Oct 1, 2014

Prolog. Baruu.. :)

Assalamualaikum.
............
Prolog 

“Kau nak sangat keluar dari rumah ni kan?”

Semua pakaian wanita itu ditarik kasar dari dalam almari dan disumbat ke dalam beg lusuh yang terbuka.

Husna yang sudah lencun dengan air mata, hanya mampu memerhati. Sedikit pun tidak menghalang apa yang dilakukan oleh lelaki itu. Sungguh dia pasrah dan sedia menerima apa juga keputusan yang bakal dilakukan demi kebaikan masing-masing. Dia terutamanya, dan memang itu yang dimahukan selepas kesengsaraan yang tidak mampu lagi ditanggung. Dia rasa tertipu, diperbodohkan serta diperlakukan seperti sampah! Hilang sudah madu, kini hanya sepah yang tidak berguna.

“Sini kau!” Lengannya ditarik kasar tiba-tiba dan diseret keluar dari kamar yang pernah mencipta segala kenangan pahit dan manis itu.

“Kau dah tak layak lagi pijak rumah aku ni! Kau boleh berhambus dari sini!” Tubuh Husna terdorong kasar dan hampir sahaja mencium kaki tangga. Mujur dia segera berpaut pada pemegang besi.

Husna menyeka kasar wajah yang sudah lencun. Senyum tepi dilemparkan walaupun terasa payah kerana tepi bibir yang pecah dek makan penampar tangan yang pernah membelainya dahulu.

“Abang tak perlu nak halau Husna. Memang Husna akan keluar dari rumah ni, keluar dari hidup abang! Husna takkan jejakkan kaki ke sini lagi sampai bila-bila!” balasnya berani. Beg pakaian lusuh yang terputus talinya apabila ia sama-sama dilemparkan tadi, dibawa dalam dakapan.

Lelaki itu merengus kasar bersama senyuman menakutkan.

“Kau ingat, aku kesah kau nak pergi dari hidup aku atau tak? Kau nak pergi mampus pun, tu bukan urusan aku!”

Herdikan yang tidak lagi memberi kesan kepada hatinya hari ini.

“Sekarang kau tunggu apa lagi! Berhambus kau dari sini!” Jerkahan itu bergema di segenap ruang.

“Kau nak aku heret kau sampai depan pintu pagar sana baru kau nak keluar dari rumah aku ni!!”

Terangkat bahu Husna dek kerana terkejut dengan herdikan yang membingitkan itu. Buat kali terakhir, wajah yang pernah bertakhta di hatinya itu direnung dalam-dalam. Sungguh, sepasang mata itu tidak lagi dipenuhi sinar cinta yang amat didambakan sebelum ini. Segala-galanya kini sudah terhapus dek dibakar api kebencian yang begitu mendalam. Dan kini, dia sendiri benci melihat sepasang mata itu. Amat menyakitkan kerana telah membunuh rasa cinta yang pernah wujud dalam hatinya selama ini.

“Husna tak sangka, begini akhirnya hubungan kita. Husna dah tak kenal abang.. Abang bukan lagi lelaki yang Husna kenal dulu..” rintihnya cukup sayu apabila terkenang kembali perwatakan lelaki itu dahulu. Bicaranya lembut dan sering membuai perasaannya. Tetapi kini..

Lelaki itu merengus dengan wajah yang cukup tegang. Sepasang matanya yang merah menyala,  menikam ke wajah sendu Husna. Dia mendekat.

“Kau nak tahu sebab apa aku jadi macam ni?” Dipaut kasar dagu Husna hingga wanita itu menyeringai menahan sakit.

“Kau ni, perempuan paling bodoh yang pernah aku kenal! Dasar perempuan tak sedar diri! Kau ingat, aku bodoh nak bela kau sampai mampus dekat rumah ni? Jangan haraplah! Kau ni, sikit pun tak mendatangkan hasil pada aku! Kau lupa aku kutip kau dekat mana dulu?! Kau lupa?!” Dagunya dilepaskan kasar. Terasa berdenyut-denyut tepi bibirnya yang pecah tadi.

“Kalau dari dulu abang tahu Husna tak mendatangkan hasil pada abang, kenapa abang beria-ia nak nikah dengan Husna? Kenapa?!” Hambur Husna dalam esak tangis yang kedengaran.

Lelaki itu kembali menghampiri bersama senyuman yang cukup menggerunkan. Jari telunjuknya cuba menyentuh dahi Husna, namun cepat-cepat ditepis. Terasa jijik untuk disentuh oleh lelaki itu lagi menyebabkan dia mengundurkan diri beberapa tapak ke belakang.

Apasal kau nak lari? Takut?!” Sekali lagi lengannya ditarik kasar dan kini terus terlekap ke tubuh lelaki itu. Tubuhnya didakap cukup erat hingga terasa sukar untuk bernafas. Berusaha dia meronta namun kudratnya tidak sekuat mana. Semakin kuat dia meronta, semakin ketat tubuhnya terkunci.

“Kau tak dengar apa aku cakap tadi ke, hm?” Jari telunjuk lelaki itu mula menyentuh hujung dahi dan dilalukan ke seluruh wajah menyebabkan Husna hanya mampu memejamkan mata.

“Kau ni, dasar perempuan tak sedar di untung! Dari kau susah-susah kerja dekat resort kecik tu dulu.. gaji entah berapa sen.. aku tanggung bapak dengan adik kau selama ni.. ini yang kau balas pada aku? Hmm?” Suara lembut dan cukup menakutkan itu bergema di tepi telinganya.

“Kenapa kau susah sangat nak ikut cakap aku.. aku bagi kau duit.. rumah ni, jauh lagi hebat dari rumah buruk kau dekat kampung tu.. aku tak suruh pun kau buat kerja-kerja berat dalam rumah ni. Tunggu aku balik kerja, layan aku.. tu pun susah ke, hmm?” Lelaki itu merapatkan hidung ke batang lehernya menyebabkan tangan terus mencengkam kuat leher baju lelaki itu dan cuba menolak. Tidak rela disentuh lagi.

“Husna tak pernah mintak semua tu bang.. Husna tak mintak.. Husna ikhlas cintakan abang, sayangkan abang selama ni.. tapi apa yang abang dah buat? Abang tipu Husna! Husna ikut semua kemahuan abang selama ni! Husna setia dengan abang! Husna sanggup layan nafsu pelik abang tu! Sampai gugurkan anak-anak kita.. Husna buat semua demi abang.. Tapi.. apa yang abang buat sekarang ni?! Apa yang Husna dapat?! Abang simpan perempuan lain! Abang penipu! Abang tipu Husna!!” Ngongoi Husna dengan rasa kecewa yang tidak terperi apabila mengetahui segala kegiatan lelaki itu selama ini.

Lelaki itu terus meledakkan tawa yang dibuat-buat sebelum ia terhenti dan digantikan dengan renungan tajam yang menakutkan.

“Apa bezanya aku ada perempuan lain atau tak? Hidup kau melarat? Tak ada kan? Kau tak cukup makan? Orang gaji, aku dah sediakan dalam rumah ni. Kau duduk goyang kaki aje, aku rasa. Duit? Setiap bulan aku bagi kau duit. Bukan kau aje, bapak dengan adik kau dekat kampung tu, tak pernah kurang duit tiap-tiap bulan. Apa lagi yang tak cukup? Cuba kau cakap dengan aku!”

Husna geleng kepala perlahan bersama linangan air mata laju meluncur keluar. Bukan harta yang dimahukan sebaik bernikah dengan lelaki itu. Bukan… bukan itu yang dia mahukan. Cuma, cinta dan kasih sayang lelaki itu yang didambakan. Yang mampu menenangkan hati, menenteramkan jiwa serta terus menjadi teman hingga akhir nafasnya nanti, hingga ke syurga-Nya. Itu yang diinginkan, itu yang diharapkan. Bukan seperti ini.

“Abang lepaskan Husna..” Lemah dia bersuara. Kecewa, sedih dan terluka sudah bergabung menjadi satu. Cinta sucinya bukan buat lelaki yang tidak tahu menghargainya. Dia tidak sanggup lagi terus menanggung pelbagai rasa yang tidak tergambar.

Lelaki itu merengus kasar seraya mencengkam kuat kedua-dua bahu Husna. Marah yang membuak tidak mampu lagi ditahan.

“Kalau aku tak ceraikan, kau nak buat apa? Kau nak tuntut dekat mahkamah, lepas tu kau nak bagi tahu semua apa yang aku pernah buat dekat kau selama ni?” Senyum sinis terlayar.

“Husna takkan teragak-agak abang.. kalau selama ni, Husna mampu bertahan, bersabar dengan apa yang abang buat pada Husna, pada anak-anak kita.. kali ni, Husna takkan diam. Abang boleh pukul Husna sepuas hati abang.. tapi abang ingat.. Husna takkan diam lagi lepas ni. Abang takkan hidup tenang lepas ni!” balas Husna berani menyebabkan sekali lagi lelaki itu meledakkan tawa sebelum ia terhenti tiba-tiba. Wajah Husna ditenung setajam mungkin bersama bibir yang diketap kuat.

“Kau berani nak ugut aku pulak sekarang ni kan? Dasar perempuan tak guna!” Ditolak keras tubuh kurus Husna menyebabkan sekali lagi wanita itu mencium lantai. Kemudian, tanpa belas kaki didaratkan di atas perut Husna menyebabkan wanita itu terpaksa menahan senak yang tidak tertanggung. Dia tahu, jika dia meronta, makin kuat kaki itu akan menekan perutnya.

“Kau nak sangat cerai kan? Baik.. aku boleh bagi berapa banyak talak yang kau nak. Tapi ingat.. sekali aku dah ludah, aku takkan jilat balik. Dan kalau aku tahu, kau berani buat apa yang kau cakap tadi.. aku akan pastikan hidup adik dengan bapak kau, tak panjang dalam dunia ni! Kau memang perempuan sial tak sedar diri!” Dengan hasutan syaitan yang merasuk jiwa, perut Husna dipijak sekuat hati.

Husna tidak mampu lagi mengucap kata. Tubuhnya mengerekot menahan sakit yang teramat. Belum pun rasa senak itu hilang, rambutnya pula disentak kuat menyebabkan kepalanya terpaksa terikut sama.

“Kau dengar sini baik-baik. Kau nak sangat berhambus dari hidup aku kan?” Cengkaman di rambut terasa kian ketat.

“Hari ni, aku ceraikan kau dengan talak tiga! Pergi mampus kau dari hidup aku! Aku dah tak nak lagi tengok kau perempuan!”

Tuih!!

Kepala Husna dihentak ke lantai selepas meludah wajah sendu itu sepuas hatinya. Tubuh kurus itu kemudiannya diheret hingga ke muka pintu. Beg pakaian wanita itu terus dilemparkan sama hingga terburai semua isinya.

“Sampai mati Husna takkan maafkan abang!!” jerit Husna dalam kepayahan dia menegakkan tubuh yang sakit semuanya.

“Apa kau kata?! Lelaki itu kembali mendekat. Dicengkam kuat dagu Husna sebelum penampar dihadiahkan hingga pecah lagi tepi bibir wanita itu.

“Pergi mampuslah dengan kau punya maaf! Kau ingat, aku hadap sangat dengan maaf kau!” jerit lelaki itu sekuat hati  sebelum sekali lagi tapak tangannya dilayangkan dan Husna tersembam lagi ke lantai. Tempat yang sama. Kuat dan kali ini Husna terasa berpinar yang teramat.

“Aku tak nak tengok lagi muka kau dari rumah aku! Pergi jahanam kau dari sini!” Memetir suara lelaki itu sebelum pintu utama terus sahaja dihempas kuat.

“Sampai mati Husna takkan maafkan abang!!” jerit Husna lagi sekuat hati dalam esak tangis di hadapan pintu yang sudah tertutup rapat. Diseka air mata yang berjuraian. “Kau kena kuat Husna!” Jerit suara hatinya yang paling dalam pula, menyebabkan perlahan-lahan dia bingkas walaupun seluruh tubuhnya terasa sakit.

Tepi bibir yang terasa kebas, disapu dengan hujung lengan baju kurung yang dipakai. Pedih dan perit yang bersatu tidak lagi tergambar dengan kata-kata. Cukup.. hari ini adalah hari terakhir dia menjejakkan kaki ke rumah yang berupa neraka selama tiga tahun tinggal di situ. Apa yang diinginkan selama ini, sudah pun diperoleh sebaik syaitan yang bertopengkan manusia itu melafazkan talak dan dia reda. Selepas ini, tiada lagi kesedihan dan kesakitan yang harus ditangiskan. Kelapangan jiwa yang perlahan-lahan mula menjalar ke serata tubuh memberi satu semangat agar dia mampu berdiri kembali untuk menjalani hidup baru tanpa kesakitan dan kesengsaraan daripada seorang lelaki yang bergelar suami.



11 comments:

MaY_LiN said...

jahatnye lelaki tu

Kak Faiz said...

As salam,
Arsha bleh publish citer ni kt blog? Sbb kt office ni FB blacklist ler.. selalu baca kt office je.. during break time. Kt rumah tak sempat dengan house chores.

baby mio said...

best 3x.

Mariyam Syam said...

Kak arsha best setiap hari sye tertunggu2 post baru dri akak...semua cerita yg akak tulis memang terbaekkkmmm

Anonymous said...

alahai kesiannya husna. Baik dia terus pergi dari hidup lelaki tu dari terus tanggung derita. kekal terbaik sha. Suka.

k.mid

Bella Daud said...

citer baru terrrr....emmmm...sangat lain dari yg lain. pe pon akak suka..nanti buat SE utk awra ke...BMJM n TDK jugak....amboiii byk nyer permintaan....bukan ape ...rindu kat depa semua....jgn mare yer...Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha utk cik Arsha n semua pembaca blog ni....

norlinda zaman said...

harap2 ada n3 baru kat blog ye...tak sabar nak tunggu

Miza Lan said...

best sambunglah cepat2

Shila Mohd said...

apa tajuk utk cerita ni? cerita ni memang best...

arsha said...

Citer ni belum sambung sis. InsyaAllah akan datang. Tgh siapkan cter lain dulu. :D
terima kasih sudi baca.

arsha said...

Citer ni belum sambung sis. InsyaAllah akan datang. Tgh siapkan cter lain dulu. :D
terima kasih sudi baca.