Sep 18, 2013

Mengharap Kasih_edisi khas 1

Assalamualaikum sahabat! 

Buat mereka yang mengikuti SHORT STORY untuk MENGHARAP KASIH. 
Azila bersama dua anaknya, serta Afrizal yang sudah pun meninggalkannya..
maaf segala kekurangan yang ada.. ~almaklumlah rasa macam nak dah #takmomenulis. ~_~"

******

“Aong.. Adik nak ucu.. Epat ar Aong..” Rengek Danish Haikal dalam pelatnya.

“Along, dengar tak adik nak apa tu. Bangunlah kejap.” Arah Hamid yang duduk di beranda rumah apabila terdengar rengekan cucunya yang seorang itu.

“Kejaplah tok. Cerita ni dah nak habis.” Balas Aniq Danial yang tetap tekun menonton rancangan kegemarannya.

“Aong!” Terjerit si adik apabila permintaannya langsung tidak dihiraukan.

“Along.. Dengar tak adik suruh tu..” Hamid sekali lagi bersuara.

“Kejaplah adik ni. Nanti Along buatlah.” Balas Aniq yang tetap tidak berganjak dari tempat duduknya.

Sedang leka dia menonton, tidak sedar Danish kian menghampiri.

“Sakitlah!” Terjerit Aniq tiba-tiba apabila bahunya terasa perit.

“Adan uke! Adik dah akap nak ucu Aong tak dengar.” Kata Danish geram. Langsung tidak bersalah dengan apa yang dilakukan sebentar tadi.

“Atok! Tengok adik ni. Dia gigit Along!” Laung Aniq sambil menggosok bahunya. Terus sahaja dia bingkas mendapatkan Hamid di luar rumah.

“Tu la.. Atok cakap apa tadi. Along tak nak dengar. Kan dah kena gigit.” Balas Hamid sambil melihat kesan gigitan yang melekat pada bahu cucunya itu.

“Kenapa ni yah?” Azila yang baru melangkah masuk bertanya. Dia baru sahaja pulang dari tempat kerja.

“Ummi, tengok ni.” Sahut Aniq sambil menunjukkan bahunya yang merah.

“Kamu tahulah kalau Adik lambat dapat susu.” Celah Hamid yang tersenyum melihat kerenah dua cucunya yang sudah dua tahun tinggal bersamanya.

“Siapa gigit ni?” Sengaja Azila bertanya walaupun sudah tahu siapa punya angkara. Anak bongsunya yang sedang menghampiri dipandang tajam.

“Aong tak nak uwat ucu adik.” Adu si kecil Danish yang sudah memeluk kakinya. Bersembunyi apabila Aniq mula mahu memukulnya.

“Kan Along kata nanti. Siapa suruh Adik gigit Along?” Aniq yang sudah berusia enam tahun itu mula meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada si adik.

“Aong tak nak uwat ucu adik..” Selamba si kecil itu menjawab. Wajah umminya yang sudah bercekak pinggang dipandang.

“Berapa kali ummi pesan Along. Kalau adik nak susu, cepat-cepat buatkan.” Azila cuba mengingatkan anaknya yang sulung kerana kejadian seperti itu sudah pernah berlaku sebelum ini. Dia tidak menyalahkan si bongsunya yang masih tidak tahu apa-apa itu.

“Sudahlah tu. Kamu pergilah buatkan susu. Nanti kamu yang digigitnya pulak.” Ujar Hamid menenangkan keadaan.

“Huh! Along tak nak kawan adik. Dah la tak puasa!” Ujar Aniq pula sebelum dia kembali masuk ke dalam rumah. Ingin menyambung semula menonton rancangan kegemarannya tadi.

Bluerk! Sempat Danish mengejek sebaik kelibat abangnya hilang.

“Hish! Jelirlah lidah tu. Ummi tak nak buatkan susu.” Azila cuba mengugut. Namun ia sedikit pun tidak menggugat Danish. Sebaliknya si kecil itu terus berlari mendapatkan Salbiah yang muncul dari dalam bilik.

“Nenek! Adik nak ucu!” Jerit si kecil itu selamba membuatkan Azila dan Hamid menggelengkan kepala. Tahu yang anak bongsunya itu memang rapat dengan ibunya sejak dia tinggal di situ.

******

Ramzan memandang kiri dan kanan. Cuba mengenal pasti orang yang lalu-lalang di situ.

“Adik, tunggu siapa?” Tegurnya pada si kecil yang sedang duduk keseorangan di bangku panjang itu.

Danish menoleh. Terkelip-kelip matanya memandang Ramzan yang sedang tersenyum.

“Adik tunggu siapa ni? Ibu mana?” Ramzan tetap juga bertanya sungguhpun tiada balasan daripada si comel itu.

“Adik!” Muncul seorang lagi kanak-kanak di situ membuatkan Ramzan sedikit terkejut.

“Adik! Kan ummi suruh duduk dekat dalam. Siapa suruh adik duduk sini?” Marah Aniq lagak seperti seorang abang yang cukup prihatin dengan keselamatan adiknya.

“Adik enatlah..” Jawab Danish dengan mulut yang memuncung.

“Kalau.. Kalau ada orang ambik adik macam mana? Nanti ummi menangis adik hilang macam mana?” Bebel Aniq tanpa menghiraukan lelaki yang sudah melabuhkan duduk di sisi adiknya itu.

“Adik ni siapa?” Soal Ramzan mesra. Tercuit melihat telatah dua beradik itu.

“Along.” Jawab Aniq lurus. Senyum nipis dilemparkan.

“Along datang dengan siapa?” Tanya Ramzan lagi ingin tahu. Yakin dua beradik itu bersama penjaga.

“Ummi.” Jawab Aniq sepatah.

“Ummi mana?”

“Dekat dalam.” Balas Aniq seraya melabuhkan duduk di sisi kanan adiknya.

“Oh.. Erm.. Ayah pun ada dekat dalam dengan ummi ya?” Ujar Ramzan sambil memandang ke arah kedai pakaian kanak-kanak di hadapannya. Cuba mencari penjaga dua anak kecil bersamanya itu.

Aniq menggelengkan kepala. Hilang wajah ceria di wajah comel itu.

“Ayah Along pergi kerja ya?” Ramzan cuba meneka.

“Erm.. Ayah dah jumpa Allah.” Balas Aniq selamba.

Ramzan terpempan. Bersilih ganti dia memandang dua wajah comel di sisinya itu. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari.

“Er.. Maaf..” Satu suara menyapa membuatkan dia menoleh. Sekali lagi dia terpempan melihat wajah yang sedang tersenyum kian menghampiri.

“Zila?” Dia cuba mengingati seraut wajah itu.

“Er.. Kita kenal ke?” Soal Azila sedikit kurang pasti sambil menggamit dua anaknya.

“Awak Azila kan?” Ujar Ramzan lagi ingin kepastian.

“Er.. Ya.. Awak siapa?” Soal Azila kembali.

“Saya Azan. Tak ingat ke? Dulu saya pernah praktikal dekat Maju Bina Sdn. Bhd. Awak assistant Encik Razak kan?” Ramzan cuba membantu Azila untuk mengingati semula kenangan lalu.

“Oh.. Okey-okey.. Saya baru ingat. Lima tahun lepaskan?” Balas Azila berserta senyuman.

“Haah.. Tak sangka jumpa awak lagi. Dia orang ni..”

Azila mengangguk perlahan.

“Tapi tadi Along cakap ayah dia dah..”

“Dekat tiga tahun dah Rizal takda..” Pintas Azila menjelaskan hakikat yang satu itu.

Sorry.. Saya tak tahu..” Balas Ramzan serba salah.

“Takpa..” Jawab Azila senang. Sedikit pun tidak berkecil hati. “Along, adik.. Salam Acik Zan..” Ujarnya kemudian kepada kepada anak-anaknya. Dan tanpa membantah kedua-duanya akur.

“Erm.. Awak kerja lagi dengan Encik Razak?” Soal Ramzan sebaik mengusap lembut kepala Danish yang menyalami tangannya. Ada rasa aneh bertapak di hati saat si kecil itu mengucup tangannya tadi.

“Saya dah lama berhenti kerja. Lepas kahwin, terus berhenti. Tapi sekarang kerja dekat kampung aje.” Jelas Azila jujur. “Erm.. Awak kerja mana sekarang?” Soalnya pula berbasa-basi.

“Kerja sendiri aje..” Balas Ramzan merendah diri. “Erm.. Lepas ni ada nak pergi mana-mana lagi? Kalau takda, jom berbuka sekali. Boleh?” Ujarnya yang tiba-tiba ingin tahu apa sebenarnya yang telah berlaku terhadap keluarga wanita itu. Azila yang dikenali dahulu seorang yang begitu ceria dan cukup menghiburkan hati hingga pernah terdetik suatu perasaan di hatinya dahulu terhadap wanita itu. Namun segera ditolak jauh kerana tahu saat itu Azila sudah bertunang dengan Afrizal.

“Er.. Ingat memang nak berbuka dekat sini aje.. Er.. Tak mengganggu awak ke nanti? Anak-anak saya ni nakal sikit..” Azila serba salah.

“Takpalah. Budak-budak biasalah. Jom.. Saya pun berbuka sorang ni.” Balas Ramzan senang. Sememangnya dia bersendirian di pusat membeli-belah itu sementara menanti waktu berbuka. Cuma dia tidak menyangka akan bertemu dengan Azila selepas lebih lima tahun berlalu. Ada perasaan lain mula mengusik hatinya. “Erm.. Adik dengan Along nak berbuka dekat mana hari ni? Hari ni Acik Zan belanja.” Ujarnya senang kepada dua si kecil yang ralit memandangnya saat itu.

“Along nak makan pizza. Boleh ke Cik Zan?” Selamba Aniq bertanya.

“Adik nak izza..” Celah Danish pula sambil menyentuh tangan Ramzan membuatkan lelaki itu sedikit terpempan. Ada suatu perasaan yang begitu asing muncul di hatinya apabila menerima sentuhan lembut itu.

“Along.. Adik..” Tegur Azila kurang senang melihat anak-anaknya begitu mudah mesra dengan lelaki di hadapannya itu. Sedangkan baru kali pertama mereka bertemu.

“Takpalah.. Jom.. Cik Zan belanja pizza hari ni.” Senang Ramzan menjawab sambil memimpin kedua-duanya sebelum melangkah.

“Cik Zan, ukung adik. Adik enat la..” Omel si kecil Danish di sebelah kanannya membuatkan langkahnya terhenti. Azila pun begitu juga.

“Adik.. Sini ummi dukung..” Cepat sahaja dia mencapai tangan Danish. Terasa segan dengan permintaan anak bongsunya itu.

“Eh.. Takpalah. Awak pun banyak bawak barang tu.” Sahut Ramzan yang terus sahaja mengangkat tubuh si kecil Danish.

Azila tersenyum kelat. Sungguh dia kurang senang melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Ramzan dan anak-anaknya. Persis mereka sudah lama kenal.

******

“Azan..” Panggil Ramlah sebaik anak bongsunya itu melangkah masuk.

“Bu.. Tak tidur lagi?” Balas Ramzan sebelum melabuhkan duduk di sisi ibunya itu.

“Kamu terawih dekat mana tadi?” Soal Ramlah tanpa menjawab pertanyaan anaknya itu. Kebiasaannya setiap hujung minggu anak bongsunya itu akan pulang ke rumahnya. Cuma hari itu lebih lewat dari biasa.

“Dekat masjid bu..” Jawab Ramzan sambil mengukir senyum penuh makna. Matanya lurus terhala ke skrin tv yang terpasang.

Ramlah mengerutkan wajah. Pelik benar melihat senyuman yang terlukis. “Senyum-senyum tu.. Ada apa-apa ke?” Ujarnya ingin tahu.

Ramzan melebarkan lagi senyum. Tiada hati mahu menjawab soalan yang diajukan. Dia belum bersedia untuk bercerita peristiwa hari itu. Biarlah ia menjadi rahsia hati. Teringat wajah ceria dua anak kecil bersama-samanya tadi hati mula digeletek perasaan indah.

“Cik Zan, bila kita nak jumpa lagi?” Tanya Aniq yang masih tidak mahu melepaskan tangannya. Begitu juga dengan Adik yang tidak lepas sejak tadi.

“Inshaa Allah. Kalau Cik Zan tak busy, kita boleh jumpa. Boleh berbuka sama-sama lagi.” Jawabnya senang sambil mengerling ke wajah Azila yang serba tidak kena sejak tadi.

“Cik Zan, Adik nak ukung..” Celah Danish manja dan dia senang menurut.

Sepanjang makan tadi wanita itu tidak banyak bicaranya. Mungkin sudah lama tidak bertemu membuatkan mereka sama-sama kekok. Dia lebih banyak berbual dengan dua anak kecil itu berbanding Azila yang lebih banyak mendiamkan diri.

“Aduh bu.. Sakitlah..” Ramzan menyeringai kesakitan apabila pehanya tiba-tiba terasa perit kerana cubitan halus ibunya.

“Ibu cakap dengan dia, dia boleh sengih-sengih dari tadi kenapa?” Marah Ramlah sedikit geram melihat anak bongsunya yang langsung tidak menjawab pertanyaannya.

“Lain kalilah bu Azan story. Sekarang Azan nak naik tidur. Nak mimpi indah-indah.” Balas Ramzan sebelum bingkas. Sengaja mahu mengusik ibunya yang sudah menjegilkan mata. Cepat sahaja dia mengelak apabila kusyen kecil yang dilemparkan oleh ibunya hampir mengenai tubuh. Laju dia mendaki tangga naik ke bilik.

*****
“Along nak berbuka apa hari ni?” Soal Azila saat memimpin anak sulungnya itu di celah orang ramai.

Bazaar ramadhan sememangnya akan penuh setiap kali hujung minggu. Tambahan pula dia sudah lama tidak menjejakkan kaki ke situ sejak dia berpindah ke kampung. Kebetulan hari itu kakaknya Amira mengajaknya sekeluarga berbuka bersama.

“Along nak kuih hijau yang sedap  tu ummi.” Jawab Aniq sambil menunjuk ke arah salah satu gerai yang menjual kuih muih.

“Oh.. Buah Melaka. Lagi?” Soalnya lagi sebaik tiba di gerai yang dimaksudkan. Apa sahaja yang pernah menjadi makanan kegemaran suaminya dulu, kini menjadi pilihan anak sulungnya itu.

“Erm.. Adik suka makan kuih apa tu ummi. Yang tu.” Aniq menunjukkan ke arah satu kuih warna hijau yang siap berpotong.

Azila menguntum senyum. Senang hatinya dengan perangai anak sulungnya itu. Sering mengambil berat akan anak bongsunya. Kebetulan anak bongsunya itu menanti di dalam kereta bersama ibunya.

“Nak kuih apa yah?” Soalnya kepada Encik Hamid pula yang turut sama di situ sedang memerhati pelbagai jenis kuih yang dijual.

“Beli ajelah apa-apa. Ayah tak kisah.” Jawab Hamid senang.

“Cik Zan!” Tiba-tiba Aniq bersuara membuatkan Azila sedikit tersentak. Terkejut akan nama yang meniti bibir si kecil itu.

“Cik Zan?”

“Tu ummi. Sebelah atuk.” Jawab Aniq sambil tersengih. Terus sahaja dia mendapatkan lelaki yang dimaksudkan.

Azila melemparkan senyum segaris. Tidak tahu reaksi apa yang harus ditunjukkan. Sejak pertemuan pertama mereka selepas lima tahun lalu, lelaki itu sering menghubunginya. Ada beberapa kali juga Ramzan mempelawanya untuk berbuka bersama. Namun dia yang menolak kerana tidak mahu menimbulkan buah mulut orang. Dia sedar akan gelaran yang disandang kini.

“Sorry. Cik Zan tak perasan Aniq dengan ummi.” Kata Ramzan sambil menggosok kepala si kecil. Dia sendiri agak terkejut dengan kemunculan si kecil itu.

“Oh.. Ni la Cik Zan yang adik selalu cakap tu?” Celah Hamid diiringi senyum penuh makna.

Aniq dan Danish ada menceritakan tentang Ramzan dan dia sering juga terdengar anak-anak kecil itu berbual dengan seseorang di telefon dan panggilan Cik Zan yang meniti bibir masing-masing.

“Er.. Haah yah..” Jawab Azila serba tidak kena. Tidak menyangka Allah akan menemukan mereka di hadapan ayahnya walaupun sudah sedaya upaya dia menyembunyikan hal itu.

“Pakcik..” Ramzan memaniskan wajah seraya menyalami tangan Hamid penuh hormat.

“Kamu memang duduk sini ke Cik Zan..” Ujar Hamid dengan senyuman nipis di bibir tuanya.

“Ramzan ayah..” Azila membetulkan nama panggilan yang disebut ayahnya.

“Oh.. Ramzan.. Kamu memang duduk sini ke?” Ulang Hamid dengan sengihan.

“Haah pakcik. Perumahan belakang ni. Erm.. Tak pernah saya terjumpa Zila dekat sini. Berbuka dekat mana ni?” Giliran Ramzan pula bertanya.

“Oh.. Rumah anak pakcik ada dekat perumahan belakang ni jugak. Saja hujung-hujung minggu ni tukar suasana sikit.”

“Iya ke.. Erm.. Adik mana? Tak bawak sekali?” Ramzan berbasa-basi sambil memandang ke arah Azila. Dia perasan ada riak kurang selesa di wajah ayu itu.

“Adik ada dengan mak tunggu dalam kereta. Erm.. Azan, saya jalan dulu ya.. Nak beli martabak dekat sana tu. Adik dah pesan tadi.” Azila tidak mampu berlamaan di situ. Risau ayahnya menyangka yang bukan-bukan pula. “Along, salam Cik Zan dulu.” Arahnya kepada Aniq yang sejak tadi tidak lepas memegang tangan Ramzan.

“Cik Zan, bila nak berbuka dengan Along, dengan Adik lagi?” Ramah mulut si kecil itu bertanya selepas menyalami tangan Ramzan.

“Kamu berbuka dengan siapa hari ni Azan? Jom ikut sekali.” Hamid pula ringan mempelawa anak muda di hadapannya itu.

Azila mula tidak senang hati mendengar pelawaan ayahnya. Sungguh dia tidak selesa jika Ramzan ada bersama keluarganya.

“Eh.. Takpalah pakcik.. Saya dah janji dengan kawan-kawan tadi. Lain kali aje.” Balas Ramzan lembut menolak pelawaan. Bukan dia tidak sudi. Namun dia faham akan keadaan Azila yang jelas kekok. “Erm.. Saya jalan dulu pakcik. Assalamualaikum.” Lanjutnya seraya menyalami tangan Hamid dan menggosok kepala Aniq. Sempat dia melemparkan senyum buat Azila sebelum dia beredar.

“Kamu dah lama kenal ke budak Azan tu?” Soal Hamid saat mereka beriringan ke gerai martabak pula.

“Er.. Dulu pernah kerja satu tempat yah..” Jawab Azila serba tidak kena. Dia yakin ayahnya itu tidak mengingati Ramzan walaupun lelaki itu pernah sekali bertandang ke rumahnya lima tahun lalu.

“Bujang?” Soal Hamid lagi inginkan kepastian.

“Er.. Ha’ah..” Serba salah Azila menjawab.

“Umur berapa?”

Azila dah telan liur yang terasa payau. “Tiga puluh tiga ayah.” Jawabnya perlahan seraya menarik tangan anak sulungnya. Si kecilnya itu terlalu dengan kuali yang sedang memasak martabak.

Hamid tersenyum nipis. Mata tuanya tidak salah menilai. Melihat akan gaya dan cara Ramzan berbicara tadi, dia yakin anak muda itu masih belum berumah tangga. Cara Ramzan memandang anaknya juga dirasakan cukup berbeza.

“Ummi, Maklong..” Tutur anak sulungnya tiba-tiba.

“Maklong?” Azila sedikit terkejut mendengar panggilan itu meniti bibir anaknya. Serentak itu dia menoleh ke arah yang dimaksudkan.

Azrina bersama dua orang kana-kanak di gerai roti john berhampiran. Tidak menyangka dalam puluhan orang yang ramai di situ dia dipertemukan dengan insan yang telah memberi kesan yang begitu mendalam pada hidupnya. Hampir dua tahun dia tidak bertemu dengan bekas kakak iparnya itu sejak berpindah. Ada air hangat mula bertakung di pelupuk matanya tiba-tiba apabila terkenang kembali kenangan lalu. Teringat akan bekas ibu mentuanya yang sakit dan kini di bawah jagaan Azrina.

“Kamu tak nak jumpa dia ke?” Hamid bersuara.

“Takpalah yah.. Zila tak nak ganggu dia.” Jawab Azila seraya berpaling ke arah lain. Dia yakin yang kakak iparnya itu tidak mahu bertemu dengannya walaupun dia teringin benar bertemu dengan Azrina untuk mengetahui keadaan bekas ibu mentuanya.

Kali terakhir dia bertemu dengan ibu mentuanya di saat hari pengebumian suaminya. Begitu keruh wajah ibu tua itu hingga dia sendiri tidak mampu menahan kesedihan. Bertambah sedih apabila dia melihat hanya keluarga Azrina sahaja yang hadir. Entah di mana adik-beradik suaminya yang lain.

******

“Ummi.. Adik nak ni mii..” Ujar Danish sambil menggoncangkan lengan Azila yang terlena di sofa.

“Ummi penatlah Adik.. Adik pergilah main dengan Along..” Jawab Azila dengan mata terpejam. Di penghujung ramadhan itu dia terlalu letih. Letih menyiapkan tempahan kuih raya yang banyak hingga dia kurang tidur. Semuanya semata-mata ingin mendapatkan pendapatan lebih. Gaji yang diperolehi kerja sebagai kerani di sebuah kedai pencetakan di pekan kecil berhampuran kampungnya tidaklah sebesar mana. Hanya cukup-cukup buat mereka bertiga. Jika boleh dia mahu menyediakan makan pakai anak-anaknya sendiri tanpa bantuan ibu bapanya walaupun mereka tidak pernah mengungkit.

“Ummi.. Adik nak ni..” Danish tetap juga menggoncangkan lengan Azila yang mahu kembali lena. Kertas surat khabar yang dipegang sudah didakap erat.

“Adik.. Janganlah kacau ummi.. Ummi penatlah dik.. Adik pergilah main dengan atuk dengan Along..” Begitu juga jawapan yang diberi oleh Azila seraya memusingkan tubuh membelakangi anak bongsunya itu. Tubuhnya benar-benar terasa letih saat itu.

Danish yang memerhati mula berwajah keruh. Terus sahaja dia mendapatkan Aniq yang sedang bermain game di telefon bimbit Azila. “Aong..” Meleret suara Danish sambil melabuhkan duduk di sisi abangnya.

“Adik nak apa? Sibuklah.. Adik pergilah tengok tv tu.” Balas Aniq sambil menjarakkan diri. Tidak mahu Danish mengganggunya.

“Aong.. Adik nak ni Aong..” Renge si kecil itu sambil menunjukkan kertas surat khabar yang dibawa. Ada gambar seketul burger yang cukup besar terpampang.

“Mana boleh. Ummi takda duit la.. Kan kuih ummi belum siap.” Balas Aniq selepas menoleh sekilas ke arah gambar yang ditunjukkan.

Wajah Danish semakin keruh. Namun hanya seketika apabila dia tiba-tiba merampas telefon bimbit Azila yang sedang dipegang oelh Aniq.

“Adik!!” Terjerit Aniq apabila Danish terus sahaja melarikan gajet tersebut ke dalam bilik. Terus sahaja dia mendapatkan adiknya.

“Along tengah main game la! Bagi sini handphone tu!” Marah Aniq sambil cuba merampas gajet tersebut dari tangan Danish.

“Adik nak akap ngan Cik Zan!” Lawan Danish yang tetap tidak melepaskan gajet tersebut.

“Nak buat apa cakap dengan Cik Zan?” Aniq berhenti dari merebut telefon bimbit itu.

“Adik nak ni.” Kata Danish sambil menunjukkan kertas surat khabar yang dibawa sejak tadi.

“Bagi dulu telefon ummi tu, biar Along telefon Cik Zan.” Kata Aniq memujuk.

Tanpa banyak soal pula Danish menyerahkan gajet tersebut.

Sebaik telefon bimbit bertukar tangan, Aniq terus sahaja mendail nombor Ramzan. Anak kecil sebijak Aniq, tidak sukar untuk mengendalikan telefon bimbit itu. Tambahan pula Ramzan selalu menghubungi mereka.
Sementara Azila yang masih lena di sofa, langsung tidak sedar apa yang berlaku sehingga kedua-dua anaknya kembali.

“Ummi, ummi. Cik Zan nak datang rumah kita!” Kata Aniq sambil menggoncangkan tubuh Azila sekuat hati.

“Along.. Adik… Ummi penatlah.. Pergilah main dengan atuk, main dengan nenek. Bagi ummi tidur lima minit aje. Kejap lagi kita pergi bazaar.” Balas Azila tanpa membuka mata dan lenanya sekali lagi terganggu.

“Ummi.. Angunlah.. Cik Zan nak umpa adik..” Kata Danis dengan pelatnya.

Azila mengerutkan dahi. Namun masih tidak membuka mata. Cuba dibuang jauh nama Ramzan yang menyapa gegendang telinganya.

“Ummi.. Cik Zan nak belanja Along dengan Adik berbuka dekat McD ummi..” Panggil Aniq lagi bersungguh.

“Janganlah kacau ummi Along..” Balas Azila sambil menolak tangan  Aniq yang masih menggoncang lengannya.

“Cik Zan kata, kalau ummi tak nak ikut, Cik Zan nak bawak Along dengan Adik. Ummi tinggal dengan atuk dengan nenek.” Kata Aniq lagi tidak putus asa.

“Mana ada Cik Zan. Dia sibuklah.. Dia banyak kerja.” Jawab Azila separa sedar.

“Cik Zan tak sibuk. Cik Zan kata, kejap lagi Cik Zan nak sampai. Lima minit aje.” Jelas Aniq yang sudah melabuhkan duduk di tepi tubuh Azila. Begitu juga dengan Danish.

“Suka hati Alonglah.. Ummi tak nak ikut. Ummi penat.” Balas Azila selamba. Dia masih mahu menyambung lenanya memandangkan waktu ketika itu belum pun pukul 4 petang.

Serentak itu terdengar suara orang memberi salam membuatkan Aniq dan Danish berpandangan antara satu sama lain sebelum kedua-duanya berlari ke beranda rumah.

“Cik Zan!” Hampir serentak kedua-duanya menjerit membuatkan Azila terkejut. Matanya terbuka serta-merta. Laju dia menegakkan tubuh untuk mencari kedua-dua zuriatnya.

“Adik, Along..” Panggilnya sambil menggosok beberapa kali mata dan membetulkan ikatan rambut yang sudah longgar. Saat itu terasa dunianya berpusing kerana bangun mengejut begitu.

“Assalamualaikum..” Terdengar suara menyapa di belakangnya membuatkan kepalanya segera menoleh. Tidak berkelip matanya memandang seraut wajah yang sedang tersenyum manis itu.

“Er.. Waalaikumussalam. Er.. Apa awak..” Kalut dia tiba-tiba sebelum terus bingkas. Sedar akan keadaan dirinya saat itu yang hanya berbaju-t lengan pendek bersama kain batik. Baru bangun tidur pula. Malu!

Ramzan melepaskan tawa kecil melihat Azila yang kelam-kabut. Aniq dan Danish yang sejak tadi memegang tangannya juga turut sama ketawa.

“Nenek! Cik Zan datang!” Baritahu Aniq sebaik kelibat Salbiah muncul dari ruang dapur.

Salbiah mengerutkan dahi melihat seorang lelaki di ruang tamunya.

“Makcik..” Tegur Ramzan seraya menyalami tangan Salbiah.

“Siapa ni?” Soal Salbiah cuba mengingati seraut wajah itu.

“Ramzan makcik.” Jawab Ramzan berserta senyuman. Dia yakin Salbiah tidak mengingatinya walaupun dia pernah bertandang ke situ ketika hari raya lima tahun dahulu.

“Cik Zan la nenek.” Sampuk Aniq pula.

“Iyalah-iyalah. Jemput duduk Ramzan. Nak jumpa Zila kan?” Ujar Salbiah mesra.

“Ha’ah makcik. Pakcik mana?” Ramzan berbasa-basi.

“Keluar sekejap. Kamu duduklah dulu. Mana si Zila ni. Tadi makcik nampak dia terbaring dekat sini.” Kata Salbiah sebelum berlalu. Penuh persoalan di dalam kepalanya dengan kedatangan seorang lelaki yang tidak dikenalinya itu.

Ramzan hanya menarik senyum sebelum melabuhkan duduk. Aniq dan Danish pula terus mengambil tempat di sisi kanan dan kirinya.

“Macam mana awak ada dekat sini?” Muncul Azila dengan wajah yang sedikit lembap dan bertudung.

“Saya dari Port Dickson. Saja lalu sini.. Lepas tu, Aniq call saya. Tu yang singgah sekejap.” Jelas Ramzan akan tujuannya singgah ke situ.

Dia yang sememangnya teringin benar bertemu dengan dua anak kecil itu lagi, tidak dapat menahan diri apabila Aniq menghubunginya tadi. Tidak teragak-agak dia ke situ memandangkan dia masih ingat lagi laluan ke rumah wanita itu.

Azila sudah merenung tajam ke arah Aniq dan Danish bersilih ganti. Sedarlah kini yang dia sebenarnya tidak bermimpi tadi. Memang nama Ramzan yang disebut-sebut oleh dua anaknya itu.

*******
“Macam tak okey aje?” Ujar Ramzan sebaik melabuhkan duduk di sisi Azila yang duduk di atas pangkin kayu sejak tadi. Dia leka memerhati anak-anaknya bermain bunga api.

“Kenapa awak datang sini?” Soal Azila tidak bernada. Tidak mampu lagi dia menyimpan soalan itu sebaik Ramzan tiba sebelum maghrib tadi. Tidak boleh tidak, buat kali ketiga Ramzan berbuka bersamanya tanpa dirancang. Dan kali ini hingga semua adik-beradiknya sudah mengenali lelaki itu dan masing-masing mula mengusiknya bercinta dengan Ramzan.

“Kenapa? Tak boleh ke?” Balas Ramzan dengan soalan juga. Dia sedar Azila tidak begitu senang dengan kehadirannya.

“Bukan tak boleh. Ni kan malam raya.. Sepatutnya awak dengan family awak. Bukan dekat sini dengan family saya.” Luah Azila kurang senang.

Ramzan tersenyum nipis. Pandangan matanya dilemparkan ke tengah halaman memerhati anak-anak Azila bermain dengan anak kakak-kakak Azila yang lain. “Kejap lagi saya baliklah..” Jawabnya lambat. Bukan dia tidak teringat akan ibunya yang menanti di rumah. Namun disebabkan adik-beradiknya yang lain sudah berkumpul, dia mengambil peluang itu untuk bertemu dengan Azila. Ada hal penting yang ingin disampaikan menyebabkan dia mengambil keputusan datang ke rumah wanita itu tanpa memberitahu terlebih dahulu.

“Awak boleh tak lain kali kalau nak datang, bagi tahu saya dulu? Ini tak, ikut suka awak aje nak datang. Sama macam hari tu. Awak tak takut ke orang mengata kita? Awak fahamkan?” Ujar Azila penuh mengharap agar Ramzan mengerti keadaan dirinya. Orang sekeliling memandang serong pada perempuan berstatus ibu tunggal sepertinya. Tambahan pula dia masih muda. Malah lebih muda tiga tahun daripada lelaki itu.

“Kita bukan buat benda tak elok.” Jawab Ramzan selamba.

“Memanglah.. Tapi awak kena faham keadaan saya Azan. Saya bukan macam awak. Awak tak malu kalau orang mengata awak sibuk datang rumah perempuan macam saya..” Jelas Azila lagi merendah diri. Sedar yang dia tidak layak untuk bergandingan dengan lelaki itu.

Ramzan kini seorang kontraktor berjaya. Punya syarikat sendiri dan keluarganya agak dikenali kerana arwah ayahnya antara pemegang jawatan tertinggi dalam badan kerajaan.

Family awak tak cakap apa-apa pun.” Balas Ramzan masih dalam nada yang sama.

“Memanglah dia orang tak cakap apa-apa. Saya cakap orang lain.. Mak awak.. Family awak.. Kawan-kawan awak.. Macam mana?”

“Azila, saya suka awak. Saya nak kahwin dengan awak. Bukan dengan semua orang yang awak sebut tu.” Lancar Ramzan menuturkannya tanpa rasa ragu. Dia tidak mampu menolak perasaan indah yang berputik kembali di hatinya setelah lima tahun terpadam. Yakin Azila memang jodoh yang telah Allah tentukan buatnya walaupun wanita itu tidak seperti wanita lain. Wanita itu kini sudah mempunyai tanggungjawab.
Azila sedikit terpempan. “Awak cakap apa ni?”

“Saya suka awak Zila. Saya dah lama suka awak. Dari hari pertama saya daftar untuk praktikal lima tahun dulu..” Luah Ramzan jujur.

“Awak jangan nak main-mainkan saya Ramzan. Awak sedar tak apa yang awak cakap? Awak sedar tak dengan siapa awak cakap sekarang ni?” Tingkah Azila seperti kurang percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Dia tidak pernah membayangkan ikatan persahabatan yang baru sahaja terjalin belum sampai sebulan itu akan membuahkan rasa cinta di hati Ramzan.

“Saya tak main-main. Saya sedar apa yang saya cakap dan saya sedar dengan siapa saya cakap. Saya cakap dengan awak Azila.” Jawab Ramzan cukup yakin.

Azila tersenyum sinis. Cuba membuang debar yang menyapa hatinya saat itu. “Saya rasa, elok awak balik Azan. Saya tak nak jiran-jiran saya mengata keluarga saya bila nampak awak dekat sini lama-lama.” Balas Azila sebelum bingkas. Dia mahu meninggalkan Ramzan di situ.

“Zila.. Please.. Saya serius sukakan awak. Sebab tu saya datang malam ni. Tadi pun saya dah cakap dengan mak ayah awak. Saya dah mintak izin dia orang nak jaga awak, jaga anak-anak awak.” Tambah Ramzan membuatkan langkah Azila terhenti. Dia kembali menoleh.

Sungguh dia terkejut dengan apa yang meniti bibir lelaki itu. Tidak menyangka sejauh itu langkah Ramzan tanpa pengetahuannya. “Saya rasa, elok awak balik Ramzan. Awak fikir baik-baik sebelum bercakap. Awak kena fikir hati dan perasaan orang lain dulu sebelum awak buat apa-apa keputusan.” Jawab Azila dengan suara yang bergetar. Pelupuk matanya pula mula terasa hangat. Dalam hati, dia cuba membuang jauh apa yang baru sahaja diungkapkan oleh lelaki itu.

Sepanjang dia bergelar ibu tunggal, belum pernah ada lelaki yang begitu berani meluahkan perasaan hingga melibatkan ibu dan ayahnya melainkan arwah suaminya dahulu. Diakui yang dia perlukan seorang teman untuk dijadikan tempat bergantung harap, menumpang kasih. Namun bukan lelaki seperti Ramzan. Status Ramzan yang bujang itu cukup meraguinya. Dia belum cukup yakin Ramzan mampu menjaga dirinya dan anak-anak. Bukan itu sahaja, belum tentu keluarga Ramzan dapat menerima keadaan dirinya.

“Saya dah fikir masak-masak Azila. Saya dah fikir semua tu. Saya yakin family saya boleh terima awak macam mana family awak boleh terima saya.” Jawab Ramzan yang tetap dengan keputusannya.

“Awak jangan main-mainkan saya Ramzan.. Tak semudah tu mak awak boleh terima perempuan macam saya..” Balas Azila seraya memalingkan wajah. Tidak mampu memandang wajah Ramzan kerana air matanya hampir sahaja jatuh. Entah kenapa dia terasa sedih begitu.

“Saya yang nak kahwin dengan awak! Bukan mak saya!” Tingkah Ramzan masih cuba meyakinkan.

Azila menggelengkan kepala beberapa kali. “Cukup kita sebagai kawan Ramzan. Takkan lebih dari tu. Saya harap awak faham.” Balasnya lambat seraya laju mengatur langkah masuk ke rumah. Sama laju dengan air mata yang mengalir ke pipi. Panggilan Ramzan tidak lagi dihiraukan.

11 comments:

kak na said...

ada lg ke? sambung la lagi

Ehem said...

ada lagi kak.. cerita tak berkesudahan..huu..

MaY_LiN said...

acik zan wat ummi nangisla..
aiyok..
xtahu..


Si kecilnya itu terlalu dengan kuali~Si kecilnya itu terlalu rapat dengan kuali
oelh~oleh
Danis~Danish

Ehem said...

thanks maylin. hee.. xprsan banyak noo silapnya.

nur said...

a

aidah said...

arsha.. best..hopefully diorg bercinta selepas kahwin.. :)

Kak Sue said...

Zila sebenarnay x mahu jadi macam dia dan arwah suami kerana x dapat restu keluarga ....
biarlah kali ni keluarga Ramzan dapat terima Azila serta anak-anak dgn ikhlas...
cepat sambungggg

muda_13 said...

Sian Zila, dia rasa rendah diri sebab status janda beranak dua. Hope Ramzan boleh yakinkan Zila supaya dia nak nikah ngan Ramzan, best, hehe

Eijan said...

Salam, lama x komen kat sini....wah best ada smbgan citer ni...Hope cepat2 upload citer selanjutnya....

Best

Ruunna Qizbal said...

cpt smbng.... best2

Atty Ismail said...

xtau nak kesian kat sapa?..Razman / Azila