AWRA 11
“Kau apasal dik? Dari rumah lagi kau tersengih-sengih.” Soal Firdaus
yang sedikit pelik dengan Awra apabila melihat gadis itu tidak lekang dengan
senyuman sejak mereka bertolak tadi.
“La.. Nak
sengih pun tak boleh ke?” Awra mengajukan soalan juga.
“Entah Angah
ni. Selalu kalau ajak datang sini, jangan haraplah nak ikut. Dia lagi sanggup
makan maggie dekat rumah tu.” Celah
Afza pula yang turut perasan akan perubahan di wajah kakaknya itu.
“Eleh.. Suka hati Angahlah nak ikut ke tak. Hari ni
aje tiba-tiba terasa nak ikut. Biarlah. Lagipun Angah yang nak belanja hari ni
kan..” Selamba Awra menjawab. Sedikit pun dia tidak mengambil hati akan
sindiran yang ditujukan kepadanya.
Afza
menjuihkan bibir. Malas lagi bersoal jawab kerana sedar akan pandangan mata
abahnya.
“Kak Ti yang pregnant, tapi aku rasa kau yang terover malam ni kenapa dik?” Firdaus masih
lagi mahu mengetahui apa yang menyebabkan adiknya itu kelihatan ceria benar.
Setahunya, Awra cukup tidak suka bertandang ke restoran milik Faiq itu. Hanya
dia dan ahli keluarga yang lain sahaja kerap ke situ.
“Alah kau ni
bang.. Manusia boleh berubahkan? So,
aku di antaranya la..” Jawab Awra senang yang masih tidak lekang dengan
senyuman. Buku menu di hadapannya ditatap penuh minat. Pelbagai menu yang
tersenarai begitu membuka seleranya.
“Angah, kalau
Alya nak mixed grilled boleh?” Ujar
Alya lembut penuh mengharap kerana itulah antara makanan Barat termahal di kedai
Faiq.
“Boleh.” Jawab
Awra senang dengan senyuman penuh makna di bibirnya.
“Thanks Angah!” Ceria Alya membalas.
“Tapi dengan
syarat.” Lanjut Awra kemudiannya diiringi senyum yang kian melebar.
Alya pula
sudah mengerutkan wajahnya. “Nak belanja makan pun kena syarat ke? Apa dia?”
Soalnya sedikit pelik.
Awra
menganggukkan kepala beberapa kali. “Aku nak bawak balik koleksi DVD Harry Potter kau ke rumah abang.” Ujarnya
dengan sebelah keningnya dijungkitkan kepada adiknya itu. Dia tahu itulah
antara barang yang cukup disayangi oleh Alya dan Afza.
“Kenapa pulak? Angah kan dah tengok semua. Buat
apa nak bawak balik?” Laju Afza
mencelah. Seperti kurang bersetuju dengan syarat yang diletakkan kerana DVD
tersebut merupakan hak milik bersama dengan kembarnya.
“Saja. Nak
ulang tengok.” Jawab Awra selamba.
“Hish! Angah
ni bukan boleh percaya. Dah pinjam barang orang, nanti mesti hilang.” Rungut
Afza yang tetap kurang setuju dengan permintaan kakaknya itu.
“Alah.. Kau
hilangkan DVD Barbie aku takpa pulak?”
Balas Awra tidak mahu mengalah.
“Alah.. Mana
ada. Tu Alya yang hilangkan. Bukan Jaja.” Afza sudah merenung adik kembarnya yang
tersengih-sengih.
“Ahh.. Angah
tak peduli. Angah pinjam jugak.”
Jawab Awra selamba. Terasa kemenangan berada di pihaknya.
“Sudah tu
Awra.. Bilanya nak order ni kalau
asyik bercakap aje?” Shukor mula mencelah. Tidak mahu perbalahan kecil anak-anaknya
itu berlanjutan.
“Entah korang ni. Sibuk aje dengan DVD. Kau pun
sama dah macam budak-budak dik.” Tambah Firdaus pula.
Awra sudah
menjuihkan bibir. Tidak terkesan langsung dengan kata-kata abangnya.
“Abang Faiq!”
Mendengar
sebaris nama itu dipanggil, Awra mengangkat wajahnya. Laju dia mencari si
pemilik nama. Hampir bercantum keningnya melihat susuk tubuh yang amat dikenali
baru melangkah masuk ke restoran. Debar aneh mula mengusik hati melihat wajah
tenang yang sedang tersenyum itu. Liur ditelan kesat. “Apa dia buat dekat
sini?” Soalnya pada diri sendiri. Pelik dengan kemunculan Faiq sedangkan dia
beranggapan hanya akan bertemu dengan lelaki itu dalam masa seminggu lagi. Baru
petang tadi lelaki itu menghantar pesanan ringkas untuk memaklumkan kursus di
Melaka terpaksa dilanjutkan dalam masa seminggu lagi. Disebabkan itu dia berani
mengajak semua ahli keluarganya makan di situ.
“Assalamualaikum
semua.” Ucap Faiq mesra seraya menyalami tangan Shukor sebelum berpindah kepada
Firdaus. Hampir serentak yang ada di situ menjawab melainkan Awra yang tidak
lepas memandangnya hingga dia sendiri terasa pelik. Dia yakin gadis itu
terkejut dengan kemunculannya dan dia sendiri agak terkejut apabila ternampak
kereta Shukor dan Firdaus di tempat parkir tadi.
“Awak buat apa
dekat sini? Bukan awak dekat Melaka lagi seminggu ke?” Laju Awra menyoal.
Faiq
mengerutkan dahi. “Er.. Balik sekejap.” Balasnya serba salah. Tidak terpandang
akan wajah Shukor dan Faridah saat itu. Malu kerana dia masih lagi tidak berterus
terang dengan Awra akan keadaan yang sebenar. ‘Yang kau tiba-tiba datang malam
ni kenapa pulak?’ Sempat lagi hatinya
bertanya.
“Faiq, boleh ambik order sekarang.” Celah Shukor terus, mahu menamatkan perbualan Awra
apabila melihat anaknya itu ingin bertanya lanjut. Dia faham akan keadaan yang
dialami oleh anak muda yang tersenyum payau itu.
“Er.. Boleh
pakcik. Sekejap saya ambik kertas
dengan pen.” Jawab Faiq sedikit tergagap-gagap sebelum dia beredar ke kaunter
utama. Tidak sampai seminit dia kembali semula. “Pakcik nak order apa malam ni?” Soalnya penghabis
mesra kerana tidak mahu kelihatan canggung. Dia tahu semua pasang mata yang ada
di situ ralit memandang terutamanya Awra.
…………..
“Awak.” Panggil Awra dalam nada
yang mendatar. Sengaja dia menanti Faiq keluar dari tandas sebaik ternampak
kelibat lelaki itu di situ tadi. Mi hailam yang dipesan tadi pun belum sempat
dijamahnya.
“Awak buat apa
dekat sini?” Soal Faiq pula yang sedikit terkejut dengan kemunculan Awra di
situ. Mujur kawasan tersebut sedikit terlindung dari pandangan ahli keluarga
gadis itu.
“Petang tadi
awak kata awak balik minggu depan. Kenapa malam ni awak ada dekat sini?” Soal
Awra inginkan penjelasan. Terasa dirinya sedang dipermainkan apabila melihat
semua ahli keluarganya serba tidak kena dengan kehadiran lelaki itu tadi. Yakin
Faiq sudah sedia maklum dia dan keluarganya akan makan malam di situ.
“La.. Sebab tu
aje ke sampai awak sanggup tunggu saya depan toilet ni? Kenapa awak tak masuk aje tunggu saya dekat dalam?”
Selamba Faiq menjawab tanpa memandang wajah Awra yang merenungnya tajam.
Langsung tidak dihiraukan apa yang diperkatakan kerana dia sendiri tidak tahu
adiknya kembarnya masih di Melaka.
“Saya tunggu
dekat sini bukan nak cari gaduh tahu tak? Jawab ajelah bila saya tanya.” Balas
Awra yang cuba mengawal suaranya.
“Penting
sangat ke awak nak tahu?” Faiq membalas dengan soalan juga. Sengaja mahu
menduga tahap kesabaran gadis itu. Tambahan pula mereka sudah lama tidak
bertemu.
Awra ketap
bibir menahan geram. Rengusan dilepaskan sebelum dia melangkah mahu meninggalkan
Faiq di situ. Terasa menyesal dia menunggu lelaki itu tadi.
“Saya peliklah
awak ni. Apa yang awak tak puas hati dengan saya sebenarnya? Apa lagi yang saya
dah sakitkan hati awak Cik Awra?” Sambung Faiq membuatkan langkah gadis itu terhenti.
“Awak tu yang
pelik. Selalu buat saya confuse. Hari
tu sebelum awak pergi Melaka, awak boleh buat muka selamba aje dengan saya.
Macam takda apa-apa yang pernah jadi pun sebelum ni. Hari ni lain pulak. Kenapa awak macam buat-buat
terkejut bila nampak saya tadi?” Laju Awra membalas. Meluahkan apa yang terbuku
di hatinya.
Faiq ketap
rapat bibirnya. Dia tahan hati. ‘Buat-buat terkejut kau kata? Aku memang
terkejut la doww!’ Gerutunya dalam
hati. Tidak berpuas hati dengan apa yang terucap di bibir gadis itu.
“Apasal awak tak jawab?” Cabar Awra
sedikit geram. “Awak sebenarnya saja nak malukan saya depan family saya kan?” Hamburnya lagi tanpa
usul periksa. Bukan dia tidak tahu semua ahli keluarganya akan memihak kepada
lelaki yang berdiri di hadapannya itu.
Faiq
melepaskan nafas berat sebelum dia menjarakkan sedikit tubuhnya. Wajah
ditalakan ke tengah restorannya yang mula dipenuhi pelanggan. “Awak pergilah
makan. Nanti family awak cari pulak.” Ujarnya dengan suara yang
tertahan sebelum melangkah. Tidak mahu memanjangkan perbalahan kecil itu. Dia
terpaksa mengalah memandangkan keadaan yang tidak begitu sesuai.
“Saya tak suka
awak buat-buat baik dengan family
saya.” Tutur Awra lancar sebaik Faiq melangkah membuatkan lelaki itu terhenti
dan berpaling semula.
“Awak kata saya
buat-buat baik dengan family awak?
Saya buat-buat baik dengan family
awak?!” Balas Faiq dengan sengaja menekan setiap patah perkataan yang meniti
bibirnya. Terusik hati lelakinya apabila dituduh begitu. Wajahnya terus
dirapatkan ke wajah Awra.
“Menyesal
betul aku suka perempuan mulut takda insurans macam kau ni. Memang patutlah aku
undur diri dari terhegeh-hegeh kejarkan perempuan macam kau.. Tapi aku kesian
dengan Khairi.. Perempuan yang dia suka langsung tak tahu nak hormatkan
perasaan orang lain. Oh.. Aku terlupa. Perempuan kalau bercakap memang suka pakai
emosi kan? Macam kaulah. Tuduh-tuduh orang ikut suka kau aje. Boleh tak kau, kalau nak tuduh orang macam-macam
biar ada bukti! Nasib baiklah aku tak suka kau lebih-lebih. Kau ni memang buang
masa aku ajelah!” Luahnya lancar dengan perasaan marah yang berbuku sebelum kembali
melangkah.
Awra terpanar.
Tidak berkelip dia memandang belakang tubuh Faiq yang kian menjauh. Seperti
tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Panas membahang
wajahnya saat itu. Luahan Faiq yang kedengaran kasar begitu menusuk hingga ke
dasar hatinya. Ada sebak memenuhi ruang dada hingga mengundang air jernih di
tubir mata. Hati wanitanya terusik.
“Angah buat
apa lama-lama dekat sini?” Muncul Alya di situ kerana sudah lama Awra ke
tandas.
Awra cepat-cepat
menyeka air mata yang bertakung sebelum dia terus masuk ke dalam tandas. Tidak
dihiraukan pertanyaan adiknya. Dia mengunci diri. Dadanya sedikit berombak
sebelum air mata tanpa dipaksa mengalir ke pipi. Bibir digigit kuat untuk
menahan tangisnya dari kedengaran.
“Angah, kita
orang semua dah nak habis makan. Abah dah panggil tu.” Ujar Alya di luar pintu
yang merasa sedikit pelik melihat keadaan kakaknya itu.
“Kau pergilah
dulu.. Kejap lagi Angah keluar.” Balas Awra yang cuba mengawal suaranya.
“Angah..”
“Kau pergilah
dulu!” Pintasnya cepat kerana tidak mahu mendengar bebelan adik bongsunya itu
lagi. Risau gadis itu sedar yang dia sedang menangis.
Alya yang
setia menanti di luar mula membuat muka pelik. “Iyalah. Cepat sikit.” Balasnya
kemudian sebelum berlalu.
Awra yang
masih di dalam tandas terus menghamburkan tangis. Perasaan sedihnya tidak mampu
lagi ditahan. Masih bergema lagi kata-kata lelaki itu di gegendang telinganya. Terasa
sukar benar otaknya ingin mencerna setiap patah perkataan yang terbit di bibir
Faiq tadi. Ada perasaan malu mula membelit dirinya dengan apa yang terjadi.
Sementara Faiq
yang duduk di bahagian belakang restoran cuba menenangkan dirinya sendiri.
Berombak kecil dadanya menahan perasaan marah dan geram yang bersisa. Tidak
menyangka sabar yang ditahan selama ini tercalar juga hari itu gara-gara Awra.
Gadis yang berjaya mencuit hati lelakinya. Sebatang rokok yang baru dinyalakan
disedut panjang untuk meredakan hati yang membahang. Entah kenapa tiada
kelegaan yang terasa walaupun dia sudah menghamburkan amarahnya tadi.
“Faiq..”
Muncul Zaki yang juga merupakan salah seorang daripada rakan kongsi
perniagaannya. “Kau okey ke?” Lanjutnya lagi apabila melihat wajah Faiq agak
tegang. Sudah lama dia tidak melihat wajah sahabatnya tegang begitu selepas
ditinggalkan kekasih dua tahun lalu.
“Masalah emosi
kejap.” Jawab Faiq cuba berseloroh. Rokok yang sudah hampir ke pangkal terbakar,
dilempar jauh sebelum dia mencapai kotak rokoknya pula. Dikeluarkan lagi
sebatang rokok baru dan terus dinyalakan.
“Siapalah yang
buat kawan aku marah ni..” Balas Zaki berserta senyuman nipis. Dia yakin Faiq
cuba menyembunyikan sesuatu. Bukan dia tidak tahu perangai lelaki itu.
Faiq
melemparkan senyum segaris sebelum menghembuskan asap putih ke ruang udara.
Belum cukup tenang lagi hatinya walaupun hampir sahaja dua batang rokoknya
habis dalam masa tidak sampai lima minit.
“Pakcik Shukor
cari kau dekat depan tu.” Sambung Zaki apabila teringat akan tujuannya ke situ
tadi.
Tanpa menunggu
lama Faiq terus membuang batang rokok yang berbaki separuh itu sebelum bingkas
ke ruang hadapan.
“Faiq, pakcik
dah nak balik ni..” Ujar Shukor sebaik wajah Faiq muncul di hadapannya.
“Er.. Dah
habis makan ke pakcik? Awalnya nak balik.” Balas Faiq sambil beriringan dengan
Shukor untuk mendapatkan yang lain. Matanya curi-curi memandang ke arah Awra
yang sudah pun berdiri di tepi kolam ikannya.
“Awra tu nak
balik awal.” Jawab Shukor yang turut mengerling ke arah anak keduanya. Dia
perasan akan kelainan di wajah itu sebaik Awra kembali semula ke meja tadi.
Entah apa yang berlaku, belum dapat dipastikan lagi.
“Er.. Tu, dia
belum makan pun..” Balasnya apabila perasan mi hailam yang dimasaknya sendiri
tadi langsung tidak bercuit. Saat itu juga hatinya mula tidak senang.
“Sakit perut
katanya tadi..” Ringkas Shukor membalas.
“Oh.. Iya
ke..” Sedaya upaya dia cuba mengawal suaranya. Belakang tubuh Awra dipandang
sekilas.
“Faiq, macam
biasalah. Semua makanan dekat sini memang terbaik.” Celah Firdaus yang muncul
dari sudut restoran bersama Athirah.
“Takdalah..
Biasa aje..” Faiq merendah diri. Semua tukang masak yang bekerja di restorannya
itu adalah yang terlatih dan terbaik yang pernah dia miliki. Sesekali matanya
akan mengerling ke arah Awra yang langsung tidak berpaling sejak tadi. Entah
kenapa perlu ada perasaan risau di hatinya sedangkan dia yang memarahi gadis
itu.
“Okeylah Faiq.
Pakcik balik dulu. Makcik kamu dengan budak-budak tu dah tunggu dekat kereta.”
Ucap Shukor sambil menepuk beberapa kali lengan Faiq sebelum lelaki itu
menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Hati-hati bawak kereta pakcik.” Balas Faiq
berbasa-basi.
“Inshaa
Allah.. Assalamualaikum.” Ujar Shukor sebelum berlalu.
“Faiq.. Kau
gaduh ke dengan Awra?” Soal Firdaus sebaik kelibat abahnya menghilang.
Isterinya pula sudah menyertai Awra di tepi kolam ikan.
Faiq tersenyum
nipis. Kalaulah Firdaus tahu apa yang telah diungkapkan kepada gadis itu, pasti
dia dimarahi. “Takdalah. Biasalah kita orang. Mana boleh jumpa.” Balasnya
sekadar alasan bersama sengihan payau.
“Faiq.. Dia
menangislah Faiq.. Aku sebenarnya tak suka tengok dia macam tu.” Firdaus
meluahkan rasa tidak senang hatinya apabila melihat wajah Awra yang sedikit
sembap tadi. Bukan dia tidak tahu mata adiknya itu mudah sahaja bengkak jika
menangis.
Faiq tidak
membalas. Sebaliknya matanya ditalakan ke arah tubuh Awra yang masih
membelakangi mereka. Dia tahu gadis itu tidak mungkin akan berpaling lagi
kepadanya setelah apa yang diungkapkan tadi. Hubungan yang sedia keruh
bertambah keruh.
“Okeylah Faiq.
Dah lewat ni. Kita orang balik dululah. Ada masa kita lepak tempat biasa. Kau call aje aku.” Sambung Firdaus apabila
tiada tanda-tanda lelaki di hadapannya itu mahu menjawab soalannya tadi. Dia
sendiri tidak mahu ikut campur akan permasalahan Faiq bersama adiknya. Yakin
kedua-duanya ada ego sendiri dan tidak mudah akan mengalah.
“Iyalah.
Inshaa Allah.. Terima kasih bro sebab selalu datang kedai aku ni.” Balas Faiq
seraya mereka berjabat tangan.
“Pastinya yang
terbaik selalu menjadi pilihan kan?” Senang Firdaus membalas diiringi senyuman
penuh makna terbit di bibirnya sebelum menepuk bahu kenalan barunya itu.
Faiq hanya
membalas dengan senyuman tawar mengiringi langkah Firdaus dan Athirah. Manakala
Awra sudah lebih awal berlalu meninggalkan restorannya. Bibir berhenti mengoyak
senyum sebaik kelibat kedua-duanya hilang dari pandangan. Helaan nafas berat
terlepas dari bibir. Kepalanya terasa kusut saat itu. Ada perasaan kesal mula
bertapak di hati.
****
“Abang, kalau aku berhenti kerja,
agak-agak abah marah tak?” Suara Awra memecah kesunyian malam sejak mereka
bertolak dari restoran Faiq lima minit tadi.
“Apasal kau nak berhenti pulak? Kan dah elok-elok kau kerja dekat
situ.” Jawab Firdaus seperti kurang setuju dengan apa yang diucapkan oleh
adiknya.
“Aku.. Aku tak
nak la kerja situ lagi.” Jawab Awra kurang yakin dengan keputusan yang baru
dibuat. Apa yang berlaku tadi menyebabkan dia mengambil keputusan drastik begitu.
“Awra.. Kenapa
ni? Ada yang tak kena ke kerja dekat situ?” Lembut Athirah pula bertanya.
“Er.. Fir
ingat nak duduk kampung ajelah. Nanti Fir cari kerja dekat-dekat dengan rumah
aje.” Jawab Awra perlahan. Tidak terpandang akan wajah abangnya dari pantulan
cermin pandang belakang.
“Laa.. Kenapa?
Kan Awra dah lama kerja dekat situ.” Balas Athirah sambil memandang wajah
suaminya yang sudah melepaskan keluhan berat.
Awra mendiamkan
diri. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan lagi.
“Kau kalau tak
bergaduh dengan si Faiq tu memang tak boleh ya? Sekarang sampai nak berhenti
kerja pulak.” Celah Firdaus yang
kembali bersuara. Dia cukup tidak setuju apabila Awra ingin berhenti kerja.
“Dah memang
bukan rezeki aku kerja dekat situ.” Jawab Awra sambil membuang pandang ke luar
tingkap. Dia mula yakin dengan keputusan yang dibuat. Dia tidak mahu lagi
berurusan dengan lelaki bernama Faiq Faisal. Cukup dengan apa yang telah berlaku
di antara mereka sebelum ini. Cukup yakin yang mereka tidak mungkin akan boleh
berbaik.
“Senang aje
kau jawab kan? Kau nak semua orang mengata kau lagi ke? Tak cukup dekat dua
tahun kau duduk rumah dengan ijazah kau tu?” Hambur Firdaus sekadar mahu mengingatkan
apa yang telah berlaku sepanjang adiknya itu jadi penganggur.
“Abang..”
Athirah menyentuh lengan Firdaus agar suaminya itu berhenti. Dia tidak mahu
Firdaus menambah kekeruhan yang ada di wajah adik iparnya.
Awra saat itu mula
menahan sebak. Mana mungkin dia boleh melupakan kata-kata sindiran yang
diterima daripada saudara mara sendiri saat dia jadi penganggur sebelum ini.
Abangnya itu sendiri sering bergurau akan status yang disandang hingga dia
terasa hati.
“Awra…” Lembut
Athirah memanggil. Dia tidak mahu gadis itu terasa hati dengan kata-kata
suaminya.
“Biarkan dia
Ati. Lantaklah lepas ni dia nak buat apa pun. Elok-elok dah kerja, kau nak
berhenti. Baik kau kahwin ajelah kalau kau dah tak nak kerja. Lagi senang. Orang
pun tak mengata. Mak abah pun tak susah.” Selamba Firdaus menambah.
“Apa abang
ni..” Tegur Athirah tidak senang sebelum menoleh ke arah Awra.
“Lepas ni aku
takkan susahkan kau. Aku tahu selama aku kerja ni pun, aku duduk, makan free dekat rumah kau kan? Kau kena ambik, kena hantar aku tiap-tiap hari.
Kau susah kalau aku duduk sama dengan kau kan? Lepas ni kau jangan risau. Kalau
aku susahkan pun, aku susahkan mak dengan abah. Aku takkan susahkan kau dengan
Kak Ati lagi.” Jawab Awra dengan linangan air mata. Terusik lagi hatinya dengan
apa yang diucapkan oleh Firdaus. Hatinya benar-benar tawar untuk tinggal
bersama pasangan itu lagi. Dia lebih sanggup tinggal di kampung bersama ibu dan
abahnya walaupun terpaksa mendengar sindiran orang sekeliling nanti.
“Mana ada Awra
susahkan kita orang.. Kan bang..” Sahut Athirah serba salah sambil mengerling
suaminya di sisi.
“Memang susah
pun.” Selamba Firdaus menjawab dengan perasaan geramnya.
Athirah terus
menghadiahkan jelingan tajam kepada Firdaus. “Abang ni kenapa?” Soalnya geram.
Firdaus tidak
membalas. Dia hanya tekun memandu.
“Awra, tak
payah dengar cakap Abang Daus ni. Mulut dia memang macam tu. Awra kerja ajelah
dulu sementara Awra dapat kerja lagi baik. Awra tak susahkan kita orang pun.
Kalau lepas ni Abang Daus tak boleh hantar, tak boleh ambik Awra, takpa, akak boleh buat semua tu.” Ujar Athirah cuba
memujuk. Tidak sampai hati dia melihat adik iparnya yang sedang menangis itu.
“Takpalah kak.
Nanti ada orang kata Fir susahkan akak pulak.
Akak kan tak sihat sangat sekarang ni..” Jawab Awra dalam getar suara. Kata-kata
berbaur sindiran itu memang dituju khas buat abangnya.
“Kau tak
payahlah nak sindir-sindir aku. Kau tu, kalau buat keputusan, memang tak fikir
panjang. Ikut suka kau aje.” Sahut Firdaus geram sambil mengerling cermin
pandang belakang. Dia perasan adiknya itu sudah menangis.
“Abang ni
kenapa nak cari fasal malam-malam ni? Sudahlah tu..” Athirah terpaksa mencelah
untuk meredakan ketegangan yang ada.
Awra terus
mendiamkan diri. Hanya ditelan segala kata-kata abangnya. Tidak mahu lagi dia
memanjangkan perbalahan kecil itu. Dalam pada itu, dia terus mengeluarkan
telefon bimbitnya. Dia mahu memaklumkan hal peletakan jawatannya kepada Khairi.
Keputusannya sudah muktamad.
11 comments:
isk isk isk
asik gaduh je kj nye
kawin kan aje dorg tuh..
jahatla abg daus ni..
adiknya kembarnya~adik kembarnya
wei..cian lak ngn aira ni..tapi xleh salahkan dia gak 100%..sape suh menipu faiq oi...kan dh jd masalah
Thanks maylin!
Thanks maylin!
Hmmm......makin sesak fikiran awRa
Rasanya keputusan Awra untuk letak jawatan baik bagi kedua-duanya..
biar Faiq sedar sikit silap dia yang x berterus terang pada Awra tentang kembar dia... Awra x tahu apa-apa....
tentu Faidh marah dgn Faiq bila Awra berhenti kan ....
Daus biarlah Awra tenangkan hati dia yang x tahu apa-apa tapi telah disalahkan atas semuanya...
sedih sangat kat Awra....
Vote 4 kak sue...
Cian awra jd mangsa...
Huhuhu...
lamanyeee tak jumpa diorang rindu, rindu tau. lagi lagi gaduh. faiq, what a rude word, bestnye bace awra ni, hati kita ikut rasa sakit time awra tu sakit hati dan nangis. dengan mulut puaka firdaus lagi, haih, nak lagiiii, hehe
Mmg xde sambungan lg ke dik?
ayu salina>
sya stop awra ni sekejap. huu
memang mnusuk kalbu la ayat2 faiq n abg dia 2..
Post a Comment