Sep 10, 2013

AWRA bab 12

AWRA 12

“Kau buat apa dengan dia?” Soal Faidh sedikit keras. Tali leher yang kemas terikat di lehernya ditarik kasar. Dia cuba menenangkan hatinya saat itu. Keletihan yang masih terasa pada tubuh kerana tergesa-gesa pulang dari Melaka langsung tidak diendahkan. Tempoh kursus yang masih berbaki tiga hari terpaksa dilupakan. Mujur tunangnya ada untuk membantu menguruskan pusat tuisyennya yang tidak lagi diuruskan oleh Awra hampir seminggu itu.

“Mana ada aku buat apa-apa dengan dia.” Balas Faiq cuba berdalih. Air teh yang baru sahaja dihantar oleh pembantunya tadi dihirup perlahan untuk menenangkan hatinya sendiri. Tidak menyangka adik kembarnya itu akan datang ke tempat kerjanya mengejut begitu.

“Kalau kau tak buat apa-apa, takdanya aku datang tempat kerja kau macam ni. Aku ni penat tahu Faiq. Kursus aku tak habis lagi dekat Melaka tu. Nasib baiklah Ana nak tolong aku uruskan tuisyen tu.” Jawab Faidh sedikit tenang berbanding tadi. Ada beberapa kali dia cuba menghubungi Awra namun satu pun panggilannya tidak bersambung menyebabkan dia terus mengambil keputusan untuk menemui abangnya di situ.

Faiq tidak membalas. Dia masih mampu bertenang sambil meneliti beberapa resipi baru yang diserahkan oleh pembantunya awal pagi tadi.

“Baik kau cakap betul-betul dengan aku apa yang dah jadi Faiq. Aku susahlah macam ni. Budak-budak dah baik dengan dia.” Sambung Faidh lagi yang tetap cuba bertenang kerana tidak mahu timbul pertelingkahan di tempat kerja kembarnya itu.

“Kau cari ajelah orang lain.” Jawab Faiq selamba.

Hotak kau! Kau ingat senang-senang ke aku nak cari pengganti dia dengan kelam-kabut macam ni.” Faidh sedikit bengang dengan jawapan yang diterima dari abangnya.

“Habis tu kau nak aku buat apa? Takkan aku nak ganti tempat budak tu pulak?” Balas Faiq sambil memandang wajah adiknya yang sedikit kusut. Sedar yang dia sudah melibatkan adiknya itu atas masalah yang dihadapi bersama Awra.

“Aku tak kira Faiq. Aku tak kisahlah apa pun masalah kau dengan dia. Aku tahu kau settlekan. Aku tahu, dia kerja balik dengan aku minggu depan. Kalau tak settle jugak, aku sendiri pergi jumpa dia nanti.” Faidh bertegas. “Eh, aku rasa memang patut aku pergi jumpa dia terus. Aku dah tak nak terlibat dengan dosa menipu dia. Problem kau, lantak kaulah. Elok-elok dia dah kerja dengan aku, kau sibuk buat hal.” Lanjutnya menghamburkan apa yang dirasai.

Faiq membuang pandang lagi ke wajah lelaki di hadapannya itu. Dia yakin Faidh serius dengan apa yang diluahkan sebentar tadi. Sememangnya dia bersalah dengan apa yang berlaku kini. Segala-galanya berpunca darinya.

“Dah la Faiq. Aku tunggu sini pun problem aku takkan settle kan? Aku nak pergi terus rumah dia. Lagi bagus!” Ujar Faidh seraya bingkas. Malas lagi menanti di situ dan dia tekad untuk melakukannya demi kebaikan pusat tuisyennya. Dalam masa yang sama, dia memang sengaja mahu menduga abangnya itu kerana dia tahu Faiq tidak akan mendiamkan diri. Lelaki itu seorang yang bertanggungjawab.

“Kejap Faidh!” Faiq kembali bersuara saat adiknya sudah tiba di muka pintu. Terasa tercabar dengan apa yang terucap di bibir adik kembarnya itu.

Faidh sembunyi senyum sebelum dia berpaling. “Apa lagi?” Soalnya pura-pura dingin.

“Biar aku settlekan masalah aku dengan dia. Kau tak payah nak masuk campur.” Ujar Faiq tanpa memandang wajah adiknya.

“Aku bukan nak masuk campur problem kau dengan dia. Aku nak kau settlekan problem yang kau dah libatkan aku ni. Aku nak dia kerja balik dengan aku.” Faidh tetap juga dengan keputusannya.

“Aku tak boleh nak janji dia akan kerja dengan kau balik.” Balas Faiq dengan nada yang masih mampu dikawal.

“Tu aku tak nak tahu. Apa yang aku tahu, dia kerja dengan aku balik. Itu aje. Yang lain-lain kau settlekan sendiri kalau kau tak nak aku masuk campur problem kau dengan dia.” Faidh tetap juga bertegas.

Faiq ketap bibir. Dia mula buntu kini.

“Kau nak settlekan ke tak ni? Kalau tak, aku nak terus pergi rumah dia ni.” Provok Faidh. Sengaja mendesak agar abangnya itu membuat keputusan. Dengan cara itu sahaja masalahnya dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

“Okey-okey! Aku settlekan. Bagi aku masa sampai minggu depan.” Jawab Faiq terpaksa mengalah. Terpaksa direndahkan egonya untuk memujuk Awra agar kembali bekerja. Semuanya semata-mata kerana Faidh. Dia tidak mahu hubungan akrab mereka selama ini terjejas gara-gara masalah yang dicetuskannya sendiri.

“Okey. Bagus! Maknanya aku tak payah terus pergi rumah dia sekarang ni kan..” Faidh sekadar inginkan kepastian.

“Ya..” Jawab Faiq diiringi keluhan berat. Tidak terpandang wajah adiknya yang sedang tersenyum lebar saat itu.

“Okey! Settle masalah aku.” Balas Faidh dengan senyuman yang kian melebar. “Okeylah. Hati pun dah senang. Aku nak balik. Aku penat sangat ni. Minggu depan, aku tahu problem tu dah settle.” Ujarnya kemudian sambil menjungkitkan kedua-dua keningnya ke arah Faiq. Dia perasan wajah lelaki itu mula menegang. “Okey my lovely brother. See you next week okey!” Sambungnya sebelum terus berlalu keluar. Tidak mahu lagi dia mengganggu ketenteraman abangnya itu.

Sementara Faiq yang memerhati bayang adik kembarnya kian menghilang, terus menghela nafas panjang. Terasa berat benar apa yang dipikul kini. Untuk berhadapan dengan Awra dalam masa terdekat itu bukanlah dalam perancangannya. Dia perlu fikirkan baik buruk untuk bertemu dengan Awra kerana ia juga turut melibatkan keluarga gadis itu. Baru semalam dia bertemu dengan Firdaus dan lelaki itu ada memaklumkan hubungan dingin yang tercetus dari apa yang berlaku di restorannya minggu lalu. Hal itu juga menyebabkan dia tidak begitu selesa sepanjang hari. Ada sahaja yang tidak kena.

*****
“Jemput minum Faiq.” Pelawa Shukor sebaik isterinya meletakkan seteko air teh dan sepinggan roti jala bersama kuah durian.

“Terima kasih pakcik.” Jawab Faiq mesra. Namun cawan yang sudah pun terisi dengan air teh masih tidak disentuh. Dia sebenarnya serba salah berada di situ. Tidak tahu akan kewajarannya bertandang ke rumah keluarga Awra petang Sabtu itu.

“Kamu datang ni ada hajat ke Faiq?” Soal Faridah berserta senyuman yang turut sama melabuhkan duduk di pondok kayu tepi rumahnya. Dia dan suaminya agak terkejut dengan kehadiran lelaki di hadapan mereka itu sebentar tadi.

“Er.. Ha’ah makcik.” Serba salah Faiq mengakui. Dia sebenarnya tidak tahu dari mana harus dimulakan untuk menyampaikan hajatnya bertandang ke situ. Kini, apa yang dilakukan semata-mata kerana adiknya. Jika tidak kerana Faidh sudah mendesaknya agar menyelesaikan masalah yang dihadapi secepat mungkin, pastinya dia tidak duduk di hadapan orang tua Awra kini.

Serentak itu juga kereta Grand Livina milik Shukor masuk ke perkarangan rumah membuatkan matanya laju mencari kelibat seseorang yang dinanti sejak tadi.

“Eh, Abang Faiq pun ada.” Mesra Alya menegur sebaik keluar dari perut kereta. Senyuman manis dilemparkan. Namun sebaliknya pula bagi Afza. Masam mencuka wajah gadis itu.

“Kenapa tu?” Soal Faiq apabila melihat Afza sedang berkata sesuatu kepada si pemandu.

“Angah tak bagi Kak Jaja beli novel tadi. Tu yang dia bengang dengan Angah.” Jawab Alya sambil melabuhkan duduk di sisi ibunya.

“Nak exam, buat cara nak exam!” Terdengar suara Awra memarahi Afza yang sedang mengeluarkan barang dari bonet kereta.

“Budak-budak ni kan.. Memang tak boleh jumpa.” Ujar Shukor sambil menggelengkan kepala melihat anak-anak perempuannya yang dua orang itu. Awra dan Afza sering berselisih pendapat hingga mencetuskan perbalahan antara kedua-duanya.

“Budak berdua tu memang..” Tambah Faridah pula.

Faiq menarik senyum nipis. Melihat Awra yang turut sama mengeluarkan barang dari bonet kereta, dia yakin gadis itu masih tidak menyedari kehadirannya di situ. Tambahan pula hari itu dia meminjam kereta teman serumahnya. Keretanya dihantar ke pusat servis hari itu.

“Abah, baja ni nak letak dekat mana?” Laung Awra sambil mengangkat salah satu beg plastik. Dan sebaik dia ternampak kelibat seorang lelaki yang duduk bersama-sama abah dan ibunya di situ perbuatannya terhenti. Niatnya tadi mahu meletakkan baja ke pondok kayu itu terus termati. Cepat-cepat dia mengambil segala barang yang dibeli di pekan tadi sebelum terus berlalu ke dalam rumah. Hatinya yang sedikit berbahang gara-gara bertekak dengan salah seorang adiknya tadi kini bertambah hangat sebaik terlihat wajah Faiq. Wajah yang sering menghantuinya sejak akhir-akhir itu.

“Kedekut betul Angah tu bah!” Adu Afza sebaik duduk di sisi Shukor.

“Buat apa beli novel? Kan elok beli buku exercise. Lagi tiga bulan aje nak periksa kan? Minggu depan dah mula puasa. Lepas tu cuti raya, tinggal berapa hari aje lagi nak periksa tu.” Balas Shukor cukup tenang menasihati.

“Alah bah… Jaja tahulah. Baca novel sehari aje bah.. Bukan sampai sebulan.” Jawab Afza dengan wajah tidak puas hatinya.

“Ada-ada ajelah kamu ni Jaja. Sudah tu, pergi angkat barang tu semua bawak masuk. Jangan lupa ayam dengan ikan tu masukkan dalam peti sejuk.” Faridah pula bersuara mahu menamatkan sahaja rungutan anak gadisnya itu.

“Iyalah.” Afza mengalah dengan wajah yang memuncung. “Yaya, kau hantar barang Angah tu. Malas aku nak bawak.” Ujarnya kemudian sambil menghulurkan plastik warna putih berisi bahan-bahan kek.

“Yaya pulak kena hantar. Kan Kak Jaja nak ke dapur. Bawaklah sekali.” Alya pula merungut.

“Ish! Budak berdua ni. Dua-dua pergi masuk. Tak malu ke Abang Faiq tengok drama kamu berdua dari tadi?” Kata Faridah sedikit geram melihat pasangan kembar itu.

Faiq hanya tersenyum nipis. Terhibur hatinya melihat kerenah pasangan kembar itu. Ia juga mengingatkannya pada Faidh. Tidak boleh tidak, dia perlu menyelesaikan masalahnya hari itu juga. Tidak mahu lagi bertangguh memandangkan masa semakin suntuk. Tempoh seminggu yang diminta akan berakhir esok.

Afza saat itu terus sahaja berlalu ke dalam rumah tanpa menghiraukan bebelan Alya.

Tanpa banyak soal lagi, Alya turut bingkas untuk menghantar beg plastik tadi.

“Yaya, nanti cakap dengan Angah sekali abah suruh turun.” Ujar Shukor sempat berpesan.

“Okey bah!” Jawab Alya senang sebelum gadis itu berlalu.

Faiq yang sedang menghirup perlahan air teh hampir sahaja tersedak mendengar sebaris nama itu.

“Kalau bukan sebab dia, kamu takda susah-susah datang sini kan?” Ujar Shukor dengan senyuman penuh makna dilemparkan.

Faiq tersenyum kelat. Tidak perlu lagi dia berterus terang, orang tua yang sebaya dengan ayahnya itu sedia memahami tujuannya ke situ.

“Abah, Angah kata malas. Dia sibuk.” Terdengar suara Alya di muka pintu dapur.

“Apa yang disibukkannya tu?” Sahut Faridah sebelum bingkas. Dia sendiri mahu memanggil Awra.

“Kalau dia tak nak jumpa saya, takpa makcik.” Celah Faiq serba tidak kena. Sejak awal lagi dia sudah menjangka hal itu akan berlaku.

“Alah. Dia bukan buat apa-apa pun.” Balas Faridah sebelum berlalu.

Faiq tidak mampu lagi menghalang apabila wanita itu sudah pun berlalu meninggalkannya di situ bersama Shukor.

“Pakcik, saya mintak maaf banyak-banyak dengan pakcik sebab dah susahkan Awra, susahkan pakcik. Kalau bukan sebab saya, Awra tak berhenti kerja hari itu. Dia pun tak gaduh dengan Firdaus.” Ujar Faiq diiringi helaan panjang. Perasaan bersalah yang terkepung di hatinya semakin sarat. Ego yang diagungkan sebelum ini terpaksa ditolak tepi demi mengembalikan keceriaan di wajah Awra dan semua ahli keluarganya.

“Takpalah Faiq. Pakcik tak nak masuk campur. Kamu dengan dia dah besar. Boleh fikir mana yang baik mana yang buruk. Pakcik pun tak kisah Awra tak kerja. Ada jugak teman pakcik bila dekat kebun tu. Tapi tu la.. Orang lain yang sibuk bila dia tak kerja. Kadang-kadang sampai dia jarang nak keluar rumah. Sebab orang sibuk aje tanya fasal kerja pada dia.” Jawab Shukor senang. Sememangnya antara anak-anaknya, dia lebih rapat dengan Awra walaupun tahu nasib anaknya itu tidak sebaik orang lain. Punya kelayakan, namun tidak berpeluang mendapatkan tempat di pasaran kerja. Dia reda dan tidak rasa terbeban jika Awra terus tinggal dengannya di kampung itu.

Faiq melepaskan keluhan berat. Sama berat dengan apa yang dirasai saat itu.

“Tu Awra dah turun. Kamu cakaplah baik-baik dengan dia.” Ujar Shukor selanjutnya sebelum bingkas. Dia mahu memberi peluang kepada kedua-duanya berbincang.

Faiq menalakan bola matanya ke arah empunya diri. Wajah kelat Awra terlayar di ruang mata. Dia tahu gadis itu rasa terpaksa bertemu dengannya.

“Macam manalah abah aku boleh percayakan kau duduk dengan aku dekat sini.” Sinis dan kasar kata-kata yang terluah di bibirnya sebaik melabuhkan duduk di hujung pondok. Pandangan mata dibuang ke tengah halaman. Tidak sudi untuk memandang wajah lelaki yang telah menyakiti hatinya itu.

“Aku datang sini bukan nak cari gaduh dengan kau.” Balas Faiq yang cuba tahan hati. Sedar yang dia kini berhadapan dengan gadis yang telah dilukai. Sedangkan gadis itu juga yang mula menggamit lena malamnya.

Awra tersenyum sinis. ‘Tak nak gaduh konon. Selama ni bukan kita baik pun!’ Hamburnya dalam hati. “Aku ada hutang apa-apa ke dengan kau? Takda rasanya.. Aku berhenti ngam-ngam hujung bulan. Gaji pun aku dah dapat.” Katanya masih dalam nada yang sama. Dia masih lagi mampu mengawal perasaan marah yang mula menjengah hati. Jika tidak kerana ibunya yang memujuk tadi, jangan harap dia duduk di situ.

Faiq ketap bibir. Tetap cuba disabarkan hatinya. Belum lagi dia menyampaikan hajatnya ke situ, Awra telah menyerangnya terlebih dahulu. “Memanglah kau takda hutang apa-apa dengan aku. Adik aku pun takda hutang apa-apa dengan kau. Tapi dia nak kau kerja balik dengan dia. Takda siapa yang nak tolong dia.” Ujarnya mendatar sekali gus menerangkan keadaan yang sebenar.

Awra mengerutkan dahi. Bola matanya ditalakan ke wajah Faiq. Dia agak keliru dengan apa yang diucapkan oleh lelaki itu. “Kau cakap apa ni?”

“Selama ni kau bukan kerja dengan aku. Kau kerja dengan Faidh Fiasal. Adik kembar aku.” Balas Faiq cukup tenang menjelaskan kebenaran yang dirahsiakan sepanjang mengenali gadis itu.

“Kau jangan nak buat aku confuse boleh tak? Tak cukup lagi ke kau buat aku confuse selama ni?” Tingkah Awra dengan wajah yang mula memerah. Ada suatu perasaan kurang enak mula bercambah di hatinya. Dia cuba menidakkan apa yang terlintas di fikirannya saat itu.

“Aku takda masa la nak buat kau confuse. Kau tu yang tak perasan selama ni.” Faiq cuba meletakkan kesalahan ke bahu Awra pula.

Awra ketap rapat bibirnya. Ada air jernih mula bertakung di hujung mata namun sedaya upaya ditahan. “Siapa lagi yang tahu kau ada kembar?” Soalnya dengan suara yang mula bergetar. Tidak hairanlah kini kenapa dia terasa pelik setiap kali bertemu dengan lelaki itu.

Kini giliran Faiq pula memanahkan pandangan matanya ke arah Awra. Dia mula perasan sepasang mata bundar itu berkaca-kaca. Terasa semakin sarat perasaan bersalah yang ditanggung apabila melihat wajah keruh yang mula berairmata itu.

“Kau aje yang tak tahu..” Balas Faiq mengendur. Tidak mampu lagi dia memandang ke wajah Awra yang kian keruh.

“Sebenarnya apa tujuan kau buat aku macam ni?” Soal Awra sambil menyeka kasar air mata yang mula menuruni pipinya.

“Kau lupa apa yang aku cakap depan toilet hari tu?” Faiq mengembalikan soalan juga.

Awra menarik senyum sinis. Tidak mungkin dia dapat melupakan kata-kata yang begitu mengguris hatinya minggu lalu. “Memang patut pun kau rasa menyesal sebab suka aku.. Sebab aku pun akan rasa menyesal kalau aku suka dengan penipu macam kau!” Hamburnya dengan dada yang sedikit berombak. Tajam matanya menikam ke dalam mata Faiq yang lebih tenang sejak tadi. Ketenangan itu juga membuatkan hatinya bertambah sakit. Dia terus bingkas membelakangkan Faiq. Air mata yang semakin laju menuruni pipi tidak lagi dihiraukan. “Kau macam orang tak bersalahkan.. Kau memang suka aku nampak bodoh depan mata kau, depan semua mata family aku.. Apa sebenarnya salah aku dengan kau Faiq Faisal..” Luahnya dengan suara yang mengendur. Hatinya benar-benar terluka saat itu.

Faiq melepaskan keluhan berat. Dia tidak tahu bagaimana harus menerangkan hakikat yang sebenar. Sememangnya dia menyukai gadis itu. Namun apa yang berlaku kini tidak seperti yang dirancangkan. Tidak menyangka perselisihan mereka melarat hingga ke saat itu dan akhirnya ada hati yang terluka. “Awra!” Panggilnya apabila gadis itu mula melangkah dan mahu meninggalkannya.

“Kau doalah banyak-banyak aku terbuka hati nak kerja balik dengan adik kau tu!” Ujar Awra dingin tanpa berpaling lagi. Dia terus sahaja masuk ke dalam rumah.

******
“Dik.” Firdaus mengambil tempat di sisi Awra yang leka menonton tv.

Sejak dia tiba tadi, sekalipun adiknya itu tidak menegur. Dan sejak pertelingkahan kecil yang berlaku, adiknya itu tidak lagi mesra dengannya. Sering sahaja mengelak apabila diajak berbual.

“Dik.” Firdaus cuba lagi menarik perhatian. Petang tadi dia sempat bertemu dengan Faiq yang datang ke rumahnya dan dia tahu apa yang telah berlaku. Bukan dia tidak perasan wajah itu sedikit sembap tadi.

“Kau nak tengok tv, tengok ajelah. Tak payahlah bising-bising.” Balas Awra seraya menjarakkan diri. Terus sahaja dia berpindah tempat duduk.

“Sampai bila kau nak boikot aku ni?” Soal Firdaus yang terpaksa memujuk kembali hati adiknya yang merajuk. Pelbagai cara telah dilakukan, namun satu pun tidak berkesan. Belum pernah lagi Awra merajuk dengannya sebegitu sebelum ini.

Awra mendiamkan diri walaupun fokusnya untuk menonton tv sudah terganggu. Mahu sahaja dihamburkan kemarahan yang dipendam kepada abangnya itu sejak seminggu lalu. Namun dia masih mampu mengawal. Tidak mahu menambah kedinginan yang ada.

“Dik..” Firdaus tidak berputus asa. Dia sedar akan kelancangannya bercakap hingga mengguris hati adik kesayangannya itu.

“Dik dik.. Kau kan ada dua adik aje. Kau pergilah cari dia orang.” Selamba Awra menyindir tanpa sedikit pun menoleh.

“Ala.. Kau janganlah macam ni. Kau tak takut ke dosa? Lebih tiga hari kita tak bertegur dah berdosa tahu tak?” Firdaus cuba memancing. Sememangnya dia tidak mahu mereka terus bermasam muka begitu.

“Habis tu, kau sakitkan hati aku, tak berdosa la?” Tingkah Awra sedikit geram. Bukan dia tidak tahu hukum. Berdosa kepada hamba-Nya yang memutuskan tali silaturahim. Jatuh berdosa kepada mereka yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Namun di hatinya masih punya perasaan marah kerana kata-kata yang dilemparkan oleh Firdaus seminggu yang lalu.

“Takdalah.. Bukan macam tu.. Aku..”

“Sudahlah bang. Aku malaslah cakap dengan kau. Dah la semua orang tipu aku. Kau pun sama aje dengan si Faiq tu.” Potong Awra sebelum bingkas. Apa yang berlaku petang tadi menambah sakit hatinya. Dia benar-benar berkecil hati dengan semua ahli keluarganya.

“Fasal tu aku takda kena mengena eh. Si Faiq tu yang suruh rahsiakan. Manalah aku tahu sampai korang gaduh teruk macam ni. Aku ingat, bila rahsiakan, boleh sampai korang couple.” Jawab Firdaus membuatkan langkah Awra terhenti. Dia berpaling semula.

Couple kau kata? Tak hingin aku dengan dia! Badan aje besar. Otak kecik! Kau pun sama! Kalau dia suruh masuk longkang, kau pun masuk longkanglah. Macam tu? Baguslah tu.. Kau dengan dia duduk dalam longkang sama-sama. Dua-dua tak betul! Korang memang saja nak kenakan aku kan?” Hambur Awra yang mula panas hati. Namun ada air jernih pula yang bertakung di hujung matanya.

“Dik, kau cakap baik sikit.. Aku takdalah sampai..”

“Sampai apa?” Pintas Awra lagi dengan perasaan marah yang mula menguasai. “Lepas ni kau jangan haraplah aku nak percaya pada kau bang.. Jangan harap! Semua orang sama ajelah!” Bentaknya dengan air mata yang hampir tertumpah. Keliru kenapa perlu dia bersedih lagi selepas menghamburkan perasaan marah yang berbuku. Langkah kemudiannya terus sahaja diatur masuk ke dalam bilik.

Firdaus yang masih duduk di ruang tamu ketap bibir rapat sebaik kelibat adiknya hilang. Berdentum pintu bilik dihempas gadis itu.

“Kenapa ni?” Muncul Shukor di muka pintu yang baru pulang dari kenduri kesyukuran bersama isterinya.

“Ada orang mengamuk bah.” Jawab Firdaus yang tahan hati. Kesabarannya rasa tercabar dengan kedinginan adik kesayangannya itu.

“Dah tahu angin dia tak baik, yang kamu pergi usik kenapa?” Balas Shukor sambil melabuhkan duduk.

“Nasib tak runtuh rumah ni bah. Angah hempas pintu bukan main kuat lagi.” Muncul pula Afza dan Alya yang sejak tadi duduk di dalam bilik menyudahkan kerja sekolah ditemani kakak iparnya. Dari dalam bilik lagi mereka terdengar pertengkaran Awra bersama abang sulungnya.

“Abang buat apa dengan Awra?” Suara Athirah mencelah sebaik melabuhkan duduk di sisi suaminya.

“Mana ada buat apa. Dia yang emo tak tentu fasal siapa suruh.” Jawab Firdaus selamba. Padahal dia yang mulakannya dahulu tadi.

“Sudah tu.. Kamu jangan usik dia. Minggu depan dia start kerja balik, kamu jangan bising-bising lagi.” Shukor mencelah kembali.

“Ha.. Dia dah okeylah tu kan bah.. Nanti dia boleh duduk dengan kita balik.” Sahut Athirah ceria akan berita yang disampaikan oleh bapa mentuanya. Saat bertemu dengan Faiq tadi, tidak pula lelaki itu memberitahu yang adik iparnya akan kembali bekerja.

“Dia tak nak duduk rumah kamu. Dia kata nak berulang dari sini.” Faridah pula menambah.

“Eh, tak jauh ke? Pukul berapa nak sampai rumah nanti?” Athirah sedikit terkejut.

“Entah. Biarkan dia. Nanti pandai-pandailah dia. Nanti kalau penat, tahulah dia cari kamu.” Balas Shukor senang sebelum bingkas. Dia mahu menukar pakaian. Begitu juga dengan Faridah.

“Abang.. Takkan nak biar Awra ulang-alik dari sini. Jauhlah bang. Nanti lambat dia sampai rumah.” Ujar Athirah sebaik kelibat kedua-dua mentuanya hilang.

“Biarlah dia. Dia kan dah besar. Dah boleh jaga diri sendiri.” Balas Firdaus dengan sengaja menaikkan nada suaranya agar dapat didengari oleh adiknya itu.

“Abang!” Athirah menampar lengan Firdaus sekali. Dia tahu suaminya itu masih mahu mencetuskan perbalahan.

Sementara Awra di dalam bilik sudah menghamburkan tangis. Hatinya benar-benar sakit apabila mengenangkan kembali apa yang telah berlaku. Dia gagal membezakan antara majikannya sendiri dengan Faiq. Padahal lebih setengah tahun dia bekerja dengan Faidh. Paling melukakan apabila ahli keluarganya sendiri menyembunyikan hal itu. Teringat kembali kemarahan yang dihamburkan kepada Faiq petang tadi. Dan dia sendiri akhirnya bersetuju untuk kembali bekerja setelah Faidh menghubunginya.

3 comments:

MaY_LiN said...

uit..
memang bercakar je la keje nye


Faidh Fiasal~Faidh Faisal kan?

Kak Sue said...

Kalau kak sue di tempat Awra pun marah juga kt Faiq dan Daus...
Awra nak berkerja semula itu dah satu rahmat sebab Awra tahu bukan salah Faidh selama ni...
sekarang Daus dan Faiq pandai-pandailah nak ambil hati Awra semula... sediah tauuuu... mengalir juga air mata pagi ni... huhuhu

ciknie said...

ksian plak awra kene tpu