May 5, 2014

BMJM_bab 4_edited version

BMJM 4

“Sebenarnya kita nak ke mana ni Suzy?” Tanya Siti Shafura sambil memandang sekilas ke wajah Suzila yang tenang memandu.

“Nanti dah dekat sampai saya bagi tahulah...” balas Suzila sambil melirik senyuman.

“Ala.., kenapa nak rahsia dengan saya? Bagi tahu ajelah.” Siti Shafura lembut memujuk.

“Bagi tahu ajelah Suzy.” sahut Amylia pula.

“Rumah abang saya.” jawab Suzila melirik sekilas ke wajah Siti Shafura. Dia ingin melihat reaksi gadis itu. Seperti yang dijangka, timbul garisan halus.

“Eh, kenapa nak pergi rumah abang awak? Bukan kita nak pergi jumpa responden tu ke?” Siti Shafura bertanya pelik. Bertambah pelik apabila tiga sahabatnya itu sudah ketawa kecil.

“Rumah abang sayalah.” ulang Suzila tenang. Dia yakin sahabatnya itu tidak mempercayai responden yang dimaksudkan adalah abangnya sendiri.

“Err.., awak bergurau ajekan Suzy? Err.., takkan Abang Kimi awak…” Siti Shafura mematikan kata. Takut akan mengguris hati sahabat yang sudah dianggap seperti adik-beradiknya sendiri. Serentak itu terbayang akan seraut wajah tegang di ruang mata. Liur yang ditelan mula terasa kesat. Beristighfar dia perlahan.

“Ia Siti. Abang saya tu nakal sikit.” Suzila senyum kelat.

“Err.. maaf..” ucap Siti Shafura serba salah. Seperti tidak percaya apa yang baharu sahaja disebut oleh sahabatnya itu. Baru semalam dia dapat mengingati lelaki yang dilanggar di restoran minggu lalu.

It’s okey Siti. Tapi, saya nak awak janji dengan saya. Ni rahsia kita berempat aje tau. Family saya pun tak tahu apa yang abang saya buat selama ni.” terang Suzila tanpa berselindung.

“Insya-Allah. Saya janji.” Siti Shafura cuba mengikhlaskan senyum. Itu amanah yang harus dijaga sebaiknya walaupun hatinya kini tidak setenteram mana. “Erm.., tapi Suzy, macam tak manis aje perempuan datang rumah lelaki. Er.., saya seganlah dengan abang awak Suzy…” Lanjutnya menyuarakan resah hati apabila mereka semakin hampir ke rumah Eshaq Hakimi malam Jumaat itu.

“Takda apalah Siti. Janganlah risau. Dia okey aje.. Awak aje yang belum pernah jumpa dia kan? Lagipun, kan kita berempat ni. Nanti Ikmal pun ada sekali.” balas Suzila yang tenang memandu kereta Swift putih kesayangannya. Dia cukup faham Siti Shafura yang sentiasa mengawal segala batasan diri.

Siti Shafura menghela nafas perlahan. Sungguh hatinya mula berdebar-debar untuk berhadapan dengan Eshaq Hakimi. Risau lelaki itu mengingatinya. Berulang kali dia beristighfar menenangkan hati.

“Siti, awak okey kan?” Aju Suzila apabila perasan akan wajah sahabatnya itu kian mengeruh. “Awak risau makcik awak tahu ke?” tebaknya kemudian.

“Er.., risau jugak.” akui Siti Shafura bersama senyuman pahit. Hal itu sudah lebih awal berlegar dalam kepalanya sebaik keluar dari hostel tadi. Sedaya upaya dia akan cuba mengelak daripada melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibu saudaranya.

“Janganlah bagi tahu dia. Dia takkan tahu kalau awak tak bagi tahu kan?” Sahut Nadia pula yang duduk di belakang bersama Amylia.

“Ialah Siti.. Janganlah risau okey? Kita datang ni bukan nak buat benda tak elok. Kan rumah abang Suzy. Bukan rumah lelaki mana pun. Awak jangan risau okey? Habis aje kerja kita, kita teruslah balik hostel.” Sokong Amylia pula.

“Erm.., tapi kenapa kita pergi dekat maghrib macam ni? Nanti apa abang awak cakap pulak.” Siti Shafura meluahkan lagi rasa kurang selesa apabila terpaksa keluar pada waktu siang yang sudah hampir ke penghujung. Rembang senja begitu galak menyimbah bumi kini. Tidak sampai lima minit azan maghrib akan berkumandang.

“Abang saya takda dekat rumah sekarang ni. Dia balik lambat sikit. Dia kata, lepas maghrib dia sampai nanti, kita teruslah buat kerja kita. Senang sikit. Cepat habis, cepat kita balik. Ikmal pun dah on the way ni.” Jawab Suzila yang masih tekun dalam pemanduan. Lampu isyarat sisi dinyalakan untuk memasuk kawasan kodominium milik abangnya. Mujur juga dia kerap ke situ sehingga pengawal keselamatan yang bertugas mudah untuk memberi kebenaran. Jika tidak, memang susahlah pada orang luar yang datang.

Wajah Siti Shafura dipandang sekilas. Berkerut-kerut wajah itu seperti memikirkan masalah negara. Tersenyum dia melihat keresahan di wajah sahabatnya itu. Tidak seperti Amylia dan Nadia yang bereaksi lebih tenang dan bersahaja. “Siti, awak janganlah buat muka macam tu depan abang saya nanti. Risau pulak saya tengok muka risau awak tu. Nanti dia ingat apalah nanti.” Dia mengingatkan sebaik kereta masuk ke tempat parkir.

Sorry..” ucap Siti Shafura perlahan. Dia cuba memaniskan roman wajah walaupun hati tetap berasa kurang selesa dengan apa yang dilakukan kini.

“Okey, jom naik.” ujar Suzila selepas mengeluarkan kunci rumah dari dalam beg sandangnya sebaik mematikan enjin kereta. Mereka berempat terus menapak ke pintu lif untuk naik ke tingkat lapan.

“Suzy, saya nak solat dulu. Dah masuk waktu ni.” ucap Siti Shafura sebaik mereka melangkah masuk ke rumah serba mewah itu. Sayup-sayup kedengaran azan maghrib dari masjid berhampiran.

Dalam pada itu, sempat juga matanya melihat segenap ruang. Susun atur perabotnya cukup ringkas tetapi menyejukkan mata yang memandang. Pilihan warna putih sebagai tema memang cukup menarik perhatian. Dan melihat pula pada jenama yang terpampang pada setiap perabot yang ada, dia cukup yakin penghuninya bukanlah orang sebarangan.

“Jom saya tunjuk bilik abang saya. Awak solat aje dekat bilik dia.” balas Suzila sebaik mereka menginjak ruang tamu.

“Err.., tak apa ke Suzy? Kita solat dekat luar ajelah.” Siti Shafura kurang yakin dengan cadangan Suzila agar dia bersolat di bilik seorang lelaki yang pernah menengkingnya.

“Tak apa Siti. Dia dah pesan dengan saya. Lagipun, bilik lain saya tak berani nak masuk sesuka hati. Hujung sana dah bilik Ikmal. Satu bilik tu, abang saya dah buat stor. Depan bilik dia tu pulak, bilik kerja dia.” jelas Suzila mengenai setiap bilik yang ada. “Kita solat aje dekat bilik dia.” sambungnya sebelum berlalu ke arah bilik yang dimaksudkan.

Siti Shafura menghela nafas perlahan. Terpaksa akur. Lambat-lambat dia mengekori langkah Suzila. “Tapi Suzy, kalau abang awak marah macam mana? Kan ni tempat privacy dia.” soalnya lagi sebaik berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik Eshaq Hakimi yang sudah terbuka luas.  Bauan yang begitu menenangkan menusuk lembut ke rongga hidung membuatkan matanya tertarik untuk melihat keadaan sekeliling bilik itu.

“Eh, takdalah. Saya, kalau datang sini, memang solat dekat sinilah. Awak janganlah risau. Awak gunalah dulu. Bergilir dengan Amy. Saya dengan Nadia ‘cuti’ hari ni. Cuma satu aje pesan saya, kalau boleh awak jangan usik apa-apa pun yang ada dalam bilik abang saya ni. Dia tu cerewet sikit. Tak boleh salah sikit pun dekat mata dia.” Balas Suzila sambil membentangkan tikar sejadah ke arah kiblat di hamparan berbulu tebal di hujung katil sebelum dia terus beredar.

Perangai abangnya sejak dulu yang masih tidak berubah. Tidak suka barang kepunyaan disentuh tanpa keizinan. Terutamanya barang peribadi. Bukan itu sahaja, lelaki itu juga paling alergi dengan habuk. Dengan demikian, tidak hairanlah sekiranya keadaan rumahnya sentiasa dalam keadaan bersih. Ikmal yang menjadi teman serumah juga sudah terbiasa dengan cara Eshaq Hakimi menjaga kebersihan. Bagi memastikan keadaan rumahnya sentiasa bersih, mamanya menghantar Mak Lijah untuk berkemas ke kondominium mewah itu setiap hujung minggu.

Siti Shafura hanya memerhati langkah Suzila meninggalkan bilik. Ada helaan berat terlepas di bibir bersama istighfar. Mata dihalakan ke arah potret besar di atas kepala katil. Tidak syak lagi, lelaki yang ditemui minggu lalu adalah abang kandung sahabat baiknya sendiri. Nafas terhela lagi sebelum dia lambat-lambat menanggalkan tudung serta eksesori yang dipakai sebelum melangkah berat ke bilik air untuk menunaikan tanggungjawab yang Satu.

Usai solat, dia terus sahaja mencapai jam tangan di atas meja kecil sisi katil yang ditanggalkan sebelum mengambil wuduk tadi. Bauan yang menenangkan itu sesekali mengundang rasa indah di dalam hati. Dalam kelekaan itu, mata berhenti ke arah satu sudut. Dia begitu tertarik dengan buku-buku yang kemas tersusun di rak. Teringin benar dia menyentuh buku-buku itu walaupun dia tidak nampak dengan jelas judul setiap buku yang tersusun. Tetapi apabila teringat kembali pesanan Suzila, dimatikan sahaja niatnya.

Bau haruman yang begitu serasi di rongga hidung membuatkan dia tidak sedar sudah duduk di hujung katil. Agak lama dia memerhatikan setiap barang yang tersusun rapi. Gabungan tiga warna yang menjadi pilihan si penghuni iaitu merah, hitam dan putih mengundang senyuman di bibir. Segala-galanya indah pada pandangan mata.

“Ya Allah..” tubuh terus terbangun apabila terdengar suara garau memberi salam di luar. Baru tersedar yang dia sudah terlalu lama di dalam bilik itu. Cepat-cepat dia beristighfar seraya mencapai kain tudung dan segera beredar mendapatkan sahabat yang lain di ruang tamu.

“Siti, lamanya..,” tegur Amylia sebaik dia tiba di ruang tamu. Senyum kelat dilemparkan sebelum sahabatnya itu pula ingin berlalu. Senyum dilebarkan sebaik mata berlaga dengan Ikmal yang baru sahaja tiba.

“Abang masuk dululah.” Ikmal meminta diri untuk masuk ke bilik kerana dia juga masih belum menunaikan panggilan yang satu itu.

“Okey.” Sahut Suzila berserta senyuman.

“Er.., seganlah saya Suzy. Tak biasa bila ada sekali dengan lelaki dalam rumah ni.” Siti Shafura meluahkan keresahan hatinya selepas kelibat Ikmal menghilang. Selebihnya dia berdebar akan bertemu muka dengan lelaki yang pernah memarahinya.

“Janganlah macam tu Siti. Sekejap aje kita dekat sini. Abang saya kata tadi, dia dah dekat sampai. Nanti boleh terus buat. Lagipun Ikmal tak join nanti. Dia kata tak nak ganggu kita dengan Abang Kimi. Awak jangan risau okey?” Sahut Suzila yang baru tiba dengan dulang berisi jus oren.

Siti Shafura mengukir senyum tawar sebelum bergerak ke balkoni yang terbuka. Panorama malam menjadi tatapan dari tingkat lapan itu. Mata dipejam seketika bersama istighfar untuk menenteramkan hati yang agak terganggu. Sungguh dia tidak mampu menidakkan debar yang datang menyapa.

Hi girls!

Suara yang menyapa dari dalam menyebabkan kelopak matanya terangkat. Dia kenal suara itu. Bezanya, ton suara itu lebih sedap didengar berbanding minggu lalu. Tangan dilekapkan seketika di dada kiri apabila terasa degupannya berubah rentak tiba-tiba. Terasa kurang yakin dia mahu berpaling.

“Siti!”

Panggilan dari Suzila menyebabkan dia tidak punya pilihan. Dengan lafaz bismillah, tubuh dipusingkan. Sedaya upaya mencipta riak setenang yang mungkin. Kaki diayun perlahan untuk melangkah masuk ke ruang tamu.

“Siti, Abang Kimi mandi kejap. Lepas dia mandi, kita boleh mulakan.” ujar Suzila sebaik dia melangkah masuk. Kelibat seorang lelaki baru sahaja berlalu dan diganti pula dengan Amylia, menyebabkan dia mampu menarik nafas sedikit lega.

“Err.., ialah..” Senyum kecil dilemparkan sebelum dia mengambil tempat di sofa paling hujung. Irama jantung yang entah apa-apa kala itu hanya mampu reda seketika. Sedar yang sebentar nanti, dia tetap akan berhadapan dengan lelaki yang pernah dilanggarnya. Terbayang-bayang wajah kacak yang dilihat dalam potret tadi bersilih ganti dengan wajah tegang yang ditemui minggu lalu. Demi mahu mengurangkan debar yang terasa, beg sandang yang dibawa dicapai. Sebuah buku hasil tulisan penulis muda Hilal Asyraf dikeluarkan.

Selepas lima belas minit menanti, muncul seorang lelaki yang hanya mengenakan seluar pendek separas lutut bersama baju-t putih tidak berkolar duduk di sisi Suzila.

So, girls! How are you? Lama kita tak jumpa kan?” Sapa Eshaq Hakimi mesra. Wajah gadis yang duduk di sofa paling hujung dipandang sekilas. Belum pernah dia melihat sahabat adiknya yang seorang itu. Lengkap bertudung labuh dan berbaju kurung menunduk membaca buku, langsung tidak berpaling.

Sementara Siti Shafura yang langsung tidak mengangkat kepalanya, mula tidak senang duduk sebaik sahaja aroma yang begitu menyenangkan memenuhi ruang tamu itu. Lebih kuat berbading dari dalam bilik tadi hingga terasa begitu menyegarkan dan menyamankan hati. Dia beristighfar lagi beberapa kali bagi membuang keterlekaan itu. Entah kenapa bauan itu begitu selesa pada deria baunya.

“Ala.., abang tu yang busy sangat. Susah betul nak jumpa. Nak jumpa pun sampai kena buat appointment.” Sahut Nadia mengusik lelaki yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri.

“Ha’ah. Adik sendiri nak jumpa pun susah abang ni. Mama pun bising abang dah lama tak balik rumah. Abang busy sangat ke sampai tak sempat balik?” Tambah Suzila pula yang faham keadaan abang kesayangannya itu.

Busy la jugak.” Eshaq Hakimi tersengih kelat.

“Ala.., kalau susah sangat, abang kerja ajelah dengan papa. Kan papa dah suruh abang kerja dengan dia aje. Tak payah abang susah-susah travel selalu.” balas Suzila mengingati akan harapan papanya agar dia dan abangnya sama-sama membantu mengembangkan lagi empayar perniagaan keluarga mereka.

“Suzy mesti lupakan janji abang dengan papa? Selagi abang belum kahwin, abang takkan kerja dengan papa okey.” jawab Eshaq Hakimi apabila teringat akan janjinya dengan Tan Sri Kamil. Bukan dia tidak mahu membantu perniagaan keluarganya itu. Tetapi kerana dia mahu merasai hidup berdikari dahulu sekali gus tidak mensia-siakan segulung ijazah yang dimiliki.

“Hmm.., kalau tunggu abang, entah bilalah abang nak kahwin.” celah Amylia pula.

Eshaq Hakimi hanya mengukir senyum. Sesekali bola matanya singgah ke arah gadis yang masih lagi menunduk seperti tidak mempedulikan kewujudannya di situ.

Manakala Siti Shafura pula masih pegun seperti tadi. Sedikit pun tidak memandang ke arah suara garau yang berbual mesra dengan rakan-rakannya yang lain.

“Kawan korang yang sorang ni senyap aje… Ada emas ke dalam mulut tu?” Tegur Eshaq Hakimi tiba-tiba. Dia tidak berpuas hati selagi gadis yang menunduk itu tidak mengangkat wajah.

Siti Shafura yang mendengar teguran berbaur sindiran itu terus mengangkat kepala. Berlaga matanya seketika dengan mata Eshaq Hakimi sebelum wajah kembali ditundukkan.

“Eh abang ni, mulut… Tu la kawan baik kita orang yang selalu Suzy cerita dekat abang dengan mama tu.” Segala perihal Siti Shafura sering diceritakan kepada Eshaq Hakimi dan kedua-dua ibu bapanya. Disebabkan tahu keadaan diri Siti Shafura, menyebabkan ibu bapanya begitu selesa dan suka apabila Siti Shafura bertandang ke rumah mereka. Hanya Eshaq Hakimi sahaja yang belum pernah bertemu dengan gadis itu.

“Engkau?” Ujar Eshaq Hakimi separa terkejut. Tidak menyangka dia akan bertemu semula dengan gadis yang telah menyebabkan baju kemeja kesayangannya kotor.

“Kenapa dengan Siti abang?” Tanya Amylia apabila melihat reaksi kedua-duanya agak pelik. Suzila dan Nadia turut memandang ke arah kedua-duanya bersilih ganti.

Siti Shafura kemam bibir. Dia yakin Eshaq Hakimi mengingatinya. Teringat lagi wajah merah padam lelaki itu saat memarahinya.

“Err.., tak ada apa. Erm, cepatlah kita mulakan. Apa yang nak abang tolong assignment tu?” Ujar Eshaq Hakimi dengan suara yang tertahan sekali gus mengubah topik perbualan. Dia cuba mengawal perasaan marahnya yang tiba-tiba menjentik tangkai hati. Teringat insiden minggu lalu.

“Siti, awak yang bawak semua soalan yang dah siap taip tu kan? Bagi saya.” kata Suzila sambil mengeluarkan buku notanya. Dan tanpa menjawab, Siti Shafura lantas menghulurkan dua helai kertas bertaip seperti yang diminta. Saat itu sempat dia mencuri pandang ke wajah Eshaq Hakimi jelas sedikit tegang. Dia perasan sesekali ekor mata lelaki itu memandang ke arahnya.

“Ni abang. Kalau abang rasa macam tak selesa nak jawab lisan, abang boleh jugak jawab bertulis. Kita orang faham kalau abang tak nak cerita face to face macam ni.” Terang Suzila sebaik kertas yang dihulurkan oleh Siti Shafura bertukar tangan.

“Erm.., macam ni la. Biar abang jawab ajelah soalan ni. Dah siap nanti, abang terus inform.” Jawab Eshaq Hakimi serius. Sesekali bola matanya terarah pada Siti Shafura yang serba tidak kena. Dia perasan akan ketidakselesaan gadis itu sejak tadi.

“Aik? Laa.., baik kita orang tak payah datang rumah abang ni. Email aje senang..” Sampuk Nadia tiba-tiba bernada kecewa.

“Entah abang ni. Penat aje kita orang datang malam-malam macam ni.” tambah Amylia pula.

Sorry girls. Abang penat sikitlah malam ni.” Eshaq Hakimi beralasan. Hilang terus angin baik untuk berbual mesra dengan sahabat adik-adiknya itu.

Dalam kepalanya kini berlegar mengenai latar belakang Siti Shafura seperti mana yang pernah diceritakan oleh Suzila sebelum ini. Tetapi disebabkan perasaan marah yang masih bersisa, dia langsung tidak menghiraukan apa jua nasib yang pernah menimpa gadis itu. Kad nama seorang lelaki yang diserahkan oleh Ikmal masih tersimpan rapi. Baginya tiada guna untuk dia meminta ganti rugi kerana baju kemeja yang kotor itu tidak akan dapat diganti walau dengan harga yang tinggi sekalipun. Dia terlalu menghargai hadiah pemberian arwah sahabat baiknya itu walaupun hanya sehelai kemeja.

“Erm.., kalau macam tu, kita orang balik hostel dululah. Nanti takdalah lewat sangat sampai.” balas Suzila yang mula mengemaskan semula buku nota dan alat tulis yang dikeluarkan tadi. “Abang jangan lupa call mama. Tadi dia pesan dengan Suzy. Mama ada call abang, tapi tak pernah dapat katanya.” lanjutnya kemudian. Eshaq Hakimi yang memang sudah beberapa minggu tidak pulang ke rumah orang tuanya.

“Ialah. Nanti abang call mama.” jawab Eshaq Hakimi malas. “Drive elok-elok nanti.” Pesannya pula seraya menyabut huluran tangan Suzila untuk bersalaman.

“Okey my dear brother!” Balas Suzila manja. Dia cukup faham dengan abangnya yang risau jika dia memandu malam.

“Abang, kita orang balik dulu. Jangan lupa, jawab dengan jujur tau.” tambah Amylia pula perihal soalan-soalan yang telah diserahkan tadi.

Eshaq Hakimi hanya tersenyum tepi.

“Abang, cepat-cepat sikit siapkan eyh? Cepat siap, cepat kita orang boleh hantar.” sambung Nadia kemudian seraya mengangkat dulang bersama gelas yang telah digunakan ke ruang dapur.

Siti Shafura pula hanya diam membatu. Langsung tidak berani bersuara apabila renungan Eshaq Hakimi begitu tajam menikam apabila setiap kali mata mereka bertemu tanpa sengaja.

“Jomlah kita gerak.” Nadia kembali ke ruang tamu. Semua mula angkat punggung termasuk Eshaq Hakimi. Cuma dia paling akhir selepas Siti Shafura dan sengaja mengambil peluang itu.

“Tak mungkin kau lupa aku kan?” Bisik Eshaq Hakimi halus di tepi telinga gadis itu tanpa pengetahuan tiga gadis yang sudah mendahului mereka.

Siti Shafura sedikit tersentak namun secepat mungkin dikawal. Dia tidak pun menoleh sebaliknya sedaya upaya beriak tenang.

Eshaq Hakimi tersenyum sinis sebelum dia menyaingi langkah adiknya.

“Suzy, member Suzy yang belakang tu, memang macam tu eyh? Sombong semacam aje. Macam orang tak ada perasaan pun ada. Pelik aje abang tengok.” ujarnya sinis. Sengaja dituju khas buat Siti Shafura.

Suzila menghadiahkan jelingan sekilas. Faham benar akan mulut lepas abangnya itu. “Mulut tu, kalau tak jadi jahat, tak boleh eyh?” balasnya sama sinis membela sahabat baiknya yang seorang itu.

“Dia tak biasalah bang..” tambah Amylia pula sambil mengerling ke wajah Siti Shafura yang lebih banyak menunduk sejak tadi. Dia faham akan perangai Siti Shafura yang begitu sentiasa menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Eshaq Hakimi tetap melemparkan senyum sinisnya.

“Okeylah bang. Suzy balik dulu. Abang, kau jangan lupa call mama..” Pesan Suzila buat kali kedua sebaik tiba di muka pintu.

“Ialah.., aku tahulah. Tak payahlah ulang banyak kali. Kau tu memang suka membebel macam mak nenek kan?” Balas Eshaq Hakimi sambil menarik ekor rambut adiknya yang berikat satu menyebabkan gadis itu terjerit kecil.

“Mak nenek ni, bukan sebarang mak nenek tau. Macam-macam rahsia mak nenek ni simpan.” balas Suzila penuh makna.

“Lebih la ni..” Eshaq Hakimi sudah berkira-kira mahu menarik lagi rambut Suzila namun gadis itu segera melangkah keluar. Sempat lidah dijelirkan apabila abangnya itu tidak mengejar.

“Macam budak-budak abang ni..” tegur Nadia yang turut melangkah keluar diikuti Amylia dan Siti Shafura.

Eshaq Hakimi hanya tersengih. Sememangnya hubungan dia dan Suzila begitu akrab. Dan sesekali berjumpa, pasti adiknya itu akan diusik. “Hati-hati drive Suzy. Sampai nanti call abang.” pesannya kemudian.

“Okey boss! Insya-Allah.” Suzila menayangkan barisan giginya.

“Bang, balik dulu. Assalamulaikum.” ucap Amylia pula sebelum mereka beredar ke ruangan lif.

Eshaq Hakimi hanya menjawab perlahan sebelum matanya sekali lagi mencuri pandang ke arah gadis yang satu-satunya bertudung di situ. Tidak semena-mena bibir menarik senyum tepi apabila mata mereka berlaga tanpa disengajakan apabila gadis itu mengangkat wajah. Walaupun tanpa sebarang kata, tetapi dia yakin gadis itu faham akan maksud segala renungannya sejak tadi.

“Habislah kau lepas ni..” omelnya sendiri sebaik bayang emat gadis tadi hilang dalam perut lif. Ada senyum nakal terbias di bibir. Pastinya dia akan menjadikan kemejanya yang tidak boleh digunakan lagi itu sebagai alasan kerana masih lagi ada sisa marah di hati apa yang telah berlaku. Kemeja kesayangannya itu tidak mungkin akan dapat digantikan semula. Nilainya tidak akan sama walaupun ia diganti dengan kemeja yang baru dah jauh lebih mahal.



2 comments:

MaY_LiN said...

nk lg
nk lg

kak edah said...

Arsha kak edah tetap ternanti2 utk next entry.best sngt.thanks ye