Apr 8, 2015

Kita punya bahagia_bab 2


Kayu api disua lagi ke arah tungku. Terpejam celik mata apabila abu yang sudah menebal di atas dapur kayu itu berterbangan apabila bayu pagi meniup.

“Orang dah tak pakai dapur kayu tu haa! Orang dah pakai dapur gas Encik Ahmad Fairuz oii!” Hajah Huzaimah menegur dari dalam kebun kacang panjang di sebelah pondok dapur kayu yang dibina khas untuk merebus kacang soya yang akan dibuat tempe.

Mat keluar dari dalam pondok sambil menggosok matanya yang pedih dek asap. “Dapur gas lagi banyak koslah mak. Nak beli gas, nak beli dapur. Kalau seminit dua merebus, memang orang dah guna dapur gas. Tak payah susah-susah pedih mata ni haa..”

“Bukan guna dapur gas lagi cepat ke? Pakcik Mail tu elok aje guna dapur gas. Cepat lagi katanya dari kamu rebus pakai api kayu tu ha..”

“Alah! Dia buat sikit bolehlah cakap mak. Memanglah cepat. Orang ni, rebus banyak.”

“Eleh! Alasan! Asyik la kau fikir kos. Kos masa kau tak nak kira pulak? Kos pencemaran udara ni ha, tak nak kira sekali?” Perli Hajah Huzaimah selamba sambil memilih buah kacang panjang yang cukup matang untuk dimasukkan ke dalam nasi goreng kegemaran anak sulungnya itu.

“Tu kos-kos terpencil yang orang boleh handle lagi.” Senang Mat membalas seraya kembali ke dalam pondok semula. Kacang soya yang direbus di dalam tin minyak dilihat seketika memandangkan ia direbus sejak jam 6.00 pagi tadi.

“Banyaklah kau punya kes terpencil. Dah kedekut tu, kedekut jugak!”

“Bukan kedekut mak. Jimat..” Mat tersengih memandang Hajah Huzaimah yang melewati pondok sebelum masuk ke pintu dapur.

“Ha, sebelum mak terlupa. Dah fikir belum apa yang mak cakap hari tu? Nurin dah dapat surat masuk U minggu lepas. Kau jangan lupa pulak nak cari kereta, Mat. Mak seligi kau nanti.” Hajah Huzaimah bercekak pinggang di muka pintu dapur.

“Hesy! Nurin Nurin Nurin. Orang tahulah! Berapa kali nak ingatkan Hajah Huzaimah oi..” Mat sama-sama cekak pinggang. Meniru gaya ibunya yang mula menjegilkan mata.

“Sampai hari Nurin nak masuk U, tak ada kereta tu nanti, basikal cabuk kau tu nanti mak sedekah buat tukun dekat sungai besar sana ya?” Hajah Huzaimah mula mengugut. Itu sahaja caranya untuk memaksa anak lelakinya itu kerana terlalu sayangkan basikal tua arwah suaminya.

“Amboi mak.. Main ugut-ugut pulak.” Mat turunkan tangan. “Basikal limited edition tu mak jangan sebut-sebut. Ingat senang ke dapat sekarang. Susah tahu tak? Ada ke nak buat tukun.”

“Mak peduli apa. Dah yang kau degil benor tak nak dengar cakap mak. Berjimat tak kena tempat!” Jeling Hajah Huzaimah sebelum kembali masuk.

Mat mencebik. Mata ditala ke arah basikal tua yang diletakkan di tepi pintu dapur itu. Sebentar lagi dia perlu menghantar tempe yang dibungkus semalam untuk dihantar ke kedai runcit serata kampung.

“Bang!”

Wajah dipalingkan ke arah suara halus yang menegur.

“Hmm. Nak apa pagi-pagi ni? Selalunya, bukan main payah lagi nak nampak batang hidung dekat belakang ni.” balasnya mengusik.

Nurin mencebik. “Orang turun salah, tak turun salah!” rungutnya perlahan tapi masih didengari Mat.

“Kalau setakat nak bersungut dekat situ, baik kau pergi sambung tidur dik. Malas aku nak dengar.” sindirnya selamba.

“Ee.. dia ni kan..” Nurin ketap bibir. Terpaksa mengalah. Selipar getah di muka pintu, disarung. Langkah dibawa ke pondok dapur kayu.

“Ha, nak apa mencemar duli ke sini ni?” Mat jongket kening sebelah.

Nurin tersengih.

“Kau jangan nak sengih-sengih macam tu dik. Ingat aku tergodalah tu?”

Sengih di bibir Nurin kian lebar.

“Bang, hari tu kan kau dah janji dengan aku..”

Wajah Mat mula dihiasi garisan halus. “Janji? Janji apa kau ni? Kau jangan nak buat cerita ya dik?”

“Apa pulak buat cerita. Orang ada buktilah. Ingat orang cakap macam tin kosong berdenting ke? Erm.. Mana diari hitam abang tu?”

“Kau nak buat apa dengan diari aku tu?”

“Hesy! Adalah!” Nurin bergerak ke arah kenderaan rasmi abang tunggalnya itu. Tangan segera menyelongkar satu beg lusuh yang tersangkut di hendal basikal. Buku berkulit hitam dikeluarkan sebelum kembali semula mendapatkan abangnya.

“Tengok ni! Aku ada tulis dengan date sekali masa paper last STPM hari tu ya? Jangan kau nak kata tak ada pulak bang. Kau yang sign surat tak rasmi tu. Sign mak pun ada. Jangan nak kata aku buat cerita ya..” Nurin tayang satu muka surat bertulis dakwat hitam di hadapan muka abangnya.

Mat membesarkan mata. Tangan mencapai diari hitam yang juga digunakan sebagai buku catatan penting untuk segala urusan jual beli tempe, kacang panjang dan juga hasil sawit tinggalan arwah ayahnya. Dibaca perlahan-lahan segala aksara yang tercatat.

Dengan ini, abangku Ahmad Fairuz Affendi bin Haji Fuad berjanji pada tarikh dan masa yang tercatat di atas, akan membeli laptop berharga RM2000 dan ke atas andai aku yakni Nurin Aimi binti Haji Fuad berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Disaksikan oleh mak, Hajah Huzaimah binti Haji Hassan berserta Allah S.W.T yang Maha Melihat dan Maha Adil.

Andai nama seperti yang tercatat di atas ingkar, maka basikal pusaka a.k.a basikal bapak, akan dijual di kedai besi buruk hujung kampung. Hasil jualan akan didermakan ke tabung masjid.
Sekian. Terima kasih.

Saksi, Hajah Huzaimah Haji Hassan.

Mat pandang sekilas wajah comel Nurin yang sedang tersenyum-senyum sebelum mata kembali meneliti muka surat tadi.

“Boleh percaya ke ni? Apasal aku tak ingat?” Sengaja dia mahu menduga.

“Kau tulah bang.. Banyak sangat makan kacang panjang tu. Hari-hari sarapan nasi goreng kacang panjang. Kalau tak nasi goreng, tempe celup tepung. Hari-hari kacang, tempe, kacang, tempe, kacang dan tempe lagi. Otak pun dah jadi macam kacang. Tu yang lupa. Nasib baik aku tulis!” jawab Nurin tegas.

Mat mencebik. Diari hitam itu dikatup lalu disepit di celah ketiaknya. Dia kembali melihat kacang soya yang sedang direbus.

“Abang, kau dengar tak ni? Kau dah janji kan? Takkan nak jadi munafik.” tambah Nurin resah. Resah harapannya untuk memiliki komputer riba musnah.

“Kau nak buat apa laptop tu? Kan kau dah ada PC dekat atas rumah tu. Kau bawak ajelah yang tu. Buat apa nak beli baru? Kos tinggi tahu tak? Kalau rosak, lagilah banyak kos. Siapa nak tanggung? Aku jugak..” balas Mat sengaja menggiat. Walhal, dia sendiri sudah berniat untuk membelikan adik bongsunya itu komputer riba andai diterima masuk ke universiti. Dia tahu adiknya itu bersungguh-sungguh belajar.

“PC besar gedabak tu kau suruh bawak? Kau biar betul bang?” Mata bulat Nurin mula membesar.

“Iyelah. Boleh guna lagi kan? Dulu aku belajar, guna tu jugak. Okey aje. Tak kecoh pun mintak bapak beli laptop.”

“Tu dulu! Mana ada orang guna desktop besar gabak tu lagi sekarang ni?” Wajah Nurin mula bertukar kelat.

“Eh, baru malam tadi aku nampak kau tengok you tube. Elok aje..” Mat mula tahan tawa. Suka benar dia melihat wajah cemberut adiknya itu.

Nurin ketap bibir. Masam kelat wajahnya kini. “Kedekut, cakap ajelah kedekut! Macamlah bawak mati semua duit tu! Tak apa. Tak nak beli tak apa. Kau jawablah dengan Tuhan nanti sebab tak tunaikan janji orang. Aku tak nak tolong kau bang! Biar padan muka kau! Huh!” Rengus kasar dilepaskan diiringi jelingan tajam sebelum tubuh terus berpusing mahu masuk ke dalam rumah. Hampa dan geram bergabung di dalam dadanya hingga mulut terkumat-kamit menghamburkan marah tanpa didengari abangnya.

“Mulut terkumat-kamit tu pun, kau kena jawab dengan Tuhan nanti, dik. Sebab mengumpat aku. Nanti kita main sorok-sorok dekat ‘sana’ kalau aku tak ampunkan.” giat Mat lagi tanpa mahu mengalah menyebabkan tubuh Nurin yang sudah pun melepasi pintu dapur, kembali terpusing. Dadanya sedikit berombak.

“Makkk!!!” Pekiknya sekuat hati dengan tiba-tiba. Terlalu geram kerana ada sahaja modal abangnya untuk terus menyakat.

Mat terus meledakkan tawa. Berdekah-dekah sebelum ia terhenti sebaik bayang Hajah Huzaimah muncul di situ.

“Kalau mak baling dengan sudip ni nanti Mat, hilang halkum kau tu karang..” Hajah Huzaimah sudah mencekak pinggang bersama renungan tajam. Sudip yang berselaput nasi goreng di tangan.

“Eleh.. Orang gurau ajelah!” Mat cepat-cepat mengalah. Dia cukup faham perangai ibunya yang cukup selamba itu. Apa sahaja yang terluncur di mulut, akan dikotakan. Memang tidak hairan andai sudip yang dipegang melayang ke arahnya.

Korang berdua ni kan.. riuh sekampung! Macam budak kecik! Padahal dua-dua dah tua bangka!” Marah Hajah Huzaimah sambil merenung tajam ke arah kedua-duanya bersilih ganti.

“Kau pergi masuk Nurin. Jangan dilayan perangai abang kau tiga suku masak tu!” arahnya tegas dan gadis itu akur. Sempat dia menjelirkan lidah ke arah abangnya yang mula menikus.
Mat ketap bibir.

“Tu, tunggu apa lagi tu? Si Senah dah telefon banyak kali telefon kau tu. Tempe kau dah hantar ke belum?” Sekali lagi Hajah Huzaimah lantang bersuara garang.

“Iyelah iyelah! Orang nak pergi hantarlah ni! Tunggu kacang ni masak kejap!” Mat jenguk lagi ke dalam tin minyak yang sudah berselaput arang itu. Kacang soyanya sudah pun hampir masak.

*****

“Bang Mat..”

“Hmm..” Mat tidak pun menoleh. Dia leka mengira bungkusan tempe yang dibawa. Baki tempe yang tidak terjual, sudah lebih awal dimasukkan ke dalam plastik untuk dibawa balik.

“Nampak ke, mengira tu?” Senah sudah tersenyum-senyum sejak lelaki itu tiba tadi. Benda yang tersangkut di wajah tampan itu cukup mencuit hatinya.

Apasal pulak tak nampak?” balas Mat mendatar. Masih tidak menoleh.

“Tak adalah. Nah risau, abang salah kira aje. Hari tu pun, abang ada salah kira.”

“Iye ke?” Mat baru menoleh. Keningnya berkerut di sebalik cermin mata hitam sepuluh ringgit yang dibeli di pasar malam tahun lepas.

“Iyelah! Abang tu kenapa nak mengira pun pakai cermin mata hitam? Tak boleh nak buka ke?”

“Hesy! Mana boleh bukak. Kau tak nampak tangkai sebelah ni dah kena ikat dengan getah? Kalau bukak, memang tercabut terus nanti. Payah nak ikat balik. Sampai rumah nanti baru aku terus bukak.” Dia sambung kembali mengira tanpa mahu memandang wanita yang mengenakan kebaya nyonya kuning terang, berkorset hitam. Mahu juling matanya kalau memandang terlalu lama. Akaun dosa, usah lagi dikata.

“Abang ni kan.. kedekut tak beragak. Kalau iye pun tak nak pandang Nah ni, abang carilah speck lain. Sampai tangkai dah ikat dengan getah pun, abang guna lagi. Buang ajelah bang!”

“Haih kau ni! Asyiklah suruh aku buang semua benda yang aku pakai. Benda boleh guna lagi kan? Lagipun, aku pakai bila datang kedai kau ni aje. Tempat lain aku tak pakai pun.” Selamba Mat menjawab. Bungkusan tempe yang sudah siap dikira, dimasukkan ke dalam bakul tersedia.

Senah tergelak kecil. “Suka hati abanglah! Janji abang bahagia.” balasnya dalam sisa tawa sebelum berlalu masuk ke dalam kedai seketika untuk mengambil duit hasil jualan tempe untuk sepanjang minggu itu.

“Abang, lusa hantar banyak sikit ya? Saya ingat nak buat kenduri arwah dekat surau depan sana tu Sabtu nanti,” ujarnya sebaik kembali ke situ. Sampul surat warna biru diserahkan.

“Berapa banyak nak?”

“Lima puluh. Dalam sampul tu, Nah dah masukkan sekali duitnya.”

“Iyelah. Insya-Allah.” Mat buka sampul surat tadi. Dikeluarkan tiga keping not 10 dan dihulurkan kepada wanita itu.

“Kenapa pulangkan?” Kening Senah hampir bercantum.

“Ambiklah. Nanti tempe tu, aku bagi aje. Kau nak buat kenduri arwah kan?”

“Eh, kenapa pulak bang? Tak payahlah! Selalu sangat abang dah bagi.”

“Tak apalah Nah. Bukan banyak pun. Kau ambik duit ni balik.”

“Eh bang, tak payahlah..” Senah tolak lengan Mat yang berlapik kemeja lusuh.

“Ross, aku kata ambik, ambiklah. Aku nak sedekah.”

“Er..” Senah mula serba salah. Andai nama sebenarnya sudah meniti bibir lelaki itu, dia sedia maklum Mat tetap bertegas. “Nah malulah bang..”

“Jangan nak malu sangatlah! Kembang tekak aku dengar.” Mat letak tiga keping kertas warna merah itu di atas meja.

“Terima kasih bang..”

“Hmm..” Mat capai karung guni yang digunakan untuk membawa bungkusan tempe tadi dan dilipat kemas.

“Bang..”

“Hmm..”

“Sampai bila abang nak pakai basikal ni?”

Mat yang sudah pun menolak tongkat basikal dan sedia untuk memanjat kenderaan rasminya itu, terhenti. Wajah ditala ke arah Senah yang tersenyum-senyum.

“Kau senyum-senyum tu, nak mengutuk basikal akulah tu!” 

Senah terus tersengih lebar.

“Abang tu, penat Nah cakap cari motor ke, kereta ke.. IPhone harga ribu-ribu abang boleh beli, takkan motor sebijik tak boleh. Bukan untuk Nah pun. Tapi untuk abang tu ha.. Tak adalah kena panas, kena hujan. Tak sayang kulit ke bang? Sayanglah sikit muka tu. Dahlah kacak. Tapi naik basikal. Hilang terus kacak abang tu. Macam kuda belanglah kalau kita nak naik pelamin nanti bang oii..” Sengaja dia mengusik.

“Semua tu kos, Nah.. Abang beli hand phone mahal sebab senang abang nak buat kerja. Macam-macam abang boleh buat. Nak beli motor, kereta ni.. kos lagi tinggi tau? Nak naik pelamin pun kos! Siapa nak kahwin dengan aku, tak ada pelamin ya. Sorry..” Mat panjat basikalnya.

“Tak habis-habislah abang ni dengan kos!”

Mat tersengih. Topi lusuh dipakai. Cukup dapat melindungi kulit kepalanya dari sinar matahari yang mula menegak tinggi. “Okeylah, Nah. Aku balik dulu! Assalamualaikum!” Dia mula mengayuh meninggalkan perkarangan kedai. Namun baru masuk kayuhan kedua, dia tersentak. Kayuhan menjadi longgar.

“Bang, rantai yang tertinggal tu pun, kos bang!” Senah menghamburkan tawa apabila melihat rantai basikal Mat yang putus lalu tercicir di hadapan kedainya.

“Buat hal ya kau basikal! Haih!” Rungut Mat yang terpaksa memberhentikan basikalnya dan berpatah kembali. Sempat dia menghadiahkan jelingan ke arah Senah yang mengekek gelak.

“Assalamualaikum. Apa hal ni Mat?” Alauddin baru tiba dengan Honda Ex5 di perkarangan kedai.

“Tengoklah tu Abang Din. Orang degil. Rantai basikal dia putus. Kos tuuu..” sahut Senah dalam sisa tawa.

“Mat, Mat..” Alauddin, imam kedua masjid di kampung itu, menggeleng bersama senyum.
Mat senyum kelat.

“Jom aku tolak sampai rumah.” ujar Alauddin menghulur bantuan.

“Bang, nah rantai emas abang yang tercicir tu.” Senah menahan tawa sambil menghulurkan rantai basikal yang sudah bersalut debu.

“Kau ni, Mat.. Buat malu ajelah! Dengan pakai cermin mata hitam ikan tepi. Hesy!” kata Alauddin lagi diiringi istighfar melihat penampilan sahabat sejak di bangku sekolah itu.

Mat garu kepalanya bersama sengihan tidak bersalah. Senah pula kembali menyambung tawa.





3 comments:

Nurul Ezzah Shah said...

Terbaik kak arsha. Sangat mencuit hati.tak berhenti ketawa membaca bab ni.penawar stres.

Anonymous said...

Hehehe... Tak boleh nak bayangkan bagaimana rupa mat yang handsome, berpendidikan tinggi tapi naik basikal antik pakai topi lusuh jimat kos.... hahaha... apa-apapun amat menghiburkan arsha..

k.mid

Kim said...

Kelakar Bab 1 dan 2. Harapkan teruskan. To date semua karya Cik Arsha saya suka versi cetak atau versi-e.