Nov 17, 2013

AWRA_bab 13

Assalamulaikum.
kepada yang mengrequest AWRA. :)
maaflah kalau lepas ni agak lembap saya mengupdate. hee

Dingatkan. PERADUAN NO TAJUK MASIH BERLANGSUNG. :)
Terima kasih kepada yang sudi menyumbangkan tajuk-tajuk.

.........
AWRA 13

“Okey kerja?” Soal Faidh sebaik melabuhkan duduk di hadapan Awra. Sejak dia tiba tadi, tiada langsung patah kata yang kedengaran. Dia tahu gadis itu masih terasa hati dengan apa yang berlaku.

Awra hanya menganggukkan kepala. Wajah Faidh dipandang sekilas. Walaupun sudah lebih seminggu kembali bekerja, hatinya tidak berada di situ. Terpandang akan wajah itu mengingatkannya pada Faiq. Terasa dia dalam pemerhatian lelaki itu sentiasa.

“Saya mintak maaf bagi pihak abang saya. Saya..” Dia baru berkesempatan bertemu dengan gadis itu kerana terlalu sibuk dengan kerjanya.

“Takpa..” Pintasnya tidak mahu mengungkit kembali kisah lalu.

“Awra, saya tahu awak marah dengan apa yang dah jadi. Abang saya tu memang sengal sikit kalau bab perempuan ni. Dia dah banyak kali kena tipu Awra. Sebab tu dia..”

“Sebab tu dia nak balas dendam la? Saya rasa, saya tak pernah sakitkan hati dia. Kenapa mesti saya yang jadi mangsa? Dah la siap komplot dengan family saya lagi. Dia ingat saya apa? Barang ke? Suka hati dia aje nak tipu. Kalau pun nak balas dendam balik, pergilah balas pada perempuan-perempuan yang dah tipu dia tu. Tak payahlah nak menyusahkan orang lain!” Potong Awra yang terus menghamburkan rasa tidak puas hatinya apabila Faidh tetap juga mahu mengungkit apa yang telah berlaku.

“Bukan macam tu Awra.. Dia sebenarnya dah..”

“Dah la Encik Faidh. Saya malaslah cakap hal tu lagi. Bukan saya dapat apa pun. Sakit hati lagi ada la.” Pintas Awra sekali lagi yang tidak mahu soal Faiq terus menjadi topik. Hatinya masih belum terbujuk dengan apa yang telah berlaku. Disebabkan hal itu juga dia kini bermasam muka dengan abangnya.

“Awra Firdaus..” Faidh menggelengkan kepalanya diiringi tawa kecil. Dia belum pernah melihat wajah Awra setegang itu. “Patutlah abang saya suka awak. Awak comel bila marah-marah macam tu. Mata awak yang bulat tu sangat cantik Awra.” Ikhlas dia memuji akan kecantikan yang belum pernah dilihat pada gadis itu sebelum ini.

Awra mengerutkan wajah. Tangan yang sedang menyusun atur borang kehadiran di dalam fail setiap tutor terhenti.

“Abang saya suka awak.” Ulang Faidh dengan sengihan lebar.

Awra senyum tepi pula. Dia tahu tentang itu. Faiq sendiri ada berterus terang mengenainya saat mereka bertengkar minggu lalu. Namun begitu, tetap ada getaran halus hadir dalam hatinya. Rasa yang sama jika Faiq ada di hadapan mata. “Encik Faidh tak payahlah beli jiwa saya. Saya dah datang kerja dengan Encik Faidh sekarang ni kan..” Cuba menafikan apa yang dirasai.

Faidh tetap tersengih lebar. “Bukan nak beli jiwa.. Hakikat Awra.. Kalau saya yang dah nak kahwin ni pun boleh nampak, hati abang saya tu takkan pandai menipu.” Jawabnya berkias.

Awra senyum tepi lagi. “Tak pandai menipu Encik Faidh kata?” Dia pandang wajah majikannya sekilas sebelum tangannya kembali menjalankan tugas. “Dia dah pun tipu saya Encik Faidh… Tak sangka kalau dia sayang perempuan dia kena menipu.” Selamba dia menyindir.

Faidh tergelak. “Macam yang saya cakap dengan awak tadi.. Dia memang sengal sikit bab hati ni. Sebab tu la dia senang kena tipu dengan awek-awek dia dulu. Tak tahu nak beza mana black pepper mana white pepper.” Selamba dia mengutuk abangnya sendiri kerana itu hakikat!

Awra tercuit. Tersenyum kecil dia mendengar perumpamaan majikannya.

“Erm… Okeylah Awra. Saya dah nak balik ni. Macam biasalah. Make sure semua suis tutup. Pintu kunci.” Sambung Faidh sebelum bingkas. “Fikir-fikirkanlah apa yang saya cakap tadi. Saya tahu awak single lagi kan? Kalau nak tunggu abang saya tu buka mulut, sampai kucing berkokok la dia takkan cakap.” Tambahnya dengan sengihan lebar.

Awra melepaskan tawa kecil. Tercuit lagi hatinya mendengar perumpamaan yang digunakan oleh Faidh. “Masa SPM dulu Encik Faidh dapat E eyh dalam BM. Habis semua bahasa Encik Faidh tukar.”

“Saya BM dapat tiga aje. Tu yang bahasa pun tak berapa nak betul.” Balas Faidh dengan sengihannya. “Tapi kan.. Ada aje orang yang dapat BM satu, tapi bahasa dia lagi teruk dari saya. Kalau dia tukar peribahasa, lagi teruk Awra.”

“Erk? Siapa yang sengal sangat tu?” Awra berminat ingin tahu walaupun dia mula dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh Faidh. Yakin sebaris nama yang dibenci itu akan meniti bibir lelaki di hadapannya itu.

“Faiq. Dia lagi parah. Awak tak dengar lagi dia merepek.” Seperti yang dijangka.

Awra tersengih pahit.

“Okeylah Awra. Take care. Awak hati-hati balik nanti. Ada apa-apa hal awak call aje saya.” Lanjut Faidh sambil mengerling jam bulat yang terlekat di dinding belakang Awra. Hampir jam sembilan malam.

“Inshaa Allah. Encik Faidh pun hati-hati drive tu. Darah manis.” Awra mengusik. Dia baru tahu yang lelaki itu sudah bertunang daripada Khairi.

Faidh tersenyum lebar sebelum dia berlalu ke pintu utama.
........

“Sayang.. Kau kenapa ni.. Janganlah buat aku macam ni.. Jauh lagi aku nak balik ni.” Awra mula berpeluh apabila dia mula dapat merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku pada kereta yang dipandu.

Demi tidak mahu berhenti di kawasan gelap, tetap juga dipandu Grand Livina yang mula terasa berat di sebelah kirinya.

“Abah.. Kenapa kereta abah ni..” Dia mula merungut sendiri kerana takut jika ada sesuatu yang buruk berlaku. Jarak rumahnya masih lagi jauh. Untuk meminta bantuan abangnya, dia tahu Firdaus sedang berkursus di Pulau Pinang. Tidak mungkin pula dia mahu menyusahkan kakak iparnya yang masih tidak begitu sihat.

Hampir setengah jam dia memandu, kereta yang dipandu semakin memberat membuatkan dalam tidak mahu, dia terpaksa juga memberhentikan kereta ke tepi. Tanpa mahu melihat keadaan kereta, dia terus menghubungi abahnya.

“Abah.. Kenapa kereta abah ni.. Berat sebelah.” Terus sahaja dia mengadu sebaik talian bersambung.

“Berat? Tayar bocor ke?” Begitu tenang suara abahnya menyoal.

“Manalah Fir tahu.. Ya kut.. Fir tak tengok. Fir dalam kereta ni bah. Fir takutlah nak keluar. Dah la Fir lalu jalan dalam ni. Gelaplah bah.. Takda orang..” Awra hampir menangis apabila melihat jalan yang dilalui memang begitu lengang. Hanya ada satu-satu sahaja kereta yang lalu. Tidak mungkin dia mahu menahan memandangkan pelbagai kes samseng jalan raya yang berlaku sejak akhir-akhir itu.

“Kan abah pesan kalau balik jangan lalu situ. Ada lampu jalan tak dekat situ?”

“Ada. Tapi Fir tak nak keluar.” Balasnya sambil mengerling jam di dashboard. Hampir jam sebelas. Biasanya jam 11.30 malam dia akan tiba di rumah.

“Hm.. Kamu takda kawan-kawan yang duduk dekat-dekat situ? Abah nak datang, tak tahu naik apa ni..” Kata-kata abahnya mengundang keresahan tidak berketepian. Dalam keadaan panik begitu mana mungkin dia mampu memikirkan sahabat-sahabat yang tinggal di kawasan berdekatan.

“Fir tak tahulah bah.. Takda kut.. Alah.. Abah datanglah sini. Pinjam kereta paksu kejap. Fir takutlah bah..” Adunya lagi dengan hujung mata yang mula terasa hangat.

“Hm.. Kamu tunggulah situ. Nanti abah pergi telefon paksu kejap.” Ujar abahnya sebelum terus memutuskan talian.

Matanya liar memandang ke sekeliling. Kawasan kelapa sawit yang gelap di kiri dan kanan jalan mengundang rasa gerun di hati. Terlalu gelap walaupun dia kini berhenti di bawah lampu jalan. Keadaan langit yang tidak berbintang, dia yakin bila-bila masa sahaja hujan akan menimpa bumi.

Beberapa minit menanti, telefon bimbit yang tidak lepas dari tangannya mengeluarkan bunyi. Nama abahnya terpampang di skrin kecil itu. “Abah!” Cepat sahaja dia menyambungkan talian.

“Paksu kamu takda dekat rumah.”

“Habis tu macam mana ni bah..” Air mata yang sedia bertakung tadi sudah meleleh ke pipinya.

“Abah dah suruh kawan abah duduk dekat-dekat situ datang. Kamu tunggu aje dia..” Cukup tenang suara abahnya menuturkan namun tidak mampu menenangkan hatinya yang sedang bergolak hebat.

“Siapa? Cepat ke lambat dia datang?” Soalnya dalam getar suara.

“Kamu tunggu ajelah.. Dia dekat-dekat aje dekat situ. Nanti kalau dia tak sampai dalam sepuluh minit, kamu telefon abah balik. Kamu jangan keluar dari kereta. Tunggu aje sampai dia datang.” Abahnya berpesan sebelum terus memutuskan talian.

Wajahnya diraup beberapa kali. Mata terhala ke arah cermin pandang belakang. Ada sinar cahaya yang menyuluh dan mengharap agar kereta tersebut tidak berhenti. Dia yakin sahabat abahnya tidak mungkin akan tiba seawal itu.

Nafas ditarik lega apabila kereta yang melewatinya tidak pun berhenti. Sabar dia menanti akan bantuan tiba. Untuk keluar dari kereta itu tidak akan sesekali dilakukan. Mulutnya mula terkumat-kamit membaca doa-doa yang diketahui.

Lima minit menanti, bantuan yang dinanti tidak juga kunjung tiba membuatkan dia kian tidak mampu bertenang. Resah di tempat duduknya sendiri. Sesekali dia menoleh ke belakang kalau-kalau ada kereta yang datang.

Sedar akan sinar cahaya yang menyuluh dari bahagian belakang sebaik hampir lima minit lagi berlalu, dia laju menoleh. Amat berharap yang kali ini bantuannya tiba. Dan seperti yang dijangka, kereta yang datang kian perlahan sebelum berhenti betul-betul di belakang kereta. Tanpa menunggu lama dia laju menapak keluar. Yakin sahabat abahnya sudah tiba.

Namun baru beberapa tapak melangkah, kakinya terhenti. Kereta yang betul-betul berhenti tadi dipandang lama. Wajahnya berkerut.

“Berani kau keluarkan?” Tegur seseorang lelaki yang baru sahaja keluar dari kereta. Cukup bersahaja dan tenang lelaki itu melangkah mendapatkannya.

Awra tergamam.

“Lain kali, duduk dalam kereta diam-diam sampai kau pastikan betul-betul orang yang datang nak tolong kau tu.” Bicara lelaki itu cukup tenang di hadapannya sebelum terus berlalu mendapatkan kereta abahnya.
Dia yang masih tidak percaya dengan kehadiran lelaki itu, hanya mampu memerhati.

“Tayar pancit. Spare tyre ada?” Ujar Faiq yang sudah menanggalkan baju panas yang dipakai. Walaupun masih belum begitu sihat, hanya kerana Awra digagahkan juga. Risau akan keselamatan gadis itu sebaik menerima panggilan daripada Shukor.

Awra angkat bahu tanda tidak tahu. Tidak lepas dia memandang wajah Faiq yang tidak beriak.

“Macam mana kau bawak kereta tapi tak tahu ada spare tyre ke tak?” Faiq menggeleng sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Mahu menghubungi ayah gadis itu untuk bertanya tentang tayar ganti. Dalam pada masa yang sama, dia terus membuka but bahagian belakang kereta.

Awra tetap memerhati. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dibualkan oleh Faiq di telefon walaupun yakin lelaki itu pasti menghubungi abahnya.

Torchlight ada?” Faiq kembali bersuara sebaik menamatkan panggilan.

Awra menggeleng sebelum dia memalingkan wajah. Tidak berani merenung lama wajah lelaki itu.

Faiq menghela nafas. Dia kembali ke keretanya untuk mengambil lampu suluh.

Spare tyre abah kau tak cukup angin. Lepas aku ganti, kau drive kereta aku. Aku drive kereta pakcik. Kita pergi petrol pam.” Ujarnya saat melewati gadis itu.

Awra tidak menjawab. Angguk tidak, geleng pun tidak walaupun dia mendengar kata-kata lelaki itu.

“Sini kau. Tolong aku pegang torchlight ni.” Arah Faiq tidak bernada yang terpaksa tahan hati dengan kebisuan Awra. Seperti terlalu hina dirinya hingga tidak layak bercakap dengan gadis itu.

Awra hanya akur. Lampu suluh bertukar tangan. Dia hanya memerhati gerak-geri Faiq mengeluarkan tayar ganti dari tempatnya. ‘Apalah yang abah suka dengan kau ni sampai sanggup mintak tolong kau...’ Bebel hatinya dengan rasa curiga.

“Pergi sana.” Faiq bersuara lagi sambil menunjuk ke arah tayar yang pancit.

Sekali lagi Awra akur. Menghalakan lampu suluh ke arah yang sepatutnya.

Faiq mula menjalankan kerja-kerja penukaran tayar ganti. Dia cuba melakukan secepat mungkin kerana yakin hujan akan turun bila-bila masa sahaja apabila perasan angin yang mula bertiup. Sejuknya terasa hingga ke tulang dalam keadaan tubuhnya yang tidak begitu sihat itu.

“Tak payah nak tenung aku sampai macam tu sekali.” Dia tiba-tiba bersuara menyebabkan Awra sedikit tersentak. Hampir sahaja lampu suluh terlepas dari tangannya.

“Kau berangan ke apa?” Faiq memandang ke wajah gadis itu sekilas sebelum dia meneruskan kerjanya.
Awra menjuihkan bibir. Sedar yang dia terlalu leka memandang lelaki itu.

“Dalam kereta kau ada air tak?” Suara Faiq memecah kesunyian di antara mereka setelah setengah jam dia menukar tayar kereta yang pancit. Baju-t yang dipakai hampir lencun disimbah peluh. Tangan pun hampir menggigil. Sedar suhu badannya kembali naik dalam keadaan perut yang kosong kerana hampir seminggu itu selera makannya hilang.

Awra pandang Faiq.

“Weh, aku tanya ada air ke tak? Bukan aku suruh kau tenung muka aku. Kau jangan salahkan aku kalau muka aku ni yang kau jumpa hari-hari dalam mimpi kau.” Sergah Faiq membuatkan Awra tersentak dan terus sahaja gadis itu beredar. Mengambil botol mineral yang memang dibeli tadi.

“Tuang.” Faiq menadah tangan. Dia mahu mencuci tangan yang berminyak sebelum mengambil air mineral itu dan diteguk perlahan.

“Kau drive kereta aku. Pergi petrol pam dulu. Lepas tu follow aku balik rumah.” Sambungnya seraya menyerahkan semula botol mineral.

Awra berkerut. Pelik dengan arahan lelaki itu. ‘Gila ke apa…’ Hatinya mula berbisik namun tidak terluah di bibir.

Faiq sembunyi senyum. Cukup faham akan makna kerutan di wajah gadis itu. “Tayar spare tu tak sesuai untuk kau sampai rumah. Kedai kereta pun dah tutup malam-malam ni. Nanti tinggalkan dekat rumah aku dulu. Esok baru abah kau datang. Lepas hantar kereta pakcik, aku hantar kau terus balik rumah.” Terangnya demi mengelakkan prasangka yang bukan-bukan. Shukor yang berpesan begitu memandangkan Athirah di rumah ibu bapanya sementara Firdaus berkursus.

Awra tetap tidak membalas. Tidak punya pilihan. Terpaksa menurut kata-kata lelaki itu.

Faiq merenung ke wajah Awra. Menanti kalau-kalau gadis itu mahu membalas. Namun hampa. Bibir diketap rapat sebelum terus berlalu ke keretanya semula. Baju-t yang dipakai dilucutkan sebelum mengambil sehelai baju-t dari dalam sebuah beg yang sentiasa ada di dalam keretanya.

Awra yang terpandang akan perlakuan Faiq, cepat-cepat berpaling ke arah lain. Malu melihat aurat yang bukan miliknya.

“Awra.” Faiq memanggil namun gadis itu sedikit pun tidak berpaling. Faiq senyum lagi sebelum dia mendapatkan gadis itu sebaik baju-t lain tersarung di tubuhnya. “Pergi sana.” Katanya ringkas sebaik melewati gadis itu. “Kau drive elok-elok kereta aku tu.” Sempat lagi dia berpesan sebelum masuk ke tempat pemandu.

Awra mencebik. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga akur.
……………

Sepanjang perjalanan masing-masing hanya mendiamkan diri. Hujan lebat yang menyimbah bumi saat itu membuatkan Faiq hanya memberi tumpuan kepada pemanduannya. Tiada hati untuk berbual apatah lagi memulakan kata kerana yakin gadis itu tidak mahu bercakap dengannya. Tadi pun hanya sepatah dua perkataan sahaja yang kedengaran.

“Kau ni kenapa berpeluh-peluh? Tak cukup sejuk ke? ” Tegur Awra tiba-tiba menyebabkan Faiq menoleh sekilas ke sisi. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari membuatkan bibirnya menarik senyum segaris tanpa niat pun mahu membalas. Dia tetap tekun memandu walaupun tumpuannya lama kelamaan mula goyah gara-gara kepala yang terasa memberat. Namun tetap juga dipaksa untuk bertahan sekurang-kurangnya hingga tiba di rumah gadis itu.

“Kau ni takda mulut ke?” Awra bersuara lagi. Tidak puas hati apabila kata-katanya tidak berbalas.

Faiq tetap juga seperti tadi.

“Faiq!” Awra mula geram. Nadanya juga sedikit tinggi berbanding tadi apabila lelaki itu tetap mendiamkan diri. “Kau tak dengar ke apa aku cakap ni!” Nada tidak puas hati.

“Tahu pulak marah. Yang tadi masa aku tanya kau macam-macam, ada kau jawab apa yang aku tanya? Aku macam cakap dengan tunggul tahu tak.” Luah Faiq akhirnya. Menyindir!

“Mana ada! Aku jawablah!” Sangkal Awra membela diri.

Faiq tarik senyum sinis. “Jawablah sangat! Ucap terima kasih pun tak.” Gerutunya perlahan namun masih sampai di pendengaran gadis itu.

“Siapa suruh kau tolong aku..” Jawab Awra selamba. Tidak mahu mengalah.

Serentak itu Faiq memberhentikan kereta dengan mengejut menyebabkan hampir sahaja wajah Awra tersembam ke dashboard keretanya sebelum tubuh kurus itu tersandar kembali ke tempat duduk.

“Kau cakap apa tadi? Cuba kau ulang sekali lagi..” Wajah Faiq bertukar tegang sambil merenung tajam wajah gadis itu.

“Kau ni memang nak bunuh aku ke?! Kalau aku terkeluar dari kereta ni tadi macam mana?” Marah Awra sambil mengurut belakang lehernya yang terasa sengal. Tidak dipedulikan pertanyaan Faiq.

“Aku tanya, apa kau cakap tadi!!” Suara Faiq kian meninggi. Kesabarannya tercabar dengan kata-kata gadis itu sebentar tadi.

“Cakap apa?!” Tingkah Awra juga sama tinggi.

“Kau keluar dari kereta aku sekarang!” Tegas Faiq bersuara dengan wajah yang garang. Dia tidak bergurau. Hatinya sakit. Gadis itu seperti langsung tidak tahu bersyukur dan sedikit pun tidak menghargai apa yang telah dilakukan tadi.

Awra pula terpempan. Wajah tegang Faiq dipandang takut-takut sebelum dia membuang pandang ke luar tingkap. Sedar jarak rumahnya tidak lagi jauh. Namun dalam keadaan gelap-gelita bersama hujan lebat yang sedang menggila di luar tidak mungkin dia akan keluar. Liur ditelan kesat. Terkebil-kebil dia melihat wajah tegang lelaki itu.

“Tahu pulak takut. Kau, lain kali kalau nak bercakap pakai otak sikit! Kau ingat aku takda perasaan macam tunggul! Sia-sia Allah bagi otak tapi tak tahu nak pakai! Tak tahu bersyukur!” Hambur Faiq kasar sebelum kembali memandu. Denyutan di kepala yang kian bertambah sudah tidak diendahkan lagi. Kelajuan kereta ditambah kerana mahu segera tiba ke rumah gadis itu.

Awra menikus. Tidak mampu lagi menoleh. Sedikit sebanyak terkesan dengan kata-kata lelaki itu di hatinya. Hampir terlupa lelaki itu yang membantunya tadi. Tetapi dia? Ada perasaan bersalah mula mengusik.

“Er… Kau tak nampak ke hujan lebat ni… Tak payahlah nak laju-laju.” Dia memberanikan diri bersuara kerana kurang senang dengan pemanduan lelaki itu. Cukup laju dalam keadaan hujan lebat begitu.

“Cepat sikit kau sampai rumah. Bukan aku tak tahu, kau memang tak boleh nak tengok muka aku ni kan…” Dingin Faiq menjawab.

Awra terdiam lagi. Namun kini ia mengundang sebak di dadanya. Hujung mata mula terasa hangat.

Sudahnya, tiada lagi perkataan yang kedengaran dari bibir masing-masing hingga mereka tiba ke destinasi.

“Kirim salam dengan mak abah kau.” Faiq bersuara mendatar sebaik memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah kampung dua tingkat itu. Kelihatan kedua-dua orang tua gadis itu sedia menanti di beranda rumah.

Awra menoleh. Wajah Faiq yang sememangnya berpeluh sejak tadi dipandang lama.

“Kenapa?” Tanya Faiq sepatah. Pelik melihat renungan Awra.

“Kau sebenarnya tak sihat kan?” Serkap Awra. Dia perasan akan perlakuan lelaki itu sepanjang perjalanan tadi. Agak resah. Wajah pun agak pucat.

“Kau tak payahlah sibuk hal aku. Pergilah. Mak abah kau dah tunggu tu.” Balas Faiq sambil memalingkan wajah.

Awra ketap bibir. Tanpa menunggu lama dia terus berlalu keluar.

Faiq tetap berlagak tenang walaupun terasa pandangannya mula berbalam-balam. Tangan yang melekap di stereng terasa bergetar. Dia cuba mengepal-ngepalkan tangannya beberapa kali untuk membuang getar yang ada. Kepala menoleh ke sisi apabila terdengar ketukan di tingkap cermin sebelahnya. Segera diturunkan cermin itu apabila melihat Shukor berdiri di situ bersama sekaki payung.

“Kamu tidur sini ajelah. Dah lewat sangat ni nak balik. Kamu pun cuti lagi esok kan?” Ujar Shukor yang tidak senang hati. Dia sedia maklum anak muda itu tidak sihat saat dia menghubungi tadi.

“Er… Takpalah pakcik… Buat susah-susah aje.” Serba salah untuk menerima pelawaan lelaki itu walaupun dia sendiri sebenarnya kurang yakin sama ada dapat memandu dengan baik atau tidak dalam keadaan dunianya yang mula bergoyang.

“Takdanya yang susah. Hujan pun lebat sangat ni. Bahaya kamu bawak kereta dengan tak sihat macam tu. Kamu masuk. Tidur aje dekat sini malam ni. Esok pakcik boleh tumpang kamu balik sekali nak ambik kereta. Kereta ada dekat rumah kamu kan?” Kata Shukor lagi. Dia berasa terhutang budi dengan anak muda itu yang sudi membantunya.

Faiq tarik senyum tawar. Hampir terlupa tentang kereta yang terletak di rumahnya. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga bermalam di situ.

“Jom masuk. Hujan makin lebat ni.” Kata Shukor lagi sambil membuka pula pintu kereta lelaki itu.

Faiq terus mematikan enjin kereta. Dalam pada itu sempat dia memandang ke arah Awra dan ibu gadis itu yang masih berdiri di beranda rumah.

“Er.. Saya mintak maaf pakcik.. Susahkan pakcik sekeluarga aje.” Ucap Faiq merendah diri saat mereka beriringan di bawah payung sama.

“Takdalah Faiq. Pakcik yang kena terima kasih dengan kamu. Susah-susah hantar Awra lewat-lewat macam ni.” Shukor menepuk beberapa kali bahu anak muda itu. Ada kelainan yang menyapa kulit tangannya saat menyentuh tubuh lelaki itu.


“Er… Mana yang termampu aje pakcik..” Dengan suara yang sedikit bergetar Faiq menjawab. Sungguh kini dia terasa mula di awang-awangan. Kaki juga terasa tidak jejak ke tanah dan dalam sekelip mata pandangannya gelap sebelum dia rebah tidak sedarkan diri.

17 comments:

Anonymous said...

Hnm...nak kna tnggu bln dpan ke n3 trbru..jgn lma2 x snggup nk tnggu lg...hehehe..;-)

Ehem said...

Hahahah

doakan boleh cpt smbung. Heee

Unknown said...

Alahai sampai pengsan faiq...sakit2 pon nak gaduh juga erk....
lepasni nak jadi pompom girl arr biaq arsha cepat2 up next n3....heeee

Ehem said...

Hihihi

Hati kental. Mstilah gduh2 punye. Huu

Ahah. Ketua pompom girl eh..

Unknown said...

Lepas ni jangan ler plak awra pedajal faiq makan ayam masak merah wasabi resepi baru tu....eheeeeh...sian faiq...
Hati kental ker pekat ker dalam hati ada taman...kan...kan...
ala ketua pon ketua ler janji hari2 ada n3...kekeke

Ehem said...

heheh..

good idea dewi. ahah.

Unknown said...

sian faiq.....mesti awra mencair lepas ni....hehehe..

Ehem said...

Mencair?

Hikhik

MaY_LiN said...

nk lagi!!!!

ada said...

Jahat tau mulut awra..kesian faiq..

Ehem said...

Maylin

Tunggu bulan depan nooo hikhik

Ada

Thanks for reading!

Anonymous said...

asha jgn marah...cam nak lagi jew
hukhuk.x puas baca.....huarrrr

ayu salina said...

Ibarat kata hampir sedekad menunggu sambungan kisah awra dan faiq ni. Huhuhuhu

Kak Sue said...

Rasanya Awra ni keras hati dan Faiq pulak panas baran juga... pantang tercuit ekor sikit melenting ja...
Awra kalau orang dah tolong jangan banyak songeh boleh x... berterima kasih walaupun hati tengah marah...

Azure said...

Nak try bagi tajuk "Bukalah Hatimu Untukku"

Ehem said...

Thanks azure :)

ciknie said...

mlut faiq n awra nie dua2 x nk klah..ksian faiq smpai pengsan2 dok anta awra