Apr 25, 2013

BMJM_bab 43


Sila jangan keciwa :D

-------

“Dah cantik tudung yang kau pakai tu..” Tegur Eshaq Hakimi yang perasan wajah isterinya serba tidak kena berdiri di hadapan cermin. Lama gadis itu diperhatikan sejak dia keluar dari bilik air tadi.

Siti Shafura membalas pandangan mata suaminya yang sedang mengenakan baju dari pantulan cermin. Senyum manis cuba diukir namun kelihatan canggung.

“Ada apa-apa yang kau nak cakap dengan aku ke?” Ujar Eshaq Hakimi selanjutnya.

“Betul ke kita nak balik vila hari ni?” Siti Shafura membalas dengan soalan juga. Bukan dia tidak tahu yang suaminya itu sudah lama tidak pulang ke vila.

Eshaq Hakimi menarik senyum. Seperti yang dijangka. Perubahan Siti Shafura gara-gara rancangannya pada pagi hari minggu itu. Sudah dibulatkan tekadnya untuk berterus terang pada kedua-dua ibu bapanya tentang apa yang dirahsiakan selama ini. Biarlah hari itu menjadi penentu segala-galanya.

“Bukan ke ini yang sepatutnya aku buat dari awal lagi?” Dia turut mengajukan soalan.

“Siti Shafura mula mengerutkan wajahnya sebelum memusingkan tubuh menghadap Eshaq Hakimi yang sudah bersama-sama berdiri di hadapan cermin besar yang menghias dinding bilik mereka.

“Abang dah betul-betul bersedia nak terima semua kesannya nanti?” Tanya Siti Shafura lagi inginkan kepastian. Dia tidak mahu ada perkara buruk yang berlaku sebaik suaminya itu berterus terang nanti.

“I’m ready sayang..” Jawab Eshaq Hakimi lembut dengan senyuman manis dilemparkan. Dirasakan itulah keputusan yang terbaik harus dilakukan demi kebaikan dirinya sendiri mahupun orang di sekeliling. Terutamanya kedua-dua orang tuanya dan gadis yang sedia mendapat tempat di dalam hatinya itu. Dan dia memilih keberkatan hari itu untuk menyelesaikan segala-galanya.

“Abang..” Siti Shafura merapatkan dirinya lalu mencapai tangan lelaki itu. Digenggam kemas sebelum dibawa ke bibir sekilas.

Eshaq Hakimi hanya mendiamkan diri. Dia sedia menanti butir bicara gadis itu selanjutnya. Terasa tenang hatinya apabila menatap wajah mulus itu.

“Boleh abang janji satu benda dengan Siti?” Ujar Siti Shafura perlahan.

“InshaAllah dengan izinnya..” Balas Eshaq Hakimi senang seraya tangannya terus meraih tubuh itu supaya lebih hampir.

Siti Shafura tidak pula menolak. Sebaliknya terasa diri disayangi dan dilindungi.

“Apa pun yang jadi selepas ni, Siti harap abang tabah. Sabar dengan semuanya nanti. Siti nak abang tahu Siti akan sentiasa ada di sisi abang selagi Dia izinkan. Walau apa pun yang jadi, inshaAllah Siti tetap dengan abang.” Tutur Siti Shafura tanpa sekalipun mengalihkan pandangan matanya dari wajah suaminya.

“Iya ke? Boleh percaya ke janji kau ni? Kalau lepas ni kau yang tinggalkan aku macam mana?” Sengaja Eshaq Hakimi mahu mengusik.

“Siti cuma akan tinggalkan abang bila Dia yang nak Siti buat macam tu..” Jawab Siti Shafura senang dengan senyuman manis dihadiahkan.

Dia yakin akan takdir Allah. Semuanya sudah tertulis. Siapalah dia untuk menghalang. Dia hanya perlu reda semaksimum mungkin.

Eshaq Hakimi saat itu pula sudah sembunyi senyum. Lagu indah mula membisik ke dalam hatinya dengan perlakuan bersahaja Siti Shafura yang melekapkan dua tapak tangan ke dadanya. Belum pernah mereka semesra begitu sebelum ini. Tambahan pula setelah sebulan mereka tidak bertemu. Fikirannya mula membayangkan kemesraan yang lebih jauh lagi.

“Aku tak tahu apa yang akan jadi dengan aku kalau kau takda Siti..” Tuturnya lambat. Fikirannya yang sedikit menerawang ke arah lain kembali fokus akan perkara yang sedang mereka perkatakan.

“Kalau Siti takda, abang boleh cari ganti. Ramai lagi perempuan cantik tunggu abang dekat luar tu..” Ikhlas Siti Shafura menuturkannya. Sesungguhnya lelaki itu berhak untuk mengahwini wanita lain.

“Memanglah ramai perempuan cantik dekat luar tu. Tapi takda perempuan cantik yang secantik isteri aku ni.. Yang sanggup jaga aku masa aku sakit. Yang sanggup cuci najis aku.. Mandikan aku.. Sanggup bersabar dengan perangai buruk aku selama ni..” Balas Eshaq Hakimi sambil mengelus lembut wajah gadis di hadapannya itu. Tidak akan dilupakan saat sukar yang pernah dialami sebelum ini. Gadis itu sanggup bersusah-payah menjaganya hingga dia mampu untuk menguruskan dirinya kembali.

Siti Shafura menguntum senyum. Sedikit terharu apa yang terucap di bibir suaminya.

“Aku nak kau tahu Sti.. Walaupun kau bukan yang pertama pernah duduk dalam ni.. Tapi, kaulah yang akan jadi orang terakhir pernah ada dalam ni. Takkan ada lagi perempuan lain..” Tambah Eshaq Hakimi setulus hati. Siti Shafura sudah diletakkan di tempat yang paling istimewa dalam hatinya.

“Abang..” Suara Siti Shafura mula bergetar. Pelupuk matanya juga mula terasa hangat.

“Ha.. Nak menangislah tu.. Baru cakap sikit dah touching.. Belum aku cakap ayat bunga-bunga lagi..” Potong Eshaq Hakimi lalu menyapu wajah keruh Siti Shafura dengan tapak tangannya. Dia tidak mahu ada air mata yang menghiasi saat bahagia yang sedang memekar di hatinya.

“Abanglah.. Siapa yang suruh buat ayat touching-touching pagi-pagi ni..” Jawab Siti Shafura yang sempat menampar perut Eshaq Hakimi sebagai balasan.

“Aku saja nak test.” Balas Eshaq Hakimi yang sudah tersengih-sengih.

“Sudahlah abang. Tadi kata nak suruh Siti buat breakfast dekat kondo. Jomlah. Nanti kita lambat sampai vila.” Siti Shafura terus menukar topik seraya meloloskan diri dari pelukan Eshaq Hakimi. Yakin yang dia akan terus menjadi bahan usikan.

“Eh, kejap-kejap.” Eshaq Hakimi sempat menghalang dengan terus menarik kembali Siti Shafura dalam pelukannya.

“Apa lagi ni?” Siti Shafura berusaha meleraikan pelukan apabila dirasakan wajah Eshaq Hakimi terlalu hampir. Namun, tidaklah mampu dia melawan kudrat seorang lelaki seperti Eshaq Hakimi.

“Masa aku sakit, kau selalu buat satu benda ni pada aku. Tapi sekarang, semenjak aku dah sihat, aku rasa kau dah tak pernah buat lagi benda tu pada aku..” Ujar Eshaq Hakimi dengan senyuman penuh makna bergayutan di bibirnya. Serentak dengan itu sengaja dia memperkemaskan pelukan.

Siti Shafura mengangkat wajahnya. Dahinya membentuk garisan. Kurang pasti apa yang dimaksudkan oleh Eshaq Hakimi.

“Siti buat apa?” Siti Shafura menyoal lurus.

“Cuba kau ingat balik apa yang kau pernah buat sebelum ni. Kalau dah ingat nanti, kau bagitahu aku. Cuma sekarang ni aku, aku rasa kita dah lambat. Aku ada janji dengan orang kejap lagi sebelum kita balik vila. Tapi sebelum tu, aku nak bagi klu sikit.” Kata Eshaq Hakimi dengan kening sebelahnya terjungkit. Wajahnya sengaja semakin dirapatkan.

“Klu apa?” Tanpa sempat Siti Shafura menyudahkan kata, bibir Eshaq Hakimi sudah pun singgah ke pipinya. Pelukan terus terlerai. Wajah Eshaq Hakimi yang sedang tersengih lebar dipandang tanpa kelip.

“Senangnya tambah pahalakan?” Ujar Eshaq Hakimi dalam senyuman penuh makna sebelum gadis itu ditinggalkan sendirian.

Siti Shafura gigit bibirnya sendiri. Wajahnya terasa hangat.

*******

“Kenapa pandang macam tu ma?” Tegur Suzila apabila melihat Puan Sri Amna memandang pelik ke arah abang dan kakak iparnya yang baharu tiba serentak dengan kereta masing-masing.

“Dua-dua tu macam berjanji pulak nak balik.” Jawab Puan Sri Amna tanpa lepas memandang ke arah kedua-duanya. Sarung tangan yang dipakai untuk membelek bunga-bunganya tadi ditanggalkan. Sejak awal pagi tadi dia menghabiskan masa di situ selepas suaminya dan Ikmal ke pejabat kerana ada urusan yang ingin diselesaikan pada hari minggu itu.

“Kebetulan aje tu ma.. Lagipun abangkan dah lama tak balik. Siti pulak memang dah janji nak balik hari ni kan..” Balas Suzila yang turut memandang ke arah kedua-duanya. Dia yakin Siti Shafura bermalam di rumah abangnya malam tadi seperti yang diberitahu oleh Ikmal.

“Baju warna yang sama pun kebetulankan..” Tambah Puan Sri Amna penuh makna seraya membalas lambaian tangan Siti Shafura dan anak sulungnya yang baharu keluar dari kereta. Kedua-duanya mengenakan baju warna hijau. Eshaq Hakimi dengan baju-t berkolar dan Siti Shafura pula dengan baju kurungnya.

“Ma..” Suzila membuang pandang kea rah pintu pagar apabila ada sebuah lagi kereta yang masuk ke perkarangan vila.

“Dah sampai pun.” Sahut Puan Sri Amna yang turut memandang ke arah yang sama.

Suzila pula sudah mengerutkan dahi.

Sementara Eshaq Hakimi dan Siti Shafura sudah memandang antara satu sama lain sebelum turut menghalakan pandangan mata ke arah yang sama.

“Mama jemput Kak Jue datang ke hari ni?” Tanya Suzila inginkan kepastian.

“Ha’ah.. Mama dah lama tak jumpa dia. Tak sangka semuanya ada dekat rumah hari ni. Tak sia-sialah mama dengan Bibik beli barang dapur semalam.” Jawab Puan Sri Amna dalam senyuman sebelum berlalu mendapatkan Datin Julia yang baharu keluar dari perut kereta.

“Biar betul mama ni..” Desis Suzila sendirian sambil memandang ke arah Datin Julia dan mamanya yang berpelukan. Jelas kemesraan di antara kedua-duanya. Tanpa menunggu lama, dia terus melangkah mendapatkan abang dan kakak iparnya yang sedia menanti di pintu utama.

“Dik, apa cerita ni? Apasal tak bagitahu perempuan tu nak datang sini? Suzy saja nak kenakan abang ke?” Terjah Eshaq Hakimi terus saat Suzila berdiri di hadapannya.

“Abang cakap baik sikit. Suzy tak kejam macam tu la. Abang ingat Suzy ni jahat sangat ke sampai nak panggil perempuan tu datang sini semata-mata nak bocorkan rahsia abang.” Suzila membalas geram. Sedikit terusik hatinya apabila dituduh sedemikian.

“Habis tu? Takkan abang pulak yang jemput dia datang sini? Suzy yang selalu ugut abang nak bocorkan semua rahsia abang selama ni kan? So, memang Suzy sengaja nak kenakan abang hari ni kan?” Jawab Eshaq Hakimi dengan wajah yang mula menegang.

Suzila kertap bibir geram. Tidak berpuas hati dengan Eshaq Hakimi yang masih menyalahkan dirinya.

“Abang memang jahat!” Marah Suzila seraya menolak tubuh Eshaq Hakimi sebelum dia terus berlalu masuk ke dalam rumah. Hatinya benar-benar terusik dituduh demikian.

“Abang..” Siti Shafura yang tidak senang dengan ketegangan yang berlaku mula bersuara. Dia sendiri agak terkejut dengan kehadiran Datin Julia hari itu.

Eshaq Hakimi merengus kasar. Matanya dihalakan kembali ke arah Datin Julia yang sedang melemparkan senyuman sinis kepadanya. Tanpa menunggu lama dia melangkah semula ke kereta. Langsung tidak dihiraukan panggilan Siti Shafura.

Siti Shafura tidak mampu mengucap kata. Eshaq Hakimi sudah pun selamat masuk ke dalam kereta. Kereta terus dipandu keluar dari perkarangan vila.

“Nak ke mana lagi tu? Baru sampai, tak sempat lagi salam mama dah terus keluar balik?” Ujar Puan Sri Amna yang beriringan dengan Datin Julia datang menghampiri.

Siti Shafura hanya mampu melemparkan senyuman manis saat menyalami tangan kedua-duanya tanpa menjawab soalan yang diberi.

“Ni Siti kan?” Datin Julia berbasa-basi sedangkan dia sudah mengetahui status diri Siti Shafura di samping Eshaq Hakimi.

Siti Shafura menganggukkan kepalanya sedikit beserta senyuman dimaniskan.

“Ni la yang Aunty selalu cerita dengan Jue tu..” Sahut Puan Sri Amna pula sambil meraih bahu Siti Shafura.

“Cantik. Sama cantik dengan namanya.” Puji Datin Julia penuh makna.

Siti Shafura hanya mampu tersenyum. ‘Segala puji hanya bagiMu..’ Desisnya dalam hati. Dia cukup takut mendengar pujian yang diberi oleh Datin Julia.

“Alhamdulillah.. Betapa bertuahnya Aunty dapat anak macam Siti ni Jue..” Tambah Puan Sri Amna dengan rasa syukur di hatinya. Dia menyayangi Siti Shafura sama seperti kasihnya kepada anak-anaknya sendiri.

Datin Julia hanya mampu melemparkan senyuman lebar walaupun dalam hatinya saat itu bergolak hebat melihat kemesraan di antara kedua-duanya.

‘Takpa.. Hari ni memang bertuah.. Esok belum tentu lagi..’ Bisik hatinya geram.

“Er.. Ma, kita masuklah dulu. Boleh sambung berbual dekat dalam. Kesian biar tetamu berdiri dekat luar aje dari tadi.” Siti Shafura baharu bersuara. Sebenarnya dia tidak senang dengan pandangan mata Datin Julia yang cukup tajam itu.

“Iyalah.. Lupa pulak mama.. Jom kita masuk Jue..” Balas Puan Sri Amna mesra mempelawa Datin Julia masuk.

“Sila Kak Jue..” Mesra Siti Shafura pula yang mempelawa.

Datin Julia mengoyak senyum nipis lalu menuruti langkah Puan Sri Amna yang mendahului mereka.

“Tak Shaq tu pengecut..” Sempat Datin Julia berbisik kepada Siti Shafura tanpa disedari Puan Sri Amna.

Siti Shafura pula masih setia dengan senyumannya. Dia tahu itu provokasi dari Datin Julia untuk menduga keyakinan dirinya terhadap Eshaq Hakimi. Namun dalam masa yang sama, dia kurang setuju dengan tindakan Eshaq Hakimi yang meninggalkan vila tanpa sebarang kata dan pesan. Dia yakin suaminya itu tidak dapat menerima kehadiran Datin Julia di saat mereka sudah bersedia untuk berterus-terang akan segala rahsia yang disimpan.

“Engkau lindungilah dia ya Allah..” Doanya dalam hati tidak pernah putus buat Eshaq Hakimi walau apa pun yang terjadi di antara mereka kelak.

“Sementara tunggu lunch, Jue cakaplah apa yang penting sangat nak bagitahu Aunty tu.” Ujar Puan Sri Amna sebaik mereka melabuhkan duduk di sofa empuk di ruang tamu utama.

Siti Shafura pula terus berlalu ke dapur namun telinganya masih sempat lagi menangkap kata-kata mamanya membuatkan langkahnya mati. Pandangan mata ditalakan semula ke ruang tamu. Terlihat akan senyuman penuh makna yang terhias di bibir Datin Julia saat mata mereka berlaga.

‘Berilahku kekuatan untuk menghadapi apa juga dugaan yang Kau beri ya Allah..’ Tidak henti dia memohon bantuan di kala kesempitan itu. Sesungguhnya Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala yang tersembunyi.

******

Pandangan mata ditalakan ke dada langit yang berawan. Hembusan angin petang yang nyaman menambah ketenangan hati. Terkambus segala perasaan marah yang menyala tadi.

“Abang.. Jauh menung.. Teringat dekat siapa?” Tegur Azrina yang muncul entah dari mana. Terus sahaja dia melabuhkan duduk di atas bangku kayu yang sama.

Eshaq Hakimi mengoyak senyum nipis memandang wajah comel Azrina yang ke anak-anakkan. Gadis itu hampir sebaya dengan Suzila dan sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

“Az berapa lama cuti?” Ujarnya kemudian memulakan kata.

“Tiga minggu aje..” Jawab gadis itu pendek. Matanya tidak lepas memandang Eshaq Hakimi di sisinya. Sudah lama dia tidak bertemu dengan lelaki itu.

“Erm.. Dah lama abang tak datang sini..” Sambung Azrina apabila masing-masing hanya mendiamkan diri.

Eshaq Hakimi tersenyum tawar. Sedar akan hakikat itu. Sudah terlalu lama dia tidak menjenguk keluarga angkatnya itu.

“Bukan abang tak nak datang Az.. Abang sibuk dengan kerja. Kadang-kadang sampai takda masa nak balik rumah family abang sendiri.” Jelas Eshaq Hakimi jujur.

“Erm.. Majlis tahlil malam ni macam mana? Ada apa-apa lagi yang tak cukup?” Tambahnya kemudian apabila teringat majlis tahlil yang akan dijalankan selepas maghrib nanti. Dia tidak mungkin dapat menyertainya.

“Semua dah cukup Kimi..” Sahut Puan Zainab yang baharu muncul di bawah pohon jambu itu.

Eshaq Hakimi melemparkan senyuman pada wanita yang seusia dengan mamanya itu.

“Ibu, kalau ada apa-apa yang tak cukup bagitahu Kimi. InshaAllah Kimi boleh tolong.” Balas Eshaq Hakimi seraya memberi ruang agar wanita itu dapat sama-sama duduk.

“Tak payahlah Kimi. Duit yang tiap-tiap bulan Kimi kirim tu terlebih cukup nak buat majlis tahlil malam ni.” Jawab Puan Zainab sambil menyentuh bahu lelaki yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri itu.

Semenjak ketiadaan anak sulungnya, Eshaq Hakimi yang banyak membantu meringankan beban keluarganya selama ini. Segala makan pakai mereka dua beranak, terjaga dengan baik.

“Tu duit belanja hari-hari bu. Nanti Kimi gantilah duit yang ibu guna untuk majlis malam ni. Sekarang ni Kimi tak bawak cash banyak.” Balas Eshaq Hakimi senang.

“Hish! Tak payah. Buat susah-susah Kimia je. Duit pencen ayahnya pun kami tak guna habis Kimi. Dah cukup tu. Kimi simpan aje duit tu kumpul buat belanja kahwin. Sampai bila ibu nak bergantung dengan Kimi. Tak lama lagi pun, Az dah nak mula mengajar. Kimi tak payahlah lagi hantar duit pada ibu. Simpan duit tu untuk keluarga Kimi nanti.” Panjang lebar Puan Zainab membalas.

“Ha’ah bang. Tak payahlah lagi hantar duit. InshaAllah cukup apa yang kami dah ada sekarang ni.” Sokong Azrina pula.

Eshaq Hakimi memandang wajah kedua-duanya sebelum pandangan mata dibuang ke tengah halaman yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta. Perkataan kahwin yang meniti bibir ibu tua itu begitu menyentakkan hatinya. Namun cuba dikawal akan rasa yang kembali bergolak di hatinya itu.

“Takpa bu. Kimi ada rezeki lebih. Tu bahagian ibu dengan Az.” Jawab Eshaq Hakimi dalam senyuman pahit. Ada getar yang mula bertandang di dalam dada.

Terasa bersalah dengan apa yang dilakukan kini. Dia pergi meninggalkan vila begitu sahaja sebaik bertemu dengan Datin Julia. Entah kenapa dia berbuat demikian sedangkan sudah ditekadkan hatinya untuk berterus-terang di atas apa yang dilakukan selama ini. Tetapi, lain pula yang terjadi menyebabkan kini dia muncul di rumah keluarga angkatnya itu setelah hampir  dua tahun dia tidak ke situ. Hanya perbelanjaan buat keluarga itu sahaja yang masih tidak dilupakan hingga kini.

Dia berasa bertanggungjawab atas kematian sahabat baiknya, Afzan. Segala tanggungjawab lelaki itu digalas kini kerana dia tahu Puan Zainab telah hilang tempat bergantung. Afzan yang menjadi anak harapan keluarga dan tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu selepas terlibat dalam kemalangan tiga tahu lalu. Segala kebahagiaan yang pernah ada di rumah itu telah diragut pergi menyebabkan dia terpanggil untuk meneruskan tanggungjawab yang Afzan tinggalkan. Puan Zainab yang merupakan ibu tunggal tidak perlu lagi bekerja hanya kerana mahu menyara kehidupan keluarga. Walaupun anak bongsu keluarga itu akan mula bekerja, dia tetap juga akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

“Apa yang dimenungkan tu Kimi..” Teguran Puan Zainab sambil menyentuh bahunya membuatkan dia sedikit tersentak. Terlalu leka dia melayan perasaannya sendiri hingga terlupa kehadiran Puan Zainab dan Azrina di sisinya.

“Abang teringatkan buah hati la tu bu..” Sahut Azrina sengaja mengusik.

Eshaq Hakimi tersenyum kelat. Serta merta wajah mulus isterinya terlayar di ruang mata. Apabila memikirkan apa yang bakal berlaku ke atas diri Siti Shafura, dia spontan bingkas.

“Nak ke mana pulak tu?” Tanya Puan Zainab yang memandang pelik ke arah Eshaq Hakimi.

“Nak ambik phone kejap bu.” Jawab Eshaq Hakimi sebelum membuka daun pintu keretanya.

Dia baharu teringat akan kewujudan gajet itu selepas tidak mengaktifkannya sebaik keluar dari vila tengah hari tadi. Skrin nipis itu ditatap selepas diaktifkan semula. Berpusu-pusu pesanan ringkas masuk menyebabkan cepat jemarinya berlari di atas skrin itu. Hampir lima puluh panggilan tidak dijawab dan kebanyakannya daripada Suzila dan Ikmal. Selebihnya pula dari Datin Julia dan beberapa nombor yang tidak dikenali. Pesanan ringkas pula lebih daripada sepuluh dan hampir ke semuanya juga daripada Ikmal dan Suzila. Ada satu daripada Datin Julia menyebabkan hatinya berdetak hebat. Entah apa yang telah berlaku di vila sebaik pemergiannya tadi.

Kaki dihayun kembali mendapatkan Puan Zainab dan Azrina yang memerhatikannya sejak tadi.

“Bu, Kimi terpaksa dulu la. Tak dapat datang majlis tahlil dekat masjid nanti. Ada hal sikit.” Ucapnya serba salah seraya menyentuh tangan ibu tua itu.

“Takpa. Ibu tahu Kimi sibuk. Kimi dah datang hari ni pun dah cukup. Lepas rindu ibu pada Kimi.” Jawab Puan Zainab sedikit lirih. Terasa berat hati untuk melepaskan Eshaq Hakimi pergi.

“Awalnya abang nak balik.. Tak puas lagi Az nak berbual dengan abang. Abang ada hal penting sangat ke?” Tambah Azrina pula yang sedikit kecewa.

“Er.. Memang ada hal penting Az. Abang kena cepat balik ni.” Jawab Eshaq Hakimi serba salah. Hal sebenar yang berlaku tidak dapat diceritakan saat itu. Dia perlu cepat pulang ke vila untuk menyelesaikan masalah yang dicetuskannya sendiri.

“Sudah tu Kimi. Pergi kamu balik cepat. Dah petang ni. Nanti lambat pulak kamu sampai.” Ujar Puan Zainab pula. Dia tidak mahu mengganggu anak angkatnya itu jika sememangnya ada hal yang lebih penting ingin diuruskan.

“Er.. Iyalah bu.. Nanti ada masa Kimi datang sini lagi. InshaAllah. Tapi nanti Kimi bukan datang sorang. Kimi bawak teman. Bolehkan bu?” Ujar Eshaq Hakimi meminta izin. Dia mahu memperkenalkan Siti Shafura kepada keluarga angkatnya itu.

“Siapa?” Cepat Azrina membalas. Terusik hatinya mendengar perkataan teman yang dimaksudkan oleh Eshaq Hakimi.

“Adalah. Az kenalah tunggu.” Jawab Eshaq Hakimi dalam senyuman yang sengaja dimaniskan. Getaran yang makin hebat dalam hatinya cuba ditahan.

“Ada-ada ajelah kamu ni Kimi. Bawak ajelah siapa-siapa yang kamu nak bawak. Manalah tahu yang anak ibu sorang ni nanti bawak calon menantu untuk ibu.” Jawab Puan Zainab tanpa mengesyaki apa-apa pun.

“InshaAllah bu. Doakan Kimi dapat bawak calon menantu ibu ke sini.” Balas Eshaq Hakimi dalam sengihan. Ada rasa bahagia pula yang mencelah dalam kekusutan yang dirasai kini.

“Erm.. Okeylah bu. Kimi balik dulu. InshaAllah nanti kita jumpa lagi. Kalau ada apa-apa hal, ibu telefon aje Kimi.” Sambung Eshaq Hakimi yang tidak mahu berlengah lagi. Dia harus cepat tiba di vila. Tangan ibu tua itu dicapai dan dikucup hormat.

“Hati-hati memandu tu Kimi.” Ucap Puan Zainab dengan genangan airmata. Wajah Eshaq Hakimi diusap lembut.

“InshaAllah bu. Doakan Kimi.” Balas Eshaq Hakimi dalam senyuman.

“Az, abang balik dulu.” Lanjutnya kepada Azrina yang berwajah kelat. Dia tahu gadis itu tidak bersetuju dia pulang awal. Dia yakin ada banyak perkara yang ingin dikongsikan oleh gadis itu bersamanya.

“Abang janji abang akan datang sini lagi okey? Az jaga diri baik-baik. Jaga ibu.” Dia berpesan kepada gadis yang mula menundukkan wajah itu.

“InshaAllah.. Abang pun jaga diri baik-baik.” Balas Azrina dengan pelbagai perasaan yang bercampur-campur di dalam hatinya. Ada kehangatan di hujung mata. Tetapi cuba ditahan dari melimpah keluar.

“Inshallah.. Abang balik dulu.. Ibu.. Kimi balik dulu. Assalamualaikum.” Ucapnya lembut sebelum berlalu meninggalkan dua beranak itu.

“Abang! Selamat hari jadi!” Ucap Azrina sebelum Eshaq Hakimi meloloskan diri dalam kereta.

Eshaq Hakimi saat itu pula terus menoleh. Senyuman nipis dilemparkan kepada kedua-duanya sebelum terus masuk ke dalam kereta dan tidak berpaling lagi kerana ada air jernih yang mula bertakung di hujung matanya. Kereta terus dipandu meninggalkan kawasan rumah papan itu.

“Selamat hari jadi Eshaq Hakimi..” Desisnya sendirian dalam linangan airmata.

Sudah terlalu lama dia tidak mendengar ucapan hari lahir sejak pemergian Afzan. Sahabatnya itu pergi pada hari lahirnya. Semenjak itu dia melarang sesiapa pun mengucapkan ucapan ulangtahun kelahirannya termasuklah ahli keluarganya sendiri. Kebiasaannya pada tarikh itu, hanya akan ada majlis tahlil yang dilakukan buat memperingati sahabatnya yang sudah tiada. Dan sempena hari lahirnya itu jugalah dia memasang tekad untuk berterus-terang. Namun apa yang dirancangkan, tidak seperti yang diharapkan. Kemunculan Datin Julia pada waktu yang sama, membuatkan dia tidak berani untuk berhadapan dengan semuanya. Dan kini, dia terpaksa berhadapan dengan semuanya walau apa pun yang berlaku demi mempertahankan rumahtangganya.

“Kau bantulah aku ya Allah.. Lindungilah isteriku..” Doanya dalam hati tidak putus.

Dia menambah kelajuan keretanya agar dapat segera tiba di vila. Dengan adanya lebuhraya dari Melaka ke Kuala Lumpur, tidak menjadi masalah untuk dia tiba dengan cepat.

********
“Apa semuanya ni Pureen? Apa lagi yang kau dah buat dekat belakang aku?! Apa lagi!” Hambur Datin Salina di hadapan Siti Shafura yang menundukkan wajah.

Perasaan marah dan malu di dalam hatinya bergabung menjadi satu menyebabkan dia tidak mampu menanggung perasaan marah yang semakin membuak-buak. Apa yang diberitahu oleh rakan-rakannya tadi membuatkan rasa benci yang semakin terpadam kini menyubur kembali.

“Sal, jangan nak tuduh melulu. Dengar dulu penjelasan dia.” Datuk Zaid mencelah.

Dia tidak menyangka kepulangan Siti Shafura kembali ke rumahnya lewat petang itu mengundang suatu yang buruk.

“Apa lagi yang dia nak cakap? Saya malu dengan kawan-kawan saya! Saya malu dengan Puan Sri Amna sebab budak ni. Kau tak malu ke berpeluk dengan anak teruna orang?! Kau sedar tak siapa diri kau tu!” Marah Datin Salina tidak tertahan. Mencerlung tajam matanya memandang ke arah Siti Shafura yang membisu sejak tadi.

Jika tidak kerana dia keluar bersama-sama rakan-rakannya tadi, sampai ke sudah dia tidak apa yang telah berlaku. Dan yang paling menyakitkan hati apabila ia melibatkan satu-satunya anak saudaranya itu.

“Awak kena dengar dulu cerita yang sebenar. Awak tak boleh percaya bulat-bulat apa yang orang lain cakap!” Bidas Datuk Zaid tetap cuba mempertahankan Siti Shafura.

“Cerita sebenar apa lagi? Budak ni memang sama dengan mak dia! Memang tak tahu malu menggoda anak teruna orang!”

Pang!

Spontan Datuk Zaid melayangkan tapak tangannya ke pipi Datin Salina. Apa yang terucap di bibir isterinya itu sudah melampaui batas. Cukup mencabar kesabarannya apabila melibatkan orang yang sudah pun tiada.
Datin Salina terpempan. Pipi kirinya terasa hangat. Terkejut menerima tamparan daripada suaminya sendiri.

“Paksu!” Siti Shafura sendiri saat itu turut sama terkejut dengan apa yang berlaku di hadapan matanya. Sedikit gerun dia melihat wajah Datuk Zaid yang menegang.

“Awak tampar saya semata-mata sebab budak ni?” Datin Salina benar-benar kecewa dengan suaminya. Malu dia diperlakukan begitu di hadapan anak saudaranya sendiri. Mujur anak-anaknya ketika itu tiada di rumah.

“Sepatutnya dari dulu lagi saya tampar muka awak tu. Selama ni saya diam, awak ingat saya setuju dengan apa yang awak buat? Awak jangan ingat saya tak tahu apa yang awak buat dekat belakang saya selama ni Sal. Awak jangan ingat saya tak tahu awak pernah nak bayar Shaq tu untuk escort awak. Awak jangan fikir awak punya malu aje. Awak ingat saya tak malu dengan kawan-kawan saya? Saya malu dengan perangai awak tu tahu tak? Kalau awak fikir Saleha tu perempuan tak baik, elok awak fikir diri awak tu dulu sebelum nak tuduh orang lain!” Datuk Zaid menghamburkan apa yang tersimpan dalam hatinya selama ini. Tubuhnya terus dipusingkan menghadap pintu utama yang terbuka luas. Sedikit berombak dadanya saat itu kerana mengepung perasaan marah.

Dalam diam dia cukup kenal dengan Eshaq Hakimi tanpa sesiapa pun sedari termasuk lelaki itu sendiri. Saat Siti Shafura memaklumkan ingin bernikah dengan Eshaq Hakimi, terkejut bukan sedikit yang ditanggung. Eshaq Hakimi anak seorang daripada orang cukup dikenali dalam dunia perniagaan. Walaupun pada mulanya dia kurang yakin dengan keputusan Siti Shafura, namun di terpaksa akur memandangkan keadaan Eshaq Hakimi yang tidak mengizinkan ketika itu. Dan dia juga yakin, Siti Shafura mampu membimbing Eshaq Hakimi ke arah yang lebih baik.

“Er.. Macam mana awak..” Dalam getar suara Datin Salina bersuara. Wajah tegang suaminya dipandang. Belum pernah dia melihat wajah Datuk Zaid setegang itu.

“Mana saya tahu? Kuala Lumpur ni tak besar mana Sal. Kalau Allah nak tunjukkan, besar mana pun KL ni saya tetap akan tahu.” Jelas Datuk Zaid tanpa berpaling. Ada getaran dalam nada suaranya.

“Apa lagi yang tak cukup Sal... Sampai awak sanggup nak cari budak muda macam tu untuk teman awak. Kenapa sampai hati awak buat saya macam ni?” Turut bergetar suara Datuk Zaid menuturkannya. Jelas kekecewaan dengan apa yang dilakukan oleh Datin Salina selama ini. Apa yang cuba disembunyikan selama ini sudah pun dilepaskan.

“Maksu…” Siti Shafura menghampiri Datin Salina sudah berdiri di belakang Datuk Zaid. Diraih lengan ibu saudaranya itu tetapi tangannya ditepis. Sedih hatinya melihat apa yang sedang berlaku kini. Semua berpunca dari dirinya.

“Tapi.. Tapi saya tak buat awak.. Saya tak buat. Sumpah saya tak buat..” Tutur Datin Salina yang mula mengalirkan airmata. Perasaan takut mula menyelubungi diri.

“Awak tak buat sebab budak tu tolak awak. Kalau dia terima awak, saya rasa mesti awak..” Datuk Zaid tidak jadi meneruskan kata-katanya. Kata-kata yang mungkin akan menyakitkan hatinya sendiri.

“Paksu.. Sudahlah paksu. Maksu tak buat tu semua paksu.” Siti Shafura terpaksa mencelah. Dia risau dengan apa yang berlaku kini. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk.

“Paksu bertahan selama ni sebab kamu Pureen. Sebab kamu. Wasiat walid kamu pada paksu supaya jaga kamu baik-baik. Paksu kuat sampai ke hari ni pun sebab kamu. Kamu banyak tolong ingatkan paksu dengan anak-anak paksu. Kalau bukan kerana kamu, paksu ingat semua ahli keluarga paksu tak kenal tikar sejadah, tak kenal al-Quran.” Balas Datuk Zaid sambil memandang ke wajah isterinya yang sedang menangis. Kehadiran Siti Shafura di rumahnya telah mengubah segala-galanya. Hanya isterinya sahaja masih tidak juga berubah.

“Paksu..” Siti Shafura mula menahan sebak. Terharu dengan apa yang diucapkan oleh lelaki yang hampir sebaya dengan arwah walidnya itu.

Datin Salina pula tidak lagi mampu menahan perasaan. Lemah kakinya sebaik mendengar apa yang terucap di bibir suaminya sendiri. Dia terus terduduk Kata-kata itu penuh sindiran buat dirinya. Memang selama ini dia tidak pernah ambil tahu akan kepentingan suruhan agama sebagai seorang muslim. Telah ditinggalkan semuanya sejak berpindah ke Bandar.

“Awak.. Saya mintak maaf. Saya tahu selama ni saya tak pernah ikut cakap awak.. Saya selalu bantah cakap awak.. Tapi percayalah awak.. Saya tak buat benda tu semua..” Lirih Datin Salina menuturkannya. Dia kini benar-benar takut jika Datuk Zaid membuat keputusan yang tidak pernah dibayangkan selama ini.

Datuk Zaid hanya mendiamkan diri. Dia perlukan untuk memikirkan hala tuju rumahtangganya walaupun masih ada rasa sayang di hatinya buat Datin Salina. Dia terlalu sayangkan wanita itu sepenuh hatinya selama ini dan tidak mungkin dengan begitu mudah untuk dia meninggalkan isterinya begitu sahaja. Usia rumahtangganya yang hampir 30 tahun itu begitu bermakna baginya.

“Maksu, bangun maksu.. Jangan macam ni..” Pujuk Siti Shafura yang tidak sanggup melihat ibu saudaranya berterusan begitu. Diraih tubuh wanita itu agar berdiri semula.

“Paksu.. Paksu maafkan maksu kan..” Ujar Siti Shafura lembut cuba meredakan keadaan yang tegang itu.

“Pa.. Apa yang dah jadi ni?” Muncul Izza Farhana diikuti Izzat Fakhri di muka pintu.

Tiga pasang mata itu terhala ke arah Izza Farhana dan Izzat Fakhri yang baharu tiba.

*******
“Ma..”

“Sampai hati Hakimi buat mama macam ni.. Kenapa Hakimi buat sampai macam ni sekali? Apa yang tak cukup Hakimi? Duit gaji Kimi tak cukup? Kalau tak cukup Hakimi boleh kerja dengan papa. Dari dulu lagi papa dah suruh kerja dengan dia kan? Kenapa Hakimi buat mama macam ni..” Lirih suara Puan Sri Amna menuturkannya. Dia benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku.

“Maafkan Kimi ma.. Kimi tahu Kimi salah. Kimi dah buat mama dengan papa kecewa dengan Kimi. Tapi Kimi dah tak buat tu semua ma.. Kimi dah tak buat ma.. Mama percayalah..” Eshaq Hakimi cuba memujuk mamanya yang sedang menangis. Nama penuhnya disebut sudah cukup menunjukkan yang mamanya marah dengan apa yang dilakukan.

“Macam mana mama nak percaya Hakimi. Mama tak boleh terima apa yang kamu dah buat. Tak cukup senang ke keluarga kita sampai Hakimi nak buat kerja terkutuk tu? Berapa lama Hakimi dah buat kerja tu? Berapa lama?!” Hambur Puan Sri Amna dengan juraian air mata.

“Sudah tu Na.. Benda dah jadi. Dia pun dah tak buat semua tu lagi..” Tan Sri Kamil mencelah.

“Abang pun sama. Kenapa abang tak cakap dengan Na fasal hal ni? Kenapa nak sorok dari Na? Na malu abang.. Na tak sangka sampai macam ni sekali Hakimi buat kita. Hakimi tak kesiankan mama ke? Tak kesiankan papa? Selama ni mama percayakan Hakimi. Pergi outstation mama percaya.. Tapi sebenarnya pergi mana? Hakimi sanggup teman perempuan-perempuan tu semua sebab duit! Tak cukup apa yang mama dengan papa bagi selama ni Hakimi? Tak cukup lagi ke?” Balas Puan Sri Amna panjang lebar. Wajah Eshaq Hakimi yang berlutut di tepi kakinya langsung tidak dipandang. Hancur hati seorang ibu apabila anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan cukup segala-galanya memusnahkan kepercayaan yang diberi. Apa yang dilakukan oleh Eshaq Hakimi sudah cukup menunjukkan dia gagal menjadi seorang ibu yang baik.

“Ma..” Suzila yang sejak tadi diam membisu di situ, datang menghampiri.

“Mama kecewa dengan anak-anak mama..” Luah Puan Sri Amna lagi.

Suzila tidak mampu membalas. Matanya dihalakan ke wajah Ikmal yang turut ada sama di situ. Lelaki itu juga tidak mampu membantu.

Tan Sri Kamil yang lebih tenang berhadapan dengan situasi itu hanya mampu melepaskan nafas berat. Dia sendiri sebenarnya sudah bersedia menerima keadaan itu sekiranya apa yang dirahsiakan selama ini sampai pada pengetahuan isterinya. Jika tidak Ikmal yang membuka mulut tentang apa yang dilakukan oleh anak sulungnya beberapa bulan lalu, sampai ke sudah dia tidak tahu. Segala urusan pembayaran semula wang Datin Julia pun sudah diselesaikan sebentar tadi sebaik dia pulang.

“Ma.. Maafkan Kimi ma. Kimi dah tak buat tu semua. Demi Allah. Kimi sanggup junjung Quran ma kalau mama tak percaya Kimi dah berubah. Kimi dah tak buat kerja-kerja tu semua. Julia.. Julia orang terakhir yang keluar dengan Kimi. Takda lagi ma.. Percayalah ma..” Rayu Eshaq Hakimi yang turut mengalirkan air mata. Sedih dengan apa yang dilalui kini dan bertambah sedih apabila mamanya langsung tidak mahu memandang ke wajahnya sejak dia tiba tadi.

“Macam mana mama nak percayakan Hakimi lagi lepas apa yang Hakimi dah buat..” Lemah suara Puan Sri Amna menuturkannya sebelum dia terus bingkas.

“Ma..” Eshaq Hakimi sempat menyambar tangan mamanya dari terus berlalu.

“Jangan main-mainkan perasaan perempuan Hakimi. Dan jangan sesekali kamu nak mainkan perasaan Siti. Mama tak izinkan dan takkan pernah izinkan. Dia lebih layak dapat lelaki yang lebih baik untuk jadi suami dia. Bukannya lelaki macam kamu!” Puan Sri Amna bersuara tegas sebelum terus meninggalkan ruang tamu yang dingin itu.

Eshaq Hakimi kematian kata-kata. Pesanan mamanya membuatkan hatinya cukup terusik. Sejak dia tiba tadi, bayang kereta isterinya tidak kelihatan. Entah ke mana isterinya itu pergi tidak sempat ditanyakan.

“Suzy, mana Siti?” Soalnya terus kepada Suzila seraya menyapu wajahnya yang lencun dengan air mata.

“Dia dah balik rumah maksu dia tadi.” Jawab Suzila mengendur. Dia tumpang simpati dengan apa yang berlaku ke atas diri abangnya itu.

“Kenapa dia balik sana?” Tanya Eshaq Hakimi lagi inginkan kepastian.

“Mama marah dia tadi Shaq..” Sahut Ikmal yang baharu bersuara apabila Suzila hanya mendiamkan diri. Dia perasan bakal isterinya itu kembali menangis.

“Kenapa? Apa salah yang dia dah buat?” Soal Eshaq Hakimi tidak sabar. Matanya memandang ke wajah papanya yang lebih banyak diam sejak tadi.

“Julia kata kamu dengan Siti dah lama duduk sama. Dah lama buat maksiat.” Jawab Tan Sri Kamil tenang. Hal pernikahan anak sulungnya bersama Siti Shafura sudah lebih awal dia ketahui. Datuk Zaid yang menceritakan kepadanya segala-galanya.

“Astaghfirullahalaazim..” Ucap Eshaq Hakimi perlahan dalam genangan air mata. Tidak menyangka isterinya juga menerima tempias daripada apa yang berlaku.

“Suzy tak cakap ke dengan mama siapa Siti pada abang?” tutur Eshaq Hakimi lirih.

“Suzy nak cakap, tapi Siti yang tak bagi..” Jawab Suzila serba salah. Dia terpaksa akur dengan permintaan sahabatnya sendiri.

“Ya Allah..” Keluhan berat lagi terlepas dari bibir Eshaq Hakimi. Kedua-dua tangannya sudah meramas kuat rambut yang sedia kusut. Sama kusut dengan apa yang ada dalam hatinya saat itu. Bibir dikertap kuat saat wajah Datin Julia terlayar di ruang mata. Perasaan marah dan benci membuak-buak dalam hatinya.

32 comments:

keindahan said...

hmmmm....siannya ct n kimi....kalau kimi x melarikn diri msti c julia x brani nak buat crita....cpatla kimi btulkn keadaan ....semoga kbhgiaan milik mreka...

arsha wangi said...

thanks for your comment! :D

kak na said...

arsha mcm nak lg je......

Eijan said...

Sepatutnya shaq x lari...bila lati maknanya dia takut...dan beri peluang kpd DJ tu tumpaskan dia...yg jadi mangsa Siti....shaq kena cepat tunjuk bukti yg siti tu hak mutlak dia....cepat betulkan keadaan...

Suzila & Ikmal juga kena membantu....baguslah papa kimi dah tau perkara sebenar....dia blh bantu supaya mama shaq terima kenyataan....

Arsha komen akak, boleh x kurangkan ayat yg meleret utk sampai klimaks....x perlu cerita secara terperinci contoh lepas ni buat A, then buat B bla....bla sampai kemuncak cerita Z. Klu ayat tu sgt penting nak mencantikkan cerita itu ok....tp kalau sekadar ayat penyataan biasa....blh diabaikan....

Sorry ye akak komen pjg sikit ni....sbb akak mmg sgt suka novel ni....tu yg rajin bagi pendapat......

Anonymous said...

nak lagi boleh cik arsha..:D
-syafiqa-

Izza Hafizah said...

kak arsha, seperti biasa saya suka.. moga kimi dan siti tabah hohoho..

~mood touching~

Konjaku Sentebale said...

Wah...
Ubat rajin jenama apa tukang karang kita makan ni...hihi okayyy ayat bodek sbb sudah bg terubat stress menunggu..
Besar jasa pureen utk keluarga paksu...jarang n susah org nk mengaku jahil agama ni...pureen mmg baikhati la.
Kimi pun dah terima pureen..slow n steady la u bro.
Arsha..keep it up girl...i love the way your storyline..mungkin bg others cerita u agak slow n lama...tp bg i okay je..wpun i xde bakat mengarang..tp i faham..idea bukan datang dibawa angin...kan?
So..good job..good luck k.

Anonymous said...

Nyammpess ngn julia nii
Yg pn sri ni mrh siti pasaipa? Bkkn siti wt jahat pong.. Mrh r anak ddiaaa tu adehhh
Nak lagi arsha ;)

Acu

arsha wangi said...

KHAS BUAT KAK EIJAN>

sorry la kak. sehabis baik dah ni. sye nak cut, tak tau tang mana yang ni di cut kannya.. huu.. cuba akak bagi contoh tang mana yang tak perlu? saya tak tahu nak kata mana yang perlu mana yang tak perlu dah ni. please.. huu

ciknie said...

plis r ble mreka nk trima siti n kimi blik nie..sbuk btul la datin j nie kn bnci btul r..plis nk bhagia je nie..

Eijan said...

Arsha....ini contohnya....
“Erm.. Okeylah bu. Kimi balik dulu. InshaAllah nanti kita jumpa lagi. Kalau ada apa-apa hal, ibu telefon aje Kimi.” Sambung Eshaq Hakimi yang tidak mahu berlengah lagi. Dia harus cepat tiba di vila. Tangan ibu tua itu dicapai dan dikucup hormat.

“Hati-hati memandu tu Kimi.” Ucap Puan Zainab dengan genangan airmata. Wajah Eshaq Hakimi diusap lembut.

“InshaAllah bu. Doakan Kimi.” Balas Eshaq Hakimi dalam senyuman.

“Az, abang balik dulu.” Lanjutnya kepada Azrina yang berwajah kelat. Dia tahu gadis itu tidak bersetuju dia pulang awal. Dia yakin ada banyak perkara yang ingin dikongsikan oleh gadis itu bersamanya.

“Abang janji abang akan datang sini lagi okey? Az jaga diri baik-baik. Jaga ibu.” Dia berpesan kepada gadis yang mula menundukkan wajah itu.

“InshaAllah.. Abang pun jaga diri baik-baik.” Balas Azrina dengan pelbagai perasaan yang bercampur-campur di dalam hatinya. Ada kehangatan di hujung mata. Tetapi cuba ditahan dari melimpah keluar.

“Inshallah.. Abang balik dulu.. Ibu.. Kimi balik dulu. Assalamualaikum.” Ucapnya lembut sebelum berlalu meninggalkan dua beranak itu.

Dari pengamatan akak ada yg berulang2...mungkin blh ringkaskan sikit....

Akak bukan penulis, just bagi pendapat shj....kalau rasa ayat2 tu perlu x kisah....Akak mmg sgt suka novel ni & jln ceritanya....akak doakan ia blh diterbitkan dlm versi cetak...semuapun enovel arsha akak suka dan follow sejak mula di penulisan2u lagi....

Jangan kecik hati ye....

Anonymous said...

Nk lgi...best sgt...

Maya said...

Terbaik! Berbalui keluar masuk ke sini hari-hari.

Untuk pulihkan keadaan, Kimi perlu berterus terang. Tak perlu bimbang untuk menghadapi segala dugaan. Tan Sri pun dah tahu, cuma dia mahukan Kimi yang jelaskan segalanya.

Bila segalanya terbongkar pasti DJ itu terduduk! DS pun tak tahu nak letakkan muka kat mana!

TQ Arsya,,,

arsha wangi said...

EIJAN>

Eh?

Banyak tu..

inshaAllah kak. terima kasih atas teguran. :)

intan abd wahab said...

Tqvm...baca langkah2 sb gn tab..
Apa2 pn tahniah....

Sue Anieki said...

ari2 bkk blog akk..kot2 ada entri baru..

jahatnya datin julia ni..
hbs si puren yg kena...kimi x ptt lari.. :( sian puren kena mrh...
nsb baik papa kimi dah tau awl2...
kimi cepat2 pulihkan keadaan ok..
caiyok2... :)
x sbar nk tggu ending.. :)
good job akk.. :)

Anonymous said...

Huh..menci n nyampah ngan datin julia ni...cian siti xpasal2 kena marah ngan mak mentua die...
Akhirnya terlerai sudah kisah kimi ngan julia...dan bapa kimi dah taw kimi dah kahwin ngan siti...tinggal tunggu mama kimi plak...hope boleh clearkan segala masalah....
Arsha nak lagi...thanks cute girl...:)

Anonymous said...

Arsha ... Next n3 pls...dewi, atas tu dewi yg komen yer.. Lupa buh nama...ehehe... Tata cute girl...arsha best!!

Atty Ismail said...

Jahatnye Datin Julia ni!!!...Mmg la Si Eshaq ni naik angin nanti...Tq Aisha

Anonymous said...

sonok sonok sonok ad n3..skrg msa tuk Shaq berterus terang. x ksian kat pureen ke?

>>k<<

fatim fatimah said...

bab strusnya harap kimi bertrus terang,,,smbung cpt arsha ,,plssss,,,:)

Anonymous said...

Arsha sambung cepat nak tahu apa akan belaku seterusnya.

Biar padan dgn muka Datin Julia bila Tan Sri sebenarnya dah tahu perkara sebenar. Knplah Tan Sri tak beritahu Puan Sri perkara sebenar sebelum si Datin Julia beritahu.

Tak sangka pula Datin Salina juga berminat dgn Shark utk escort dia. Terbongkar segalanya baru dia sedar dan rasa takut.

Harap lepas ni Pureen dan Shark boleh bersama tanpa sembunyi lagi. Harap bahagia hendaknya mereka berdua.

Kmas

baby mio said...

best.....

lin ms said...

Salam arsha..xde syarikat penerbitan yg beminat nk terbitkn novel2 awk ke.syg la.cite2 arsha smue best2.akak mnt sgt.klu dpt wt koleksi algkah bgsnye.semoga sukses & terus berkarya.

arsha wangi said...

WSalam lin ms. BAJP inshaAllah ada rezeki Jun ni kak. Kalau ada nanti sye inform. yg TDK sye tak bkesempatan nak edit. Dah siap gak. Tinggal nak hntar nilai. Cuma yg BMJM ni tak tau lagi nak hntar ke mana. Huu. Xdecide n tak janji apa2 pun sbb tak siap lagi. :-)
Thanks for your support kak ;)

Mazlina Yusof said...

salam arsha ..

alahai, kesiannya siti .. tapi mmg betul agaknya kata pujangga, lebih kuat & sabar sesorang itu, lebih banyak lagi dugaan yang datang kepadanya .. huhu .. sabar, sabar .. wahai cik hati ..

so far akak mmg suka dgn jalan cerita BMJM ni .. actually semua pun best2 je akak baca .. tiap2 hari buat spotcheck bila nak ada entry baru. bila lah agaknya kami nak baca full novel, ya arsha ?

arsha wangi said...

Ada rezeki inshaAllah. Doa2 kan.. :)

Anonymous said...

sedihnya episod kali ni, no wonder la siti rasa semacam je kan masa mula-mula cerita..
harap Shaq lebih rasional lepas ni, nak buat sesuatu kena fikir perasaan orang lain jugak. jangan sampai siti kecewa haa baru terngadah...
writer, nak lagi... sambung :)

intan abd wahab said...

alhamdulilah..akhirnya dpt menatap dgn huruf yg besar2..baru puas membcanya...
moga kebahagian menjadi milik mereka stelah terungkai sgala rahsia...

ayu salina said...

Dh lama mengikuti kisah ini tp jarang memberi komen. Hihihi.....
Apapun x sabar menanti kisah seterusnya yg berlaku ant mrk

Kak Sue said...

Kimi berterus teranglah dengan Mama .... biar mama x tahu tentang status Siti di sisi Kimi selama ni... kasihan Siti di rumah Mama kena halau ke rumah pak su kena marah dengan mak su.... Kimi tolonglah Siti... sedihhhh

Yohana Baby said...

Assalammualaikum, arsha what the great job. Cepat2 sambung =)