May 3, 2014

BMJM_bab 3_edited version

BMJM 3

“Buat hal la prof ni. Boleh pulak nak suruh kita cari bukti. Macam mana nak cari?” rungut Nadia sebaik melangkah keluar dari bilik kuliah. Mereka perlu mendapatkan bukti sahih buat tugasan yang diberi beberapa hari lalu.

“Entah. Serabut kepala aku. Dekat mana entah kita nak cari.” sokong Amylia pula.

“Ala.., kan prof cakap kita boleh cari mana-mana movie buat contoh. Tak semestinya kita kena guna yang real. Bukan senang-senang nak cari yang real. Tak tahulah kalau ada yang sanggup masuk kelab. Aku okey aje.” sahut Suzila tenang.

“Jangan nak merepeklah awak Suzy. Buat saya risau aje nanti kalau korang pergi masuk kelab tu.” Siti Shafura mencelah. Sungguh dia tidak senang jika sahabat-sahabatnya menjejakkan kaki ke pusat hiburan walaupun dia tahu mereka biasa ke tempat-tempat begitu sebelum ini.

Suzila, Nadia dan Amylia sudah tersengih-sengih.

“Kan sekarang kita dah dapat responden. Bukti tu nanti, kita cari movie. Banyak kan movie barat pasal kes kita tu. Masa presentation nanti kita buat yang terbaik. Insya-Allah. ” Sambung Siti Shafura serius.

“Ialah.., saya cakap aje. Tak kata pun nak pergi. Risau sangat awak ni Siti.” sahut Suzila sambil menyangkutkan lengannya ke bahu sahabat baiknya itu.

Siti Shafura hanya menggeleng. “Erm, jomlah kita pergi kafe. Tadi Abang Qayyum kata nak jumpa dekat sana.” lanjutnya kemudian apabila teringat akan pesanan ringkas yang diterima sebelum masuk kuliah tadi.

“Apa kes ustaz tu datang sini? Kan biasa hujung minggu aje dia nak datang?” Soal Nadia seraya mereka bergerak meninggalkan kawasan kuliah. Sempat dia mengerling ke arah Amylia di sisi, yang sudah tersenyum lebar.

“Hmm.., tak tahulah kenapa dia nak datang sini. Dia tak bagi tahu pulak. Dia just kata nak jumpa dekat kafe. Tu aje.” beritahu Siti Shafura lagi.

“Tapi rasanya macam dah lamalah dia tak datang sini kan..” sambut Nadia. Seingat dirinya, kali terakhir berjumpa dengan Qayyum pada dua bulan yang lalu. Itu pun hanya sekejap kerana doktor muda itu punya urusan lain.

“Amboi kau Amy. Tadi bukan main masam lagi muka tu pasal assignment. Ni terus senyum lebar pulak.” tegur Suzila apabila melihat keceriaan di wajah Amylia apabila nama Qayyum disebut. Tersenyum-senyum gadis itu.

“Apalah awak ni Suzy. Biarlah dia nak senyum macam mana pun. Janji jangan muncung macam tadi sudah.” tambah Siti Shafura mengusik.

Amylia pula masih setia dengan senyuman di bibirnya. Sedikit pun tidak menghiraukan usikan sahabat-sahabatnya.
……………

“Abang dengar korang dapat assignment pasal gigolo eyh?” Tanya Qayyum memulakan kata apabila keempat-empat gadis itu kembali semula ke meja selepas membeli makanan.

“Ha’ah.” jawab mereka berempat hampir serentak.

“Macam mana tu? Korang ada jumpa ke gigolo? Or, korang sebenarnya ada langgan gigolo?” Tanya Qayyum lagi dengan senyuman mengusik. Sejak awal mengenai keempat-empatnya, dia suka untuk mengambil tahu akan segala yang berkaitan dengan pelajaran mereka.

Choi! Mulut ustaz sorang ni. Bukan main lagi..” Sangkal Suzila cepat.

Qayyum tergelak-gelak.

“Apalah abang ni.. Ke situ pulak…” tambah Siti Shafura bersama senyuman kecil.

“Kita orang dah dapat carilah bang. Cuma tinggal nak jumpa aje.” celah Nadia pula.

“Uih! Advance korang ye. Mana jumpa ni?” Qayyum mula berminat ingin tahu. Dia kagum dengan semangat gadis-gadis di hadapannya itu apabila mendapat tugasan baru. Segala gerak kerja dilakukan dengan cepat tanpa membuang sedikit waktu pun.

“Adalah…” Balas Suzila dengan senyuman penuh makna. Tidak akan sesekali dia membuka pekung abang kesayangannya itu.

Aloh.. Takkan dengan abang pun nak kedekut? Biasanya boleh aje bagi tahu. Sampai abang tak tanya pun, korang semua yang sibuk nak bagi tahu.” kata Qayyum berbaur rajuk. Memang segala tugasan gadis-gadis itu tidak pernah menjadi rahsia kepadanya.

“Mana boleh ustaz. Private and confidential!” Sampuk Amylia tegas yang baru bersuara.

“Erk? Eleh.. Tak heran pun. Tak nak bagi tau sudah..” Qayyum buat-buat merajuk.

“Ai, ustaz pun pandai merajuk ke?” Amylia mengusik.

“Takkan ustaz tak boleh nak merajuk wahai Cik Amylia oi…” Balas Qayyum tidak mengalah. Kalau dengan Amylia, memang akan ada sahaja yang ditengkarkannya.

“Apalah abang ni. Betullah yang Amy cakap tu. Private and confidential. Kita orang tak boleh nak dedahkan siapa orang tu.” Sokong Siti Shafura pula tidak mahu hal kecil itu ditengkarkan oleh kedua-duanya.

“Ialah. Abang tahulah. One of the ethicskan. Abang saja nak uji korang ingat ke tak lagi pasal etika as a social worker. Kata semua nak jadi social worker kan. Cuma dua budak ni aje yang kena jadi businesswomen lepas ni.” Kata-kata Qayyum dituju khas kepada Suzila dan Nadia yang sudah memuncung. Dia tahu perihal keluarga Suzila dan Amylia. Kedua-duanya mempunyai perniagaan keluarga sendiri. Tidak pula pada Nadia. Walaupun keluarganya mempunyai perniagaan sendiri, dia diberi pilihan untuk menentukan kerjaya dan masa depannya sendiri.

Suzila dan Amylia sudah mencebik. Dalam diam terpaksa akur.

“Abang, sharelah pasal kerja abang pulak. Ada kes-kes yang menarik tak?” Tanya Siti Shafura terus menukar topik. Dia memang begitu berminat dengan bidang perubatan sejak dahulu lagi walaupun dia tidak di dalam bidang yang sama.

“Hm.., rakda apa yang menariklah Siti. Tapi semalam ada satu kes bunuh diri. Tapi abang tak handle kes tu sebab time tu abang dah balik rumah.” jawab Qayyum yang tidak lokek untuk berkongsi cerita dan ilmu.

“Abang, kes tu mesti dah libatkan medical social work kan?” Ujar Siti Shafura yang berminat akan bidang tersebut.

“Ha’ah. Sebab kes-kes macam tu dah libatkan emosi and of course one of the social problem kan? Doktor biasanya rawat yang sakit, then kaunselor atau medical social worker take over. Tapi macam tempat abang tu, social worker yang ada. Maknanya apa-apa kes, rujuk dekat dia ajelah.” Terang Qayyum lanjut.

“Hm.., masalah cintalah tu. Tu yang sampai nak bunuh diri.” Cepat Amylia membuat kesimpulan.

Ada keluhan terbit di bibir Qayyum. “Selalunya memang macam tulah. Anak remaja sekarang, bukan macam anak remaja dulu. Sekarang, putus cinta aje nak bunuh diri. Kena marah dengan mak ayah, terus lari dari rumah. Kan tak elok macam tu. Pasal bunuh diri ni, dah terang-terang dalam Islam melarang. Orang yang mati sebab bunuh diri ni, dah macam mati dalam kekafiran tau. Sebab apa? Sebab dia dah membelakangkan Allah. Tak percaya qadak dan qadar Allah. Tak nak terima apa yang telah dijanjikan oleh-Nya. Azab seksa di neraka. Nauzubillah… Abang mintak sangat jangan korang pulak terlibat dalam hal-hal rosak akhlak macam ni. Risau abang tau.” ulas Qayyum panjang lebar.

“Tu dia, ceramah dia mula dah.” Nadia mengusik. Faham benar fiil bekas senior mereka yang gemar memberi nasihat. Sehinggakan ada kata-kata Qayyum sering membuat mereka terasa walaupun kata-katanya itu tidak dituju khas kepada mereka secara terangan.

“Abang bukan apa. Apa yang akan jadi pada masa depan, kita tak tahu kan? Memang hari ni tak berlaku. Tapi esok lusa siapa yang tahu. Abang tak naklah esok-esok keluar front page paper muka adik-adik abang ni. Abang cuma nak ingatkan aje. Kan Amy? Betul tak apa abang cakap?” Kata Qayyum lagi apabila melihat gadis itu menghadiahkan jelingan kepadanya.

“Ialah abang. Siti pun kadang-kadang sedih tengok apa yang jadi sekarang ni. Banyak sangat masalah sosial, semua libatkan remaja. Zaman makin maju sekarang ni. Tapi macam makin banyak pulak masalah-masalah tak sihat ni. Macam kita balik ke zaman jahiliyah dulu. Maksiat sana sini, buang baby lagi. Sedih sangat.” luah Siti Shafura pula. Kursus yang diikuti banyak mendedahkan dia kepada masalah sebenar yang berlaku di dalam negara. Terutamanya masalah sosial yang semakin membimbangkan kini.

“Okey, abang bukan nak menangkan kaum abanglah. Tapi, cuba tengok sekarang ni. Masalah sosial yang ada, bukan lelaki aje. Tapi kaum wanita abang tengok sekarang ni dah sama naik dah. Senang cakaplah, kaum lelaki yang banyak terlibat dalam masalah sosial, orang sekeliling tak mengata sangat. Cuma tengok pulak bila kaum wanita yang terlibat. Orang sekeliling tak henti bercakap kan?” Qayyum menyuarakan pendapatnya.

“Kalau sebelum ni kaum Hawa kata susah nak cari lelaki yang berkualiti. Tapi sekarang, kaum Adam kata susah nak cari wanita yang betul-betul virgin. Yang paling Siti tak suka, bila kaum abang cakap, kalau kaum Hawa yang masih virgin tu, memang macam tak percayalah. Sebab sekarang ni senang aje budak-budak perempuan percaya pada lelaki yang dia sayang. Sanggup aje bagi semua yang dorang mintak. Sekarang ni lagilah dengan laman sosial yang berlambak tu. Semua percaya bulat-bulat dengan kawan yang dia orang kenal dalam tu. Sampaikan sekarang, budak darjah satu pun dah tahu facebook.” tambah Siti Shafura pula mengutarakan pandangannya.

“Betul! Anak jiran saya tu baru darjah dua dah sibuk-sibuk dengan facebook.” Sokong Suzila pula. Dia teringat perihal Hazim anak jirannya. Hazim seorang kanak-kanak comel dan bijak yang telah menjadi salah seorang dari rakan facebooknya awal tahun lalu.

“Entahlah. Abang pun tak tahulah nak cakap macam mana sekarang ni. Banyak sangat masalah. Nanti kalau korang dah masuk bidang yang kau orang belajar ni betul-betul, baru korang tahu betapa banyaknya masalah sosial sekarang ni.” ujar Qayyum lagi.

Ada keluhan meniti bibirnya apabila melihat kelakuan anak muda sekarang ini. Melihat di kawasan kampus itu sendiri dia boleh tahu bahawa kaum lelaki agak sedikit bilangannya berbanding kaum wanita. Malah peratusan saban tahun di pusat pengajian tinggi menunjukkan peningkatan bilangan pelajar wanita berbanding lelaki. Ditambah pula, masalah sosial sekarang ini turut sama melibatkan kaum yang terpelajar. Kes-kes hamil luar nikah bukan sahaja melibatkan golongan tidak terpelajar. Tapi hari ini, ianya lebih banyak melibatkan golongan terpelajar terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi. Tidak kira sama ada swasta mahupun awam.

“Abang ni buat Siti takut pulak.” balas Siti Shafura bernada risau. Serentak itu, lagu ‘Rapuh’ nyanyian dari artis seberang berkumandang dari dalam beg. Masing-masing sudah menalakan mata ke arahnya. Serba salah dia mengeluarkan S5 yang berbunyi itu.

“Wow! Telefon baru ke?” Cepat Qayyum menegur bersama sengihan.

“S3 dia terhempas bang.. Itu yang pakai S5 terus tu.” Sahut Suzila. Dia agak terkejut apabila sahabatnya itu memberitahu apa yang berlaku saat keluar bersama Izzat Fakhri tempoh hari.

Siti Shafura hanya tersenyum kelat. Hal tempoh hari tidak diberitahu dengan jelas. Hanya memberitahu dia terjatuh.

“Tu, kenapa tak angkat? Boyfriend eyh?” Giat Qayyum lagi apabila lagu tadi dibiarkan mati sendiri.

“Eh, mana ada boyfriend-boyfriend ni. Tak mainlah boyfriend abang. Siti tak nak bagi bahu kiri Siti ni berat. Bahu kanan tak apa. Kalau boleh, biarlah terus future imam.” balas Siti Shafura penuh makna. Panggilan dari Izzat Fakhri dibiarkan tidak berjawab. Malu untuk menjawab di hadapan sahabat-sahabatnya itu sedangkan hampir setiap jam abang sepupunya itu akan menghubungi.

“Amboi! Terus future imam. Dah ada calon ke? Tak kongsi dengan abang pun.” balas Qayyum yang masih mahu mengusik.

Siti Shafura hanya tersenyum kecil. Memang itu prinsipnya dari dahulu. Malah, dia masih ingat lagi pesan ummi dan walidnya akan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Tiada isitilah ‘couple’ dalam Islam kata walidnyanya. Dia pegang kata-kata itu sehingga kini. Dia percaya setiap manusia dijadikan berpasangan. Kiranya bukan bertemu jodoh di sini, mungkin di ‘sana’ dipertemukan jodoh selamanya. Selagi boleh dia akan mengelakkan dari timbul rasa suka dan sayang pada lelaki yang bukan mahramnya. Cinta dan kasihnya selayak bagi lelaki yang hanya bergelar suami. Siapa dan bila, memang dia sendiri tidak dapat pastikan. Solat istikharah yang dilakukan saban malam masih belum membuahkan hasil. Akan tetapi, dia masih tetap teruskan dan sesekali tidak akan berhenti memohon daripada-Nya agar diberi petunjuk yang sebenar. Walaupun kelihatan dia tidak berusaha dari pandangan mata kasar, tetapi cara usaha yang dilakukan merupakan yang terbaik agar jodoh yang dipilihnya nanti adalah jodoh yang hanya dijanjikan Allah.

“Ala.., bang. Dengan kita orang dia tak ada nak cerita. Apatah lagi dengan abang.” sampuk Nadia tiba-tiba. Sahabatnya yang seorang tu memang bijak mengawal setiap tutur kata dan kelakuannya.

Teringat lagi di awal perkenalan mereka berempat. Entah kenapa mereka bertiga boleh tertarik untuk berkawan rapat dengan Siti Shafura. Apa yang pasti, mereka suka melihat wajah mulus Siti Shafura tanpa secalit solekan. Rasa tenang apabila setiap kali memandang dan berbual dengan gadis istimewa itu. Segala permasalahan akan dikongsikan tanpa syak wasangka. Kerana itu juga menyebabkan mereka kini lebih berhati-hati dalam berpakaian. Bukan tidak tahu akan batas-batas aurat. Tetapi sejak dulu lagi mereka langsung tidak dititik beratkan dengan ajaran agama yang cukup menyebabkan mereka sendiri sedikit bebas. Tetapi dengan kehadiran Siti Shafura, serba sedikit telah mengubah cara dan kelakuan mereka agar lebih terkawal dan mempunyai batasan. Sedikit demi sedikit perubahan yang dilakukan.

“Dah betul memang tak ada. Macam mana saya nak cerita. Lainlah kalau dah ada. Confirm saya cerita dengan awak semua. Dekat abang pun.” jawab Siti Shafura membela diri. Bibir masih setia mengukir senyum manis. Segala apa yang dikatakan adalah benar belaka.

“Ialah. Abang percaya. Kan Amylia.” Tiba-tiba Qayyum melibatkan nama Amylia. Gadis itu lebih banyak mendiamkan diri dari berkata-kata. Dia perasan mata gadis itu sering memandang ke arahnya.

“Eleh.., abang tu pandai cakap aje. Abang tu bila lagi? Kerja dah ada, kereta pun dah ada. Nak tunggu apa lagi.” ujar Suzila pula apabila perasan pasangan itu sering berbalas pandangan dalam diam.

“Nantilah dulu. Abang tengah try buat yang terbaiklah ni. Kan Amy?” Sengaja Qayyum mengusik Amylia apabila gadis itu menghadiahkan jelingan kepadanya. Hanya mereka sahaja yang faham apa sebenarnya yang tersirat di hati masing-masing.

Sekali lagi telefon bimbit Siti Shafura berbunyi tanda SMS pula masuk. Empat pasang mata terus tertumpu sekali lagi ke wajah Siti Shafura yang tersenyum manis. Dia faham maksud pandangan itu. “Abang Izzatlah.” Beritahunya jujur menyebabkan keempat-empat mereka melepaskan tawa kecil.

“Abang Izzat nak apa?” Tanya Suzila sebelum menyuap masuk roti sandwich yang dibeli tadi.

“Erm.., macam biasalah. Dia kan suka tanya saya macam-macam.” jawab Siti Shafura sambil menyimpan telefon bimbitnya semula ke dalam beg selepas membalas serba ringkas SMS daripada Izzat Fakhri.

“Abang rasa dia mesti sayang pada Siti. Kalau tak, tak ada dia nak SMS selalu kan?” Celah Qayyum selepas meletakkan cawan air milo yang dipesan awal tadi.

“Sanggup bagi pinjam S5 lagi tu bang..” tambah Nadia pula bersama sengihan.

“Wah.. Ada tanda-tanda dah tu.” giat Qayyum tidak berhenti.

Siti Shafura hanya tersenyum nipis. Mengiakan tidak, menidakkan pun tidak. Malas mahu memanjangkan istu. Apa yang dia tahu, sayang Izzat Fakhri kepadanya tidak akan sampai ke mana. Cukup sekadar sayang sebagai seorang abang kepada adiknya. Selamanya akan kekal begitu memandangkan dia tidak punya adik-beradik lain. Kasih sayang yang dicurahkan oleh Izzat Fakhri begitu berharga.

“Erm, dah lama rasanya abang tak jumpa Ummi Siti. Ummi macam mana sekarang?” Tanya Qayyum lagi terus menukar topik perbualan kerana tahu gadis itu tidak berminat untuk bersoal jawab tentang perasaan. Tiba-tiba dia teringat akan nasib Siti Shafura yang tidak sebaik mana. Beberapa kali melawat ibu gadis itu, dia tumpang simpati. Ada juga dia meminta bantuan kepada senior-seniornya yang lebih arif tentang penyakit yang dialami. Namun hasilnya tetap sama. Kerosakan saraf yang dialami tidak lagi dapat diubati.

“Macam tu ajelah abang..” jawab Siti Shafura berserta senyuman tawar. Itu yang selalu dimaklumkan oleh Wan Nabila setiap hari. Jururawat khas yang menjaga ibunya. Dia tahu yang ibunya tidak lagi punya harapan untuk kembali sihat seperti sedia kala. Namun, dia tidak pernah berhenti berdoa agar diberi kesembuhan kepada ibunya. Dia tahu hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Tiada yang mustahil di dalam dunia hanya kerana Dia.

Sebentar kemudian, masing-masing terus mendiamkan diri. Tidak ada lagi yang bertanya lanjut tentang ibu Siti Shafura yang terlantar sakit. Masing-masing memahami apa yang dirasai oleh Siti Shafura selama ini kerana terpaksa melalui segala dugaan hidup bersendirian.

*******
“Kau tak kerja ke hari ni?” Sapa Ikmal sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. Usai menanggalkan stoking, langkah terus diatur ke ruang dapur untuk mengambil air. Terasa kering benar tekaknya sejak dari pejabat tadi.

“Tak.” jawab Eshaq Hakimi pendek. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari skrin LED 42 inci itu.

“Kau tak sihat ke?” Soal Ikmal lagi seraya melabuhkan duduk di sofa berhampiran dengan segelas air sejuk di tangan.

“Sihat.”

“Kau okey ke tak ni bro? Engagement kau dah habis?” Ikmal masih lagi belum berpuas hati. Pelik dengan perangai sahabat yang sudah dikenali sejak zaman kampus lagi.

“Sebab dah habislah aku cuti..” balas Eshaq Hakimi malas.

Ikmal memandang tepat ke wajah sahabatnya. Dia cukup faham dengan perangai Eshaq Hakimi. Jarang sekali memohon cuti walaupun tempoh audit suatu syarikat klien sudah pun habis. Eshaq Hakimi merupakan seorang yang begitu komited dengan kerja.

“Hoi! Kau tak payahlah nak tenung aku macam tu sekali. Meremang semua bulu aku la..” Sergah Eshaq Hakimi yang perasan renungan sahabatnya yang tidak lama lagi bakal berkahwin dengan adiknya itu.

Ikmal melepaskan tawa. “Takdalah.. Aku ni tengah tilik muka kau tu. Tak pernah-pernah kau nak cuti sesuka hati, duduk terperap dekat rumah lagi tu.. Kalau cuti pun, entah ke mana kau makan angin dengan si Julia tu. Mimpi bidadari mana malam tadi sampai kau duduk rumah ni?” Selorohnya sengaja mencari tempo untuk berbual lebih selesa dengan sahabat yang sukar dijangka itu. Bila-bila masa sahaja Eshaq Hakimi boleh melenting jika ada yang tidak berkenan di hati.

“Bidadari apanya. Aku mimpi Afzan ada la..” jawab Eshaq Hakimi jujur. Perasaan marah di hatinya masih lagi bersisa apabila mengenang kembali apa yang berlaku tempoh hari. Baju kemeja kesayangannya kotor dan bertambah malang apabila kotoran itu tidak hilang walaupun sudah dicuci beberapa kali. Mungkin kerana dia agak lambat mencuci menyebabkan kesan kotor yang melekat, susah hilang.

Woo.., bulu aku pulak yang berdiri sekarang ni..” balas Ikmal sambil mengurut belakang tengkuknya apabila Eshaq Hakimi menyebut sebaris nama yang sudah tiada lagi bersama mereka.

“Kemeja aku yang kotor hari tu, last present dari Afzan.” keluh Eshaq Hakimi berat. Tangan melurut kasar rambut yang sedikit kusut. Memang sengaja dia tidak menyikat rambut sebaik selesai mandi tadi. Tambahan pula dengan rambut yang sudah agak panjang, semakin jelas kusutnya walaupun berambut lurus.

“Erm.., kau dah hantar dobi belum baju kau tu?” Tanya Ikmal perlahan. Faham kini kenapa wajah sahabatnya itu seperti tidak berperasaan sejak insiden tempoh hari.

“Aku tak pernah hantar baju tu pergi dobi.” jawab Eshaq Hakimi sambil menyandarkan tubuh kembali ke sofa.

Sayu hatinya melihat baju pemberian sahabatnya yang sudah tiada, tidak lagi dapat digunakan. Itulah hadiah terakhir pemberian Afzan ketika hari lahirnya tiga tahun lepas. Lelaki itu meninggal dunia pada hari yang sama setelah menghadiri majlis hari jadinya. Pemergian satu-satunya sahabat paling baik yang pernah dimiliki. Walaupun baju kemeja itu bukanlah dari jenama mahal seperti baju kemejanya yang ada, namun hadiah itu amat bermakna.

“Hantar ajelah dobi. Agaknya kau cuci tak betul..” usul Ikmal yang turut simpati dengan sahabatnya itu. Dia tahu Eshaq Hakimi terlalu menyayangi sehelai baju kemeja itu.

Eshaq Hakimi menggeleng bersama keluhan lagi. Belum pernah ada sesiapa mencuci kemeja itu melainkan tangannya sendiri. Satu-satunya kemeja yang tidak pernah dihantar ke kedai dobi. Tidak seperti pakaiannya yang lain kerana takut akan rosak di tangan orang lain. Wajah Ikmal dipandang sekilas sebelum dibuang ke skrin tv semula. Matanya sahaja di situ, namun fikirannya jauh menerawang entah ke mana.

“Sebelum aku terlupa..” Ikmal kemudian mengeluarkan beg duit dari dalam saku seluar. Dia teringat akan sesuatu. “Ni name card brother yang dengan girl hari tu. Aku lupa nak bagi kau.” ujarnya seraya meletakkan sekeping kad di atas meja kaca hadapan Eshaq Hakimi. Gerangan gadis yang berlanggar dengan sahabatnya itu tidak mahu diceritakan kerana risau andai ia sampai pula ke pengetahuan tunangnya. Dia tahu Suzila terlalu menyayangi sahabatnya yang seorang itu. Dia tidak mahu ada pertengkaran pula yang berlaku di antara dua beradik itu hanya kerana sedikit salah faham.

Eshaq Hakimi hanya memandang sepi kertas kecil yang diletakkan oleh Ikmal tadi. Sedikit pun tidak menarik minatnya. Saat itu juga wajah seorang gadis yang melanggarnya semalam terlayar di ruang mata. Panas hatinya tiba-tiba apabila mengenang kembali apa yang berlaku.




1 comment:

MaY_LiN said...

kali ke dua sy baca
xsabar nak tgg smp abis