhri tidak serius apa yang diucapkan sebentar tadi.
“Alah.., biarlah orang nak beli kak. Duit dia tengah banyaklah tu.”
usik gadis genit yang sedang memotong sayur kacang panjang sebagai sampingan
untuk makanan pantai timur itu nanti.
Izzat Fakhri mengukir senyum.
“Eh Nana ni, macam dia pulak yang
jaga akaun abang kan?” Dia yang sempat menarik telinga adiknya itu sebelum
bingkas. “Okeylah. Abang naik dulu, nak mandi. Nanti dah siap panggil abang.”
lanjutnya sebelum beredar. Namun terhenti apabila teringat akan kedua-da ibu
bapanya. “Eh, lupa nak tanya. Mama dengan ayah mana?”
“Tadi ayah cakap ada majlis rumah kawan dia dekat PJ.” sahut Izza
Farhana yang sempat membaling ekor kacang panjang kepada Izzt Fakhri tetapi sempat
lelaki itu mengelak dari mengenai muka.
“Bibik?” Tanya Izzat Fakhri lagi berkenaan pembantu rumah dari
seberang itu pula. Pada masa yang sama matanya tidak lepas memandang ke arah
Siti Shafura yang sedang memotong bancuhan tepung beras yang sudah siap
dikukus.
“Bibik pergi beli barang dapur dengan Pak Mat.” jawab Izza Farhana
lagi sambil memandanng geram ke wajah abangnya yang sempat mengejek.
Pak Mat dan Bibik Inah sudah lama berkhidmat dengan keluarganya.
Sehinggakan mereka sudah fasih berbahasa melayu.
“Oh.. Erm.., abang naik dululah. Lama-lama duduk sini takut ada yang
menangis pulak.” kata Izzat Fakhri yang
masih mahu mengusik adiknya.
Izza Farhana menghadiahkan jelingan tajam.
“Pureen, nanti lepas makan baru kita pergi tengok Ummi ya?” Tambah
Izzat Fakhri yang baru teringat kenapa dia bergegas pulang awal tadi.
“Tak apalah bang. Hari ni kawan Pureen ambik Pureen. Lagipun abang mesti penatkan..” Tolak Siti Shafura
lembut. Dia memang sudah berjanji dengan Suzila semalam. Sahabatnya itu ingin melawat
umminya.
“Takdalah Pureen. Abang okey ajelah..” balas Izzat Fakhri sambil
menjeling tajam adiknya yang sudah menjelirkan lidah mengejek. “Erm.., balik
macam mana?” Dia sentiasa risau andai adik sepupunya itu pulang sendiri ke
rumah menggunakan khidmat teksi.
“Er.., Pureen boleh balik sendiri.” Siti Shafura serba salah. Dia
tahu Izzat Fakhri tidak akan membiarkannya menaiki teksi.
“Pureen tak payahlah balik sendiri. Petang nanti abang datang
jemput. Bahaya Pureen balik sorang-sorang..”
Seperti yang dijangka.
“Erm.., abang kan baru balik. Nanti penat nak ambik Pureen pulak..”
“Takpa… Takdanya penat. Nanti petang abang jemput. Lepas tu abang
nak bawak Pureen pergi cari cincin.
Nak ganti cincin yang hilang tu..” Putus Izzat Fakhri akhirnya sebelum beredar.
Tidak sempat Siti Shafura membalas.
Siti Shafura menghela nafas. Bola mata terhala ke wajah adik
sepupunya yang hanya mengangkat kedua-dua belah bahu tanda tidak tahu. Apa
sahaja keputusan Izzat Fakhri memang sukar ditolak menyebabkan sudah terlalu
banyak dia terhutang budi dengan lelaki itu selama ini. “Erm.., Nana, tadi
kenapa Nana cakap dengan Abang Izzat cincin akak hilang? Nanti kalau Abang
Izzat beli betul-betul macam mana? Marah mama Nana nanti.” Dia meluahkan rasa
tidak senangnya.
“Biarlah kak. Apa salahnya kalau abang beli pun.” Balas Izza Farhana
dengan senyuman penuh makna. Dia tahu abangnya ada menaruh perasaan terhadap kakak
sepupunya itu.
“Ala.., akak tak nak susahkan Abang Izzat lagi la Nana. Nana
cakaplah dengan Abang Izzat jangan beli cincin tu okey? Akak tak nak mama Nana
ingat akak ni saja nak ambil kesempatan.” tutur Siti Shafura lirih. Dia cukup
faham perangai Datin Salina yang tidak menyukainya. Pantang ada salah sedikit,
pasti dia akan diamuknya. Pelbagai kata-kata yang menyakitkan hati akan keluar
dari mulut ibu saudaranya itu. Dia tidak mahu kerana sebentuk cincin, bakal
mengundang perkara yang tidak diingini. Hubungan yang sememangnya dingin, akan
bertambah buruk.
“Akak ni risau sangatlah. Don’t
worry okey. Nanti Nana cakaplah dengan abang.” balas Izza Farhana lembut
hingga mengundang senyum manis di bibir Siti Shafura.
Dia tahu hubungan mama dengan kakak sepupunya sentiasa dingin. Mama
sering menuduh Siti Shafura ingin mengambil kesempatan dan menumpang kemewahan
keluarga mereka. Padahal, harta peninggalan arwah bapa saudaranya sudah lebih
dari mencukupi untuk menampung perbelanjaan kakak sepupunya. Cuma, gadis itu
yang sentiasa merendah diri dan bersederhana dalam segala hal menyebabkan ramai
yang menyenangi kehadirannya.
********
“Assalamualaikum
ummi..” ucap Siti Shafura lembut seraya mengucup lembut tangan dan wajah Siti
Saleha seperti selalu. Bibir mengukir senyum paling manis buat ibu tersayang
walaupun dia tahu tiada lagi sebarang balasan kata selain gerak mata yang
ditunjukkan.
“Assalamualaikum ummi..” Giliran Suzila pula menyapa mesra. Dia
tidak kekok bertemu dengan ibu sahabatnya itu kerana sebelum ini dia sendiri
pernah bercakap dan berbual dengan Siti Saleha.
“Kak Wan, macam mana ummi hari ni?” Tanya Siti Shafura lembut kepada
jururawat khas yang dibayar untuk menjaga ibunya sepenuh masa. Kebetulan juga
wanita yang hampir sebaya dengan Izzat Fakhri itu adalah anak kenalan lama bapa
saudaranya Datuk Zaid.
“Macam ni ajelah Siti. Takda perubahan. Cuma.., er..” Wan Nabila
seperti teragak-agak untuk memberitahu tentang perubahan yang sedikit
membimbangkan tentang tahap kesihatan Siti Saleha sejak akhir-akhir itu.
“Cuma apa kak?” Soal Siti Shafura dengan debar di dada sambil
mengusap lembut tangan umminya yang semakin tidak berisi. Suzila yang berdiri
di sisinya pula sudah memaut bahunya persis memberi kekuatan agar lebih tabah
menerima apa jua berita yang bakal disampaikan.
“Akak risau, sebab badan ummi macam dah menolak susu yang akak
bagi..” jelas Wan Nabila dengan perasaan serba salahnya. Dia tumpang simpati
atas apa yang terjadi.
Siti Shafura menarik nafas panjang. Seperti apa yang dijangka. Dengan
melihat keadaan tubuh ummi sahaja dia dapat meneka ada sesuatu yang berlaku. “Ummi…”
serunya perlahan seperti ingin menangis. Namun cuba ditahan agar tidak
kelihatan lemah. Dia mahu menjadi sumber kekuatan agar harapan untuk ibunya
kembali sihat tetap ada. “Ummi.., tak lama lagi Pureen nak habis belajar. Tak
sampai dua bulan aje lagi ummi. Nanti, habis aje belajar, kita balik rumah ya
ummi? Kita balik rumah kita. Biar Pureen pulak
jaga ummi..” tuturnya dalam nada suara yang cuba diceriakan.
“Ha’ah ummi.” sahut Suzila pula yang sama-sama cuba berbual dengan
ibu sahabatnya itu.
Siti Shafura memaniskan senyum buat umminya saat mata tua itu mengerdipkan
mata beberapa kali.
“Siti, Kak Wan keluar dululah. Kalau ada apa-apa, panggil aje akak.”
ujar Wan Nabila yang mula menahan sebak melihat ketabahan Siti Shafura.
Siti Shafura hanya membalas dengan senyuman manis sebelum Wan Nabila
yang melangkah keluar. “Suzy, saya nak solat dulu, awak bolehkan berbual dulu
dengan ummi?” Ujarnya kepada Suzila yang sudah melabuhkan duduk di hujung kaki
ibunya.
“Boleh..” jawab Suzila senang sebelum dia mengambil tempat Siti
Shafura sebaik gadis itu bingkas ke bilik air. Bilik yang disewa khas itu
memang lengkap serba serbi. Termasuklah satu set tv dan ruang untuk bersolat.
Dia hanya memerhati langkah Siti Shafura yang hilang disebalik pintu
bilik air. Dia perasan perubahan riak di wajah mulus itu tadi sebaik Wan Nabila
mengkhabarkan tentang tahap kesihatan ibu tua yang sedang terlantar di
hadapannya kini. ‘Semoga kau tabah lagi sahabat. Ya Allah, berilah sahabatku
itu kekuatan untuk menghadapi segala ujian dari-Mu..’ Tulus hatinya berdoa buat
Siti Shafura.
Sementara Siti Shafura yang bersandar di daun pintu yang ditutup,
terus mengalirkan air mata. Air jernih
itu turun mencurah-curah tidak dapat lagi ditahan. Berita yang disampaikan oleh
Wan Nabila tadi benar-benar membuatkan hatinya lemah. Kedua-dua tangannya sudah
memegang kuat tepi singki untuk mengelak dari terjelepuk apabila terasa kakinya
lemah untuk berdiri. Bibir pula digigit kuat untuk menahan tangis dari kedengaran.
Siti, awak okey ke?”
Terdengar suara Suzila di luar. Tahu yang sahabatnya itu risau
apabila hampir sepuluh minit dia di dalam bilik air untuk menenangkan diri
kembali. Pintu ditarik perlahan dan senyum kecil dilemparkan sebelum dia terus
ke sudut bilik untuk menunaikan solat zuhur yang masih bertangguh.
********
“Lepas ni,
lambat lagilah abang dapat rasa laksam yang Pureen masak.” Ujar Izzat Fakhri
ketika mereka duduk santai di meja batu di halaman rumah. Izza Farhana pula
leka dengan iPadnya. Sejak tiba lewat maghrib tadi, ayah dan mamanya pula terus
berehat ke dalam bilik. Waktu makan malam tadi pun hanya mereka bertiga sahaja
yang ada.
Siti Shafura mengangkat wajah ke dada langit yang dipenuhi bintang.
Indah sekali ciptaan Allah. Ada yang terang dan ada pula yang semakin malap
cahayanya. Saat itu sempat fikirannya melayang teringat kepada umminya. Hati
menangis lagi apabila melihat keadaan ummi yang semakin uzur.
Dia menoleh sekilas ke wajah Izzat Fakhri yang duduk di hadapannya
bersama seulas senyum. Lambat-lambat dia menjawab kata-kata abang sepupunya
itu. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Izzat Fakhri. Dalam perjalanan pulang
menjemputnya dari pusat jagaan lewat petang tadi, Izzat Fakhri ada memaklumkan
yang dia akan menyambung semula pelajarannya yang tertangguh setahun lalu.
“Bukan lama pun. Setahun aje kan?” Dia membuang pandang ke dada
langit semula.
“Lamalah tu. Dekat UK tu mana nak cari laksam Pureen. Memang
kempunan setahunlah abang nanti…” keluh Izzat Fakhri pula yang tidak lepas
memandang ciptaan indah di hadapannya itu. Segala gerak-geri Siti Shafura
diperhatikan. Dia akan merindui gadis manis itu nanti. Bukan sahaja rindu
kerana sayang, tetapi dia risau andai gadis itu menghadapi kesukaran selepas
ketiadaannya nanti. Terutamanya apabila mengetahui keadaan ibu suadaranya yang
semakin uzur dan juga layanan dingin mamanya.
“Eleh abang ni. Saja nak manja dengan Kak Pureen. Dulu bukan main
anti lagi. Ada santanlah, cepat gemuklah, apalah. Sekarang, dia yang
lebih-lebih.” sampuk Izza Farhana sambil mencebikkan bibir.
“Alah! Biarlah. Sibuk aje Nana ni.” Izzat Fakhri menjeling adiknya
yang duduk di sisi gadis yang mula mendapat tempat di dalam hatinya itu.
Siti Shafura hanya melepaskan tawa. “Abang nak pergi bila?” Soalnya
sekadar ingin mengambil hati apabila wajah yang bersih dari sebarang butir
jerawat itu sudah masam mencuka diusik Izza Farhana.
“Next month.” balas Izat
Fakhri lemah. Dia terpaksa menunaikan janji kepada ayah dan mamanya untuk
menyambung semula pengajian di peringkat sarjana yang telah tertangguh. Dia
menangguhkan pengajiannya dan bekerja di syarikat ayahnya semata-mata kerana
Siti Shafura. Sejak Siti Shafura tinggal bersama mereka, dia membuat keputusan
untuk berhenti belajar dan ingin terus sahaja bekerja di syarikat ayahnya.
Tetapi ditegah oleh ayah dan hanya membenarkannya untuk menangguhkan pengajian.
Sengaja dia beralasan untuk terus bekerja walaupun hakikatnya dia mahu sentiasa
dekat dengan gadis itu.
“Erm.., esok teman abang pergi shopping
nak?” Sambung Izzat Fakhri yang ingin menghabiskan masa bersama Siti Shafura.
Tiba-tiba datang idea itu pula.
“Nak ikut!” Celah Izza Farhana yang sudah tersengih-sengih.
“Eh, siapa yang nak ajak Nana ni? Abang ajak Kak Pureen aje okey…” Usik
Izzat Fakhri. Bukan dia tidak tahu, tanpa Izza Farhana tidak mungkin Siti
Shafura akan menemaninya.
“Eleh.., Nana tak kira. Nana nak ikut jugak.” Balas Izza Farhana selamba.
“Esok bolehlah Nana temankan abang. Sebab esok Pureen dah janji
dengan Suzy nak pergi rumah dia. Dah janji dengan mama dia dari minggu lepas
lagi. Sorry..” ujar Siti Shafura
serba salah. Dia tidak sampai hati memungkiri janjinya dengan Puan Sri Amna.
Wanita itu telah berulang kali menghubunginya agar dia bermalam di sana. Dia
tidak dapat mengelak lagi kerana sudah beberapa kali ditolak sebelum ini.
“Alah.. Pureen batalkanlah.” keluh Izzat Fakhri penuh mengharap.
“Tak bolehlah bang. Pureen dah janji. Tak baiklah kalau Pureen
mungkir janji. Pureen tak nak janji orang munafik.” balas Siti Shafura mohon
pengertian. “Abang pergi Nana. Takpun, abang ajaklah girlfriend abang temankan.” cadangnya kemudian.
“Abang manalah ada girlfriend
kak. Semenjak dia balik sini, Nana tak pernah pun tahu dia ada girlfriend.” Sahut Izza Farhana bersama
renungan penuh makna. Semenjak berhenti belajar, Izzat Fakhri tidak lagi
berhubung dengan mana-mana perempuan. Tetapi dia tahu abangnya itu sering
mendapat perhatian jika di pejabat. Ramai staf perempuan yang cuba merapati
abangnya itu. Namun, tiada satu pun yang berjaya.
“Oh ia ke? Abang Izzat memilih sangat agaknya.” balas Siti Shafura
sambil melirik ke wajah Izzat Fakhri yang sudah menggaru kepala.
“Mana ada abang memilih. Cuma berhati-hati. Abang sekarang nak cari
yang pandai masak macam Pureen.” balas lelaki itu senang. Ciri-ciri itu wajib
ada pada bakal isterinya. Dan hanya kerana ciri-ciri itu juga yang terdapat
pada diri Siti Shafura.
“Ada pulak macam Pureen.
Pureen ni manalah pandai masak. Banyak lagi yang Pureen kena belajar.” Siti
Shafura merendah diri. Masih banyak lagi yang harus dipelajari untuk menjadi
wanita yang boleh menjaga ‘perut’ suaminya nanti. “Abang pergi ajelah dengan Nana
esok ya?” sambungnya lembut cuba memujuk. Tidak mahu hal jodoh dibangkitkan
lagi.
“Ala.., Pureen bukan selalu teman abang. Lepas ni Pureen dah busy dengan exam kan? Mesti dah tak sempat nak lepak-lepak dengan Pureen lagi
lepas ni..” Tutur Izzat Fakhri menukar nadanya lebih kepada memujuk.
“Hm.., Pureen dah janjilah abang. Lain kali, insya-Allah. Tapi bukan
esok..” balas Siti Shafura serba salah. Tidak sampai hati pula ingin
menghampakan harapan abang sepupunya itu. Tambahan pula, siang tadi dia sudah
menolak keputusan Izzat Fakhri yang ingin menggantikan cincinnya yang hilang.
“Pureen tak kesiankan abang ke? Please…”
Pujuk lelaki itu sayu.
Izza Farhana yang duduk di sisi gadis itu tidak mahu mencelah. Hanya
tersengih-sengih melihat wajah keruh Izzat Fakhri yang cuba memujuk kakak
sepupunya.
Siti Shafura menghela nafas. Cuba menimbang semula permintaan abang
sepupunya itu memandangkan petang tadi dia sudah menolak cincin yang ingin
dibelikan. “Erm, boleh teman abang, tapi sekejap ajelah. Lepas asar, lepas Pureen
jumpa ummi. Lepas tu abang kenalah terus hantar Pureen dekat rumah Suzy.
Boleh?” Dia cuba menukar sedikit rancangan awalnya demi menjaga hati Izzat
Fakhri.
“Boleh!” Izzat Fakhri terus berubah riak. Senyuman kembali
bergayutan di bibir.
“Eleh abang. Sukalah tu.” ejek Izza Farhana mencebik. Dia bukan
tidak tahu abangnya itu menaruh perasaan terhadap kakak sepupunya.
“Apa yang berborak lagi tu? Tak nampak jam dah pukul berapa ni?” Tegur
Salina dari balkoni bilik membuatkan ketiga-tiga mereka menoleh. Dari tadi dia
mendengar perbualan antara anak-anaknya bersama anak saudaranya yang seorang
itu. Entah apa yang menyebabkan anak-anaknya itu mudah rapat dengan Siti
Shafura. Padanya, gadis itu tiada sebarang keistimewaan pun.
“Kejaplah mama. Awal lagi.” balas Izzat Fakhri sambil memandang
sekilas jam tangannya. Hampir sebelas malam.
“Awal apanya? Duduk berembun macam tu. Masuk!” Tegas suara itu
mengarahkan.
“Tak sporting betullah
mama ni!” Rungut Izza Farhana perlahan.
“Tak baik Nana cakap macam tu. Kan mama Nana tu. Sudah tu, jomlah masuk.
Nanti marah lagi mama Nana tu.” ajak Siti Shafura yang sudah bangun sambil menarik
tangan Izza Farhana.
“Jom dik masuk. Nanti kalau mama dah start ceramah dia, baru padan muka.” tambah Izzat Fakhri pula yang
cukup faham dengan perangai mamanya itu. Segala kata-katanya harus dipatuhi dan
tidak boleh dibantah.
“Kak, kita sambung borak dalam bilik Nana.” Ujar Izza Farhana yang
beriringan dengan Siti Shafura. Manakala Izzat Fakhri berjalan di belakang.
“Abang nak join sekali
boleh?” Celah Izzat Fakhri tiba-tiba.
“Eh, bila masa Nana ajak abang? Nana ajak Kak Pureen aje okey...”
Izza Farhana sengaja memulangkan semula ayat itu menyebabkan rambutnya menjadi
mangsa tangga Izzat Fakhri sebelum kelibat lelaki itu terus hilang ke atas
rumah.
“Jahatlah abang ni!” Jerit Izza Farhana geram. Terdengar suara Izzat
Fakhri mentertawakannya. Siti Shafura pula hanya menggelengkan kepala melihat
gelagat dua beradik itu seperti anak kecil.
Tiba di dalam bilik, Siti Shafura merebahkan badannya ke katil. Izza
Farhana juga turut melakukan sedemikian. Tudung kepalanya dibuka setelah
memastikan pintu bilik itu berkunci. Risau seandainya Izzat Fakhri merempuh
masuk dengan tiba-tiba.
“Akak, habis study nanti
akak terus tinggal dekat sini kan?” Tanya Izza Farhana memulakan kata.
“Kenapa Nana tanya macam tu?” Tanya Siti Shafura kembali.
“Ialah. Nana risau nanti Kak Pureen tak nak tinggal sini lagi.” Luah
Izza Farhana yang sudah menyayangi Siti Shafura seperti adik beradiknya
sendiri.
“Hmm.., akak ingat, sementara akak cari kerja, akak nak balik
kampunglah Nana. Nak jaga ummi dekat kampung aje. Akak tak nak susah-susahkan
ayah Nana lagi. Lepas ni biar akak jaga ummi sendiri. Lagipun.., er.., mama
Nana kan tak suka akak duduk sini..” Balas Siti Shafura perlahan.
“Ala.., akak terus duduk sini ajelah. Kan akak boleh berulang tengok
ummi dari sini. Kalau pasal kerja,
akak kan boleh kerja dengan ayah dulu. Mama tu nanti pandailah Nana nak pujuk.”
pujuk Izza Farhana yang keberatan pula untuk berpisah dengan kakak sepupunya
itu.
“Bukan akak tak nak duduk sini. Tapi Nana tahukan macam mama Nana
tu. Akak tak naklah akak jadi beban dalam keluarga Nana. Ni, mama Nana dah
benarkan akak duduk sini sementara akak habis belajar pun, akak dah bersyukur
sangat tau.” jawab Siti Shafura jujur.
Dia bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk menumpang kasih
keluarga itu. Disebabkan umminya merupakan anak tunggal dan walidnya pula hanya
mempunyai seorang adik, menyebabkan dia tidak mempunyai ramai saudara-mara dan
tidak punya pilihan lain. Jika ada pun jauh di pantai timur sana kerana umminya
berasal dari negeri penyu bertelur itu. Manakala walidnya pula memang berasal
dari Selangor.
Dia teringat pada rumahnya di kampung serta sawah bendang yang kini diuruskan
oleh ketua kampung yang juga merupakan sahabat baik arwah walid. Tidak mungkin
selamanya dia mahu menyusahkan sahabat walidnya itu.
“Hmm..,tapi Nana harap sangat akak dapat stay sini. Teman Nana. Nanti bila abang dah balik sana, takda
siapalah teman Nana.” Sayu suara Izza Farhana.
“Kalau macam tu, Nana cepat-cepatlah kahwin. Adalah teman nanti.
Takkan time tu nanti nak akak temankan
juga.” Usik Siti Shafura dengan senyuman nakal. Dia tidak mahu adik sepupunya
itu bersedih dengan pemergiannya nanti. Dia tidak berjanji untuk tinggal lama
di rumah itu. Padanya, layanan yang diberi oleh ibu saudaranya sudah cukup
membuktikan tiada perlunya untuk dia tinggal lebih lama di situ. Habis sahaja
belajar nanti, dia sudah membuat keputusan untuk terus pulang sahaja ke
rumahnya di Sungai Sireh sementara mendapat kerja tetap.
“Akak ni, ke situ pulak
dia. Orang cakap pasal dia, dia boleh
cerita pasal kahwin pulak.” Balas Izza Farhana yang sudah
memuncungkan bibir. Namun, dia sedar akan hakikat hidup. Masing-masing akan ada
kehidupan sendiri. Dan pastinya, akhirnya nanti pasti akan bersendirian untuk
menghadap Ilahi.
4 comments:
Sha dah taww ker bila nak terbit bmjm ni....
xsabar nak tgg abg kimi masuk
ho ho ho
bila nak bukukan citer ni....
Dewi, bella
masih dalam proses. tak tahu lulus ke tidak tak tahu terbitnya bila. eheh. doakan!
maylin.
uihh..
Post a Comment