Assalamualaikum sahabat!
Buat mereka yang mengikuti SHORT STORY untuk MENGHARAP KASIH.
Azila bersama dua anaknya, serta Afrizal yang sudah pun meninggalkannya..
maaf segala kekurangan yang ada.. ~almaklumlah rasa macam nak dah #takmomenulis. ~_~"
******
“Aong.. Adik nak ucu.. Epat ar
Aong..” Rengek Danish Haikal dalam pelatnya.
“Along, dengar tak adik nak apa
tu. Bangunlah kejap.” Arah Hamid yang duduk di beranda rumah apabila terdengar
rengekan cucunya yang seorang itu.
“Kejaplah tok. Cerita ni dah nak
habis.” Balas Aniq Danial yang tetap tekun menonton rancangan kegemarannya.
“Aong!” Terjerit si adik apabila
permintaannya langsung tidak dihiraukan.
“Along.. Dengar tak adik suruh
tu..” Hamid sekali lagi bersuara.
“Kejaplah adik ni. Nanti Along
buatlah.” Balas Aniq yang tetap tidak berganjak dari tempat duduknya.
Sedang leka dia menonton, tidak
sedar Danish kian menghampiri.
“Sakitlah!” Terjerit Aniq
tiba-tiba apabila bahunya terasa perit.
“Adan uke! Adik dah akap nak ucu
Aong tak dengar.” Kata Danish geram. Langsung tidak bersalah dengan apa yang
dilakukan sebentar tadi.
“Atok! Tengok adik ni. Dia gigit
Along!” Laung Aniq sambil menggosok bahunya. Terus sahaja dia bingkas
mendapatkan Hamid di luar rumah.
“Tu la.. Atok cakap apa tadi.
Along tak nak dengar. Kan dah kena gigit.” Balas Hamid sambil melihat kesan
gigitan yang melekat pada bahu cucunya itu.
“Kenapa ni yah?” Azila yang baru
melangkah masuk bertanya. Dia baru sahaja pulang dari tempat kerja.
“Ummi, tengok ni.” Sahut Aniq sambil
menunjukkan bahunya yang merah.
“Kamu tahulah kalau Adik lambat
dapat susu.” Celah Hamid yang tersenyum melihat kerenah dua cucunya yang sudah
dua tahun tinggal bersamanya.
“Siapa gigit ni?” Sengaja Azila
bertanya walaupun sudah tahu siapa punya angkara. Anak bongsunya yang sedang
menghampiri dipandang tajam.
“Aong tak nak uwat ucu adik.” Adu
si kecil Danish yang sudah memeluk kakinya. Bersembunyi apabila Aniq mula mahu
memukulnya.
“Kan Along kata nanti. Siapa
suruh Adik gigit Along?” Aniq yang sudah berusia enam tahun itu mula meluahkan
rasa tidak puas hatinya kepada si adik.
“Aong tak nak uwat ucu adik..”
Selamba si kecil itu menjawab. Wajah umminya yang sudah bercekak pinggang
dipandang.
“Berapa kali ummi pesan Along.
Kalau adik nak susu, cepat-cepat buatkan.” Azila cuba mengingatkan anaknya yang
sulung kerana kejadian seperti itu sudah pernah berlaku sebelum ini. Dia tidak
menyalahkan si bongsunya yang masih tidak tahu apa-apa itu.
“Sudahlah tu. Kamu pergilah
buatkan susu. Nanti kamu yang digigitnya pulak.”
Ujar Hamid menenangkan keadaan.
“Huh! Along tak nak kawan adik.
Dah la tak puasa!” Ujar Aniq pula sebelum dia kembali masuk ke dalam rumah.
Ingin menyambung semula menonton rancangan kegemarannya tadi.
Bluerk! Sempat Danish mengejek
sebaik kelibat abangnya hilang.
“Hish! Jelirlah lidah tu. Ummi
tak nak buatkan susu.” Azila cuba mengugut. Namun ia sedikit pun tidak
menggugat Danish. Sebaliknya si kecil itu terus berlari mendapatkan Salbiah
yang muncul dari dalam bilik.
“Nenek! Adik nak ucu!” Jerit si
kecil itu selamba membuatkan Azila dan Hamid menggelengkan kepala. Tahu yang
anak bongsunya itu memang rapat dengan ibunya sejak dia tinggal di situ.
******
Ramzan memandang kiri dan kanan.
Cuba mengenal pasti orang yang lalu-lalang di situ.
“Adik, tunggu siapa?” Tegurnya
pada si kecil yang sedang duduk keseorangan di bangku panjang itu.
Danish menoleh. Terkelip-kelip
matanya memandang Ramzan yang sedang tersenyum.
“Adik tunggu siapa ni? Ibu mana?”
Ramzan tetap juga bertanya sungguhpun tiada balasan daripada si comel itu.
“Adik!” Muncul seorang lagi
kanak-kanak di situ membuatkan Ramzan sedikit terkejut.
“Adik! Kan ummi suruh duduk dekat
dalam. Siapa suruh adik duduk sini?” Marah Aniq lagak seperti seorang abang
yang cukup prihatin dengan keselamatan adiknya.
“Adik enatlah..” Jawab Danish
dengan mulut yang memuncung.
“Kalau.. Kalau ada orang ambik adik macam mana? Nanti ummi
menangis adik hilang macam mana?” Bebel Aniq tanpa menghiraukan lelaki yang
sudah melabuhkan duduk di sisi adiknya itu.
“Adik ni siapa?” Soal Ramzan
mesra. Tercuit melihat telatah dua beradik itu.
“Along.” Jawab Aniq lurus. Senyum
nipis dilemparkan.
“Along datang dengan siapa?”
Tanya Ramzan lagi ingin tahu. Yakin dua beradik itu bersama penjaga.
“Ummi.” Jawab Aniq sepatah.
“Ummi mana?”
“Dekat dalam.” Balas Aniq seraya
melabuhkan duduk di sisi kanan adiknya.
“Oh.. Erm.. Ayah pun ada dekat
dalam dengan ummi ya?” Ujar Ramzan sambil memandang ke arah kedai pakaian
kanak-kanak di hadapannya. Cuba mencari penjaga dua anak kecil bersamanya itu.
Aniq menggelengkan kepala. Hilang
wajah ceria di wajah comel itu.
“Ayah Along pergi kerja ya?”
Ramzan cuba meneka.
“Erm.. Ayah dah jumpa Allah.”
Balas Aniq selamba.
Ramzan terpempan. Bersilih ganti
dia memandang dua wajah comel di sisinya itu. Seperti tidak percaya dengan apa
yang didengari.
“Er.. Maaf..” Satu suara menyapa
membuatkan dia menoleh. Sekali lagi dia terpempan melihat wajah yang sedang
tersenyum kian menghampiri.
“Zila?” Dia cuba mengingati
seraut wajah itu.
“Er.. Kita kenal ke?” Soal Azila
sedikit kurang pasti sambil menggamit dua anaknya.
“Awak Azila kan?” Ujar Ramzan
lagi ingin kepastian.
“Er.. Ya.. Awak siapa?” Soal
Azila kembali.
“Saya Azan. Tak ingat ke? Dulu
saya pernah praktikal dekat Maju Bina Sdn. Bhd. Awak assistant Encik Razak kan?” Ramzan cuba membantu Azila untuk
mengingati semula kenangan lalu.
“Oh.. Okey-okey.. Saya baru
ingat. Lima tahun lepaskan?” Balas Azila berserta senyuman.
“Haah.. Tak sangka jumpa awak
lagi. Dia orang ni..”
Azila mengangguk perlahan.
“Tapi tadi Along cakap ayah dia
dah..”
“Dekat tiga tahun dah Rizal
takda..” Pintas Azila menjelaskan hakikat yang satu itu.
“Sorry.. Saya tak tahu..” Balas Ramzan serba salah.
“Takpa..” Jawab Azila senang.
Sedikit pun tidak berkecil hati. “Along, adik.. Salam Acik Zan..” Ujarnya
kemudian kepada kepada anak-anaknya. Dan tanpa membantah kedua-duanya akur.
“Erm.. Awak kerja lagi dengan Encik
Razak?” Soal Ramzan sebaik mengusap lembut kepala Danish yang menyalami
tangannya. Ada rasa aneh bertapak di hati saat si kecil itu mengucup tangannya
tadi.
“Saya dah lama berhenti kerja.
Lepas kahwin, terus berhenti. Tapi sekarang kerja dekat kampung aje.” Jelas
Azila jujur. “Erm.. Awak kerja mana sekarang?” Soalnya pula berbasa-basi.
“Kerja sendiri aje..” Balas
Ramzan merendah diri. “Erm.. Lepas ni ada nak pergi mana-mana lagi? Kalau
takda, jom berbuka sekali. Boleh?” Ujarnya yang tiba-tiba ingin tahu apa
sebenarnya yang telah berlaku terhadap keluarga wanita itu. Azila yang dikenali
dahulu seorang yang begitu ceria dan cukup menghiburkan hati hingga pernah
terdetik suatu perasaan di hatinya dahulu terhadap wanita itu. Namun segera
ditolak jauh kerana tahu saat itu Azila sudah bertunang dengan Afrizal.
“Er.. Ingat memang nak berbuka
dekat sini aje.. Er.. Tak mengganggu awak ke nanti? Anak-anak saya ni nakal
sikit..” Azila serba salah.
“Takpalah. Budak-budak biasalah.
Jom.. Saya pun berbuka sorang ni.”
Balas Ramzan senang. Sememangnya dia bersendirian di pusat membeli-belah itu
sementara menanti waktu berbuka. Cuma dia tidak menyangka akan bertemu dengan
Azila selepas lebih lima tahun berlalu. Ada perasaan lain mula mengusik
hatinya. “Erm.. Adik dengan Along nak berbuka dekat mana hari ni? Hari ni Acik
Zan belanja.” Ujarnya senang kepada dua si kecil yang ralit memandangnya saat
itu.
“Along nak makan pizza. Boleh ke
Cik Zan?” Selamba Aniq bertanya.
“Adik nak izza..” Celah Danish
pula sambil menyentuh tangan Ramzan membuatkan lelaki itu sedikit terpempan.
Ada suatu perasaan yang begitu asing muncul di hatinya apabila menerima
sentuhan lembut itu.
“Along.. Adik..” Tegur Azila
kurang senang melihat anak-anaknya begitu mudah mesra dengan lelaki di
hadapannya itu. Sedangkan baru kali pertama mereka bertemu.
“Takpalah.. Jom.. Cik Zan belanja
pizza hari ni.” Senang Ramzan menjawab sambil memimpin kedua-duanya sebelum
melangkah.
“Cik Zan, ukung adik. Adik enat
la..” Omel si kecil Danish di sebelah kanannya membuatkan langkahnya terhenti.
Azila pun begitu juga.
“Adik.. Sini ummi dukung..” Cepat
sahaja dia mencapai tangan Danish. Terasa segan dengan permintaan anak
bongsunya itu.
“Eh.. Takpalah. Awak pun banyak bawak barang tu.” Sahut Ramzan yang
terus sahaja mengangkat tubuh si kecil Danish.
Azila tersenyum kelat. Sungguh
dia kurang senang melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Ramzan dan
anak-anaknya. Persis mereka sudah lama kenal.
******
“Azan..” Panggil Ramlah sebaik
anak bongsunya itu melangkah masuk.
“Bu.. Tak tidur lagi?” Balas
Ramzan sebelum melabuhkan duduk di sisi ibunya itu.
“Kamu terawih dekat mana tadi?”
Soal Ramlah tanpa menjawab pertanyaan anaknya itu. Kebiasaannya setiap hujung
minggu anak bongsunya itu akan pulang ke rumahnya. Cuma hari itu lebih lewat
dari biasa.
“Dekat masjid bu..” Jawab Ramzan
sambil mengukir senyum penuh makna. Matanya lurus terhala ke skrin tv yang
terpasang.
Ramlah mengerutkan wajah. Pelik
benar melihat senyuman yang terlukis. “Senyum-senyum tu.. Ada apa-apa ke?”
Ujarnya ingin tahu.
Ramzan melebarkan lagi senyum.
Tiada hati mahu menjawab soalan yang diajukan. Dia belum bersedia untuk
bercerita peristiwa hari itu. Biarlah ia menjadi rahsia hati. Teringat wajah
ceria dua anak kecil bersama-samanya tadi hati mula digeletek perasaan indah.
“Cik Zan, bila kita nak jumpa lagi?” Tanya Aniq yang masih tidak mahu
melepaskan tangannya. Begitu juga dengan Adik yang tidak lepas sejak tadi.
“Inshaa Allah. Kalau Cik Zan tak busy, kita boleh jumpa. Boleh berbuka
sama-sama lagi.” Jawabnya senang sambil mengerling ke wajah Azila yang serba
tidak kena sejak tadi.
“Cik Zan, Adik nak ukung..” Celah Danish manja dan dia senang menurut.
Sepanjang makan tadi wanita itu
tidak banyak bicaranya. Mungkin sudah lama tidak bertemu membuatkan mereka
sama-sama kekok. Dia lebih banyak berbual dengan dua anak kecil itu berbanding
Azila yang lebih banyak mendiamkan diri.
“Aduh bu.. Sakitlah..” Ramzan menyeringai
kesakitan apabila pehanya tiba-tiba terasa perit kerana cubitan halus ibunya.
“Ibu cakap dengan dia, dia boleh
sengih-sengih dari tadi kenapa?” Marah Ramlah sedikit geram melihat anak
bongsunya yang langsung tidak menjawab pertanyaannya.
“Lain kalilah bu Azan story. Sekarang Azan nak naik tidur. Nak
mimpi indah-indah.” Balas Ramzan sebelum bingkas. Sengaja mahu mengusik ibunya
yang sudah menjegilkan mata. Cepat sahaja dia mengelak apabila kusyen kecil yang
dilemparkan oleh ibunya hampir mengenai tubuh. Laju dia mendaki tangga naik ke
bilik.
*****
“Along nak berbuka apa hari ni?”
Soal Azila saat memimpin anak sulungnya itu di celah orang ramai.
Bazaar ramadhan sememangnya akan
penuh setiap kali hujung minggu. Tambahan pula dia sudah lama tidak menjejakkan
kaki ke situ sejak dia berpindah ke kampung. Kebetulan hari itu kakaknya Amira
mengajaknya sekeluarga berbuka bersama.
“Along nak kuih hijau yang
sedap tu ummi.” Jawab Aniq sambil
menunjuk ke arah salah satu gerai yang menjual kuih muih.
“Oh.. Buah Melaka. Lagi?” Soalnya
lagi sebaik tiba di gerai yang dimaksudkan. Apa sahaja yang pernah menjadi
makanan kegemaran suaminya dulu, kini menjadi pilihan anak sulungnya itu.
“Erm.. Adik suka makan kuih apa
tu ummi. Yang tu.” Aniq menunjukkan ke arah satu kuih warna hijau yang siap
berpotong.
Azila menguntum senyum. Senang
hatinya dengan perangai anak sulungnya itu. Sering mengambil berat akan anak
bongsunya. Kebetulan anak bongsunya itu menanti di dalam kereta bersama ibunya.
“Nak kuih apa yah?” Soalnya kepada
Encik Hamid pula yang turut sama di situ sedang memerhati pelbagai jenis kuih
yang dijual.
“Beli ajelah apa-apa. Ayah tak
kisah.” Jawab Hamid senang.
“Cik Zan!” Tiba-tiba Aniq
bersuara membuatkan Azila sedikit tersentak. Terkejut akan nama yang meniti
bibir si kecil itu.
“Cik Zan?”
“Tu ummi. Sebelah atuk.” Jawab
Aniq sambil tersengih. Terus sahaja dia mendapatkan lelaki yang dimaksudkan.
Azila melemparkan senyum segaris.
Tidak tahu reaksi apa yang harus ditunjukkan. Sejak pertemuan pertama mereka
selepas lima tahun lalu, lelaki itu sering menghubunginya. Ada beberapa kali
juga Ramzan mempelawanya untuk berbuka bersama. Namun dia yang menolak kerana
tidak mahu menimbulkan buah mulut orang. Dia sedar akan gelaran yang disandang
kini.
“Sorry. Cik Zan tak perasan Aniq
dengan ummi.” Kata Ramzan sambil menggosok kepala si kecil. Dia sendiri agak
terkejut dengan kemunculan si kecil itu.
“Oh.. Ni la Cik Zan yang adik
selalu cakap tu?” Celah Hamid diiringi senyum penuh makna.
Aniq dan Danish ada menceritakan
tentang Ramzan dan dia sering juga terdengar anak-anak kecil itu berbual dengan
seseorang di telefon dan panggilan Cik Zan yang meniti bibir masing-masing.
“Er.. Haah yah..” Jawab Azila
serba tidak kena. Tidak menyangka Allah akan menemukan mereka di hadapan ayahnya
walaupun sudah sedaya upaya dia menyembunyikan hal itu.
“Pakcik..” Ramzan memaniskan
wajah seraya menyalami tangan Hamid penuh hormat.
“Kamu memang duduk sini ke Cik
Zan..” Ujar Hamid dengan senyuman nipis di bibir tuanya.
“Ramzan ayah..” Azila membetulkan
nama panggilan yang disebut ayahnya.
“Oh.. Ramzan.. Kamu memang duduk
sini ke?” Ulang Hamid dengan sengihan.
“Haah pakcik. Perumahan belakang
ni. Erm.. Tak pernah saya terjumpa Zila dekat sini. Berbuka dekat mana ni?”
Giliran Ramzan pula bertanya.
“Oh.. Rumah anak pakcik ada dekat
perumahan belakang ni jugak. Saja hujung-hujung minggu ni tukar suasana sikit.”
“Iya ke.. Erm.. Adik mana? Tak
bawak sekali?” Ramzan berbasa-basi sambil memandang ke arah Azila. Dia perasan
ada riak kurang selesa di wajah ayu itu.
“Adik ada dengan mak tunggu dalam
kereta. Erm.. Azan, saya jalan dulu ya.. Nak beli martabak dekat sana tu. Adik
dah pesan tadi.” Azila tidak mampu berlamaan di situ. Risau ayahnya menyangka
yang bukan-bukan pula. “Along, salam Cik Zan dulu.” Arahnya kepada Aniq yang
sejak tadi tidak lepas memegang tangan Ramzan.
“Cik Zan, bila nak berbuka dengan
Along, dengan Adik lagi?” Ramah mulut si kecil itu bertanya selepas menyalami
tangan Ramzan.
“Kamu berbuka dengan siapa hari
ni Azan? Jom ikut sekali.” Hamid pula ringan mempelawa anak muda di hadapannya
itu.
Azila mula tidak senang hati
mendengar pelawaan ayahnya. Sungguh dia tidak selesa jika Ramzan ada bersama
keluarganya.
“Eh.. Takpalah pakcik.. Saya dah
janji dengan kawan-kawan tadi. Lain kali aje.” Balas Ramzan lembut menolak
pelawaan. Bukan dia tidak sudi. Namun dia faham akan keadaan Azila yang jelas
kekok. “Erm.. Saya jalan dulu pakcik. Assalamualaikum.” Lanjutnya seraya
menyalami tangan Hamid dan menggosok kepala Aniq. Sempat dia melemparkan senyum
buat Azila sebelum dia beredar.
“Kamu dah lama kenal ke budak
Azan tu?” Soal Hamid saat mereka beriringan ke gerai martabak pula.
“Er.. Dulu pernah kerja satu
tempat yah..” Jawab Azila serba tidak kena. Dia yakin ayahnya itu tidak
mengingati Ramzan walaupun lelaki itu pernah sekali bertandang ke rumahnya lima
tahun lalu.
“Bujang?” Soal Hamid lagi
inginkan kepastian.
“Er.. Ha’ah..” Serba salah Azila
menjawab.
“Umur berapa?”
Azila dah telan liur yang terasa
payau. “Tiga puluh tiga ayah.” Jawabnya perlahan seraya menarik tangan anak
sulungnya. Si kecilnya itu terlalu dengan kuali yang sedang memasak martabak.
Hamid tersenyum nipis. Mata
tuanya tidak salah menilai. Melihat akan gaya dan cara Ramzan berbicara tadi,
dia yakin anak muda itu masih belum berumah tangga. Cara Ramzan memandang
anaknya juga dirasakan cukup berbeza.
“Ummi, Maklong..” Tutur anak
sulungnya tiba-tiba.
“Maklong?” Azila sedikit terkejut
mendengar panggilan itu meniti bibir anaknya. Serentak itu dia menoleh ke arah
yang dimaksudkan.
Azrina bersama dua orang
kana-kanak di gerai roti john berhampiran. Tidak menyangka dalam puluhan orang
yang ramai di situ dia dipertemukan dengan insan yang telah memberi kesan yang
begitu mendalam pada hidupnya. Hampir dua tahun dia tidak bertemu dengan bekas
kakak iparnya itu sejak berpindah. Ada air hangat mula bertakung di pelupuk
matanya tiba-tiba apabila terkenang kembali kenangan lalu. Teringat akan bekas ibu
mentuanya yang sakit dan kini di bawah jagaan Azrina.
“Kamu tak nak jumpa dia ke?”
Hamid bersuara.
“Takpalah yah.. Zila tak nak
ganggu dia.” Jawab Azila seraya berpaling ke arah lain. Dia yakin yang kakak
iparnya itu tidak mahu bertemu dengannya walaupun dia teringin benar bertemu
dengan Azrina untuk mengetahui keadaan bekas ibu mentuanya.
Kali terakhir dia bertemu dengan
ibu mentuanya di saat hari pengebumian suaminya. Begitu keruh wajah ibu tua itu
hingga dia sendiri tidak mampu menahan kesedihan. Bertambah sedih apabila dia
melihat hanya keluarga Azrina sahaja yang hadir. Entah di mana adik-beradik suaminya
yang lain.
******
“Ummi.. Adik nak ni mii..” Ujar
Danish sambil menggoncangkan lengan Azila yang terlena di sofa.
“Ummi penatlah Adik.. Adik
pergilah main dengan Along..” Jawab Azila dengan mata terpejam. Di penghujung ramadhan
itu dia terlalu letih. Letih menyiapkan tempahan kuih raya yang banyak hingga
dia kurang tidur. Semuanya semata-mata ingin mendapatkan pendapatan lebih. Gaji
yang diperolehi kerja sebagai kerani di sebuah kedai pencetakan di pekan kecil
berhampuran kampungnya tidaklah sebesar mana. Hanya cukup-cukup buat mereka
bertiga. Jika boleh dia mahu menyediakan makan pakai anak-anaknya sendiri tanpa
bantuan ibu bapanya walaupun mereka tidak pernah mengungkit.
“Ummi.. Adik nak ni..” Danish
tetap juga menggoncangkan lengan Azila yang mahu kembali lena. Kertas surat
khabar yang dipegang sudah didakap erat.
“Adik.. Janganlah kacau ummi..
Ummi penatlah dik.. Adik pergilah main dengan atuk dengan Along..” Begitu juga
jawapan yang diberi oleh Azila seraya memusingkan tubuh membelakangi anak
bongsunya itu. Tubuhnya benar-benar terasa letih saat itu.
Danish yang memerhati mula
berwajah keruh. Terus sahaja dia mendapatkan Aniq yang sedang bermain game di telefon bimbit Azila. “Aong..”
Meleret suara Danish sambil melabuhkan duduk di sisi abangnya.
“Adik nak apa? Sibuklah.. Adik
pergilah tengok tv tu.” Balas Aniq sambil menjarakkan diri. Tidak mahu Danish
mengganggunya.
“Aong.. Adik nak ni Aong..” Renge
si kecil itu sambil menunjukkan kertas surat khabar yang dibawa. Ada gambar
seketul burger yang cukup besar terpampang.
“Mana boleh. Ummi takda duit la..
Kan kuih ummi belum siap.” Balas Aniq selepas menoleh sekilas ke arah gambar
yang ditunjukkan.
Wajah Danish semakin keruh. Namun
hanya seketika apabila dia tiba-tiba merampas telefon bimbit Azila yang sedang
dipegang oelh Aniq.
“Adik!!” Terjerit Aniq apabila
Danish terus sahaja melarikan gajet tersebut ke dalam bilik. Terus sahaja dia
mendapatkan adiknya.
“Along tengah main game la! Bagi
sini handphone tu!” Marah Aniq sambil cuba merampas gajet tersebut dari tangan
Danish.
“Adik nak akap ngan Cik Zan!”
Lawan Danish yang tetap tidak melepaskan gajet tersebut.
“Nak buat apa cakap dengan Cik
Zan?” Aniq berhenti dari merebut telefon bimbit itu.
“Adik nak ni.” Kata Danish sambil
menunjukkan kertas surat khabar yang dibawa sejak tadi.
“Bagi dulu telefon ummi tu, biar
Along telefon Cik Zan.” Kata Aniq memujuk.
Tanpa banyak soal pula Danish
menyerahkan gajet tersebut.
Sebaik telefon bimbit bertukar
tangan, Aniq terus sahaja mendail nombor Ramzan. Anak kecil sebijak Aniq, tidak
sukar untuk mengendalikan telefon bimbit itu. Tambahan pula Ramzan selalu
menghubungi mereka.
Sementara Azila yang masih lena
di sofa, langsung tidak sedar apa yang berlaku sehingga kedua-dua anaknya kembali.
“Ummi, ummi. Cik Zan nak datang
rumah kita!” Kata Aniq sambil menggoncangkan tubuh Azila sekuat hati.
“Along.. Adik… Ummi penatlah..
Pergilah main dengan atuk, main dengan nenek. Bagi ummi tidur lima minit aje.
Kejap lagi kita pergi bazaar.” Balas Azila tanpa membuka mata dan lenanya
sekali lagi terganggu.
“Ummi.. Angunlah.. Cik Zan nak
umpa adik..” Kata Danis dengan pelatnya.
Azila mengerutkan dahi. Namun
masih tidak membuka mata. Cuba dibuang jauh nama Ramzan yang menyapa gegendang
telinganya.
“Ummi.. Cik Zan nak belanja Along
dengan Adik berbuka dekat McD ummi..” Panggil Aniq lagi bersungguh.
“Janganlah kacau ummi Along..”
Balas Azila sambil menolak tangan Aniq
yang masih menggoncang lengannya.
“Cik Zan kata, kalau ummi tak nak
ikut, Cik Zan nak bawak Along dengan Adik. Ummi tinggal dengan atuk dengan
nenek.” Kata Aniq lagi tidak putus asa.
“Mana ada Cik Zan. Dia sibuklah..
Dia banyak kerja.” Jawab Azila separa sedar.
“Cik Zan tak sibuk. Cik Zan kata,
kejap lagi Cik Zan nak sampai. Lima minit aje.” Jelas Aniq yang sudah
melabuhkan duduk di tepi tubuh Azila. Begitu juga dengan Danish.
“Suka hati Alonglah.. Ummi tak
nak ikut. Ummi penat.” Balas Azila selamba. Dia masih mahu menyambung lenanya
memandangkan waktu ketika itu belum pun pukul 4 petang.
Serentak itu terdengar suara
orang memberi salam membuatkan Aniq dan Danish berpandangan antara satu sama
lain sebelum kedua-duanya berlari ke beranda rumah.
“Cik Zan!” Hampir serentak
kedua-duanya menjerit membuatkan Azila terkejut. Matanya terbuka serta-merta.
Laju dia menegakkan tubuh untuk mencari kedua-dua zuriatnya.
“Adik, Along..” Panggilnya sambil
menggosok beberapa kali mata dan membetulkan ikatan rambut yang sudah longgar.
Saat itu terasa dunianya berpusing kerana bangun mengejut begitu.
“Assalamualaikum..” Terdengar
suara menyapa di belakangnya membuatkan kepalanya segera menoleh. Tidak
berkelip matanya memandang seraut wajah yang sedang tersenyum manis itu.
“Er.. Waalaikumussalam. Er.. Apa
awak..” Kalut dia tiba-tiba sebelum terus bingkas. Sedar akan keadaan dirinya
saat itu yang hanya berbaju-t lengan pendek bersama kain batik. Baru bangun
tidur pula. Malu!
Ramzan melepaskan tawa kecil
melihat Azila yang kelam-kabut. Aniq dan Danish yang sejak tadi memegang
tangannya juga turut sama ketawa.
“Nenek! Cik Zan datang!” Baritahu
Aniq sebaik kelibat Salbiah muncul dari ruang dapur.
Salbiah mengerutkan dahi melihat
seorang lelaki di ruang tamunya.
“Makcik..” Tegur Ramzan seraya
menyalami tangan Salbiah.
“Siapa ni?” Soal Salbiah cuba
mengingati seraut wajah itu.
“Ramzan makcik.” Jawab Ramzan berserta
senyuman. Dia yakin Salbiah tidak mengingatinya walaupun dia pernah bertandang
ke situ ketika hari raya lima tahun dahulu.
“Cik Zan la nenek.” Sampuk Aniq
pula.
“Iyalah-iyalah. Jemput duduk
Ramzan. Nak jumpa Zila kan?” Ujar Salbiah mesra.
“Ha’ah makcik. Pakcik mana?”
Ramzan berbasa-basi.
“Keluar sekejap. Kamu duduklah
dulu. Mana si Zila ni. Tadi makcik nampak dia terbaring dekat sini.” Kata
Salbiah sebelum berlalu. Penuh persoalan di dalam kepalanya dengan kedatangan
seorang lelaki yang tidak dikenalinya itu.
Ramzan hanya menarik senyum
sebelum melabuhkan duduk. Aniq dan Danish pula terus mengambil tempat di sisi
kanan dan kirinya.
“Macam mana awak ada dekat sini?”
Muncul Azila dengan wajah yang sedikit lembap dan bertudung.
“Saya dari Port Dickson. Saja
lalu sini.. Lepas tu, Aniq call saya.
Tu yang singgah sekejap.” Jelas Ramzan akan tujuannya singgah ke situ.
Dia yang sememangnya teringin
benar bertemu dengan dua anak kecil itu lagi, tidak dapat menahan diri apabila
Aniq menghubunginya tadi. Tidak teragak-agak dia ke situ memandangkan dia masih
ingat lagi laluan ke rumah wanita itu.
Azila sudah merenung tajam ke
arah Aniq dan Danish bersilih ganti. Sedarlah kini yang dia sebenarnya tidak
bermimpi tadi. Memang nama Ramzan yang disebut-sebut oleh dua anaknya itu.
*******
“Macam tak okey aje?” Ujar Ramzan
sebaik melabuhkan duduk di sisi Azila yang duduk di atas pangkin kayu sejak
tadi. Dia leka memerhati anak-anaknya bermain bunga api.
“Kenapa awak datang sini?” Soal
Azila tidak bernada. Tidak mampu lagi dia menyimpan soalan itu sebaik Ramzan
tiba sebelum maghrib tadi. Tidak boleh tidak, buat kali ketiga Ramzan berbuka
bersamanya tanpa dirancang. Dan kali ini hingga semua adik-beradiknya sudah
mengenali lelaki itu dan masing-masing mula mengusiknya bercinta dengan Ramzan.
“Kenapa? Tak boleh ke?” Balas
Ramzan dengan soalan juga. Dia sedar Azila tidak begitu senang dengan
kehadirannya.
“Bukan tak boleh. Ni kan malam
raya.. Sepatutnya awak dengan family awak. Bukan dekat sini dengan family
saya.” Luah Azila kurang senang.
Ramzan tersenyum nipis. Pandangan
matanya dilemparkan ke tengah halaman memerhati anak-anak Azila bermain dengan anak
kakak-kakak Azila yang lain. “Kejap lagi saya baliklah..” Jawabnya lambat.
Bukan dia tidak teringat akan ibunya yang menanti di rumah. Namun disebabkan adik-beradiknya
yang lain sudah berkumpul, dia mengambil peluang itu untuk bertemu dengan
Azila. Ada hal penting yang ingin disampaikan menyebabkan dia mengambil
keputusan datang ke rumah wanita itu tanpa memberitahu terlebih dahulu.
“Awak boleh tak lain kali kalau
nak datang, bagi tahu saya dulu? Ini tak, ikut suka awak aje nak datang. Sama
macam hari tu. Awak tak takut ke orang mengata kita? Awak fahamkan?” Ujar Azila
penuh mengharap agar Ramzan mengerti keadaan dirinya. Orang sekeliling
memandang serong pada perempuan berstatus ibu tunggal sepertinya. Tambahan pula
dia masih muda. Malah lebih muda tiga tahun daripada lelaki itu.
“Kita bukan buat benda tak elok.”
Jawab Ramzan selamba.
“Memanglah.. Tapi awak kena faham
keadaan saya Azan. Saya bukan macam awak. Awak tak malu kalau orang mengata
awak sibuk datang rumah perempuan macam saya..” Jelas Azila lagi merendah diri.
Sedar yang dia tidak layak untuk bergandingan dengan lelaki itu.
Ramzan kini seorang kontraktor
berjaya. Punya syarikat sendiri dan keluarganya agak dikenali kerana arwah
ayahnya antara pemegang jawatan tertinggi dalam badan kerajaan.
“Family awak tak cakap apa-apa pun.” Balas Ramzan masih dalam nada
yang sama.
“Memanglah dia orang tak cakap
apa-apa. Saya cakap orang lain.. Mak awak.. Family
awak.. Kawan-kawan awak.. Macam mana?”
“Azila, saya suka awak. Saya nak
kahwin dengan awak. Bukan dengan semua orang yang awak sebut tu.” Lancar Ramzan
menuturkannya tanpa rasa ragu. Dia tidak mampu menolak perasaan indah yang
berputik kembali di hatinya setelah lima tahun terpadam. Yakin Azila memang
jodoh yang telah Allah tentukan buatnya walaupun wanita itu tidak seperti
wanita lain. Wanita itu kini sudah mempunyai tanggungjawab.
Azila sedikit terpempan. “Awak
cakap apa ni?”
“Saya suka awak Zila. Saya dah
lama suka awak. Dari hari pertama saya daftar untuk praktikal lima tahun
dulu..” Luah Ramzan jujur.
“Awak jangan nak main-mainkan
saya Ramzan. Awak sedar tak apa yang awak cakap? Awak sedar tak dengan siapa
awak cakap sekarang ni?” Tingkah Azila seperti kurang percaya dengan apa yang
baru sahaja didengarinya. Dia tidak pernah membayangkan ikatan persahabatan
yang baru sahaja terjalin belum sampai sebulan itu akan membuahkan rasa cinta
di hati Ramzan.
“Saya tak main-main. Saya sedar
apa yang saya cakap dan saya sedar dengan siapa saya cakap. Saya cakap dengan
awak Azila.” Jawab Ramzan cukup yakin.
Azila tersenyum sinis. Cuba
membuang debar yang menyapa hatinya saat itu. “Saya rasa, elok awak balik Azan.
Saya tak nak jiran-jiran saya mengata keluarga saya bila nampak awak dekat sini
lama-lama.” Balas Azila sebelum bingkas. Dia mahu meninggalkan Ramzan di situ.
“Zila.. Please.. Saya serius
sukakan awak. Sebab tu saya datang malam ni. Tadi pun saya dah cakap dengan mak
ayah awak. Saya dah mintak izin dia orang nak jaga awak, jaga anak-anak awak.”
Tambah Ramzan membuatkan langkah Azila terhenti. Dia kembali menoleh.
Sungguh dia terkejut dengan apa
yang meniti bibir lelaki itu. Tidak menyangka sejauh itu langkah Ramzan tanpa
pengetahuannya. “Saya rasa, elok awak balik Ramzan. Awak fikir baik-baik
sebelum bercakap. Awak kena fikir hati dan perasaan orang lain dulu sebelum
awak buat apa-apa keputusan.” Jawab Azila dengan suara yang bergetar. Pelupuk
matanya pula mula terasa hangat. Dalam hati, dia cuba membuang jauh apa yang
baru sahaja diungkapkan oleh lelaki itu.
Sepanjang dia bergelar ibu
tunggal, belum pernah ada lelaki yang begitu berani meluahkan perasaan hingga
melibatkan ibu dan ayahnya melainkan arwah suaminya dahulu. Diakui yang dia
perlukan seorang teman untuk dijadikan tempat bergantung harap, menumpang
kasih. Namun bukan lelaki seperti Ramzan. Status Ramzan yang bujang itu cukup
meraguinya. Dia belum cukup yakin Ramzan mampu menjaga dirinya dan anak-anak.
Bukan itu sahaja, belum tentu keluarga Ramzan dapat menerima keadaan dirinya.
“Saya dah fikir masak-masak
Azila. Saya dah fikir semua tu. Saya yakin family saya boleh terima awak macam
mana family awak boleh terima saya.” Jawab Ramzan yang tetap dengan
keputusannya.
“Awak jangan main-mainkan saya
Ramzan.. Tak semudah tu mak awak boleh terima perempuan macam saya..” Balas
Azila seraya memalingkan wajah. Tidak mampu memandang wajah Ramzan kerana air
matanya hampir sahaja jatuh. Entah kenapa dia terasa sedih begitu.
“Saya yang nak kahwin dengan awak!
Bukan mak saya!” Tingkah Ramzan masih cuba meyakinkan.
Azila menggelengkan kepala
beberapa kali. “Cukup kita sebagai kawan Ramzan. Takkan lebih dari tu. Saya
harap awak faham.” Balasnya lambat seraya laju mengatur langkah masuk ke rumah.
Sama laju dengan air mata yang mengalir ke pipi. Panggilan Ramzan tidak lagi
dihiraukan.
11 comments:
ada lg ke? sambung la lagi
ada lagi kak.. cerita tak berkesudahan..huu..
acik zan wat ummi nangisla..
aiyok..
xtahu..
Si kecilnya itu terlalu dengan kuali~Si kecilnya itu terlalu rapat dengan kuali
oelh~oleh
Danis~Danish
thanks maylin. hee.. xprsan banyak noo silapnya.
a
arsha.. best..hopefully diorg bercinta selepas kahwin.. :)
Zila sebenarnay x mahu jadi macam dia dan arwah suami kerana x dapat restu keluarga ....
biarlah kali ni keluarga Ramzan dapat terima Azila serta anak-anak dgn ikhlas...
cepat sambungggg
Sian Zila, dia rasa rendah diri sebab status janda beranak dua. Hope Ramzan boleh yakinkan Zila supaya dia nak nikah ngan Ramzan, best, hehe
Salam, lama x komen kat sini....wah best ada smbgan citer ni...Hope cepat2 upload citer selanjutnya....
Best
cpt smbng.... best2
xtau nak kesian kat sapa?..Razman / Azila
Post a Comment