Oct 7, 2013

Dambaan bahagia_bab 2


“Boleh tahan jugak budak-budak baru sem ni kan bro.” Ujar Anuar dengan sengihan apabila ada sekumpulan pelajar perempuan turun dari bas dan terus masuk ke kafeteria itu.

“Berdosa pandang lama-lama weh..” Balas Amirudin tanpa menoleh. Dia leka dengan nasi dalam pinggannya yang masih berbaki.

“Dua kali baru berdosa bro. Aku pandang sekali aje ni.” Jawab Anuar yang masih tidak lepas memandang seorang demi seorang pelajar perempuan yang melewati meja mereka.

“Aku salah pandang ke, mata aku yang rabun ni..” Omelnya kepada diri sendiri apabila mata dapat menangkap kelibat seseorang yang dikenali.

Amirudin mengangkat wajahnya berserta kerutan. “Kau apasal?” Soalnya sebelum mencapai air sirap bandung di sisinya.

“Aku nampak Tiya bro.”

Serentak itu air sirap bandung yang baru sahaja disedut oleh Amirudin tersembur ke wajah Anuar. Terbatuk-batuk dia seketika kerana air yang diminum masuk ke salur pernafasannya.

“Hoi! Kau ni apasal?” Marah Anuar yang terkejut apabila wajahnya tiba-tiba lencun dibasahi sirap bandung.

“Yang kau pergi sebut nama yang bukan-bukan dekat sini kenapa?” Tingkah Amirudin diselangi batuk Ada debar yang bertandang di hatinya sebaik sebaris nama itu meniti bibir Anuar tadi.

Ngok. Kau ingat aku main-main ke. Tu.. Kau tengok tu siapa. Tiya si kekasih hati kau tu.” Jawab Anuar sambil menunjuk ke arah salah satu penjuru kafe.

“Kau jangan buat hal Nuar. Aku takda masa nak gurau-gurau ni. Banyak lagi kerja yang aku boleh buat.” Balas Amirudin yang tetap tidak mahu menoleh. Gusar jika Anuar benar-benar serius dengan apa yang diperkatakan.

“Kau ingat aku ada masa nak gurau la? Muka aku kau dah sembur. Tak percaya, kau tengok sana tu. Cinta hati dunia akhirat kau tu.” Kata Anuar lagi sambil mengelap wajah dan bajunya yang mula terasa melekit dek semburan percuma sahabatnya itu.

Dengan debar yang tidak hilang Amirudin perlahan-lahan menoleh dengan harapan Anuar tersalah orang. Namun kini, dia terpempan. Tidak berkelip dia memandang ke salah satu sudut kafe. Seraut wajah yang sudah lama tidak bertamu di ruang matanya.

“Weh.. Tak payah nak tenung si Tiya tu macam kau boleh dapat sekarang. Kau habiskan nasi kau tu cepat sikit. Lepas aku hantar kau ke fakulti, aku nak terus balik. Kejap lagi corak free dekat baju aku ni terus tak boleh hilang kalau biar lama.” Tegur Anuar seraya menepuk bahu sahabatnya itu. Terasa segan untuk berlamaan di situ lagi kerana sejak tadi mereka sudah menjadi tumpuan. Ramai yang mengenali mereka di situ terutamanya Amirudin.

“Ala.. Kau kata nak teman aku sampai aku settle kan semua register aku.” Balas Amirudin tidak puas hati.
“Ahh.. Malas aku. Dengan baju aku dah ada corak ni, tak kuasa aku ikut kau. Aku baru nak usha freshie kalau-kalau boleh buat calon. Ni belum lagi aku usha, kau dah potong.” Jawab Anuar masih tetap dengan keputusannya.

Amirudin tersengih. Terlupa sebentar akan hal Fathiyah tadi apabila bertingkah dengan sahabatnya itu. “Iyalah.. Aku tahulah aku ni student repeat. Kawan semua dah menyombong.. Maklumlah nak temankan budak repeat macam aku ni, manalah ada standard kan..” Ujarnya kemudian pura-pura berjauh hati. Dia tahu sahabatnya itu tidak akan sampai hati jika dia sudah mengeluarkan ayat minta simpati begitu.

“Kau tak payahlah nak buat ayat kesian macam tu. Macamlah aku nak kesian. Takda takda. Kali ni jangan haraplah aku tergoda dengan ayat kesian kau tu. Aku nak terus balik lepas ni.” Anuar bertegas walaupun hatinya tetap terpancing dengan kata-kata Amirudin. Dia sudah berjanji dengan lelaki itu semalam.

“Kalau macam tu, kau baliklah sekarang. Aku boleh pergi sendiri.” Jawab Amirudin benar-benar berjauh hati apabila melihat ketegasan sahabatnya itu.

“Ahh kau ni. Nak buat ayat touching pulak dekat sini. Entah macam mana la kalau dah kahwin nanti kalau sikit-sikit nak merajuk. Nak ke si Tiya tu selalu pujuk kau.” Balas Anuar yang cukup faham akan perangai Amirudin yang bijak menyusun ayat memujuk.

“Hoi! Kau cakap baik sikit eh. Siapa yang nak kahwin dengan si Tiya tu? Kalau nak kahwin, dari hari tu aku dah kahwin bro. Macam confirm aje jodoh aku dengan dia kan..” Tingkah Amirudin kurang senang dengan apa yang diucapkan oleh Anuar menyebabkan debarnya tadi kembali bertandang malah semakin hebat. Akalnya kembali memberi tumpuan akan hal Tiya yang turut sama ada di kampusnya itu. Bukan dia tidak perasan dengan siapa gadis itu tadi. Bersama tunangan sahabatnya sendiri.

Anuar terdiam. Bola matanya terhenti pada satu arah.

“Kau kenapa ni?” Amirudin memandang pelik ke wajah Anuar yang tertegak duduk tidak bergerak dengan pandangan mata lurus ke arahnya. “Hoi!” Dia menampar perlahan pipi Anuar.

“Er.. Tu..” Ujar Anuar dengan bibir yang dimuncungkan.

“Apa tu?”

“Belakang kau tu.” Kata Anuar sambil melekapkan dua tapak tangannya ke wajah Amirudin dan ditolak ke arah yang dimaksudkan.

Amirudin telan liur. Wajah dingin Fathiyah melatari ruang mata sedekat itu. Begitu tajam sepasang mata bundar itu merenungnya.

“Aku pun tak hinginlah kahwin dengan lelaki yang repeat otak senteng macam kau!” Kata gadis itu sebelum terus berlalu.

Perghh.. Kejamnya ayat..” Tutur Anuar sebaik kelibat Fathiyah hilang dari pandangan.

Amirudin melepas keluhan panjang. Dia yakin Fathiyah terdengar apa yang diucapkannya tadi. Perasaannya mula berperang sesama sendiri.

“Sabarlah sahabat..” Anuar menepuk beberapa kali bahu Amirudin. Dia tahu sahabatnya itu memendam rasa. Ada sesuatu yang disimpan dan dipendam yang telah menjadi penyebab utama terputusnya hubungan kasih yang terbina sebelum ini.

*****

“Tiya..” Lembut Suhana memanggil apabila bakal adik iparnya itu hanya mendiamkan diri sebaik masuk ke dalam kereta.

“Kenapa mesti Tiya jumpa dia kak..” Itu yang terluah di bibir Fathiya dengan genangan air mata. Hatinya terasa sakit apabila teringat kembali kata-kata Amirudin tadi. Dan dia tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki itu dalam tempoh seminggu dia menyambung pengajiannya.

“Dah nama pun sama kampus. Mesti jumpalah..” Jawab Suhana sedikit berhati-hati kerana tahu apabila hal Amirudin diungkitkan, Fathiyah akan menjadi seorang yang cukup sensitif.

“Ni semua Angah punya pasal! Tak jumpa konon. Yang tadi tu siapa kalau bukan Shah. Roh Shah?!” Hambur Fathiyah geram. Peta kampus yang menjadi peneman setia ke mana sahaja dia pergi dalam waktu seminggu itu menjadi tempat melepaskan sakit hati. Habis renyuk dikerjakan. Mulutnya pula terus menerus terkumat-kamit memarahi.

Suhana tergelak kecil. Dia sedia maklum akan perangai bakal adik iparnya yang seorang itu. “Sudahlah tu Tiya. Kesian peta tu. Akak dah takda copy nak bagi nanti kalau dah lunyai Tiya kerjakan..” Ujarnya cuba memujuk.

“Tiya benci dia kak.. Tak nak kahwin konon. Macamlah Tiya ni yang tergila-gilakan sangat nak kahwin dengan dia.” Lepas Fathiyah lagi dengan hati yang membuak panas. Dia belum puas lagi menghamburkan amarah yang terkepung.

Suhana yang tekun memandu menggeleng beberapa kali. “Apa yang Shah dah cakap pada Tiya ni sampai Tiya marah macam ni. Sampai masuk bab kahwin sekali?” Balasnya lembut.

Fathiyah merengus. Pandangan mata terus dihalakan keluar tingkap. “Lelaki bajet handsome! Macamlah Tiya hadap sangat dengan dia!” Luah Fathiyah lagi tanpa menjawab pertanyaan wanita di sisinya itu.

Suhana menghela nafas panjang. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. “Sudahlah tu Tiya. Tiya tak payahlah ingatkan dia lagi. Tiya masuk sini sebab nak belajar kan? Tiya fokus aje dengan study Tiya. Tak payah nak sibukkan hal dia. Lagipun, bukannya hari-hari Tiya akan jumpa dia. Korang lain fakulti pun kan.. Tiya pun bukannya hari-hari ada kelas.” Ujarnya mahu menamatkan sahaja topik yang menghangatkan hati Fathiyah saat itu.

“Memanglah tak sama. Tapi Tiya tetap tak sukalah. Hish! Angah la punya pasal ni.. Tiya geram betul dengan dia. Saja aje nak kenakan Tiya sebenarnya. Macamlah course Tiya ni dekat U lain takda..” Fathiyah tidak henti menyalahkan Amir. Dia yang menyambung pengajian dalam bidang kerja sosial terpaksa menurut akan segala pilihan abangnya.

“Bukan macam tu la Tiya.. Abang Tiya pilih U ni.. Sebab nanti ada orang boleh tengokkan Tiya..” Suhana cuba menjelaskan keadaan sebenar namun belum pun sempat dia menyambung kata, Fathiyah sudah mencelah.

“Angah nak suruh budak senget tu yang tengokkan Tiya? Huh! Terima kasih ajelah. Tiya dah besar okey! Tak payah nak orang tengok-tengok. Baik dia jaga diri dia sendiri!” Masam mencuka wajah Fathiyah saat itu.

Suhana melepaskan tawa kecil lagi. “Tiya ni.. Akak belum lagi habis cakap..” Ujarnya dengan gelengan. “Ibu Tiya dekat rumah tu risau sangat pada Tiya tau. Sebab tu dia nak Tiya sambung belajar dekat sini. Angah dengan akak boleh tengok-tengokkan Tiya. Dari Tiya keluar dengan kawan-kawan Tiya tu… Selalu balik lewat sampai ke pagi. Dari Tiya buang masa macam tu, kan lagi bagus Tiya sambung belajar. Ibu Tiya pun tak risau sebab dah ada orang jaga Tiya.” Jelasnya panjang lebar.

Fathiyah terdiam. Dia terlupa akan ibunya. Memang ibunya yang begitu beriya-iya mahu dia menyambung pengajiannya.

“Tiya.. Dengar tak apa akak cakap ni?” Soal Suhana apabila gadis di sisinya itu hanya mendiamkan diri.

“Dengar..” Jawab Fathiyah perlahan. Terasa rindu pula pada ibunya di rumah. Lebih seminggu tidak pulang ke rumah kerana sibuk dengan jadual kelas yang masih belum tersusun dengan betul. Tambahan pula dia dalam proses untuk mengingati selok-belok jalan di dalam kampus kerana dia seorang yang begitu susah untuk mengingati jalan walaupun sudah berkali-kali memalui jalan yang sama.

“Erm.. Tiya janji dengan supervisor Tiya pukul berapa ni?” Suhana terus menukar topik perbualan mereka apabila teringat akan tujuan utama gadis itu bertemu dengannya. Kereta yang dipandu sudah pun masuk ke Fakuliti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“Erm.. Pukul dua kak..” Jawab Fathiyah selepas mengerling jam di pergelangan tangannya.  “Erm.. Kak, Dr. Kamarulzaman ni muda ke tua kak?” Lanjutnya yang sedikit risau dengan siapa dia akan berurusan sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun itu.  

“Tiya rasa?” Suhana mengajukan soalan juga berserta sengihan penuh makna. Dalam pada itu, kereta yang dipandu sudah pun berhenti di salah sebuah petak khas buat tenaga akademik.

“Entah.. Tapi kalau muda pun, mesti dah tak single.” Balas Fathiyah senang. Tidak berminat mahu meneka.

“Kita tengoklah macam mana. Jom masuk bilik akak dulu. Solat. Lepas tu nanti Tiya boleh terus pergi jumpa dia.” Ujar Suhana selepas mematikan enjin kereta. Dia berkongsi bangunan pejabat dengan Kamarulzaman yang bertindak sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan. Manakala dia di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan.

******

“Kau tak cakap pun dengan aku Tiya nak sambung study?” Ujar Amirudin sebaik sahabatnya itu melabuhkan duduk. Suasana yang agak bising di restoran 24 jam itu langsung tidak mengganggunya.

Amir tersenyum kecil. “Kenapa? Kau ada jumpa dia ke?” Dia mengajukan soalan juga.

“Kalau tak jumpa takpa bro. Sebab aku terjumpa dialah aku datang jumpa kau ni. Apasal sebelum ni kau tak cakap pun dengan aku dia nak sambung study. Nak sambung study tu takpalah. Ni dia sambung dekat tempat yang sama dengan aku kenapa? Memang dia mintak ke atau dia saja-saja mintak?” Bertalu-talu Amirudin meluahkan yang terpendam sejak bertemu secara tidak sengaja dengan bekas cinta hatinya.

Amir tersengih. “Kau ingat dia nak sangat pilih sama tempat dengan kau? Jangan haraplah. Aku yang uruskan semua borang dia hari tu. Memang sengaja aku pilih sama tempat dengan kau bro. Kalau aku takda, aku boleh harapkan kau tengokkan dia.” Jawabnya mengakui apa yang telah dilakukan. Puas dia memujuk Fathiyah minggu lalu supaya bersetuju dengan pilihan yang telah dibuat.

Amirudin menarik senyum tepi. “Kau nak harapkan aku tengokkan dia? Aku rasa kau salah oranglah bro. Tengok muka aku pun dia tak nak, ni kau nak aku tolong tengokkan dia? Untunglah kalau dia nak bro.” Balasnya sinis.

“Aku takda siapa yang nak harapkan lagilah Shah. Kau pun tahu yang Ana kadang-kadang kena pergi kursus jauh-jauh. Pergi seminarlah, apalah.. Tu yang kalau boleh, ada orang tengokkan dia dalam U tu.. Aku ni memanglah ada. Tapi time dia dekat rumah ajelah.” Terang Amir lanjut yang tidak mahu sahabatnya itu tersalah faham.

“Kejap-kejap! Kau nak bagi aku wasiat ke apa ni?” Sahut Amirudin cepat. Dia risau  jika Amir benar-benar mahu dia sentiasa memerhatikan Fathiyah sepanjang berada di kampus.

“Bagi wasiat la ni. Kau tak kisah kan? Lagi pun bukan aku tak tahu kau syok lagi dekat adik aku tu kan..” Jawab Amir yang cukup kenal dengan hati budi Amirudin walaupun kadang-kadang tindakan lelaki itu sukar diramal.

Amirudin tersenyum nipis. Memang dia tidak mampu membohongi sahabatnya itu. Hatinya tidak pernah memadamkan sebaris nama yang terpahat sejak dulu lagi. “Dia bukan macam Tiya yang aku kenal dulu Mer..” Ucapnya lambat disertai helaan berat.

“Dia jadi macam tu pun, kau tahu sebab apa kan?” Balas Amir mengendur. Tumpang simpati dengan apa yang telah berlaku.

“Aku ni takda pilihan Mer..”

“Kau bukan takda pilihan. Tapi kau yang takut nak pilih.”

“Pilihan apa yang aku ada?” Balas Amirudin dengan keluhan.

“Shah.. Kau tak percaya ke pada takdir?” Amir mengajukan soalan juga.

Amirudin tidak mampu menjawab. Sememangnya dia sedar akan takdir yang telah ditentukan buatnya sejak lahir lagi.

“Kau kena ingat Shah, kalau ikutkan hati aku, jangan haraplah aku nak baik-baik dengan kau lagi. Kalau ikut Amri lagi la.. Silap-silap, kau dah tak boleh main hoki lagi bro..” Lanjut Amir apabila teringat kembali apa yang telah dilakukan oleh Amirudin kepada satu-satunya adik yang dia ada. “Tapi disebabkan aku dengan Amri percaya pada takdir, percaya pada qadak dengan qadar dia.. Aku tahu mesti ada sebab Dia gerakkan hati kau untuk cancel majlis bertunang kau dulu.” Tambahnya apabila teringat peristiwa hampir dua tahu lalu.

Sorry Mer.. Aku..” Keluhan lagi yang terlepas di bibir Amirudin. Perasaan bersalahnya sehingga ke hari ini tidak pernah surut terhadap keluarga Fathiyah. Sedar banyak hati yang telah terluka di atas perbuatannya.

Amir menepuk beberapa kali bahu sahabatnya itu persis memberi semangat. “Sudahlah Shah.. Aku tahu, tak senang ada dekat tempat kau. Tetapi kadang-kadang, baik kita hargai orang ada depan mata kita dari kita tercari-cari benda yang tak pasti. Bersyukur dengan apa yang ada Shah.. Hargai orang yang dah bersusah-payah jadikan Amirudin Zulkarnain Shah hari ni.” Nasihatnya ikhlas sebagai seorang sahabat.

“Tapi Tiya..”

Pasal Tiya kau janganlah risau. Dia tu mulut aje kata benci.” Pintas Amir yang faham apa yang dirasai oleh lelaki itu.

Amirudin tersenyum nipis. “Erm.. Mer, kalau pasal kau nak suruh aku tengok-tengokkan dia, aku tak rasa aku bolehlah bro. Kau tahukan dia kalau boleh memang dah tak nak langsung tengok muka aku ni.” Luahnya serba salah untuk menerima tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

“Aku tak suruh pun kau tengok dia dua puluh empat jam. Kalau ternampak atau terserempak dengan dia. Kau tolonglah tengok-tengokkan. Kau tahukan dia macam mana. Aku rasa kawannya ada dekat mana-mana aje. Pantang orang ajak, cepat aje dia melangkah. Tu yang aku risau dia tu. Ni dia dah merengek nak drive kereta arwah ayah aku. Aku aje yang tak bagi. Biar dia susah sikit nak ke mana-mana. Kalau tak, panjang langkahnya.” Amir mula meluahkan kerisauan hatinya pula.

“Aku tak boleh nak janji dengan kau Mer.. Kau tahu aku pun busy dengan game aku, training aku. Aku tak tahu bila masanya aku dapat jumpa dia. Budak master ni kelas bukannya hari-hari.. Fakulti pun tak sama. Susah sikitlah..” Balas Amirudin sebelum mencapai cawan teh tarik yang belum berusik sejak tadi.

“Tu kau tak payah risaulah. Nanti aku bagi jadual kelas dia pada kau. Senang sikit nanti.” Jawab Amir dengan menjongketkan dua keningnya. Sedaya upaya dia akan cuba menjernihkan kembali hubungan yang telah keruh dan itu juga telah menjadi sebab utama dia memilih universiti yang sama buat adiknya.


Amirudin tersenyum tawar. Tidak menyangka sahabatnya itu begitu beriya-iya mahu dia berbaik kembali bersama Fathiyah setelah apa yang dilakukan. Namun begitu, yakin dia tidak mampu menjadi yang terbaik buat Fathiyah dan gadis itu tidak akan sewenang-wenangnya dapat menerima dirinya kembali seperti dulu. Sepasang mata bundar yang merenungnya siang tadi penuh dengan api kebencian yang begitu mendalam dan tidak mampu untuk dipadamkan walaupun dia berterus terang akan penyebab di sebalik kejadian. 

5 comments:

Kak Sue said...

Amir tentu ada sebab kenapa batalkan Majlis pertunangan di saat akhir...
Tiya dan Amir kena duduk berbincang... lepaskan apa yg x puas hati...
Amir tugas untuk mengambil semula hati Tiya bukan mudah.... tapi InsyaAllah jika dengan kesungguhan serta keyakinan... kak sue sokonggg... hehehe

Ehem said...

thanks kak su sebb selalu sokong cerita2 saya. :')

Anonymous said...

Awat xjdi tunang..??shah nie lebihkan game hoki die drpd bkl tunang sndiri ka...??

MaY_LiN said...


ape la c amirudin da buat ni..
nak kena piat ni..

diselangi batuk Ada~diselangi batuk. Ada
Fathiya~Fathiyah
memalui~melalui

y@t said...

nak lagi...plzzzzz