May 15, 2013

~ehem ehem "BIAR AKU JADI PENUNGGU.."

Assalamualaikum sahabat sekalian. alhamdulillah BAJP akan keluar bulan hadapan. Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan selama ni dan tidak kurang juga atas hentaman yang diberi. terima kasih banyak-banyak sebab saya terlalu banyak kelemahan yang perlu saya baiki. semoga Allah reda dengan apa yang dah jadi. inshaAllah Aminn.

********

“Ham, kejutkan Abang Fazree tu, dia kata pagi ni ada hal.” arah Iffat kepada Afham yang baru berdiri di muka pintu bersedia untuk ke kuliah. Mereka tiba selepas azan subuh berkumandang dan abahnya yang mempelawa Fazree berehat sebentar selepas menunaikan solat subuh di rumahnya awal subuh tadi.

“Yalah kak.” Jawab Afham terus kembali semula ke dalam rumah.

“Dia drive sorang dari sana ke Hamani?” tanya Puan Hasmidah yang sedang duduk santai di pangkin kayu hadapan rumah. Ketika itu Iffat sedang menyidai pakaian yang telah siap dibasuh.

“Ha’ah mak. Hamani dengan Ita nak drive, dia tak bagi.” Jawab Hamani dengan pakaian yang terakhir disangkutkan ke penyidai. Dia tahu lelaki itu penat memandu. Dia dan Rozita pula sedap tidur sepanjang perjalanan.

“Hari tu kamu kata balik hari Ahad ni. Ni tak sampai hari Ahad lagi kamu dah balik.” Tanya Puan Hasmidah lagi. Awal pagi tadi dia terkejut menyambut kepulangan Iffat.

“Kerja habis awal mak. Tu yang balik awal. Lepas ni kena uruskan hal dekat sini pulak sebelum Iffat pindah ke sana. Lagi cepat habis lagi senang. Lagipun, Iffat ingat nak minta cuti panjang sikit hari raya nanti.” Jawab Iffat seraya duduk di sisi Puan Hasmidah. Dilihat ibunya semakin sihat dan berpuasa seperti biasa. Cuma Puan Hasmidah dilarang keras untuk melakukan kerja-kerja rumah.

“Hmm… kamu macam mana dengan Afeef?” Puan Hasmidah sengaja ingin menduga rasa hati anak tunggal perempuannya itu. Baru semalam Afeef ada datang ke rumahnya dan dia bertanya benda yang sama dengan menantunya itu. Tetapi Afeef lebih banyak mendiamkan diri.

“Err… Macam ni ajalah mak.” Balas Iffat beserta keluhan halus. Serta merta dia teringat akan nyawa baru yang bersatu di dalam tubuhnya itu. Hasil perkongsian antara dia dan Afeef. Tapi kini, dirasakan perasaan perkongsian itu kian pudar.

“Mak tak faham kamu berdua ni. Hmm…” balas Puan Hasmidah dengan keluhan panjang. Dia dan suami sudah tidak tahu bagaimana ingin membantu hal rumahtangga anak menantunya itu lagi. Kali ini masalah yang dialami lebih kepada salah diri sendiri. Masing-masing pentingkan diri sendiri. “Semalam suami kamu ada datang. Tapi dengan bekas isteri dia.” Sambung Puan Hasmidah. Sengaja ingin melihat reaksi anaknya itu.

“Dia nak apa datang sini?” tanya Iffat lemah. Dia tahu kedatangan Damia ke rumahnya itu kerana Damia sendiri menghantar SMS memberitahunya semalam. Matanya terhala jauh ke jalan raya di hadapan rumah. Rasa teruja untuk mengetahui perihal suaminya itu hilang entah ke mana. Tetapi rasa sedih datang menerpa. Mudah benar air matanya ingin keluar saat itu namun ditahan.

“Iffat, I nak gerak dah ni.” ujar Fazree yang baru sahaja keluar dari rumah belum sempat Puan Hasmidah menjawab pertanyaan Iffat. Lembap wajah itu dilihatnya mungkin baru lepas memcuci muka. Jelas keletihan di wajah rakan pejabatnya itu.

Belum pun sempat Iffat membalas, sebuah kereta yang amat di kenali membelok masuk ke halaman rumah dan berhenti tepat di hadapannya. ‘Tak kerja pula dia hari ni.’ Desis hatinya. Fazree pula telah berdiri di muka pintu keretanya selepas enjin dihidupkan. Iffat terus sahaja mendapatkan Fazree tanpa menyapa pemilik kereta yang baru sahaja berhenti di hadapannya tadi.

“Iffat, err… tu…” tunjuk Fazree ke arah Afeef yang merenungnya tajam seperti ingin ditelan hidup-hidup. Dia mengangkat tangan sedikit ke arah Afeef dan tersenyum. Namun lelaki itu seperti sengaja buat tidak nampak.

“Makcik, saya balik dulu ya. Terima kasih tumpangkan saya tidur di sini sekejap.” Ucap Fazree sopan kepada Puan Hasmidah yang turut sama datang menghampirinya. “Kirim salam dekat pakcik ya.” Sambungnya lagi lantas menyalami kedua tangan tua itu tanda hormat. Encik Abdul Rahim sudah keluar sejak awal pagi lagi.

“InshaAllah. Kamu baik-baik bawa kereta tu.” Pesan Puan Hasmidah pula.

“I balik dulu Iffat. Takut I tengok mata husband you pandang I.” ujar Fazree perlahan lantas masuk ke dalam kereta. Niat untuk bersalaman dengan Afeef terus terbantut apabila melihat wajah tegang terpamer di wajah lelaki itu. “Thanks sebab tumpangkan I tidur.” Lanjut Fazree lagi.

“Alah, bukan selalu pun you datang. Thanks juga sebab susah-susah hantar I.” balas Iffat dengan suara yang sengaja dikuatkan. Dia mahu Afeef mendengar tiap butir bicaranya. Tidak tahu atas tujuan apa dia berbuat demikian. Biar Afeef cemburu atau ianya bakal mengundang masalah lain pula di antara mereka? Entah!

“Okeylah. I balik dulu. Jumpa dekat pejabat nanti.” Ucap Fazree sebelum berlalu.

“You drive carefully.” Balas Iffat dengan senyuman kecil di bibirnya.

Di muka pintu pula sudah terjegul wajah Afham yang diam memerhati dari tadi. Adiknya itu sudah bersiap-siap untuk ke kuliah. “Kak, hari ni Ham pinjam kereta akak boleh tak? Ham balik lambat sikit hari ni.” Ujar Afham yang sedang menyarung kasut.

“Yalah. Drive elok-elok Ham. Jangan nak laju-laju aja.” Pesan Iffat tidak keberatan.

Thanks kak. Ham pergi dulu kak, mak.” Ucap Afham sebelum masuk ke dalam kereta. “Abang Afeef, saya pergi dulu.” Ucap Afham lagi kepada abang iparnya pula seraya membalas lambaian tangan Afeef kepadanya.

“Feef, tak kerja hari ni? Jom masuk.” sapa Puan Hasmidah apabila perasan wajah menantunya itu berubah tegang apabila melihat Fazree. Iffat pula hanya beriak selamba malah dia terus masuk ke dalam rumah tanpa menyapa Afeef dahulu. Dia hanya menggelengkan kepala apabila melihat perbuatan yang kurang sopan Iffat itu.

“Tak mak. Cuti hari ni. Saya baru hantar Aqil pergi klinik. Demam balik malam tadi.” Jawab Afeef seraya mengekori langkah Puan Hasmidah masuk ke dalam rumah. Dia sama tidak mahu kalah apabila dengan sengaja menekan sedikit nama Aqil. Biar isterinya itu tahu anak tunggalnya sakit kerana dirinya. Entah kenapa selepas menghantar anaknya tadi hatinya ingin datang ke rumah mertuanya itu walaupun baru semalam dia datang bersama anaknya dan Damia. Si kecil itu sudah mahukan ibunya malah mulutnya ringan memanggil Damia mama seperti yang diajarkan.

“Semalam mak tengok elok aja.” Balas Puan Hasmidah yang sudah duduk di hadapan Afeef. Dia perasan mata menantunya itu tercari-cari kelibat Iffat di dalam rumah.

“Dia macam tu lah mak. Siang dia okey, bila malam mula merengek. Lepas tu demam.” Jawab Afeef perihal anak tunggalnya itu. Semakin susut tubuh si kecil kerana kurang selera makan.

“Hmm,.. tu mummy dia dah balik, eloklah tu nanti Afeef.” Balas Puan Hasmidah cuba menarik perhatian Iffat yang duduk berkurung di dalam bilik. Rumah yang berdindingkan papan nipis itu mudah untuk mendengar apa jua butir bicara sungguhpun duduk di dalam bilik.

Afeef hanya diam tidak menjawab. Rasa panas hatinya kian tak tertanggung apabila Iffat seperti tidak memperdulikan kewujudan dirinya. Sanggup melupakan dirinya demi lelaki lain.

“Err…mak, Afeef masuk dulu jumpa Iffat kejap.” Pinta Afeef sopan.

“Ha, yalah. Kamu berdua bincang elok-elok. Mak nak pergi rumah Mak Kiah sekejap.” Balas Puan Hasmidah. Dia sengaja ingin memberi ruang kepada anak dan menantunya itu setelah hampir dua minggu tidak bersua muka. Sengaja dia beralasan untuk pergi ke rumah jiran yang tidak jauh dari rumahnya.

Sementara di dalam bilik, Iffat sengaja menyibukkan diri dengan memunggah segala isi perut beg yang dipenuhi dengan buah tangan untuk seisi keluarga. Dia tahu Afeef akan masuk ke dalam bilik itu untuk bertemu dengannya. Rasa debar memenuhi ruang dada. Tidak tahu apa yang akan berlaku antara dirinya dan Afeef selepas ini. Masing-masing menjunjung ego sendiri. Namun Iffat sedaya upaya cuba beriak selamba.

“Bukan main suka lagi layan lelaki lain dari layan suami sendiri kan.” Sindir Afeef tajam kepada Iffat yang duduk membelakangkannya ketika melangkah ke dalam bilik itu.

Iffat yang mendengar sindiran itu hanya mendiamkan diri. Kasar bahasa yang digunakan Afeef menghiris hatinya. Sakit!

“Patutlah kau pergi sana tak bagitahu aku. Ada jantan lain rupanya. Siap tumpang tidur lagi. Agaknya dekat belakang aku, entah apa lagi yang kau dah buat kan?” Tambah Afeef lagi yang berdiri menghadap tingkap kayu yang terbuka. Deru angin pagi yang menyapa wajahnya itu gagal meredakan rasa marah yang berbuku di hati.

Mendengar kata-kata itu pantas dia menoleh ke arah Afeef yang berpeluk tubuh membelakangkannya. Tuduhan yang dilemparkan mencincang halus hatinya. “Stop it!!” marah Iffat geram. Melampau sungguh tuduhan yang diberi. Seperti dia telah berlaku curang. Tidak sanggup dia mendengar tuduhan yang langsung tidak berasas itu.

“Apa tak betul apa yang aku kata!” balas Afeef yang berdiri menghampiri Iffat yang duduk di birai katil.

“Kau jangan nak tuduh aku sebarangan kalau kau tak tahu cerita sebenar.” Balas Iffat berani sambil sama berdiri melawan tujahan mata Afeef kepadanya. Dia dengan sengaja mengikut tempo lelaki itu. Alang-alang lelaki itu ingin mengamuk, biar dia hambur semuanya pada lelaki itu apa yang dirasakan. Lelaki itu merengus kasar. Dia berdiri semula di hadapan tingkap.

“Isteri apa agaknya kau ni sanggup membelakangkan suami.” Kata Afeef sinis. Nafasnya sudah turun naik menahan rasa marah yang memuncak.

“Kau tu suami apa pulak?” Balas Iffat selamba sengaja mencabar kemarahan lelaki itu. Nafasnya juga sudah turun naik menahan rasa marah. Perutnya yang senak tiba-tiba dipegang perlahan dan memaksa untuk dia duduk semula.

“Hey! Sekurang-kurangnya aku tak curang dekat belakang kau! Aku sedar lagi tanggungjawab aku!” herdik Afeef dengan nada yang sudah meninggi. Dia kembali mendapatkan Iffat yang duduk itu.

“Tak curang? Kau cakap kau tak curang. Kalau kau tak curang dengan aku dulu takdanya budak kecil tu.” Jawab Iffat berani sekaligus sengaja mengimbau kembali peristiwa lalu.

“Kau ni kan…” hampir sahaja tangan kanannya itu melayang ke pipi Iffat tetapi tidak jadi. Kata-kata Iffat memang mencabar kesabarannya.

“Agaknya lelaki ni kalau mengamuk aja, memang tak sah kalau tak angkat tangan kan.” Balas Iffat semakin berani. Senak di perutnya masih ditahan. “Apa tak teruskan aja. Biar puas hati kau tu.”

“Kau jangan cabar aku Iffat!” jerkah Afeef lagi. Afeef bergerak menjauh. Wajahnya diraup beberapa kali untuk mengurangkan rasa marah yang tidak tertanggung.

Iffat pula mendiamkan diri menerima jerkahan suaminya itu. Dia tidak pernah melihat keadaan suaminya ketika itu sebelum ini. Afeef Adwan yang dikenali bukan seorang yang pemarah.

“Kalau kau rasa aku ni isteri curang, isteri yang tak cukup baik, aku rasa ada baiknya kita berpisah. Aku ni tak tahu hormatkan kau. Tak layak jadi mummy pada anak kau kan… Aku ni tak tahu nak jaga perasaan kau kan…” Iffat bersuara perlahan selepas masing-masing mendiamkan diri. Dia memandang sekilas belakang tubuh yang kembali menghadap tingkap kayu itu. Kata-kata yang terlahir di bibirnya itu sebenarnya mengguris hatinya sendiri. “Aku rasa, takda gunanya dah aku ni. Mungkin ni yang terbaik untuk kita.”

Afeef terus melangkah keluar dari balik itu kerana tidak sanggup mendengar apa sahaja yang diungkapkan oleh isterinya itu. Perkataan berpisah yang disebut oleh Iffat begitu menyentakkan jantungnya. Sama seperti yang pernah diungkap oleh Afia. Adiknya itu sendiri ada menasihatkan dirinya agar melepaskan sahaja Iffat. Dia terus meninggalkan rumah keluarga mertuanya itu tanpa hala tuju.

Hilang sahaja kelibat Afeef, dihamburkan segala air matanya tanpa boleh dibendung lagi. Dia kecewa dengan apa yang diucapkannya tadi. Bulan mulia yang hampir tiba ke penghujung itu telah menjadi saksi segala kisah duka mereka berdua. Senak diperutnya pula seakan menjadi-jadi menambah rasa sedih di hati. ‘Sayang, tolong mummy sayang’. Ucapnya perlahan sambil menekan kuat perutnya. Dia terbaring di katil kerana rasa sakit yang semakin tidak tertanggung. Pada waktu itu dia terdengar deruman motor abahnya.

Dia memanggil abahnya sekuat hati dengan harapan bapanya itu mendengar panggilannya memandangkan abahnya mungkin sahaja terus ke kebun di belakang rumahnya.

Encik Abdul Rahim yang mendengar panggilan Iffat terus bergegas masuk dan kebetulan juga Puan Hasmidah turut sama tiba dari rumah Mak Kiah apabila melihat suaminya pulang.

“Hamani, kenapa kamu ni?” tanya Puan Hasmidah cemas.

“Jom bawa dia klinik cepat.” Gesa Encik Abdul Rahim seraya membantu Iffat bangun dan memapahnya. Puan Hasmidah tidak dapat membantu kerana bahu kirinya masih tidak boleh diangkat dengan kuat. Iffat yang masih bertudung sejak kedatangan Afeef itu menyeringai menahan sakit. Dalam hatinya hanya berdoa agar benih yang baru dikandung itu dalam keadaan selamat.

10 comments:

Anonymous said...

wooooooo...mcm mna blh jdi mcm ni...ish ish ish

>>k<<

kak na said...

tak sabar nak memiliki ini buku

Anonymous said...

Akak, x sabarnya nk beli buku nih..secara exactnya, bila buku nih ada kat bookstore ek?awal bulan ke?takut2 pergi bookstore,kuciwa kalu xde lg..huhu

arsha wangi said...

keluar jun dik. inshaAllah. :)

Eijan said...

Alahai lamanya tunggu update citer ni, tetiba bila ada n3 terus sentap aje....sedihnya dgn suami isteri ni....kesian aqil yg jadi mangsa.....

Anonymous said...

diterbitkan oleh penerbit mane

Iffah said...

yeay!!! excitednya nak tunggu bulan jun, dah lama tunggu novel ni. Arsha kalau cover dah keluar jangan lupa share kat blog ye :)

Kak Sue said...

LAMA TUNGGUUU...
NI CERITA SEDIH KE ARSHA....

Anonymous said...

Arghh geramnya dgn si Afeef ni T_T pasni mesti barulah terhegeh-hegeh nk mintak maaf n menyesal..cian Iffat..huhu :'(

sentebale-hk said...

Bajp...
Geram dgn afeef...part yg iffat sound dia curang n ada budak kecil..mmg best! Hamik kau si curang kena setepek!